Seperti sebelumnya, sementara menunggu keputusan STPM diumumkan, aku kembali bekerja di bangunan bersejarah itu, bangunan bekas Istana Kota Beram, bangunan yang pernah menjadi kediaman Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang ke-4. Kali ini aku bertugas pula sebagai Pembantu Muzium. Tapi dalam masa yang sama, kerja-kerja grafik dan artwork masih aku melakukannya. Kemudian, keputusan STPM diumumkan dan aku mendapat 5P dengan gred A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
Masa berlalu selama beberapa bulan, sehinggalah permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) diterima. Aku pun meninggalkan muzium walaupun pada waktu itu jiwa dan hati sudah semakin sebati dengan dunia pemuziuman yang penuh dengan elemen kesenian, kebudayaan dan persejarahan. Di universiti, aku mengikuti jurusan Antropologi dan Sosiologi; bidang yang masih tidak lari dari ilmu sejarah, budaya, kesenian, arkeologi, etnografi, ketamadunan dan sebagainya yang melingkari kehidupan manusia sejak dari zaman Paleolitik sehinggalah ke zaman globalisasi kini.
Ketika di tahun akhir pengajian, aku menjadikan muzium sebagai subjek kajian untuk penulisan tesis sebagai memenuhi syarat untuk melengkapkan penganugerahan ijazah pertama. Keputusan daripada tesis tersebut juga amat memuaskan, syukur. Selepas tamat pengajian, aku berkerja di beberapa tempat bagi mengutip pengalaman. Kemudian seperti 'sireh pulang ke gagang', aku kembali bertugas di Muzium Pahang. Sesuai dengan kelulusan dan bidang pengajian, aku dilantik sebagai Kurator Bahagian Arkeologi dan Penyelidikan LMNP walaupun jawatan tersebut berstatus kontrak.
Aku pun memulakan tugas baru ini sambil mempraktikkan semula ilmu-ilmu yang dipelajari di universiti dahulu. Di universiti, masa lebih banyak di dewan kuliah tetapi setelah berkerja dalam bidang ini, masa lebih banyak di kawasan lapangan (fieldwork) seperti di dalam gua-gua, di bukit dan hutan. Kerja-kerja carigali (arkeologi) amat menarik tapi bagi yang berminatlah. Aku agak bertuah kerana mendapat tunjuk ajar dari seorang tokoh arkeologi terkenal negara, yang berpusat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga telah bertindak sebagai Penasihat kepada Bahagian Arkeologi dan Penyelidikan.
Apa itu Kurator (Curator)? Kurator adalah gelaran bagi pegawai-pegawai atau pengarah-pengarah dalam bidang/institusi pemuziuman, hanya dalam pemuziuman sahaja. Sebab itulah amat penting bagi seseorang Kurator itu untuk mempunyai sifat-sifat curate/curative iaitu bersifat mengumpul, menyimpan, mengkaji dan menganggap setiap sesuatu benda/objek itu ada nilai-nilai estetikanya walaupun mungkin pada orang lain ia tidak begitu. Ini penting kerana seseorang yang tidak bersifat curate/curative, amat sukar baginya untuk menyesuaikan diri dalam bidang pemuziuman, suatu bidang yang berkerja dengan objek-objek (artifak/monumen) lama, usang, bersejarah dan harus dipelihara.
Tetapi malangnya, jodoh aku dalam bidang pemuziuman tidak lama. Sebenarnya dalam diam-diam aku mula merisik bidang Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD). Setelah melepasi satu demi satu tapisan kelayakan yang bukan calang-calang, aku berjaya diterima ke dalam perkhidmatan elit ini. Walaupun berasa berat hati, tapi demi masa depan yang lebih terjamin dan pengalaman dalam bidang yang lain, aku meninggalkan bidang pemuziuman. Beberapa ketika selepas itu, aku dikhabarkan akan ditanggung oleh Muzium Negara untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang arkeologi. Semuanya sudah terlambat. Tapi aku juga tidak pernah menyesal dengan apa yang aku lakukan, jalan mana yang telah aku pilih. Mungkin inilah yang dikatakan rezeki dan jodoh. Hanya Dia yang menentukan.
Walaupun begitu, aku masih seorang kurator yang kuat bersifat curate/curative. Aku suka mengumpul objek-objek tertentu yang aku rasakan suatu hari nanti ia akan ada kegunaan, kepentingan dan nilai-nilai tertentu. Mungkin pada pandangan orang lain tidak begitu, tidak mengapalah. Malah perspektif tentang perkara-perkara berkaitan sejarah, kesenian dan warisan, kebudayaan, senibina dan monumen, artifak zaman lampau dan seumpamanya masih tetap sama dalam jiwa. Minat tentang semua itu tetap ada dalam diri.
Keterangan gambar : Beberapa batang pensil yang aku kutip/kumpul/simpan dari berbagai tempat yang aku hadiri (mesyuarat/bengkel/seminar/hotel/dll). Itu yang berada di pejabat, dan yang tersimpan di rumah masih ada banyak lagi, berpuluh-puluh batang. Tidak termasuk objek-objek lain lagi yang tidak ditunjukkan di sini. Perkara ini kadangkala menimbulkan pertanyaan kenapa, untuk apa simpan dan sebagainya di kalangan orang lain. Kadangkala sukar untuk menjelaskannya. Kenapa aku kumpul/simpan? Sebab aku seorang kurator dan bersifat curate/curative. Aku seorang pengumpul.
Moshuchi Kata : Walaupun orang-orang Barat telah jauh maju ke depan, mereka suka mengunjungi muzium-muzium untuk melihat asal-usul mereka...orang kita bagaimana?