Wednesday, July 01, 2009

Membuka Pintu Julai

Takde apa nak tulis. Takde idea. Kepala sakit. Banyak kerja. Buka blog cuma nak baca bahan-bahan yang kawan tulis. Tapi kawan-kawan pun sama juga, mungkin bukan masanya berghairah menulis. Semuanya kesibukan barangkali. Bila bersiap-siap untuk balik dan meninggalkan pejabat, teringat hari ni 1 Julai. Apa salahnya tulis satu entri sebagai membuka pintu Julai. Ermmm memaksa walaupun badan agak letih.

Puas aku berfikir, apakah yang istimewanya bulan Julai dalam hidup aku atau yang bersangkutan dengan aku. Ermm takde sangat. Hari-harinya semuanya berlalu seperti biasa, mencukupkan kitaran sebelum Ogos mengambil alih tugas. Julai punya pasal ada satu cerita. Cerita lama kira-kira 22 tahun yang lalu. Aku sendiri sudah tidak ingat adakah peristiwa ini berlaku di bulan Julai. Kecil sangat lagi masa tu. Kecil-kecil pun akulah yang paling tinggi dan berani di kalangan kawan-kawan aku waktu itu.

Kisahnya, aku terjatuh dari julai pokok Keriang Dot sewaktu sedang leka memetik buah-buahnya yang hitam berkilat dan meranum. Agak tinggi juga. Tapi nasib baik aku tidak mengalami kecederaan atau kepatahan tulang-temulang. Tetapi kejadian itu tetap meninggalkan sedikit parut di badan aku. Begitu juga satu lagi peristiwa di mana aku disengat oleh 22 ekor tebuan sehingga dimasukkan ke Hospital Alor Setar. Waktu itu umur aku baru berusia 8 tahun. 2 hari 1 malam juga bercuti di katil hospital. Apa yang terjadi? Ermm, aku dan kawan-kawan berlawan UFO iaitu membaling secara menyereng kulit kepah (UFO kami panggil) yang nipis supaya mengenai sarang tebuan di julai pokok asam jawa. Akhirnya UFO mengena dan kami pun terkena. Padan muka, buas sangat.

Budak-budak kampung sewaktu kecil memang cergas dan lincah. Orang kampung kata buas. Masuk hutan itu, naik bukit ini, terjun paya sana, mandi sungai ini..semua dibuatnya, diterokainya. Berbeza dengan budak bandar, memanjat pokok pun tak pandai apatah lagi nak sampai ke pucuk kelapa atau merangkak ke dasar sungai. Tapi itulah, tidak salah walau di mana kita membesar. Yang penting adakah peristiwa atau pengalaman-pengalaman sewaktu zaman kanak-kanak itu membantu mendewasakan kita. Kadangkala kehidupan yang sukar di waktu kecil memberi kekuatan untuk terus melangkah sehingga hari ini. Namun kadangkala keselesaan sewaktu kecil tidak cukup memberi kekuatan tambahan untuk berdiri teguh apabila dewasa. Orang Melayu lama telah menciptakan sebuah peribahasa yang cukup bermakna, "dibuang ke hutan menjadi gunung, dicampak ke laut menjadi pulau". Itulah yang kita inginkan.

4 comments:

Al Hadi said...

Dibuang ke bukit kiara terus jadi ptd.

Itulah kita

marmalade said...

hahahahah saya sokong dengan hadi =p

budak bandar memang takleh panjat pokok, terjun paya sana, mandi sungai ini sebab paya pun takde, sungai lagilah. and pokok apa nak panjat? bangunan je banyak, naik lif la.

tapi budak bandar juga tidak terkial-kial telefon orang tanya, macam mana nak menyelesaikan masalah teknikal blog ataupun macam mana nak chatting kat gmail. hahahahahahaha.

itulah kelebihan budak bandar =p

Encik Moshuchi said...

PM - bukan dibuang, tapi dihantar ke bukit kiara hehe..sokong.

Sis M - itulah kelebihan budak bandar yang budak kampung sedikit tertinggal. faktor persekitaran dan keadaan. tapi itu sewaktu 1980-an, sekarang jurang itu sudah semakin rapat. di bukit kiara, kedua-dua kelebihan itu bergabung hahaha...

IkraamSuarez said...

budak bandar sudah pandai makan umai dan linut =P

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.