Thursday, November 01, 2012

Nama Eksklusif Untuk Anak

Pagi tadi dapat berita dari seorang teman baik, atau lebih tepat lagi rakan sebilik ketika sama-sama tinggal di Kolej Kediaman Kelima, Universiti Malaya dahulu iaitu beliau sudahpun bergelar bapa. Tahniah. Isterinya selamat melahirkan anak lelaki sulung mereka semalam di Hospital Kuala Lumpur. Esok lusa jika berkelapangan bolehlah nak pergi melawat. Soal nama anak tersebut, masih terlalu awal dan tak sepatutnya dipertanyakan langsung lagi.

Begitu juga seorang lagi sahabat, Yaya yang sudahpun juga bergelar ibu kepada seorang anak lelaki comel setelah sebelum ini agak lama menunggu. Tahniah kepada Yaya dan si suami, Wan. Katanya anak kecil tersebut bernama Kamil, nama penuhnya aku tak bertanya lanjut pula. Nanti-nantilah.

Seorang lagi sahabat, bro Hadi yang juga mempunyai seorang anak kecil perempuan bernama Cahaya Balqis.Sedap dan bermaksud baik namanya. Namun Cahaya Balqis terlebih dahulu sedang bergembira bermain-main di taman Firdausi sana. Al-Fatihah buat si kecil dan bro Hadi berbanyaklah bersabar.

Berkaitan soal nama, setiap ibu bapa atau pasangan suami isteri tentunya mahukan anak kecil mereka dinamai dengan nama-nama yang membawa maksud yang baik. Sebagai seorang Muslim tentulah nama yang membawa maksud dari sudut Islam itu dipilih, walaupun mungkin dari segi ejaan dan sebagainya dipinda atau ditokoktambah. Namun maksud asal nama tersebut masih lagi kekal.

Ada juga kalangan ibu bapa yang kuat sifat keMelayuannya menggunapakai nama-nama berunsurkan bangsa dan bahasa Melayu (termasuk Melayu kuno atau klasik) yang juga membawa maksud yang baik dan terpuji sebagai nama anak. Samada ia digunapakai secara tunggal atau pun secara gabungan dengan nama-nama yang berunsurkan Islam yang kebanyakkannya berciri-cirikan bahasa Arab. Sebagai contoh, seorang sahabat baik aku ada yang bernama Andika, secara tunggal. Dalam dunia Melayu, Andika ini kerapkali membawa maksud seorang lelaki (pahlawan) yang gagah, berani dan berkeperibadian yang terpuji.

Satu lagi contoh bersoalkait dengan nama ni ialah ayah aku sendiri. Nama ayah aku ialah Chin. Pelik bukan sebab ayah aku bukan berbangsa Cina malah dari segi fizikalnya jauh sekali dengan manusia yang dikenali sebagai bangsa Cina. Perkara ini mungkin berlaku salah faham ketika proses pendaftaran nama. Bagi orang-orang Kedah, nama Chin (atau sebutan betulnya seperti menyebut cincin=cin) ini adalah nama panggilan umum bagi orang yang bernama Hashim. Jadi akibat salah faham atau kesilapan pihak tertentu, maka nama Chin itu dibawa sampai ke mati. Apapun itu bukanlah hal serius kerana kita sendiri tidak tahu bagaimanakah rupanya sistem pendaftaran sekitar awal tahun 1940an dahulu kan. Lagipun ramai juga orang Melayu tulen yang bernama Chin itu.

Bagi nama anak perempuan aku pula, kami suami isteri bersepakat untuk menamainya Ammara Nageena yang membawa maksud; Ammara - yang memakmurkan; yang kuat imannya; yang sabar; yang bersopan dalam percakapannya; juga nama sahabat, a lady with strong Imaan; tolerant manakala Nageena pula bermaksud sebutir mutiara; berlian; diamond. Dari segi ejaannya pula telah ditokoktambah sedikit. Nama ini kami telah memilihnya beberapa bulan sebelum anak comel kami lahir.

Aku melayan Ammara bermimik muka...

Satu trend atau budaya kini di kalangan ibu bapa moden ialah ingin menamai anak-anak mereka dengan nama-nama yang agak unik, eksklusif atau lain daripada orang lain melalui gabungan-gabungan yang tersendiri atau pun melalui gabungan nama ibu bapa dan sebagainya. Namun jika masih berlaku persamaan ke atas nama tersebut walaupun tidak secara keseluruhannya, ia bukanlah suatu masalah yang besar. Bagi masyarakat kebanyakkan, nama-nama yang baik maksudnya bukanlah menjadi hak eksklusif sendiri dan tidak boleh digunapakai oleh orang lain, kecualilah bagi golongan tertentu yang mempunyai susur galur sejarah kekeluargaan yang sedia termaktub seperti Syed/Syarifah, Wan, Nik, Ku, Raja, Megat dan sebagainya. Itu pun hanya di pangkal nama sahaja, nama belakangnya tetap juga berlegar-legar di kalangan nama-nama orang kebanyakkan.

Berbalik kepada nama Ammara, ketika difikirkan nama tersebut, tidak terlintas langsung di fikiran aku untuk menjadikannya eksklusif walaupun pada ketika itu tidak terfikir langsung andai nama tersebut turut dipunyai oleh orang lain. Andai ada persamaan ia hanyalah kebetulan dan bukanlah menjadi suatu masalah besar atau tidak perlu timbul langsung soal siapa meniru siapa. Nama yang maksudnya baik dan semakin banyak diulang guna tentulah adalah lebih baik.

Contohnya nama Muhammad, ia telah digunapakai oleh entah berapa ratus juta manusia Islam sejak dari zaman Rasulallah S.A.W sendiri sehingga sekarang kerana ia juga bukanlah sebuah nama eksklusif yang tidak boleh dikongsi-kongsi. Cumanya sebagai sebuah nama yang baik apatah lagi pernah dipunyai oleh Kekasih Allah, adalah menjadi harapan kita sebagai ikutan walaupun ejaannya telah ditokoktambah menjadi pelbagai. Malah nama aku sendiri (nama sebenar) juga entah berapa ramai manusia Islam yang menggunapakaikannya, ia bukan suatu kesalahan atau masalah kerana nama aku juga bukan hak eksklusif aku seorang.

Ada juga manusia yang merasakan mereka cukup besar dan ingin menjadikan sesuatu itu menjadi milik mereka sahaja. Tapi tak semuanya berjaya.



BEYONCE DAN JAY-Z KALAH DI MAHKAMAH

Sudah namanya kaya, sampai nama anak pun mahu diberi status hak cipta. Itu yang berlaku ke atas dua selebriti paling berpengaruh ini. Beyonce dan Jay-Z baru-baru ini meminta mahkamah untuk menjadikan nama anaknya Blue Ivy sebagai jenama eksklusif mereka.

Bagaimanapun usaha untuk melindungi hak ke atas nama anak mereka itu gagal apabila mahkamah memberitahu sebuah syarikat di Boston sebelum ini sudah pun menggunakan nama tersebut sejak tahun 2009. “Hakim tidak meluluskan permintaan itu kerana sebuah syarikat di Boston sudah menggunakan nama Blue Ivy” kata satu sumber tersebut.

Malah dikhabarkan Beyonce yang dijangka akan mengadakan persembahan pada pertandingan Super Bowl tahun hadapan turut berura-ura untuk melancarkan jenama pakaian kanak-kanak di bawah label nama anak perempuannya itu.

Sumber : Mega Hits, Utusan Malaysia 25 Oktober 2012.

Moshuchi Kata : Buta ke apa, kalau aku anak Cina takde la hitam macam ni...hehehe

1 comment:

alhadihamzah said...

Bila memilih nama, biar lah ada makna. Dan makna itu pula biarlah yang membayang kebaikan dan kesucian. Insya-Allah akan sedikit sebanyak mempengaruhi peribadi anak.

Insya-Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.