Sunday, August 16, 2009

Jenayah Ragut - Apa Tindakan Kita?

Bercakap mengenai spesis manusia yang satu ni, memang tak pernah habis. Ada saja kes atau kejadian baru yang berlaku disebabkan oleh manusia spesis 'peragut' ni. Orang tua-tua kata "makin ditegur makin dibuatnya" merujuk kepada anak-anak yang degil. Banyak yang kita dengar dan baca tentang berita peragut ditahan polis, dipukul penduduk kampung, dibelasah sehingga mati dan sebagainya tapi masih banyak pula kejadian sama yang berlaku. Mungkin terlalu banyak peragut yang masih lagi bebas berbanding yang telah tewas.

Teringat sewaktu aku pulang dari Langkawi. Kejadian pertama di perkarangan kompleks jeti Kuah. Aku sampai, kelihatan orang ramai berkerumun seperti melihat orang menjual ubat kuat untuk anu lelaki di pasar malam. Rupanya sedang membantu seorang wanita yang baru diragut. Yang menolong dua orang, yang melihat berasak-asak. Peragutnya telah menaiki kereta Waja kotak-kotak bitu kuning yang empuk kusyennya ke balai. Aku sekadar mengeluh, kesal juga dengan kejadian seperti itu. Aku hanya berfikir dengan idea sendiri bagaimana kejadian itu berlaku kerana malas nak bertanya lanjut. Aku kesuntukan masa kerana feri sudah panas bontotnya di jeti.

Sampai di jeti Kuala Kedah, dengan kepala yang berbintang sedikit kerana dilambung-lambung ombak tadi, aku menuju tempat pakcik-pakcik drebar teksi melepak. "Haa mana..mana, jauh dekat boleh saja?" Ehh pakcik ni. "Wisma Persekutuan..Anak Bukit". Datsun merah putih pun melompat. Gila laju orang tua ni.

Ketika melalui kawasan perkampungan Kuala Kedah, sekali lagi kelibat orang ramai menarik perhatian. Dalam hati tentulah kemalangan berlaku. Ketika melintasi tempat kejadian, dua orang lelaki telah pun mengilas tangan seorang lelaki lain. Lelaki yang dikilas tangan tu melutut. Dari riak wajahnya, aku pasti dia 'mat dadih'. Tidak jauh dari situ, seorang makcik ditenteramkan orang ramai sambil memeluk beg mengkuangnya. Ciss berlaku lagi. Hari ni dua kali aku melihat kejadian macam ni. Dalam perut Datsun tu, aku dan pakcik drebar berbalas-balas mengulas pasal kejadian tersebut.

Jenayah ragut. Bolehkah kita membantu mengatasinya? Tanya diri sendiri. Aku bukan nak bercakap besar, tapi seandainya kejadian tersebut berlaku di depan mata, aku akan cuba sedaya yang mampun untuk membantu. Caranya? Terpulanglah bagaimana situasi, suasana, tahap bahaya/risiko serta kebarangkalian untuk berjaya. Kalau menumbuk orang tanpa sebab memang kita salah, tapi jika berpeluang untuk kita menumbuk orang dan kita tidak dipersalahkan, itulah peluangnya. Terlalu banyak cara untuk kita menolong. Dari sebesar-besar kita kejar, bertumbuk, menangkap peragut sehinggalah sekecil-kecil kita menjerit "tolong..tolongg..tolonggg". Anda bagaimana?

Tapi apa yang diperhatikan, manusia lain tidak ambil peduli apa yang terjadi kepada manusia lain walaupun ketika saat genting kesusahan. Konsep 'jangan jaga tepi kain orang' sangat utuh dipraktikkan. Ramai orang yang tidak mahu terlibat atau ada kaitan bila berlaku kejadian ragut. Nanti panjang ceritalah, itulah inilah. Lebih rela melihat saja tanpa berbuat apa-apa. Yang penting jaga diri sendiri. Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, fenomena ini adalah perkara biasa. Manusia sangat sibuk dengan urusan masing-masing, tidak ada masa untuk membantu, buat hal sendiri, jangan ambil tahu hal orang lain dan sebagainya.

Cuma satu yang aku sentiasa terfikir, dalam apa kejadian atau perkara sekalipun iaitu 'ermm hari ni hari dia, mungkin esok lusa hari aku pula'. Tak mustahil kan. Sebab itu tolong-menolong ini tidak ada ruginya kerana kitaran pahalanya sentiasa bergerak. Suatu hari akan sampai kepada kita juga. Ketika kita sangat-sangat perlukan bantuan/pertolongan, pasti ada tangan yang menghulur. Kita tentu akan berasa sedih dan geram jika orang-orang yang kita sayang menjadi mangsa. Ketika itulah kita mula menyalahkan orang lain kerana tidak membantu. Sentiasalah nasihat-menasihati, mengambil berat.

Berbalik kepada isu peragut, sentiasalah kita berwaspada dan berhati-hati, sentiasa beringat terutama kaum wanita. Lalai sekelip mata saja, muncullah manusia-manusia spesis 'monyet' ini. Kepada kaum lelaki khasnya, buatlah sesuatu jika terlihat kejadian ragut di depan mata. Nilaikan situasi, risiko dan peluang untuk berjaya, maka bertindaklah. Bukan untuk menjadi hero tetapi sebagai seorang manusia yang baik dan bertanggungjawab. Hapuskan jenayah ragut.

3 comments:

marmalade said...

economic recession =)

Encik Moshuchi said...

How's Manila?
Mabuhayy..hehe

Thanks for the 'Paman's Words and Mind'.

rizal del tapairo said...

setuju dengan panglima..jika keadaan dan masa yg sesuai, mmg boleh bantu.kalau moto si peragut melintas betul2 dpn aku masa kejadian, aku takkan teragak2 nak sepak.

pernah jadi sekali depan mata tapi jauh.no plat moto pun x nampak.xleh nak buat apa jugak...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.