Antara isu terhangat kebelakangan ini ialah isu Pembelajaran dan Pengajaran Subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ini bukanlah isu baru kerana ia telah dikemukakan 6 tahun dahulu, cuma sekarang ia kelihatan semakin membarah ekoran ubatnya masih belum ditemui memandangkan 'para doktor pakar' masih belum membuat kata putus. Ada juga kalangan doktor yang bertelagah sesama sendiri.
Bagaimana tercetusnya idea ini ialah; suatu ketika dahulu mantan Perdana Menteri (Tun M)telah menghadiri suatu tugas rasmi di luar negara dan terperasan olehnya seorang pegawai kerajaan yang aras (standard) bahasa Inggerisnya tidaklah memuaskan (mungkin itulah pada hemat Tun M) sedangkan pegawai berkenaan berkhidmat di kementerian yang akan mencerminkan Malaysia. Jadi, bertitik tolak dari peristiwa itulah timbulnya idea ini. Pada hemat Tun M, bukan sahaja pegawai-pegawai dari kementerian tersebut saja perlu mahir dalam bahasa Inggeris tetapi seluruh generasi muda negara supaya berupaya 'berpencak silat' di peringkat antarabangsa kelak. Itulah kisahnya sekadar sepintas lalu.
Sebenarnya bukan mudah bercakap mengenai 'Melayu' dan hal-hal yang bersentuhan dengan Melayu. Ia perlu diperhalusi sedalam-dalamnya dan caranya juga mestilah sangat berhemah kerana Melayu itu sangat berlemah-lembut serta halus budinya jika kena pada caranya dan cepat pula memberontak jika tidak kena caranya. Itulah Melayu seperti kata Frank Swettenham dalam bukunya mengenai bangsa Melayu "..orang Melayu sangat lemah-lembut dan bersopan santun tetapi boleh juga memenggal kepala di laut..". Begitulah lebih kurang bunyinya.
Mengenai isu PPSMI ini, pada hemat peribadi aku yang kerdil ini ianya tidaklah serumit mana. Cuba kita lihat mengapa ia ditentang? Pada fikiran aku mudah, kerana bahasa kebangsaan sendiri tidak kuat, tidak kukuh, tidak terbela, diabaikan oleh kita semua; pemimpin-pemimpin yang menentukan dasar dan keputusan tidak tegas. Aku tidak merasakan bahasa kebangsaan berada di suatu kedudukan yang tinggi dan dihormati sekarang. Begitu juga adalah wajar (malah wajib) bagi golongan pencinta bahasa ligat menentang. Aku percaya mereka juga faham akan kepentingan bahasa Inggeris dewasa ini tetapi mereka merasakan yang bahasa kebangsaan tidak akan bergerak seiring dengan bahasa Inggeris malah akan jauh tertinggal seterusnya pupus. Mereka bukan menentang pembangunan dan perubahan. Teringat kata-kata Datuk Johan Jaafar dalam tulisannya berbunyi "Orang Melayu cukup bersedia untuk berubah tetapi mereka juga berwaspada..".
Kemudian, mengapa isu ini berpanjangan? Kerana masing-masing (mana-mana pihak pun) tidak mahu kalah dan ingin menang. Tambah buruk lagi apabila ia dipolitikkan oleh parti-parti berhaluan kiri. Ada parti yang sebelum ini langsung tidak endahkan isu bahasa telah beria-ia menunjukkan belang semata-mata untuk menghentam kerajaan, untuk mencapai matlamat politik masing-masing. Bagaimanapun, untuk ke arah kebaikkan bersama, sama-sama menang (win win situation) adalah jalan terbaik. Bagaimana? Adalah bagus jika subjek Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris tetapi dalam masa yang sama subjek lain dalam Bahasa Melayu turut diperkasakan terutamanya Bahasa Malaysia, Kesusasteraan Melayu dan Sejarah. Subjek Sejarah misalnya haruslah dijadikan subjek teras dan wajib di semua sekolah selain Bahasa Malaysia supaya walaupun anak-anak telah mahir berbahasa Inggeris, mereka juga mahir, berbangga dan berpegang kuat pada bahasa kebangsaan serta sejarah negara.
Selain itu, kerajaan juga harus mengambil kira golongan pelajar di luar bandar. Jika hasrat ini diteruskan, kemudahan yang sama yang diterima di sekolah-sekolah bandar juga harus sama dinikmati dan disediakan di sekolah-sekolah luar bandar. Ini supaya proses pembelajaran dan pengajaran akan menjadi seimbang. Tanggapan yang mengatakan pelajar-pelajar luar bandar sukar menerima atau lemah bahasa Inggeris, tidak mampu bersaing dengan pelajar di bandar adalah tanggapan yang sempit. Kanak-kanak walau di mana sekalipun jika dididik dan diasuh sedari kecil lagi, mereka mudah menerima apa pun pelajaran. Orang kampung bukan seperti dahulu lagi "saya petani, anak saya pun akan mengusahakan tanah ni" atau "saya nelayan, bot ini akan menjadi kepunyaan anak saya meneruskannya nanti". Tetapi "saya petani tapi anak saya biarlah menjadi juruterbang" atau "saya hanya nelayan tapi saya ingin melihat anak saya nanti membina bangunan tertinggi di dunia".
Jadi, semua pihak harus memandang ke depan secara positif dan bersama-sama berganding bahu agar kebaikkan dinikmati bersama. Kerajaan jika ingin meneruskan hasrat ini perlulah melakukannya sebaik mungkin tanpa bersikap abai dalam meletakkan taraf bahasa kebangsaan juga di tempat yang tinggi seiring dengan bahasa penting dunia. Ketegasan dalam memelihara keistimewaan bahasa kebangsaan perlulah sentiasa menjadi keutamaan. Ibubapa juga sangat berperanan; jika anak-anak didedahkan dengan bahasa Inggeris di sekolah, bahasa kebangsaan harus tidak dilupakan ketika berada di rumah. Jika bapa bercakap Inngeris, ibu mencelah dengan Bahasa Malaysia, anak-anak boleh menerima kedua-duanya. Kita mahu kanak-kanak yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik di bandar-bandar juga boleh berbahasa kebangsaan dengan baik seperti mana pelajar-pelajar di luar bandar dan begitu jugalah sebaliknya.
Paling penting, walau bahasa apa sekalipun yang kita inginkan, bahasa kebangsaan jangan diabaikan, dilupakan, diperlekehkan. Percaya atau tidak, jika sejak dahulu (sedekad dua yang lalu) bahasa kebangsaan sangat diperkasa, diperkuat, diperkukuh dan berada di kedudukan yang tinggi sebagai bahasa nombor satu negara, penentangan tidak akan wujud dalam isu PPSMI ini. Aku sangat percaya dan yakin.
* aku adalah anak-anak zaman Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia, aku berjaya ke menara gading, di menara gading tertua negara dwi bahasa digunapakai, bidang Anthropology & Sociology 90% dalam bahasa Inggeris menjadikan aku sedikit terkial-kial, namun masih boleh menamatkan pengajian berbekalkan semangat kental. Hari ini, walaupun boleh berbahasa Inggeris, masih memerlukan rakan yang jauh lebih baik bahasa Inggerisnya sebagai sumber rujukan jika timbul kekeliruan.