Monday, June 21, 2010

Terima Kasih Ayah

Seorang lelaki yang aku panggil Ayah.

Ayah tinggi dan berbadan tegap, berkulit gelap dan tangan berurat-urat, tegas mendidik tentang sopan dan adab, keluarga dikemudi penuh bertanggungjawab, kuat berkerja memerah keringat, mencari rezeki penuh berkat.

Ayah bukan sekolah tinggi, tinggalkan kelas mencari rezeki, masih tak lupa tambah tolak kali dan bahagi, berkerja itu dan ini biarpun kuli, mungkin bukan kehendak hati, desakan hidup dan zaman terpaksa dituruti.

Ayah tahu tuntutan zaman, anak-anak diberi pendidikan, tidak seorang pun yang ketinggalan, walau berpahit-maung dengan kesusahan, namun itu bukan halangan, melihat anak-anak berjaya di masa hadapan.

Sifat ayah sangat terpuji, mesra peramah dan baik hati, tidak berprasangka buruk apa lagi mengeji, saudara-mara jiran tetamu diangkat tinggi, sifat sabar berguni-guni dalam diri, mudah berbincang dan berdiplomasi, susah melihat meninggi diri dan panas hati, sedikit-sebanyak telah aku warisi.

Amat jarang melihat air matanya, perkhabaran dari universiti malaya punca segala, itulah kali pertama aku melihat tertitisnya air mata, rasa bangga dan gembira membuak dada, membuka mata segala tetangga, ucapan tahniah kiri kanan diterima, walau hanya nelayan sejengkal dan petani sedepa, anak-anak berjaya ke gedung ilmu menara utama.

Aku ingat pesan ayah, adik-adik pun ingat pesan ayah "kita orang susah..ayah takdak apa-apa harta untuk ayah tinggalkan..kecuali ilmu pelajaran yang ayah bagi". Aku berbangga menjadi anak ayah, kami berbangga menjadi anak ayah.

Terima kasih Ayah.

Moshuchi Kata : Ketika di darjah 5, ayah selalu menghantar aku ke sekolah dengan basikal tua..rasa sangat best masa tu...

2 comments:

marmalade said...

sedih yati baca entri nih. ayah abang, ayah yati juga :) (dalam konserto terakhir, dan juga realitinya).

kirim salam pada ayah. yati doakan dia sehat-sehat selalu.

Encik Moshuchi said...

insyaAllah...
sentiasa mengharapkan ayah sihat2 selalu...tak terbalas jasanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.