Sunday, August 29, 2010

Geram & Benci

Situasi macam ni memang aku jadi geram dan benci.

Pagi-pagi dapat panggilan suruh pergi mesyuarat gantikan bos (bos tak dapat hadir sebab ada hal tertentu). Yang hanginnya 'orang' yang sepatutnya gantikan bos pun tak boleh hadir juga (alasan yang tak bleh blahhh). Ini halnya.

Paling hanginnya, mesyuarat ni berkaitan dengan bidang tugas 'dia'. Lepas tu untuk menyelamatkan diri selalu bagi alasan kena pergi hospital periksa jantung/jantung rasa berat/jantung sakit dan macam-macam lagi yang berkaitan dengan jantung (dia memang sakit jantung).

Sekali dua okeylah, kita pun bukannya nak berkira sangat kerja ni. Tapi bila dah selalu macam ni, asal mesyuarat sakit..mesyuarat sakit. Rasa kasihan dan simpati terus bertukar jadi geram dan kejam.."lepas ni biar betul-betul sakit, mati terus senang.."

Kita bukan nak berkira sangat lagipun anggap saja kerja kerana Allah. Tapi kalau selalu buat macam ni, lari dari tanggungjawab, lari dari takut kena tiaww...memang tak boleh terima la. Kalau bukan kerana fikirkan bos, nak jaga hati bos..mampus aku tak gantikan dah.

Moshuchi Kata : Inilah jenis manusia yang cakap berapi-api tapi harammmm....

Tuesday, August 24, 2010

Cinta & Perkahwinan

Gambar sekadar hiasan

Cinta. Apa itu cinta? Aku sendiri tidak begitu pasti dan pakar kerana aku bukanlah orang yang memiliki begitu banyak pengalaman dalam cinta. Yang pasti aku pernah jatuh cinta dan sekarang sedang bercinta, bercinta dengan seorang wanita. Dialah cintaku.

Cinta bagi aku adalah apabila dua hati dan dua rasa menjadi satu walaupun jasadnya dua. Keselesaan, keikhlasan dan kejujuran dalam berkongsi perasaan, kasih dan sayang, meluahkan perasaan, saling hormat-menghormati, memberi dan menerima, saling tertarik, sentiasa merindui dan ingin sentiasa berada di sisi, mendidik, menegur dan memaafkan serta sentiasa ingin perbaiki diri ke arah kebaikkan (kebahagiaan) bersama.

Mungkin bagi orang lain definisinya lain pula. Terpulang pada tafsiran dan pemahaman masing-masing.

Lumrahnya cinta akan berakhir dengan perkahwinan sementara cinta itu terus hidup sehingga empunya jasad tiada bernafas lagi. Itu cinta hingga ke mati. Cinta itu yang semua orang inginkan, termasuk aku. Tapi tak semua cinta berakhir dengan perkahwinan dan ada juga cinta yang mati di tengah-tengah perkahwinan seiring dengan hancurnya perkahwinan. Dan ada juga cinta yang mula hidup seiring dengan bermulanya sebuah perkahwinan.

Cinta membawa kepada perkahwinan. Indah bukan. Semua orang menginginkannya, termasuk aku (lagi). Cinta dalam percintaan mungkin tidak sama dengan cinta dalam perkahwinan. Cinta dalam perkahwinan pastinya perlu lebih kuat dan matang kerana dalam perkahwinan pasti banyak liku-liku dan jalan bersimpang-siur berbanding dalam percintaan untuk dihadapi. Seandainya cinta sentiasa meresapi menyelubungi perkahwinan, itulah kebahagiaan yang maha indah.

Sesudah berkahwin, dahulunya pasangan kekasih kini sudah menjadi suami dan isteri (juga masih pasangan kekasih) perlulah tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing. Ingatlah, bukan mudah untuk menjadi 'ketua' keluarga dan bukan mudah juga untuk menjadi 'ibu' rumahtangga. Jika kedua-dua ini baik, maka baiklah ahli-ahli (anak-anak) dalam keluarga tersebut.

Perkahwinan (suami dan isteri), bukan sahaja perlu mengekalkan sifat-sifat dan sikap seperti definisi cinta di atas, tetapi perlu lebih lagi nilai tambahnya. Perkahwinan adalah perkongsian. Perkongsian segala-galanya. Bukan sahaja yang tersurat; kongsi rumah, anak, harta dan wang ringgit, katil, tilam, kebendaan tetapi juga lebih dari itu kepada yang tersirat. Berkongsi hidup; susah dan senang, suka dan duka, sihat dan sakit bersama, sentiasa berkasih-kasihan dan sayang-menyayangi. Suami menghormati dan setia kepada isteri, isteri pula taat, patuh dan setia kepada suami, saling meringankan tidak membebankan, hormat-menghormati bantu membantu. Cinta dalam perkahwinan perlu lebih berganda-ganda dari cinta semasa percintaan.

Sebenarnya banyak ilmu yang menerangkan tentang cinta, peranan dan tanggungjawab suami serta isteri dalam buku-buku ilmiah terutama buku agama. Kita cari dan bacalah, pelajarilah.

Kesabaran amat penting dalam rumahtangga baik di pihak suami atau isteri. Di tambah pula dengan sifat-sifat mendidik, bertegur mesra, saling memaafkan, suami yang mententeramkan jiwa isteri, isteri yang menyejukkan hati suami, suami memahami kelebihan/kekurangan isteri, isteri memahami kemampuan suami, keduanya saling memperbaiki diri untuk kebaikkan bersama, insyaAllah rumahtangga akan kekal bahagia dan cinta terus subur meresapi seluruh mahligai perkahwinan.

Inilah yang aku harapkan. Harapan untuk menjadi ketua keluarga yang baik, menjadi suami yang sabar, agar perkahwinan kekal bahagia, agar cinta terus bersemi selamanya, punyai isteri yang baik, isteri yang menyejukkan hati, isteri yang solehah dan sebuah rumahtangga yang aman damai serta diredhai Allah S.W.T. Buat isteriku (bakal), semoga kamu juga serasa apabila membaca tulisan ini.

Moshuchi Kata : Aku akan berkahwin...

Sunday, August 22, 2010

'Ciwi' Anak


Pernahkah kamu semua melihat ibubapa atau bapa atau ibu atau mungkin datuk atau nenek yang membawa, mendukung atau menggendong anak kecil..bukan anak kecil tapi bayi, bayi yang masih merah, bayi yang baru beberapa bulan menyedut udara dunia, bayi yang masih sangat lemah dan kadangkala matanya pun belum selesa untuk terbuka bebas? Mungkin pernah kan?

Aku selalu dan dah banyak kali melihat perkara ini. Kali terakhir ketika sedang berbuka puasa di Kuala Perlis bersama seorang teman. Aku ternampaklah sebuah keluarga ni, ramai juga dan si bapa sedang mendukung bayinya yang masih merah. Aku asyik memandang gelagat si bapa bayi itu. Dia mengelak kiri dan kanan, menjaga langkah dan jalan bimbang kalau-kalau ada orang melanggar dia atau anak dia. Maklumlah orang ramai pada ketika itu berlaga-laga bahu jalannya. Dalam hati aku terus memaki-hamun si bapa tolol tu. Isterinya juga tolol.

Opps maaf. Sebelum tu, 'ciwi' itu adalah loghat orang utara terutamanya orang Kedah yang bermaksud terlalu teruja, terlalu suka dan ada sedikit perasaan ingin menunjuk-nunjuk apabila beroleh sesuatu yang sangat dihajati atau diingini. Begitulah maksudnya lebih kurang. Setiap orang akan ada perasaan seperti ini namun yang penting ialah bagaimana kita mengawalnya. Sebagai contoh 'ciwi', ada orang akan selalu menaiki kereta yang baru dibelinya walaupun ke tempat-tempat yang sangat dekat dengan rumahnya atau ke tempat-tempat tumpuan orang kampung atau sentiasa membasuh kereta barunya itu. Itu adalah orang-orang yang 'ciwi'.

Begitu juga halnya dengan ibubapa yang anaknya masih merah sudah dibawa berjalan-jalan di luar, berpanas berdebu, terdedah kepada bahaya dan sebagainya. Kenapa? Mungkin nak 'memberitahu' orang ramai yang mereka baru mendapat cahaya mata, mereka sudah bergelar ibu dan bapa, anak mereka comel atau apa saja. Pada aku, itu adalah tindakan yang bodoh, baik si bapa atau pun si ibu. Kedua-duanya bodoh dan 'ciwi'.

Kita boleh memahami perasaan pasangan yang berkahwin yang baru mendapat anak bagaimana, seronok. Kita juga faham bagaimana perasaan kasih dan sayang pada anak kecil tersebut. Tapi dalam waktu-waktu begitu, waktu-waktu si anak masih merah dan lemah, yang baru tiga empat bulan usianya, biarlah dia di rumah dan dijaga dengan baik. Tak usahlah dedahkannya terlalu awal dengan persekitaran yang kotor dan bahaya.

Aku pernah melihat ibubapa tolol membawa anak yang masih kecil ke stadium menonton perlawanan bolasepak, pernah melihat ibubapa tolol membawa anak yang masih merah lemah ke pawagam, ke pasar malam, ke pusat membeli-belah, bazar ramadhan dan terbaru ke tempat yang penuh sesak untuk berbuka puasa. Sambil tersenyum aku berkata dalam hati, "si bapa/ibu begitu teruja untuk memberi pengalaman hidup kepada si anak".

Tapi aku juga harus bersikap adil. Mungkin tidak ada sesiapa yang ingin menjaga bayi mereka jika mereka keluar rumah, tidak ada pengasuh atau penjaga. Ya betul. Tapi jika begitu halnya, tak usahlah menonton perlawanan bolasepak di stadium atau menonton wayang berdua buat sementara waktu, si bapa pergilah pasar malam, membeli-belah, bazar ramadhan seorang diri saja dulu buat sementara waktu. Dan si ibu menjaga bayi dengan sebaik mungkin di rumah. Biarlah bayi tersebut besar dan kuat dahulu seiring dengan usianya tujuh lapan bulan mungkin, waktu itu bolehlah didedahkan dengan dunia luar.

Aku hanya boleh menulis dan luahkan pendapat aku kerana aku belum mengalami situasi begitu, aku belum ada anak dan bergelar ayah. Tapi apa yang pasti, aku ada prinsip dan had-had yang ditentukan berhubung soal ini. Siapa yang tak suka bergelar ayah/ibu, mendapat anak dan siapa yang tak sayangkan anak, kan? Ilmu keibubapaan itu sangatlah penting, carilah dan pelajarilah ia sebanyak mungkin.

Moshuchi Kata : Aku tak mahu menjadi bapa tolol hehehe...

Thursday, August 12, 2010

Selamat Menjalani Ibadah Puasa 1431

Ramadhan kembali lagi. Bulan penuh keberkatan kepada seluruh umat Islam. Bulan yang dilimpahi segala rahmat dan dibuka segala pintu keampunan dan kenikmatan. Semoga kita tidak melepaskan peluang; menginsafi, perbaiki diri, memohon ampun segala dosa nista, mengukuhkan ketaqwaan, meningkatkan iman, perbanyakkan amal jariah dan kebaikkan.

Selamat menyambut bulan Ramadhan pada tahun ini.

Moshuchi Kata : Pesta makanan juga telah bermula, di mana kita? Fikir-fikrkan...

Monday, August 02, 2010

Aku Tinggal Bersama Labah-Labah

Aku tinggal bersama labah-labah. Ya betul. Kami tinggal bersama, tapi hanya aku sorang saja yang kena bayar sewa rumah. Huhh tak aci sungguh. Tapi takpalah, sebab aku tak perlu tanggung makan minum pakai diorang. Ntah dah berapa puluh ekor pun aku taktau, malas nak kira. Aku sibuk. Diorang takpalah, tak kerja dan sibuk macam aku.

Ini semua Rosli punya pasal. Dulu aku tinggal dengan dia. Tapi dia dah tinggalkan aku sorang-sorang. Huhh kesian kat aku. Aku perlukan teman serumah. Tapi bila dah ada labah-labah ni, bilik lama Rosli tu aku berikan untuk labah-labah duduk hehehe. Sebelum ni aku taknak kawan ngan diorang..halau-halau diorang juga. Tapi diorang ni tak putus asa, masih nak berkawan dengan aku. Jadi apa salahnya biar je diorang duduk dengan aku. Bilik Rosli pun kosong. Takpe aku tak berkira sangat.

Lagipun aku kesiankan diorang ni. Takdak tempat nak tinggal barangkali. Bagus jugalah, dapat diorang makan nyamuk-nyamuk dalam rumah aku tu. Lagi satu aku teringat cerita ustaz dulu, katanya tak boleh bunuh labah-labah sebab diorang ni menyelamatkan Nabi Muhammad S.A.W dulu ketika baginda bersembunyi dalam gua Thur bersama Saidina Abu Bakar, setelah dikejar oleh tentera-tentera Quraisy. Labah-labah lah yang tutup pintu gua tu dengan sarang-sarang mereka.

Lagi pula, sepanjang aku tinggal dengan diorang ni, tak pernah diorang menyusahkan aku. Diorang buat hal diorang je. Jadi aku pun tak kisah sangat. Cuma ada yang lain ni yang buat aku hangin. Ni menatang cicak ni yang selalu menyusahkan aku. Bayangkanlah, berak pandai tapi tahik dia aku pulak yang kena cucikan. Memang cilaka cicak ni. Aku pun selalu saja membunuh menatang cicak ni dengan lastik getah gelang. Aku tidak ada rasa belas kasihan lagi dengan cicak ni, memang aku akan bunuh dan sentiasa mencari peluang untuk membunuh mereka-mereka ni. Tapi pandai menyembunyikan diri tu, menambahkan geram aku.

Cicak boleh dibunuh kerana mereka-mereka ni adalah binatang yang dilaknat Allah S.W.T sehingga hari kiamat. Ada ke patut menatang cicak ni nak membunuh Nabi Ibrahim A.S. Memang patut la kena laknat. Begitu juga ular. Nak patuk Nabi Muhammad. Akhirnya kedua-dua mereka menjadi binatang yang dilaknat Allah hinggalah hari kiamat. Jadi aku tak akan didakwa kerana selalu membunuh cicak di rumah.

Sebenarnya ada kisah-kisah binatang yang tercatit dalam Al-Quran. Macam-macam termasuklah si baghal (keldai) tu. Macam si kawan serumah aku labah-labah ni, kisahnya ada tercatit dalam Surah Al-Ankabut. Surah dia la tu. Hebat kawan serumah aku ni hehehe. Kalaulah labah-labah ni boleh makan cicak kan bagus.

Satu lagi menatang yang selalu menyusahkan aku, mengganggu ketenteraman aku kat rumah ialah tikus. Ada selai dua baju aku yang dia dah geret (gigit). Memang sial betul. Aku kalau jumpa atau ada peluang memang akan bunuh tanpa belas kasihan. Kekejaman itu juga tidak akan didakwa. Selamat aku.

Dalam Islam dan Al-Quran ada menyebutkan bahawa terdapat lima (5) jenis haiwan yang boleh dibunuh iaitu ular, tikus, anjing hitam, gagak dan helang. Ini bukan bermakna Islam menggalakkan kita bertindak zalim terhadap binatang-binatang ini tetapi ada kisah-kisah disebaliknya (aku masih mencari apakah kisah-kisahnya. Korang nak tahu cari dan bacalah sendiri). Manakala cicak dan ular pula adalah binatang yang dilaknat Allah sehingga hari kiamat.

Hehehe..selamat korang wahai kawan serumah. Mungkin ada orang yang tak bersetuju aku berkawan ngan korang. Aku pemalas kata mereka, mungkin. Tapi aku tak peduli, aku tak kisah. Asalkan korang jangan ganggu aku, menyusahkan aku sudah. Korang duduklah sampai bila-bila pun. Tapi kau cicak, aku akan buru korang sampai bila-bila pun.

Moshuchi Kata : Hooiii cicak, aku pernah tengok korang beromen dalam rumah aku..memang sial la korang nih...

Kemerdekaan

Selamat datang bulan ogos..bulan kemerdekaan Malaysia, yang akan diraikan pada penghujung bulan nanti. Sepatutnya semalam aku tulis tentang entri ini, tapi 1 ogos aku berada di daerah Padang Terap atas urusan kerja. Sudahlah sekarang jarang-jarang dapat luangkan masa nak menulis. Kerja agak banyak. Tapi itulah kerja namanya, rezeki aku buat makan minum hari ini dan untuk berpuluh tahun lagi sebelum bersara.

Berada di sebuah daerah yang jauh dari kesibukan bandaraya Alor Setar, aku dapat mengenali berbagai bentuk dan rupa, cara dan personaliti manusia. Manusia yang berstatus luar bandar, miskin, biasa-biasa, serba sederhana (kekurangan). Kadangkala geli hati, tertawa, tersenyum dan tertarik dengan telatah mereka. Adakalanya pula timbul perasaan hiba dalam diri. Jurangnya sangat jauh. Pernah aku berasa seperti tak terkejar ketika berada di tengah-tengah metropolitan, dan di sini pula aku merasakan seperti kembali berpuluh-puluh tahun ke belakang. Jurang perbezaan pembangunan dan pemikiran mereka adalah seiring.

Apapun, mereka tetap rakyat yang merdeka. Teringat kata-kata seorang profesor (bekas guru aku di UM dulu) ketika bersama beliau beberapa hari lalu, "negara maju lain dah beratus tahun 'terbentuk', tapi kita baru 53 tahun. Masih terlalu mentah".
Akmal, mungkin hang sangat memahami maksud entri ini.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-53. Jom kibarkan jalur gemilang.

Moshuchi Kata : Dah siap2 dengan dua helai bendera besar...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.