Thursday, February 16, 2012

Catatan BALI : Hari Pertama & Kedua

Bali. Cukup terkenal sebagai antara tempat/pulau pelancongan menarik di dunia. Rasanya tidak perlu promosi yang berlebihan, Bali sedia diketahui masyarakat seantario dunia menerusi bayu-bayu lautnya sahaja yang menghembusi ke seluruh arah benua.

Aku dan isteri juga tidak ketinggalan. Minggu lepas, kami berdua berpeluang bercuti ke sana selama 4 hari 3 malam. 2 hari dikhaskan sepenuhnya untuk berjalan-jalan makan angin/melancong. Sebetulnya kami pergi pada September 2011 lalu (ketika isteri masih lincah hehe) tetapi disebabkan masalah teknikal, tertangguh beberapa bulan. Apapun kami bersyukur kerana tercapai juga hasrat hati untuk bercuti ke sana, termasuk juga baby yang sudah 4 bulan dalam kandungan tu (dulu plan taknak bagi dia ikut hehehe..)

Di sana kami menggunakan khidmat pemandu pelancong iaitu saudara Esa dari Drivers with Distinction. Ternyata ianya berbaloi dan kami sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh lelaki 30-an tersebut. Beliau sangat baik, ramah, membantu dan mahir tentang selok-belok pulau tersebut. Tanyalah apa saja (dah itu pun kerjanya kan hehehe).

Dari KLIA kami terbang pada pukul 3.30 petang dan sampai sekitar pukul 6.15 petang di lapangan terbang Ngurah Rai, Denpasar. Dalam kapal terbang taklah bosan sangat sebab aku melayan filem hindustan lakonan Salman Khan bertajuk Bodyguard hehe melalui skrin kecil ala-ala iPad yang disediakan di setiap belakang tempat duduk. Hebat. Tapi masa balik takdak dah kemudahan tu sebab kapal terbang model/Boeng kelas lama yang tempat duduknya berwarna-warni tu.

Sampai saja aku ambil teksi terus ke rumah penginapan di Taman Sari II Cottage. Malamnya kami cuma berjalan-jalan santai menyusuri jalan di tengah kota Kuta yang suasana jalannya ada la sedikit ala-ala jalan di Jalan Telawi, Bangsar atau jalan di Pantai Chenang, Langkawi. Kemudian lepak kejap di Discovery Mall (mall yang terbesar di Kuta katanya) sambil menghirup bayu Lautan Hindi dari anjung mall. Pastu balik ke rumah penginapan yang hanya tak sampai 1000 langkah pun hehehe.
-------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari kedua (hari pertama program makan angin), seawal pagi kami memulakan perjalanan ke Tanah Lot iaitu tempat di mana terletaknya kuil-kuil yang dibina di cenuram batu laut atau batu tunggul di tepi laut. Agak ramai juga manusia di sana dan kebanyakannya adalah pelancong domestik. Kemudian kami bergerak pula ke Desa Jatiluwih (dalam bahasa Bali Jati + luwih bermaksud 'sangat mengagumkan') iaitu kawasan di mana terdapatnya tanaman padi teres yang paling besar/luas di Bali.




Di Jatiluwih, hujan turun renyai-renyai menambahkan lagi kesejukan yang sememangnya telah tersedia menggigit kulit kami. Dah puas menikmati panorama keindahan padi bukit yang berteres-teres, kami menuju pulak ke daerah Bedugul iaitu kawasan di mana terletaknya dua buah tasik iaitu Tasik Buyan dan Tasik Tamblingan atau dipanggil tasik berkembar. Sambil tu singgah di pasar Candikuning iaitu tempat penjualan buah-buahan terbesar. Aku beli la buah strawberi sepaket untuk isteri, manis rasanya tapi buahnya tidaklah se'tampan' strawberi di Cameron Highland, Pahang hehehe.








Di pinggir Tasik Buyan, terdapatnya kompleks kuil Ulandanu yang mana beberapa buah kuil termasuk yang dibina di atas pulau kecil dalam tasik menarik perhatian kami. Tasik agak tenang tapi paras air sedikit tinggi dan tak boleh untuk berjalan ke pulau kecil tersebut. Di sini cuaca sejuk semakin melahap-lahap menggigit kulit kami. Setelah aku buang air kecil di tandas awam dengan bayaran beribu-ribu rupiah, kami meneruskan perjalanan.








Destinasi selanjutnya adalah ke Desa Batubulan untuk menikmati hebatnya Tarian Barong dan Keris. Tarian barong menggambarkan pertarungan di antara kebaikan melawan kejahatan. Barong adalah makhluk mithologi kebaikan dan Rangda adalah makhluk jahat. Layanlah kami lebih kurang sejam setengah persembahan tersebut. Seronoknya bila tengok tarian oleh dua gadis cantik meliut-liut. Barongan ni macam tarian singa masa Tahun Baru Cina pun ada atau macam tarian opera Cina pun lebih kurang juga. Cuma dalam tarian ni ada juga tarian sekumpulan lelaki yang menikam-nikam badan mereka dengan keris, namun tak menembusi kulit atau mencederakan badan. Hebat ilmu hangpa na hehehe.








Selesailah program makan angin untuk hari pertama. Kami balik ke rumah penginapan dan sampai pun dah hampir senja. Malamnya ingat nak keluar jalan-jalan lagi tapi badan letih sangat. Layan sinetron (banyak gila siaran sinetron) kejap pastu dua-dua 'hanyut'.


bersambung...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.