"Si baju hijau, sedang bertugas..." itu adalah sebahagian lirik lagu Si Baju Hijau yang mengisahkan tentang pengorbanan serta kehidupan anggota tentera. Tapi aku bukan nak bercerita mengenai tentera.
Pun bukan juga untuk mengulas lanjut tentang isi kandungan Bajet 2013 yang dibentangkan semalam oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Secara keseluruhannya Bajet 2013 adalah yang terbaik dan menepati setiap sudut keperluan bagi kesejahteraan rakyat dan memakmurkan negara. Sesuailah dengan temanya Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Rakyat; Sebuah Janji Ditepati.
Antara yang menarik ialah potongan 20% kepada peminjam-peminjam PTPTN yang menyelesaikan hutang pinjaman pendidikan mereka secara sekaligus manakala potongan 10% bagi yang membuat bayaran secara berkala dengan rekod baik. Begitu juga perkara-perkara lain yang bersangkutan dengan 1Malaysia; BR1M, PR1MA, KAR1SMA, Klinik 1Malaysia dan banyak lagi yang kesemuanya memberi kelebihan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat terutamanya yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Ucapan terima kasih kepada PM juga kerana memberi bonus satu setengah bulan gaji kepada penjawat awam dengan tiga kali bayaran. Sekali sudah selesai sebelum Aidilfitri lalu dan ada dua kali lagi pada Disember dan Januari 2013 nanti. Ia sangat bertepatan kerana waktu itu adalah waktu sesi persekolahan dibuka. Tentulah ia meringankan sedikit beban kepada ibubapa bagi mempersiapkan keperluan anak-anak memasuki sekolah. Janganlah ada pihak yang merasakan bonus tersebut terlalu besar bagi penjawat awam kerana ada pihak-pihak lain yang pernah merasai bonus yang berbulan-bulan banyaknya.
Kata taknak ulas lanjut pasal Bajet 2013, tapi panjang juga tulis hehehe. Okey, apa yang aku nak ketengahkan dalam entri ini ialah tentang tema atau warna baju Melayu yang dipakai oleh PM dan TPM. Perkara ini sememangnya menarik perhatian aku. Baju Melayu PM yang berwarna hijau tua itu cukup cantik dan nampak beliau sangat segak. Kemudian terlihat pula kepada TPM, beliau juga nampak segak berbaju Melayu berwarna biru tua.
Timbul persoalan di benak fikiran, apakah ini cuma suatu kebetulan atau ada sesuatu maksud yang ingin disampaikan oleh dua tokoh utama negara ini. Bagi mana-mana pemimpin besar di mana pun, soal penampilan dan pemilihan pakaian bukanlah perkara yang remeh-temeh. Soal jenis, warna, gaya dan lain-lain yang berkaitan sangat dititikberatkan agar menepati dengan keadaan, tema atau majlis. Jadi tentulah bukan sembarangan baju atau warna yang akan dipakai oleh PM, apatah lagi yang berwarna hijau seperti ini.
Sebenarnya warna apa sekalipun tidak salah dipakai, cuma dalam situasi ini aku hanya ingin berfikir di luar kotak saja berdasarkan kepada apa yang aku rasa, yang naluri aku berkata. Warna biru tua adalah warna rasmi bagi Barisan Nasional manakala hijau tua pula warna rasmi bagi parti PAS. Dalam politik, soal warna-warna ini juga boleh menjadikan atau mewujudkan suasana kacau-bilau, pertembungan sentimen, provokasi, kontroversi dan sebagainya hanya kerana warna. Tetapi PM dilihat begitu bersahaja dan nampak selesa berbaju hijau. Bukannya apa, kerana ada sesetengah pihak yang sangat jumud dan tipikal bersoal dengan warna ini terutamanya warna hijau.
Bagi aku ini mungkin maksud yang ingin disampaikan oleh PM dan TPM. Sudah sampai masanya semua umat Melayu Islam di Malaysia ini bersatu padu berganding bahu bagi bersama-sama membangunkan agama, bangsa dan negara. Membangunkan agama saja tanpa bangsa atau membangunkan bangsa saja dengan meninggalkan agama, kedua-duanya adalah tidak menjadi bagi umat Melayu di Malaysia. Kedua-duanya harus selari dan setelah berpadu kekuatan Melayu maka mudahlah bagi membangunkan negara. PM dilihat begitu open minded. Ini juga memberi maksud yang beliau bersedia atau berlapang tangan untuk seluruh umat Melayu bersatu dan menjadi kuat.
Gambar PM berbaju hijau bukan baru, malah dalam gambar rasmi beliau yang digunakan di seluruh negara juga beliau mengenakan baju Melayu berwarna hijau, hijau yang sedikit terang. Tapi tetap hijau. Kenapa beliau tidak berbaju Melayu berwarna biru tua? Sedarlah kita, fahamlah kita.
Sudah sampai masanya seluruh umat Melayu Islam di negara ini bersatu dan berpadu menjadi kuat. Sudah lama kita dibuai mimpi yang dicipta oleh musuh-musuh Islam juga oleh kita sendiri yang sedikit demi sedikit telah melemahkan diri kita sendiri. Manakala pihak musuh menanti masa untuk menguasai setelah satu persatu jarum perpecahan disuntik ke dalam diri orang Melayu Islam. Sedarlah, kita hanya tinggal kuasa politik saja yang masih tertinggal, jika ini juga kita hancurkan maka hancurlah Melayu dan Islam di zaman anak cucu cicit kita nanti. PRU13 adalah 'padang peperangan' kita yang terbesar, sedarlah dan jadilah 'tentera' yang terbaik.
Ada reaksi daripada seorang teman berhubung soal baju hijau ni dalam Facebook, katanya "nak orang hijau (PAS) menjadi PM baru ok.." Aku balas "takdak masalah, tapi sebelum jadi PM kena pandai mencari kawan dulu.." Entah dia faham atau tidak, tapi tentunya dia faham maksud aku tu.
Tidak dilupakan, ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari Kementerian Kewangan di atas komitmen dan usaha keras dalam penyediaan Bajet 2013 ini.
Moshuchi Kata : PM juga dilihat suka pakai baju warna pink hehehe