Wednesday, June 20, 2012

Selamat Hari Bapa, Terima Kasih Ayah.

Ahad lepas 17 Jun 2012 adalah Hari Bapa. Jadi aku ingin dedikasikan satu entri sempena hari tersebut untuk bapa (aku panggil Ayah) aku.

Tahun ni umur ayah aku 68 tahun sudah. Semoga dia terus sihat dan kuat untuk terus bekerja, bukan untuk kami anak-anaknya tapi untuk dirinya sendiri. Terus 'bekerja' untuk memperbanyakkan amal ibadatnya. Pada aku, ayah telah menjalankan tanggungjawabnya dengan berjaya sekali dan aku sebagai anak sangat berbangga.

Secara ringkas tentang ayah. Ayah seorang lelaki biasa anak pesawah, anak sulung dari dua beradik, belajar sekolah setakat darjah 3 tu pun tak habis, berhenti sekolah sebab nak jaga emak (tok aku) yang sakit, bekerja 'kuli' sejak usia remaja dan bersawah di tanah tokwan yang sekangkang kera. Di usia mudanya ayah sangat kuat dan gagah, dia kerja 'menanggung padi' (orang Kedah yang senior mesti tau apa itu kerja menanggung padi), padanlah badan ayah pun macam Hulk Hogan, tinggi dan tegap walaupun hitam, hingga sekarang pun ayah masih nak bekerja, berkebun bertanam itu ini memang menjadi pokok hidup di tangan ayah, kalau tak keluar peluh tak boleh duduk katanya, sakit katanya, sekarang berniaga kecil-kecilan sekadar mengisi masa tuanya.

Ayah seorang yang tegas tapi penyayang, susah marah tapi jangan selalu buat dia naik marah, ayah sangat taat dan menghormati tok dan tokwan, begitulah juga diajar kepada kami tentang prinsip hormat-menghormati, walaupun pelajarannya tak tinggi dan terabai, tetapi untuk kami anak-anak dia akan bertetak bergolok bergadai demi pelajaran kami, biar dia tak berpelajaran asalkan anak-anak belajar tinggi, biar dia bodoh tapi anak-anak tidak, ayah pernah pesan katanya "ayah takdak harta nak tinggal, hanya pelajaran saja untuk hangpa kerana hangpalah harta aku". Aku masih ingat, ayah menghantar aku dan adik ke sekolah dengan basikal tua, membawa aku ke hutan, ke bendang, ke laut untuk belajar tentang kehidupan.

Kini ayah telah tua, tapi ayah telah berjaya, anak-anak sampai ke universiti pelajarannya, hebat-hebat kerjayanya, jerih pedih susah dahulu terbalas la jua, bila melihat anak-anak berjaya. Semoga Allah memberi kesihatan dan umur yang panjang kepada ayah, agar lebih dekat diri ayah kepadaNya. Aku (kami) sangat sayangkan ayah.


Ayah aku (kiri) bersama seorang Pak Menakan (bapa saudara).


Teringat lagu "Satu, Dua, Tiga" oleh Aris Ariwatan;

"....Tiga,
lapar dan dahaga,
rela berpayah,
setianya ayah".

"Ayah,
menghantar ke sekolah,
bergunalah ilmu,
bila dewasa".


Juga tidak dilupakan, kepada bapa mentua (abah) aku, dia juga hebat orangnya, berprofil tinggi dalam aspek pengalaman dan kemahiran hidupnya, semoga dia juga diberikan kesihatan dan umur yang panjang olehNya, untuk kami terus berkasih sayang dengannya, untuk dia juga perbanyakkan amal ibadatnya.

Terima kasih ayah. Terima kasih abah.

Moshuchi Kata : tak lama lagi, aku pula bergelar ayah...

2 comments:

Al Hadi said...

Kasih seorang ayah memang jarang terluah dengan kata-kata. Moga panjang umur para ayah sekalian insya Allah :')

azhani said...

rite..=) segala pengorbanan dan susah payah depa, mmg tak kan terbalass selamanya.. *bapakk saya pun buat bendang jgk n semua keja2 kampung di usia persekolahannya*

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.