Sunday, August 23, 2009

Salam Ramadhan, Selamat Berpuasa

Selamat berpuasa diucapkan kepada semua kenalan taulan yang beragama Islam. Pejam celik pejam celik dah berjumpa semula dengan bulan yang mulia, Ramadhan ini. Bersyukur kerana masih ada nyawa dan nafas untuk mengerjakan rukun yang wajib ini. Kebiasaannya aku akan pulang ke kampung untuk menyambut Ramadhan iaitu bersahur dan berbuka (yang pertama) bersama emak dan ayah. Semua adik-beradik berbuat begitu jika berkesempatan. Tetapi tahun ini kesempatan itu tidak aku perolehi. Apakan daya, tak mengapalah.

Bila bulan Ramadhan, kemeriahan bazar-bazar jualan yang berwarna-warni kembali tumbuh di kawasan-kawasan tertentu, dengan ratusan pengunjung yang berpusu-pusu datang. Aku sukakan suasana di bazar Ramadhan, seronok melihat manusia menjual-membeli, hingar bingar dalam kemesraan dan gelagat manusia yang kadang-kadang tertewas dengan nafsu (membeli makanan berlebihan). Hanya di bulan Ramadhan kita berpeluang untuk menikmati makanan/kuih-muih yang kadangkala tidak ditemui di waktu lain selain di bulan Ramadhan. Di tambah pula dengan pelbagai jenis masakan orang kita yang sangat membuka selera. Maka tidak hairanlah jika di bazar-bazar Ramadhan, kaum-kaum lain yang tidak berpuasa juga sama sibuk membeli-belah.

Apapun yang penting semoga kita (aku) dapat lipat-gandakan amalan dan pahala sempena bulan yang barakah ini. Selamat berpuasa.

Sunday, August 16, 2009

Jenayah Ragut - Apa Tindakan Kita?

Bercakap mengenai spesis manusia yang satu ni, memang tak pernah habis. Ada saja kes atau kejadian baru yang berlaku disebabkan oleh manusia spesis 'peragut' ni. Orang tua-tua kata "makin ditegur makin dibuatnya" merujuk kepada anak-anak yang degil. Banyak yang kita dengar dan baca tentang berita peragut ditahan polis, dipukul penduduk kampung, dibelasah sehingga mati dan sebagainya tapi masih banyak pula kejadian sama yang berlaku. Mungkin terlalu banyak peragut yang masih lagi bebas berbanding yang telah tewas.

Teringat sewaktu aku pulang dari Langkawi. Kejadian pertama di perkarangan kompleks jeti Kuah. Aku sampai, kelihatan orang ramai berkerumun seperti melihat orang menjual ubat kuat untuk anu lelaki di pasar malam. Rupanya sedang membantu seorang wanita yang baru diragut. Yang menolong dua orang, yang melihat berasak-asak. Peragutnya telah menaiki kereta Waja kotak-kotak bitu kuning yang empuk kusyennya ke balai. Aku sekadar mengeluh, kesal juga dengan kejadian seperti itu. Aku hanya berfikir dengan idea sendiri bagaimana kejadian itu berlaku kerana malas nak bertanya lanjut. Aku kesuntukan masa kerana feri sudah panas bontotnya di jeti.

Sampai di jeti Kuala Kedah, dengan kepala yang berbintang sedikit kerana dilambung-lambung ombak tadi, aku menuju tempat pakcik-pakcik drebar teksi melepak. "Haa mana..mana, jauh dekat boleh saja?" Ehh pakcik ni. "Wisma Persekutuan..Anak Bukit". Datsun merah putih pun melompat. Gila laju orang tua ni.

Ketika melalui kawasan perkampungan Kuala Kedah, sekali lagi kelibat orang ramai menarik perhatian. Dalam hati tentulah kemalangan berlaku. Ketika melintasi tempat kejadian, dua orang lelaki telah pun mengilas tangan seorang lelaki lain. Lelaki yang dikilas tangan tu melutut. Dari riak wajahnya, aku pasti dia 'mat dadih'. Tidak jauh dari situ, seorang makcik ditenteramkan orang ramai sambil memeluk beg mengkuangnya. Ciss berlaku lagi. Hari ni dua kali aku melihat kejadian macam ni. Dalam perut Datsun tu, aku dan pakcik drebar berbalas-balas mengulas pasal kejadian tersebut.

Jenayah ragut. Bolehkah kita membantu mengatasinya? Tanya diri sendiri. Aku bukan nak bercakap besar, tapi seandainya kejadian tersebut berlaku di depan mata, aku akan cuba sedaya yang mampun untuk membantu. Caranya? Terpulanglah bagaimana situasi, suasana, tahap bahaya/risiko serta kebarangkalian untuk berjaya. Kalau menumbuk orang tanpa sebab memang kita salah, tapi jika berpeluang untuk kita menumbuk orang dan kita tidak dipersalahkan, itulah peluangnya. Terlalu banyak cara untuk kita menolong. Dari sebesar-besar kita kejar, bertumbuk, menangkap peragut sehinggalah sekecil-kecil kita menjerit "tolong..tolongg..tolonggg". Anda bagaimana?

Tapi apa yang diperhatikan, manusia lain tidak ambil peduli apa yang terjadi kepada manusia lain walaupun ketika saat genting kesusahan. Konsep 'jangan jaga tepi kain orang' sangat utuh dipraktikkan. Ramai orang yang tidak mahu terlibat atau ada kaitan bila berlaku kejadian ragut. Nanti panjang ceritalah, itulah inilah. Lebih rela melihat saja tanpa berbuat apa-apa. Yang penting jaga diri sendiri. Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, fenomena ini adalah perkara biasa. Manusia sangat sibuk dengan urusan masing-masing, tidak ada masa untuk membantu, buat hal sendiri, jangan ambil tahu hal orang lain dan sebagainya.

Cuma satu yang aku sentiasa terfikir, dalam apa kejadian atau perkara sekalipun iaitu 'ermm hari ni hari dia, mungkin esok lusa hari aku pula'. Tak mustahil kan. Sebab itu tolong-menolong ini tidak ada ruginya kerana kitaran pahalanya sentiasa bergerak. Suatu hari akan sampai kepada kita juga. Ketika kita sangat-sangat perlukan bantuan/pertolongan, pasti ada tangan yang menghulur. Kita tentu akan berasa sedih dan geram jika orang-orang yang kita sayang menjadi mangsa. Ketika itulah kita mula menyalahkan orang lain kerana tidak membantu. Sentiasalah nasihat-menasihati, mengambil berat.

Berbalik kepada isu peragut, sentiasalah kita berwaspada dan berhati-hati, sentiasa beringat terutama kaum wanita. Lalai sekelip mata saja, muncullah manusia-manusia spesis 'monyet' ini. Kepada kaum lelaki khasnya, buatlah sesuatu jika terlihat kejadian ragut di depan mata. Nilaikan situasi, risiko dan peluang untuk berjaya, maka bertindaklah. Bukan untuk menjadi hero tetapi sebagai seorang manusia yang baik dan bertanggungjawab. Hapuskan jenayah ragut.

Monday, August 10, 2009

20 Tahun Dahulu

1989 - Ketika loceng rehat berbunyi, aku bergegas lari balik ke rumah. Darjah 3 Bakawali atau 3B (terbaik di antara tiga buah kelas) aku tinggalkan tak toleh-toleh lagi. Seberang jalan sikit, lintas jambatan kayu sikit, sampailah rumah aku. Waktu itu tentunya makanan sudah tersedia walaupun kadang-kadang hanya ubi kayu rebus bersama kelapa parut bersama gula. Begitulah rutin harian aku ketika di bangku sekolah rendah. Setiap kali waktu rehat, aku akan balik ke rumah kerana jarak antara sekolah dengan rumah aku 'loceng sekolah berbunyi boleh sampai ke dapur rumah'. Setengah jam waktu rehat aku berada di rumah. Apabila loceng berbunyi, aku kembali semula ke sekolah. Sekolah Kebangsaan Dato' Shaari, Kubang Rotan, Alor Setar Kedah kelihatan sudah banyak berubah kini.

Sekolah waktu itu hanya berseluar pendek. Seluar yang kakinya agak besar seperti uniform polis zaman British dahulu. Jika ada yang berseluar panjang pun cuma seorang dua. Itu pun di pangkal namanya selalunya berbunyi 'Syed'. Aku tak peduli waktu itu siapa dan apa. Kadang-kadang 'Syed' itulah yang meniru kerja sekolah aku atau berbisik-bisik semasa menduduki ujian. Seluar sekolah itu masih elok dan terjaga walaupun ia adalah kesinambungan abang-abang aku. Seluar aku sendiri yang dibeli ayah di awal tahun aku tidak pakai kerana sengaja disimpan untuk acara-acara penting sekolah seperti Hari Guru dan Hari Penyampaian Hadiah. Pernah juga terfikir yang ia boleh dismpan untuk adik aku pula nanti.

Aku lebih suka memakai baju dan seluar sekolah abang-abang aku. Emak pernah cakap "biar buruk atau lama tetapi bersih dan kemas". Memang dari kecil emak dah tekankan nilai-nilai kekemasan dan kesempurnaan walaupun hidup waktu itu dalam serba kekurangan. Di sekolah, aku biasa-biasa saja. Tidak terlalu menonjol dan tidak pula terkojol. Walaupun begitu, aku merasakan sering mendapat perhatian guru-guru walaupun sedangkan aku bukanlah selalu mendapat tempat pertama, kedua atau ketiga dalam peperiksaan. Mungkin dari banyak segi dan sudut orang boleh menilai kita, bukan? Seingat aku, aku pernah mendapat sekali tempat kedua dan sekali tempat pertama dalam kelas. Selebihnya aku lebih suka dengan angka 5, 7 dan 9. Lebih daripada tu tidak pernah walaupun ada rakan sekelas dan sepermainan aku di kampung yang berada di tempat ke-28. Tapi kami tetap gembira. Apa ada pada nombor dan angka pada waktu dan ketika itu. Boleh menguasai 3P (membaca, menulis dan mengira) sudah dianggap berjaya di sekolah.

Selepas waktu sekolah pula, tengaharinya akan mengikuti kelas Al-Quran di rumah seorang guru yang kami semua panggil Tok Lang Yom (arwah). Balik dari mengaji, aku akan ke rumah jiran untuk menonton televisyen kalau ada cerita kegemaran waktu itu seperti Kesatria Baja Hitam, Gaban/Gavan, Kickers atau pun The Adventures of Tom Sawyer. Jika hari yang tiada rancangan-rancangan tersebut, waktu petang diisi sepenuhnya dengan bermain seperti kanak-kanak lain. Permainan waktu itu yang popular adalah seperti baling tin, baling kasut, guli pangkah, sorok-sorok, polis sentri, congkak tanah dan macam-macam lagi. Kadang-kadang juga aku dan kawan-kawan akan bermain perang menggunakan senapang peluru buah terung belanda di kawasan belukar, biasalah tu. Tapi walau seronok macam mana sekalipun bermain, jauh mana sekalipun pergi bermain, mesti balik ke rumah sebelum azan berkumandang. Itulah pesan emak.

Di waktu kecil, aku juga ada aktiviti lain yang aku sangat suka. Kadangkala kawan-kawan yang lain tidak sudi untuk mengikut aku. Tapi tak mengapa, aku suka walaupun hanya aku seorang yang 'bermain' iaitu menangkap ikan darat/ikan sawah dengan cara mengikut pembajak (traktor) dari belakang. Aktiviti ni aku akan buat ketika musim membajak sawah. Bersama serkap buluh yang dibuat ayah dan jaring untuk mengisi ikan, aku bermain dengan lumpur, ikan haruan, sepat benua, puyu dan keli. Ada masa jika ikan haruan terlalu banyak, aku akan menjualnya kepada jiran berbangsa Cina di kampung. Mereka sangat suka ikan haruan terutama yang besar-besar untuk dibuat sup. Ikan haruan memang banyak khasiatnya. Begitulah, anak Kedah dan anak kampung/bendang, jika tidak bermandi selut dan lumpur sawah tidaklah lengkap rasanya. Namun kini zaman telah berubah, banyak yang telah berubah.

Waktu malam pula, aku akan sekali lagi mengaji Al-Quran tetapi emak yang mengajar. Kemudian siapkan kerja sekolah atau mentelaah pelajaran beberapa ketika. Selepas itulah baru menjamu selera bersama. Biasanya sekitar jam 9 malam ayah akan balik dari menanggung padi. Kerjanya pada waktu ketika itu, ketika masih kuat dan berotot-otot sasa. Manakala hanya apabila ada rancangan-rancangan menarik di TV saja baru emak akan benarkan aku ke rumah jiran untuk menonton. Biasanya filem-filem lakonan Tan Seri P.Ramlee kerana emak aku juga akan pergi sama.

Begitulah aku ketika berumur 9 tahun dahulu, 20 tahun yang lalu. Hidup dalam serba kekurangan dan sederhana. Kehidupan waktu kecil banyak mencorak diri dan keperibadian, semangat dan matlamat aku. Tidak banyak yang aku ingat namun tidak banyak juga yang aku lupa. Sayangnya waktu ketika itu tidak ada langsung rakaman foto untuk dijadikan kenang-kenangan kini walaupun sekeping. Kamera, barangan mewah waktu itu tentulah bukan mudah untuk kami adakan. Tapi tak mengapa, jika ada foto tentunya sudah buruk dan lapuk. Tetapi kenangan di minda tetap segar selamanya.

Tidak semua manusia berasal daripada jalan yang sama atau melalui jalan yang satu tetapi ingin menuju destinasi yang serupa iaitu untuk mengecap kesejahteraan, kesempurnaan dan kesenangan hidup. Pengalaman pahit manis sepanjang perjalanan itulah yang banyak membantu.

Sunday, August 09, 2009

Di Langkawi Tapi Hati Di Redang

Seperti diceritakan sebelumnya, aku di Langkawi atas beberapa urusan rasmi dan penting. Walaupun aku bertugas di Alor Setar, tapi ke Langkawi ni memang jarang-jarang. Pernah rancang nak datang cuti hujung minggu (jumaat sabtu) tapi tak jadi-jadi juga. Datang pun bila ada tugasan macam ni. Alahai. Tapi aku terfikir juga, kalau datang pun tapi sorang-sorang tak best juga. Tempat macam ni best kalau datang 4 atau 5 orang. Baru ada aktiviti nak dibuat; bolasepak pantai ke, snokeling ke, berenang, bbQ, karaoke..macam-macam lagi la. Dan juga, baru cukup satu kereta (kereta sewa) untuk pusing satu pulau. Kalau tak ramai, berdua pun best juga. Tapi tentulah datang dengan buah hati kan.

Kat Langkawi hari tu, walaupun pening dengan tugasan tapi seronok juga. Layan keindahan alam dan juga masyarakat kat sana. Hati teringin nak membeli-belah tapi dah sorang-sorang mati kutu juga dibuatnya. Jalan-jalan cuci mata jelah. Akhirnya tengok-tengok-blah. Walaupun badan kat Langkawi tapi hati aku kat Redang sebenarnya..melayang terbang ke sana. Lokasi sama, di pulau yang cantik tetapi laut yang berbeza; satu timur satu barat. Namun yang pasti, keseronokkan di Redang lebih berbanding di Langkawi. Selepas ni, Redang ke Perhentian..Redang ke Perhentian?? (perancangan akan datang nak 'hirup angin' kat mana).


Jeti Kuah

Teringin nak naik kapal putih besar kat belakang tu...

Perkampungan nelayan di Teluk Ewa (ewa ewa, ewaa bulee..)

Berlepas ke Pulau Tuba


Sampai tempat di tuju..

Tamatlah tugasan di Langkawi untuk kali ini. Dua tiga hari lagi, datang semula. Langkawi, tunggu aku datang lagiiii......

Awal Ogos Yang Lembab

Macam pelik je bunyi tajuk entri ni hehe. Bayangkan, Ogos dah masuk hari yang ke-9 hari ni, ni baru aku nak menulis. Itu yang agak 'lembab' sikit tu. Bukan aku yang lembab, tapi tak berkesempatan nak mengadap blog kat komputer ni. Kebelakangan ni memang agak sibuk, banyak kerja. Pening kepala dibuatnya. Lagi pun, di awal Ogos ni tak banyak cerita menarik, semuanya berkisar pasal kerja. Tapi ada juga 'moment' yang cukup bermakna yang berlaku di hujung-hujung Julai nak masuk Ogos. Hanya dia yang tahu.

Di awal Ogos juga aku nyaris-nyaris terperangkap dalam gerombolan manusia bodoh di ibu negara. Demi ingin mencapai matlamat politik yang diperjuangkan kononnya, padahal dicucuk hidung oleh manusia jahat lain, mereka berkoyong-kayang melolong-lolong tanpa memikirkan akibatnya kepada orang (rakyat) lain. Ibu negara alami kesesakan yang amat dahsyat. Aku cepat-cepat meninggalkan ibu kota menuju utara. Dia juga telah keluar dari ibu negara lebih awal menuju timur dan laut terbentang luas. Bagus juga, jika tidak kerisauan aku akan bertambah-tambah. Dia gembira di sana walaupun banyak air garam telah ditelan sehingga memberi masalah kepada kerongkongnya.

Hanya beberapa jam di rumah, aku terpaksa bergegas pula ke pulau lagenda kerana ada mesyuarat penting tentang masa depan bangsa dan negara. Itulah, orang lain bertungkus-lumus, berusaha itu ini untuk kesejahteraan bangsa dan negara, mereka-mereka yang bodoh di sana langsung tak memikirkannya. Bukannya orang lain, bukannya putih pucat atau hitam legam, tapi sawo matang seperti aku juga. Itu yang menjadi nanah dalam hati, menjadi duri dalam daging. Mesyuarat selesai, beberapa keputusan penting telah diambil dan akan disusuli dengan tindakan. Harap semuanya beroleh kejayaan.

Selesai mesyuarat, masih ada lagi tugas penting di pulau Langkawi. Walaupun ia satu tugas yang sangat penting, namun 'sambil menyelam minum air'. Oleh kerana ia tugasan luar bilik, bolehlah sambil-sambil menikmati keindahan pulau lagenda ini. Tak perlu cerita lanjut berkenaan tugas tersebut kerana ia adalah rahsia negara. Hehehe..jangan marah. Entah kenapa di awal Ogos ni, banyak pula tugasan yang memerlukan berada di Langkawi. Pada 11 & 13hb nanti ke sana lagi. Satunya mesyuarat berkenaan LIMA yang akan datang dan satu lagi bersama ayahanda Tuanku Sultan Kedah. Tugasan? Juga menjadi kerahsiaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.