Ketika kejadian yang dianggap maha dahsyat (bagi sesetengah orang/pihak) ini berlaku 11 tahun lalu, aku sedang bersantai-santaian dengan teman-teman di hostel, aras 1 blok E Kolej Kediaman Kelima (Dayasari) Universiti Malaya. Selepas berita tersebut tersebar, melompat kami semua untuk mengetahui kejadian sebenar yang berlaku. Pantas rakan sebilik aku 'on' TV dalam bilik kami (hehe ada TV dalam bilik hostel). Setiap saluran menayangkan berita yang sama siap dengan visualnya sekali. Memang terlopong dan terdiam kami ramai-ramai waktu itu. Terdengar juga bunyi jeritan-jeritan (ada juga bunyi seperti sorakan) kedengaran dari aras-aras lain. Tidak berapa lama selepas itu, keadaan di hostel kembali seperti biasa, tidak ada riuh-rendah lagi. Sebelum masing-masing meninggalkan bilik aku, terdengar berbagai pendapat yang keluar dari mulut mereka..
"Aku tak terkejut, eloklah diorang terima padahnya".
"Hebat..macam filem-filem yang diorang buat sendiri".
"Ermm...betul ke ni orang Islam yang buat?"
"Semua tektik diorang ni, tengoklah apa perancangan diorang lepas ni..habislah Islam"
Memang pun, kejadian itu telah menimbulkan pelbagai reaksi di seluruh dunia, apatah lagi pelbagai persepsi turut mula tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Peratusan paling tinggi tentulah kesalahan dan tanggungjawab tersebut terhumban ke atas bahu Islam. Ekoran kejadian tersebut, Amerika mendapat tiket percuma untuk memusnahkan Afghanistan (kemudiannya Iraq..termasuk situasi tegang di seluruh tanah Arab kini).
Malah sehingga kini banyak kajian dan siasatan berkenaan hancurnya dua tiang Amerika itu menunjukkan dua perspektif atau jawapan yang berbeza. Tiada satu jawapan yang super total. Mungkin pengganas Islam yang bertanggungjawab, tetapi tidak mustahil juga Amerika sendiri sanggup memusnahkan sedikit 'rumahnya' bagi membolehkan mereka 'menguasai tanah-tanah' baru. Aku sendiri tiada jawapan, tetapi melalui pembacaan dan kajian kita boleh memahami sedikit-sebanyak hubungkait dan pertalian ekoran kejadian ini. Apa pandangan anda semua?
Walau bagaimanapun, kejadian tersebut tidak terlalu membuatkan kami 'gila' waktu itu. Reaksi kami masih biasa-biasa saja di hostel. Berbanding dengan kejadian Dewan Tunku Canselor (DTC) terbakar pada tahun yang sama juga kalau aku tak silap, kami melompat terus ke DTC untuk melihat kejadian yang sebenar serta membantu bersama-sama Pasukan Bomba bagi menyelamatkan dewan agung universiti kami. Kami menjadi ramai datang dari berbagai kolej yang ada dalam universiti. Kemusnahan dewan DTC (bahagian dalaman saja) memang membuatkan kami sedih dan sayu. Ada juga yang menangis seperti kehilangan ibu tercinta. Betapa sayangnya kami kepada universiti. Kejadian ini betul-betul menyentuh hati sanubari kami (aku).
Satu lagi kejadian yang menyentuh hati sanubari aku, juga ketika di universiti dalam tahun 2003. Waktu itu kami sedang menikmati makan tengahari di dewan makan sambil setiap TV yang terpasang di dewan makan menyiarkan suatu perhimpunan besar. Apabila kejadian tersebut belaku, kami masing-masing terdiam dan menumpukan sepenuh perhatian. Akhirnya terbayang perasaan sedih dan sayu, juga perasaan kehilangan terpancar di setiap wajah kami. Hati sanubari kami (aku) tersentuh lagi bilamana Perdana Menteri yang disegani menangis seperti budak kecil di atas pentas sambil 'mengundurkan diri'.
Tetapi kejadian 11 September 2001, kami hanya biasa-biasa saja. Di mana anda ketika tarikh dan waktu itu? Perasaan anda bagaimana?
Moshuchi Kata : Amerika dan Israel tidak jauh beribu-ribu batu, hanya berada di selatan tanahair saja...
No comments:
Post a Comment