Friday, April 27, 2012

Adakah Anda Anak Derhaka?

Setiap pagi macam biasalah, aku akan melayan celoteh telatah 3 orang DJ popular kat Sinar FM tu. Kadang-kadang boleh tergelak sorang-sorang dalam kereta.

Tapi dalam perjalanan ke pejabat pagi tadi, hati tersentuh bila ada pemanggil seorang ibu menelefon ke konti. Si ibu tak dapat menahan sebak dan menangis kerana mengenangkan nasib yang tidak dipedulikan anak. Menurutnya, sudah beberapa lama anaknya tidak balik ke kampung menjenguk, sedangkan dia pula mengalami sakit jantung dan akan menjalani pembedahan di IJN tidak lama lagi. Si ibu dalam tangisan merayu kepada anak supaya pulang kerana beliau bimbang sekiranya tidak sempat berjumpa dengan anaknya lagi.

Para DJ yang kepala gila-gila tu juga tersentuh. Mereka ada meminta supaya si ibu menyebutkan nama si anak kerana mungkin dia sedang mendengar. Tetapi si ibu tidak mahu.."saya tak nak sebut nama dia, saya takut di malu..dia berpangkat besar kerja di Putrajaya. Saya tak mahu apa-apa dari dia, cuma nak tengok dia sebelum saya mati".

Maha suci Allah. Dalam keadaan begitu pun, si ibu masih menjaga hati anaknya, tetapi si anak? Aku juga tersentuh dan fikiran cepat-cepat melayang kepada emak dan ayah di kampung. Walaupun tidak tahu siapakah anak si ibu tadi; lelaki atau perempuan, tua atau muda..aku tidak mahu menjadi seperti dia.

Aku masih ingat kata-kata seorang ustaz, bukan saja mengeluarkan perkataan hahhh atau huhhh sudah mengundang dosa malah membuatkan air mata ibu bapa jatuh disebabkan perkara yang menyakitkan hati mereka juga amat besar dosanya. Anak derhaka jadinya. Mohonlah keampunan dari mereka sekarang sebelum terlambat.

Menanti kepulangan anak...


Doa ibubapa terutama ibu sangatlah makbul...
Jangan tunggu sehingga saat ini tiba baru kita nak sedar...
Segalanya sudah terlambat. Jangankan masuk, bau syurga pun kita tak berhak...

Jadilah kita sebagai anak yang derhaka..
Aku percaya dan yakin, kejayaan kita hari ini adalah kerana doa dan restu, berkat dan syafaat oleh ibubapa. Dan juga yakin bahawa balasan menderhakai ibubapa akan diterima terus di dunia ini selebihnya di akhirat. Banyak contoh sudah boleh dilihat di sekeliling kita. Sebelum terlambat, insafi diri dan jadilah anak yang soleh/solehah.

* tambahan.. Selain jangan derhaka kepada kedua ibu bapa, seorang isteri juga jangan derhaka kepada suami. Suami lah syurga bagi seorang isteri.

Moshuchi Kata : syurga itu di bawah telapak kaki ibu...

Friday, April 20, 2012

Pakar Parkir


Sepupu perempuan sebelah isteri aku baru-baru ni ada bagitau yang dia gagal ujian JPJ untuk mendapatkan lesen kereta. Katanya cuma ujian nak parkir je yang gagal, ujian lain semuanya lulus. Jadi terpaksalah dia mengambil ujian tersebut sekali lagi lepas ni..cuma ulang ujian parkir tu saja.

Teringat masa aku nak ambil lesen kereta beberapa tahun dulu, memang ramai yang gagal disebabkan ujian parkir. Masa tu siap ada beberapa tiang kecil lagi sebagai panduan atau tiang ukuran untuk masuk petak parkir. "Biar sama dengan tiang no. 7..." Teringat lagi kata-kata cikgu memandu aku dulu hahaha. Parkir melalui belakang atau masuk 'bontot' kereta dahulu.

Yang peliknya sekarang ni kenapa ramai sangat orang yang 'gagal semula setelah mendapatkan lesen atau lulus' ujian memandu? Kalau tak percaya cubalah tengok gambar-gambar ini.

Atau apakah mereka punya satu tabiat iaitu 'takpelah' atau 'lantaklah'?? Perangai atau tabiat ini sangatlah buruk kerana pelakunya (mesti) menyedari yang tindakannya adalah salah tetapi tidak mempedulikannya. Tabiat seperti ini harus dibuang atau diubah.

Paling buruk kalau tindakan itu akan menyusahkan orang lain pula.

Moshuchi Kata : lesen terbang ke..??

Wednesday, April 18, 2012

Tangkap Lauk Di Depan Rumah

Kampung aku merupakan sebuah kampung di pesisir pantai Laut China Selatan. Rumah keluarga aku pula mengadap laut yang luas. Jadi rezeki atau sumber protien dari isi perut laut ini sememangnya melimpah ruah jika berusaha mendapatkannya. Apatah lagi jika tibanya sesuatu musim 'berpestanya' udang, ketam, kepah dan pelbagai jenis ikan seperti gelama, belanak, sembilang, bawal dan banyak lagi. Maka seisi kampung malah manusia dari luar juga akan berpesta di pantai kampung aku. Rezeki Tuhan sama-samalah kita nikmati.

Baru-baru ini udang putih dan udang harimau naik berpesta di pantai. Mungkin juga 'berdemonstrasi' kerana terpengaruh dengan situasi politik negara hari ini hehehe. Jadi ketika balik kampung hari tu, sempatlah juga aku menikmati manisnya udang-udang segar ini. Terlupa nak bagitau, semua hasil laut ini ditangkap menggunakan pukat tarik saja. Tarik dengan ayah dan adik-beradik. Kalau nak merasai pengalaman menarik pukat, jom ke kampung aku.

Inilah hasilnya. Sekadar untuk makan sendiri.

Moshuchi Kata : teringat menarik pukat dengan ayah waktu tengkujuh..ombak besar rumah.

Monday, April 09, 2012

Menguji Ketahanan Gegendang Telinga di F1 2012

25 Mac lepas sempat la juga aku pergi tengok perlumbaan Formula 1 di Litar Sepang. Tahun ni tak dapat pergi dengan isteri sebab tak sesuai untuk yang lagi 'sorang' kat 'dalam' tu. Gegendang telinga kami dah okey takde masalah dengan bingitan enjin-enjin kereta F1 tapi tak bagus untuk yang kat dalam perut tu. Jadi si isteri pun tak pergilah..kesian dia. Tahun depan la kita pergi lagi okey.

Jadinya, aku pergilah dengan rakan-rakan yang semuanya pertama kali pergi tengok F1. Seronok sangat tengok gelagat diorang. Ada sorang tu berkata "uihhh tak tahan dah telinga aku nih..." Hahaha baru tahu. Ini belum dengar bunyi bingit MotoGP lagi.

Seronoknya tahun ni Malaysia ada 3 pasukan iaitu Caterham (Air Asia/Tony Fernandes), Lotus F1 (Proton) dan juga Mercedes AMG Petronas (Petronas). Walaupun tak menang podium tapi pasukan-pasukan Malaysia tetap hebat.

Perlumbaan mulanya berlangsung dalam hujan renyai-renyai, tapi terpaksa dihentikan sebabnya hujan semakin lebat. Sejam jugalah menunggu. Akhirnya perlumbaan di atas litar lembab memang best tengok. Kalau MotoGP lagi best tengok diorang 'lipat'.

Sangat best petang tu. Terima kasih buat isteri tercinta.


Pasukan Caterham (Air Asia)


Pasukan Lotus F1 (Proton)


Pasukan Mercedes AMG Petronas (Petronas)


Pasukan Red Bull pun garang juga...

Sang juara..Fernando Alonso dari pasukan Scuderia Ferrari. Memang laju...

Dua 'menatang' ni patutnya parking la kat tempat lain, mencacatkan pemandangan je...


Aku n the gangs...

Moshuchi Kata : Gegendang telinga dah lali...

Tuesday, April 03, 2012

Peribahasa Bulan Ini

Segmen Peribahasa kembali lagi. Ermm agak lama entri Peribahasa ni tak ditulis. Harapnya selepas ni segmen (hehe segmen konon..macam rancangan tv la pula) Peribahasa akan ditulis setiap bulan.

Peribahasa bulan ini aku akan ambil daripada keluarga Pepatah. Sebelum tu, untuk pengetahuan semua, Peribahasa adalah tergolong dalam Bahasa Kiasan yakni ungkapan-ungkapan yang maknanya tidak boleh diketahui daripada makna perkataan itu sendiri ataupun daripada susunan tatabahasanya. Peribahasa pula dipecahkan kepada 4 keluarga iaitu Simpulan Bahasa, Perumpamaan, Pepatah dan Bidalan.

Jadi, Peribahasa (Pepatah) kali ini adalah :-

Hangat tiada berapi, sejuk tiada berair
Orang jahat walaupun diberi kesenangan, kalau ada peluang akan mengulangi perbuatan jahatnya.

Hanya air dingin yang dapat memadamkan api
Kata-kata yang lemah lembut dapat menyejukkan hati yang sedang marah.

Hari baik dibuang-buang, hari buruk dikejar-kejar
Masa ada kesempatan dibiarkan berlalu, bila tiada baru tergopoh-gapah.

Begitulah, salah satu keistimewaan Bahasa Melayu ialah kekayaan bentuk-bentuk bahasa kiasan yang terdapat di dalamnya yang mana kadangkala ia sangat aktif digunakan hari-hari.

Moshuchi Kata : Cintai bahasa kita...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.