hijrah itu perjuangan..hijrah itu pengorbanan..hijrah itu persaudaraan..hijrah membawa perpaduan. begitulah sedikit sebanyak yang aku masih ingat tentang lirik lagu hijrah (lagu sempena maal hijrah kalau tak silap, aku lupa).
apa maksud hijrah? pemahaman mudahnya, hijrah bermaksud berpindah ke suatu tempat yang lain. mengapa berpindah? tentulah ada sebab-musababnya, dan yang utamanya adalah kerana tempat baru yang ingin dituju itu adalah lebih baik daripada tempat yang ditinggalkan (tapi tidak semua tempat yang ditinggalkan itu ada cacat celanya).
hijrah juga membawa maksud berubah. bukan sahaja berubah dari suatu tempat ke tempat yang lain, tetapi berubah dari sesuatu perkara yang tidak baik yakni jahat kepada perkara yang baik atau lebih baik. perubahan sikap, perangai, cara hidup dan sebagainya ke arah yang lebih baik dan diredhai juga adalah suatu hijrah.
manusia berhijrah kerana ingin mencari sebuah kehidupan yang lebih baik, mencari kejayaan baru, mencari peluang-peluang hidup yang lebih luas, mencari pengalaman baru, mencari kenalan baru dan sebagainya yang menuntut serba baru untuk dihadapi. namun manusia sanggup berjuang..sanggup berkorban.
aku akan berhijrah sedikit masa lagi. beberapa hari lagi..insyaAllah.
ya, aku akan berhijrah. berhijrah kerana tuntutan kehidupan yang semakin luas dan kompleks, kerana untuk mencari pengalaman baru, kerana ingin mencari peluang-peluang yang lebih baik dalam kerjaya atau kehidupan dan tentunya kerana ingin berkorban. tanpa pengorbanan hijrah tak mungkin akan berlaku, biarpun pengorbanan itu kadangkala sekecil cuma namun tetap memberi kesan.
banyak contoh hijrah yang boleh dijadikan pedoman. hijrah yang paling agung tentulah berhijrahnya junjungan besar nabi muhammad s.a.w dan rombongan umat islam lain ke madinah al-munawwarah dari kota mekah al-mukarramah. inilah antara pengorbanan besar nabi muhammad yang mana baginda terpaksa meninggalkan kota tanah airnya, kota yang dicintainya semata-mata untuk mencari suatu keadaan/suasana yang lebih baik dan terjamin untuk meneruskan kehidupan serta meneruskan perjuangannya menyebarkan syiar islam.
malah dalam hidup aku sendiri juga, aku boleh mengambil beberapa contoh hijrah yang terbaik.
pertamanya, hijrahnya keluarga aku dari negeri kedah ke negeri pahang pada tahun 1990. waktu itu usia aku baru 10 tahun, tapi aku dapat merasai bagaimana peritnya kehidupan kami di bumi jelapang padi. ayah hanya memiliki tanah bendang sekangkang kera cuma, diusahakan pula secara bergilir-gilir dengan adiknya (pakcik aku). akhirnya dengan berat hati ayah berhijrah ke tanah darul makmur, pahang.
berkat di tanah yang makmur, ayah kini mempunyai tanah bendang yang luas, tanah kebun yang subur dan mudah untuk mencari makan samada di tanah mahupun di laut. tapi sebelum mengecap semua itu, bertahun jugalah ayah bertungkus-lumus bekerja keras merebahkan hutan menjadi ladang, meratakan tanah menjadi bendang. aku turut terlibat dan turut merasai bagaimana susahnya untuk mencari kehidupan yang lebih baik. dengan segala usaha pedih jerih itulah, hasilnya dapat aku bawa sehingga ke universiti. kini ayah mampu tersenyum menghabiskan sisa-sisa usianya. jika dia tidak berhijrah dahulu, aku tidak dapat bayangkan bagaimana kehidupan kami kini.
keduanya, contoh hijrah semasa aku di universiti malaya. aku diterima memasuki universiti dan ditempatkan di kolej tun ahmad zaidi, kolej 10. untuk tahun pertama di universiti, itulah rumah aku, itulah kolej yang terbaik buat aku. aku selesa, gembira dan berjaya di kolej tersebut. tapi apabila memasuki pasukan palapes, aku perlu/diwajibkan berpindah ke kolej 5 iaitu kolej bagi pelajar-pelajar palapes juga merupakan kolej sukan di universiti malaya. aku berbelah-bahagi, mahu atau tidak mahu. akhirnya dengan berat hati aku berpindah juga ke kolej 5 dan meninggalkan kolej 10.
rupanya di kolej 5, kehidupan aku sebagai pelajar lebih berjaya, lebih menyeronokkan. aku dapat mengikuti latihan palapes dengan baik dan cemerlang, dapat aktif dalam sukan dengan mudah sehingga bukan sahaja mewakili kolej 5 dalam sukan universiti malah mewakili universiti malaya dalam sukan antara universiti-universiti malaysia. bidang ko-kurikulum aku di kolej 5 selama 3 tahun sentiasa berada di kemuncaknya. berkat berhijrah ke kolej 5 akhirnya aku berjaya menamatkan pengajian sarjana muda dengan cemerlang, berjaya menamatkan latihan palapes dengan jayanya dan ditauliahkan pangkat leftenan muda oleh yang dipertuan agong dan mempunyai kehidupan kampus yang cukup manis.
itulah antara contoh hijrah yang mencorak kehidupan aku. untuk berhijrah memang sesuatu yang menyedihkan dan memerlukan suatu pengorbanan. tapi aku selalu percaya bahawa hijrah akan sentiasa membawa kebaikkan, membuka dimensi baru dalam kehidupan malah mematangkan diri kita dalam meneruskan kehidupan ini.
kita sebagai manusia sentiasa menginginkan sebuah kehidupan yang terbaik. untuk itu, kita tak mungkin akan terlepas daripada berkorban, berjuang, berusaha dan berhijrah.
moshuchi kata : kalau ada sumur di ladang, boleh kita menumpang mandi....
5 comments:
yaaaa... mari mari.. mari berhijrah ke sini.. tak sabar aku nk buli! ahahaha.. cpt sket msuk sini... sian staff2 ko keje byk.. =p
huhh...kenapa aku selalu dibuli oleh wanita??? hehehe...
cuba cakap kat aku, tempat keja mana yang tak banyak keja??? huhh...
sume tempat keje banyak. just kene environment yg bes baru bes keje :)
hahaha habih la Momo kena buli dgn Ina! kau dah sampai putra tu jgn lupa jenguk2 shah alam
selamat kembali :)
Post a Comment