Monday, June 29, 2009

Perihal Durian : Makan Durian

Ok, mari bercerita pasal durian, raja segala buah. Tapi ada lagi buah yang lebih berkuasa dan berpengaruh dari buah durian (maklumat lanjut sila rujuk Mr. Brokos). Sebab apa dia dianggap raja..sebab dia kuat bersama duri-durinya. Sekarang ni kelihatan banyak orang menjual durian. Di tepi-tepi jalan banyak longgokan durian untuk dijual. Musim durianlah sekarang ni. Makan durian paling best ialah makan kat tepi jalan (macam ayat ulang je hehe) tempat di mana kita beli buah durian tu. Sekarang kan banyak dijual di tepi-tepi jalan. Sebabnya kalau buah tu isinya tak elok, kita boleh tukar yang lain. Lepas tu ada orang tolong bukakan buah durian untuk kita. Lagi, kita tak perlu wujudkan sampah yakni kulit-kulit durian kat rumah kita. Tapi sebelum tu, kena la beli air mineral siap-siap sebelum melantak buah durian kat tepi jalan.

Ini sedikit perihal pasal (aku) makan durian. Aku bukanlah hantu durian sangat pun, tapi bolehlah sikit-sikit. Tengahari tadi, PT aku yang bertugas kat Sik tu bawa 'selori' durian ke pejabat. Buat kenduri katanya. Musim durian kat Sik tengah sakan sekarang katanya lagi. Akhirnya buah-buah durian tersebut berjaya diseludup masuk ke sebuah bilik khas. Tapi baunya menusuk seluruh ruang pejabat. Aku pun apa lagi, durianlah menu makan tengahari tadi. 3 biji yang isi-isinya kuning-menguning berjaya aku habiskan. Sekarang pun masih panas badan. Padan muka.


Individu berbaju kuning bertanggungjawab membawa/membuat pencemaran bau di pejabat

Nak rasa je...

Ermmm sedapnyaaa...

Minggu lepas, aku hentam durian lagi. Kali ni aku sorang-sorang je mengadap durian di rumah. Durian kali ini datangnya dari dusun Kampung Biak, Malau. Durian kampung. Namun paling istimewa ia datang bersama pulut kukus dan santan kelapa manis. Ermmmppp sedap dan nikmat sungguh. Dua biji durian yang besar-besar ulasnya berjaya aku bereskan.

Durian Malau yang enak berkrim


Licin. Sebiji 4 ulas je..tapi best

Awal Jun lalu, ketika selesai suatu mesyuarat penting, durian juga menjadi hidangan. Durian kali ni agak special kerana ia datangnya dari Siam. Seorang staf aku yang perkenalkan. Badannya panjang, ulas besar, sangat manis dan berwarna kuning. Katanya sesuai untuk meraikan hari lahir aku. Cehh. Sebiji saja berjaya aku habiskan tapi seolah-olah makan 4 biji durian kampung. Sedap tak ingat. Akhirnya aku ting tong seketika.

Puas nak habiskan durian Siam ni, bikin kepala ting tong...

Dan ini pula, kisah kira-kira setahun yang lalu. Peristiwa ketika mengikuti modul PBT di Ulu Cheka, Jerantut Pahang semasa DPA. Waktu begini juga kira-kiranya, bulan Jun. Waktu itu Jerantut sedang meriah dengan musim buah durian. Bayangkan di rumah keluarga angkat aku, siang malam dipelawanya makan durian oleh mak dan ayah angkat. Setiap menu masakan mak angkat pulak mesti ada campuran durian. Arrggghhh, masa tu kentut pun bau durian. Tapi masa tu memang nikmat melantak buah durian puas-puas.


12 biji berjaya dihabiskan..memang gila


Sebab asyik menghabiskan durian ayah angkat, akhirnya aku dilelong hahaha...

Inilah kisah makan durian aku. Semua orang suka makan durian. Sikit-sikit atau sangat gilakan durian. Makanlah buah-buahan tempatan.

Menikmati KFC Di Tepi Jalan

Aku suka makan durian (selepas ni aku tulis entri pasal durian). Paling best makan durian ni ialah makan di tepi jalan atau di tempat di mana kita membelinya. Tapi ini lain pula ceritanya, makan KFC di tepi jalan. Bukan tepi jalan sangat la, ala-ala berkelah camtu la. Huhu berkelah di malam hari. Set dinner plate yang dibeli di Suria KLCC berjaya 'diselesaikan' di perkarangan Hentian Duta. Kalau zaman student dulu, pernah juga berkenduri KFC di atas Bukit Cinta, UM sambil melihat neon-neon lampu malam di Bukit Kiara. Apa yang pasti, KFC malam tu sungguh sedap.

Saat-Saat Bersamanya

Walau siang dan malam
saat bersamanya
saat memandangnya
membuat aku bahagia

lirikan matanya
senyuman di bibirnya
sentuhan manjanya
membuat hatiku berbunga

ketika hujan merintik
aku memayunginya
berjalan beriringan
kasih memaut mesra

pertemuan yang tidak dirancang
akan berakhir dengan perancangan
akan aku ikatkannya
dengan kasih dan sayang

saat-saat bersamanya
membuat aku bahagia
membuat aku teruja
menuju hidup yang sempurna

Perihal 24hb.

24hb. sepatutnya adalah hari persidangan yang seterusnya (sebelah malamnya). Kami semua menantikan hari itu kerana persidangan kali ini dijangka dihadiri oleh ramai ahli. Namun segalanya tidak menjadi. Persidangan yang sepatutnya diadakan di Kampung Baru tidak dapat berlangsung seperti perancangan walaupun Mr. Brokos dan Frankie sudah hadir memanaskan bangku tempat duduk. Mesej jemputan dan undangan kepada Sis Marmalade juga tidak sempat dipanjangkan (nasib baik, kalau tak mesti dia hangin satu badan).

Namun awalnya, pada sebelah tengaharinya, kami (aku, Mr. Brokos dan Frankie) telah pun mengadakan pra-persidangan di kedai mamak presint 9 selepas menamatkan taklimat penting dan rasmi di bilik"dalam tanah" bangunan Perdana Putra. Wakil dari Melaka dan Pahang juga turut terlibat manakala wakil Perak tidak dapat hadir. Untuk bersidang pada sebelah malamnya, wakil Melaka tidak dapat hadir.

Persidangan 24hb. yang pada awalnya dijangka meriah akhirnya tidak dapat dilangsungkan. Kita hanya merancang, kan? Aku dan si manis pencatat minit dari Kementerian Pelancongan menghadapi situasi yang sangat sukar dan kritikal pada waktu tersebut sehingga menyebabkan Mr. Brokos dan Frankie berkematu punggung menunggu. Sebarang kesulitan amatlah dikesali dan sejuta kemaafan dipohonkan. Apa yang berlaku pada malam itu tentulah amat dikesali terutamanya Frankie yang akan pergi belayar pada keesokkannya. Persidangan malam itu sepatutnya juga untuk meraikan Frankie yang akan pergi menjalankan tugasnya di tengah lautan.

Kepada Mr. Brokos dan Frankie, aku minta maaf bro. Persidangan-persidangan yang akan datang pasti akan berjalan lancar dan meriah. Mudah-mudahan.

Monday, June 22, 2009

Terima Kasih Ayah

Ucapan terima kasih sering aku ucapkan kepada ayah. Tetapi ucapan terima kasih sempena Hari Bapa lebih bermakna. Aku menelefon abang di kampung, minta untuk bercakap dengan ayah. Ucapan TERIMA KASIH disampaikan. Aku tahu, ayah seperti kebingungan di hujung talian sana. Aku mengerti. Aku merasakan dia juga mengerti. TERIMA KASIH AYAH.

Bersidang di RASTA

Selang beberapa hari selepas bersidang di Bangsar, kami (aku, Brokos dan Frankie) bersidang lagi. Kali ini di Rasta, TTDI pula. Sebabnya Brokos dan Frankie nak hisap shiishaa. Itulah tempat terbaik kata mereka untuk 'menjadi Arab sesat' selain kat Uncle Don, Uptown. Persidangan kali ini lebih meriah kerana turut dihadiri si cantik manis Lovely Fingers dari Kementerian Pelancongan dan Sis Marmalade dari Kementerian Kewangan. Frankie sedikit lewat dan Brokos sememangnya lewat.

Aku memang merancang untuk menjemput Sis Marmalade kerana agak lama tidak bertemu dengan beliau. Sebelum-sebelum ini pun dia kerap bersidang bersama Brokos dan Frankie. Kadang-kadang bersama wakil lain juga. Mulanya jemputan ditolak kerana mengetahui Frankie juga hadir bersama. Berlaku sedikit krisis mungkin. Namun akhirnya Sis Marmalade datang juga, mungkin kerana kesiankan abangnya hehe. Terima kasih. Kepada Frankie, sila selesaikan krisis yang timbul dan jangan selalu wujudkan krisis dengan Kementerian Kewangan.

Manakala Lovely Fingers pula datang bersama aku. Kesempatan ini untuk aku perkenalkan beliau kepada Brokos, Frankie dan Sis Marmalade. Memang seronok, setelah sekian lama hanya bersidang melalui alam maya, akhirnya dapat juga bertemu muka. Brokos paling seronok kelihatannya. Persidangan berjalan lancar. Pelbagai topik dan isu diperkatakan sambil asap shiishaa menerobos lubang hidung Brokos dan Frankie. Aku? Sesekali dengan kepulan asap yang jarang-jarang seperti jerebu dibasuh hujan hehe.

Sis Marmalade tidak lama. Selepas licin sepinggan nasi goreng ikan masin dengan kangkongnya ditolak ke kepala pinggan, dia minta diri berangkat pulang. Kelihatannya seperti keletihan atau juga mengantuk. Maklumlah dia memang jenis yang masuk awal ke dalam sarang. Atau mungkin kerana adanya Frankie hehe. Jangan selalu berkrisis, tak baik. Tapi aku gembira, dapat juga berbicara dengan beliau tentang itu ini setelah sekian lama tak jumpa. Akhirnya Sis Marmalade bersama Kelisa Maroonnya meninggalkan meja persidangan.

Tak lama selepas itu, lampu-lampu di Rasta terpadam. Gelap-gelita beberapa ketika. Kemudian, satu persatu cahaya lilin muncul menerangi setiap sudut. Meja persidangan kami juga disinari sebatang lilin putih. Kelihatan agak romantik waktu itu. Dengan hanya cahaya lilin yang samar-samar, Brokos dan Frankie mula menunjukkan skill menghisap shiishaa. Maka terbentuklah pelbagai aksi; naga puaka, banjir menyapu tanah, jerebu di kaki langit, keretapi arang batu dan sebagainya. Aku turut menikmati shiishaa perasa nenas dan epal itu. Namun kepulan asap yang aku hasilkan tidaklah membanggakan malah memeritkan terowong tekak saja. Selepas beberapa kali penjaga shiishaa datang menukar dan menambah ketulan-ketulan perasa shiishaa, kami pun menamatkan persidangan ketika gelap malam masih yang sama namun tarikh haribulan saja akan bertukar.

Terima kasih kepada Brokos kerana menaja makan minum malam itu. Lain kali taja lagi. Sebelum berpisah, sekeping kenangan terindah sempat kami abadikan. Sayangnya Sis Marmalade tiada. Mungkin masa tu dia dah nyenyak tidur. Kami berpecah ke kereta masing-masing. Frankie dengan Civic yang baru dimandikan di Rasta terbang ke Sungai Besi. Brokos juga hilang dalam pekat malam terbang menuju Jalan Gasing, PJ. Aku dan Lovely Fingers menuju Hentian Duta kerana aku akan tidur dalam bas Transnasional.

Persidangan malam itu sungguh mengasyikkan. Pasti lebih meriah jika lebih ramai ahli-ahli persidangan yang hadir. Mungkin dalam persidangan-persidangan akan datang hasrat itu akan tercapai. Terima kasih kepada Brokos, Frankie, Sis Marmalade dan juga Lovely Fingers.


Bergambar kenangan selepas persidangan; Frankie, Brokos, aku dan Lovely Fingers

Thursday, June 18, 2009

Kita Hanya Merancang

Malam sebelumnya.
B : Esok, tengahari kita lunch kat The Curve. Lepas tu tengok wayang.. lepas tu jalan-jalan kat IKEA, eh?
S : Okay.
Dan pada hari tersebut.
B : Ermm.. pukul berapa? 10 pagi. Awal lagi la. Ermm tengahari la sikit ya?
S : Okay.
Selang beberapa ketika.
B : Urrrff.. dah tengahari.
S : Aahh.. ni dah kira breaklunch ni. Kata nak pegi IKEA.
Selang beberapa ketika lagi.
B : Hahh.. dah petang la.
S : Alaa.. dah lambat. Ni kira minum petang dah ni. Jom la cepat.

Akhirnya, tempat yang dirancangkan ditujui jua. Tetapi hanya melihat bangunan The Curve saja sambil menjeling-jeling biru kuning IKEA. Pintu McD bersebelahan IKEA ditolak cepat-cepat kerana perut dah berkeriuk. Pesanan dibuat dan bayaran dihulurkan. Ermmm..sedapnya burger McD, dah lama tak makan.

Jawapan kepada perancangan awal sebetulnya adalah "petang esok kita makan burger di McD The Curve eh?"

Wednesday, June 17, 2009

Bersidang di Bangsar

Sidang MKN (makan2, ketawa2, ngada2) berlangsung lagi. Kali ini diadakan di Bangsar..tempat biasalah Pelita Nasi Kandar. Aku tak nak cerita banyak pasal ni sekadar memenuhi persefahaman kami malam tu iaitu untuk menulis entri pasal perjumpaan tersebut selain meletakkan gambar latar yang sama. Bagaimanapun aku bersetuju dengan resolusi2 yang telah dikeluarkan oleh wakil dari Selangor (rujuk blog Mr. Brokos). Cuma persidangan ini akan lebih meriah jika hadirnya wakil2 dari Johor, Perak, Sabah, Melaka dan tentunya Terengganu.

Frankie, Brokos & Hilmi

Sebuah Catatan Penghargaan

Mentari mula terbenam di Kuala Perlis
Terbenam sudah...

Cerita ini mungkin agak tertinggal, tapi aku ingin mencatatkannya juga sebagai sebuah penghargaan buatnya. Bukan sengaja tertinggal tetapi sebenarnya aku meletakkan cerita ini di dalam hati dan jiwa, bukan di blog ini.

Malamnya, ketika menjelang hari lahir aku yang ke-29, dia memandu pulang walau dari kejauhan ratusan kilometer jaraknya. Di pertengahan jalan ketika hari sudah berganti, dia mengucapkan ucapan selamat buat aku. Aku sangat gembira. Siangnya pula di pagi hari, dia sudah berada di depan rumah aku. Mengejutkan.

Aku sangat-sangat menghargainya. Masa diluangkan bersama dan keduanya sangat gembira. Panggung alam yang terbentang luas ketika mentari menutup tirai siang kami tatapi bersama. Menikmati terbenamnya mentari adalah idamannya, dan aku penuhi. Sesungguhnya aku ingin sentiasa melihat dia gembira sebagaimana dia telah mengembirakan aku.

Sebuah penghargaan buat dia yang sentiasa mekar di hati. Warna jingga senja petang itu sungguh cantik seperti mana jingganya hadiah pemberian dia. Aku sangat-sangat menghargainya.

Monday, June 08, 2009

10 Filem Terbaik

Di bawah ini adalah senarai atau ranking filem-filem luar negara yang menjadi kegemaran dan pilihan aku. Diulangi ya, kegemaran dan pilihan aku. Mungkin ada antara korang yang tidak setuju dengan pilihan aku. Tak mengapalah, hak masing-masing. Filem-filem ini dipilih dan berada dalam kelompok sepuluh terbaik (sebenarnya banyak lagi) adalah disebabkan beberapa kriteria (yang aku cipta sendiri-bagi pendapat aku). Antaranya; mesej yang ingin disampaikan, latar atau jalan cerita yang menarik, unsur pengajaran yang ingin diserapkan dan paling penting ia meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton. Mungkin ada di antara korang yang pernah menonton filem-filem ini dan terpulang samada korang bersetuju dengan aku atau tidak. Tapi kalau ada yang belum, boleh cuba cari filem-filem ini dan tontonilah (kalau tak percayakan aku la).

1. Life Is Beautiful - Filem Itali ni memang best. Sebuah filem komedi romantik berlatar belakangkan Perang Dunia Kedua yang berlaku di Itali. Mengisahkan bagaimana seorang lelaki periang dan sederhana meneruskan kehidupannya; memikat wanita (isterinya), menguruskan kerjayanya, menjadi bapa yang sangat baik, memberikan kasih sayangnya kepada keluarga dan paling menyentuh hati bagaimana dia mengajar anak lelakinya supaya berdikari, jangan berputus asa dan berani. Dia akhirnya mati ditembak oleh tentera Jerman tanpa diketahui oleh anak lelakinya.

2. K-19 The Widowmaker (Berdasarkan kisah benar) - Baru-baru ni filem ini ditayangkan di televisyen, TV2 kalau tak salah. Selepas aku terima tauliah dalam TLDM, filem-filem 'Navy' memang menjadi pilihan, maklumlah semangat tengah berkobar-kobar. Inilah filem Navy terbaik bagi aku. Mengisahkan angkatan tentera laut Rusia yang ingin menguji kapal selam nuklear terbesar mereka semasa era Perang Dingin yang diketuai oleh seorang Kapten yang sangat setia dan mempunyai semangat patriotik yang sangat tinggi kepada tanahairnya. Walaupun berada dalam keadaan genting, maruah negara tetap dijulang dan dipertahankan.

3. Malena - Sebuah lagi filem Itali yang berlatar Perang Dunia Kedua. Yeahh..Monica Belucci sememangnya hot. Tapi bukan sebab tu aku minat filem ni, sebab mesejnya yang kuat ditambah dengan latar cerita yang sangat menarik. Mengisahkan seorang wanita (isteri) yang sangat cantik, tinggal keseorangan setelah suaminya pergi berperang, tidak disukai penduduk setempat terutama wanita (sebenarnya mereka cemburukan kecantikannya), golongan lelaki sentiasa mengambil kesempatan ke atasnya, dia dicemuh, diseksa dan dikeji kerana dikatakan melacurkan diri kepada tentera-tentera Jerman. Tetapi dia sangat bersabar, tabah dan seorang isteri yang sangat setia kepada suaminya. Akhirnya suaminya pulang. Menariknya, kesetiaannya hanya diketahui oleh seorang budak lelaki (yang turut menggilainya). Latar kisah filem ini adalah dari perspektif budak lelaki tersebut.

4. Master And Commander - Juga sebuah filem Navy yang berlatar belakangkan kurun ke-17 di era penjelajahan kuasa-kuasa besar mencari dan menguasai tanah-tanah jajahan. Mengisahkan seorang Komander Tentera Laut British yang ditugaskan untuk memintas dan memusnahkan kapal perang Tentera Laut Perancis di Lautan Atlantik selatan. Memperlihatkan karisma seorang ketua yang bijak, tegas dan paling penting menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah serta mempunyai semangat taat setia dan patriotik yang tinggi kepada negara walaupun dalam keadaan genting. Filem patriotik sememangnya menekankan soal maruah dan martabat sesebuah negara. Filem-filem epik sememangnya menarik.

5. Notting Hill - Sebuah filem romantik komedi yang sangat sweet di samping himpunan lagu-lagu soundtrack yang sangat best. Mengisahkan seorang lelaki Inggeris yang serba sederhana dan biasa-biasa saja yang jatuh cinta dengan seorang selebriti (pelakon) terkenal dari Amerika. Kisah berlatar belakangkan Notting Hill, sebuah kawasan yang indah dan nyaman di England. Memaparkan konflik jiwa dan delima seorang lelaki biasa yang sangat menyintai wanita idaman namun menyedari kekurangan diri tetapi tetap mencuba. Akhirnya cinta yang tulus tetap akan bersatu. Menampilkan watak-watak pembantu yang menarik serta loghat British yang sangat pekat.

6. City Of Angels - Sebuah lagi paparan kisah cinta yang hebat antara dua alam; alam manusia dan alam malaikat (gila ahh hehe). Mengisahkan seorang malaikat yang jatuh hati kepada seorang wanita (manusia). Demi cinta, dia sanggup melakukan apa saja walaupun terpaksa melepaskan segala keistimewaan dan kelebihan diri. Namun, cinta suci terhalang jua akibat kematian wanita dikasihi. Dia sanggup untuk tampil di alam manusia tetapi sebaliknya orang yang dicintai memasuki alam malaikat selepas kematian. Filem ini juga memaparkan konflik jiwa yang sangat menguji kekuatan hati seorang lelaki.

7. Apocalypto - Sebuah filem epik etnik yang sangat menarik dan segar (mungkin berlatarkan kehijauan hutan hujan hehe). Jalan ceritanya sangat ringkas namun digarap dengan penuh suspen dan menghiburkan. Mengisahkan seorang lelaki muda puak asli di hutan Amazon yang cuba menyelamatkan diri dari dibunuh oleh puak lain (jahat) selain ingin menyelamatkan isteri dan anaknya. Demi kasih sayangnya kepada keluarga (isteri yang sarat mengandung serta anak yang masih kecil), dia sanggup menghadapi bermacam cabaran dan rintangan selain menampilkan kehebatannya di dalam hutan. Menariknya filem ini menggunakan bahasa asal puak berkenaan, pelakon-pelakon puak asli dan tak perlu kostum cantik-cantik. Babak paling menarik ialah semasa isterinya melahirkan anak mereka di dalam air. Namun mesej yang ingin Mel Gibson sampaikan ialah bermulanya kedatangan agama Kristian di benua Amerika Selatan (aku tak peduli dengan mesej tu, mesej pada aku adalah yang diboldkan).

8. Night At The Museum - Walaupun aku meminati pelakon Jim Carey, namun filem ini yang menjadi pilihan bagi genre komedi. Kenapa? Sebab muzium. Muzium adalah sebuah gedung yang menyimpan pelbagai kisah dan ilmu. Perjalanan kisah dalam filem ini sememangnya mencuit hati melalui paparan artifak-artifak, barang-barang di dalam muzium yang boleh hidup (bernyawa). Menonton filem ini secara tak langsung membolehkan kita mengetahui tentang sejarah melalui artifak-artifak yang diwatakkan. Mungkin sesetengah orang cakap, mana betul benda-benda dalam muzium boleh hidup, itu cuma filem. Tapi aku percaya kerana aku pernah bekerja di muzium hihihi.

9. In Hell - Filem aksi yang penuh dengan pertarungan, biasalah kalau hero di atas yang berlakon kan. Mengisahkan kehidupan seorang lelaki Amerika yang hidup penuh cabaran di dalam sebuah penjara (neraka) paling sadis di Soviet Union (Rusia). Bermula apabila isteri tercinta dirogol dan dibunuh kejam oleh seorang lelaki, akhirnya dibebaskan oleh mahkamah akibat sogokan. Dia nekad menembak beberapa das ke kepala lelaki tersebut dan akhirnya dihantar ke sebuah 'neraka' di Rusia. Di sana dia berjaya mewujudkan perdamaian, semangat setiakawan dan semangat hormat-menghormati di kalangan bantuan yang super duper jahatnya walaupun melalui pertarungan demi pertarungan. Semangat kasih sayang dan cinta kepada isterinya memberi kekuatan untuknya bertahan.

10. Cool Running - Yeahh..filem genre komedi ni memang cool. Sesuai untuk tayangan menaikkan semangat sebelum sesuatu kejohanan sukan dilangsungkan. Pertama kali filem ni aku tengok ialah semasa latihan intensif pasukan Universiti Malaya sebelum kejohanan olahraga MASUM 2003. Mengisahkan sekumpulan pelari jarak jauh Jamaica membuat persediaan ke sukan Olimpik. Akibat beberapa masalah seperti kecederaan, hasrat mereka terkubur. Oleh kerana keinginan untuk beraksi di Olimpik sangat tinggi, Olimpik Musim Sejuk pun jadilah. Bukan berlari jarak jauh tetapi sebagai sebuah pasukan ski ais. Mereka dicemuh, diketawakan dan dipandang rendah oleh orang Eropah berkulit putih. Akhirnya dengan semangat kesukanan yang tinggi, tidak berputus asa, berusaha dan berusaha maka kejayaan menjadi milik mereka dan dihormati lawan. (MASUM 2003 aku menang emas acara Dekathlon)

Sunday, June 07, 2009

Potong Q dan Potong Kiri Paling Aku Hangin

Ini situasi paling aku hangin. Mau je aku pegi tampar pelempang sekor-sekor. Hari tu petang Khamis, macam biasa ada pasar malam kat satu tempat tu. Orang sekitar Alor Setar semua mesti tau ada pasar malam situ. Macam biasa la, kalau pasar malam kat sini, kalau boleh atas jalan tu nak diletaknya meja menjual itu ini. Kalau boleh nak tutup terus jalanraya tu. Apa punya perangai la diorang ni. Dah lama aku perhatikan, PBT macam makan gaji buta je. Ok lupakan pasal tu.

Ni pasal potong Q dan potong kiri ni. Biasanya 1km atau 2 km sebelum tempat pasar malam, jalan dah sesak dan kenderaan bergerak perlahan. Dah tau ada pasar malam kat depan, ehh dia nak potong Q juga, potong kiri juga. Akhirnya nanti makin sesak dan perlahan sebab diorang terhegeh-hegeh nak masuk lane balik di hujung jalan. Apa salahnya tunggu giliran, lama-lama nanti sampai juga. Adoii bengang betui aku dengan situasi macam ni. Sebab tu aku tak pernah bagi peluang kat kereta yang tak malu potong Q pastu terkial-kial nak masuk lane balik. Kalau ada lori balak kat depan biar lunyai kena langgar.

Kalau ada korang yang bertabiat macam ni, sorilah. Aku benci betul orang yang takde kesedaran sivik macam ni. Kalau ada ubah-ubahlah perangai tu, kot-kot nanti orang yang aku nak pelempang tu adalah kawan-kawan plak.



Selamat Hari Bumi

5 Jun setiap tahun adalah Hari Bumi Sedunia, hari yang sama dengan hari lahir aku. Hari ini menuntut kita untuk selamatkan bumi dengan mengurangkan aktiviti-aktiviti yang boleh merosakkan bumi sebaliknya melakukan aktiviti yang boleh membina semula bumi. Tugas paling mudah ialah kurangkan sampah-sarap dan mengamalkan kitaran semula. Manakala menanam walau sepokok tumbuhan hijau misalnya sepasu pokok bunga sudah cukup untuk membina semula bumi oleh seseorang individu.

Aku suka akan alam semulajadi, hutan hujan dan kehijauan. Mungkin sebab itu warna kesukaan aku adalah hijau manakala unsur tubuh pula adalah tanah. Ada kaitannya di situ. Sesungguhnya hijau itu sangat segar dan seksi.

29 Tahun

Di waktu dinginnya dinihari kira-kira jam 2.30 pagi, 5 Jun 1980..lahirlah aku ke dunia ini sambil memberikan sedikit kesakitan kepada ibuku. Itulah dosa pertama yang aku lakukan, berdosa kepada ibu yang melahirkan aku. Sekarang usiaku sudahpun menjangkau 29 tahun. Kadang-kadang seperti tidak disangka yang usia berganjak angka begitu cepat. Betullah kata orang, pejam celik pejam celik, tibalah masanya.

Selepas jam memasuki hari baru 5 Jun, ketika mata aku mula mengantuk dan bersedia untuk berlabuh, bertalu-talu beberapa mesej masuk. Rakan-rakan terdekat, beberapa kenalan dan orang-orang tersayang masing-masing mengucapkan selamat. Aku tersenyum. Aku sendiri hampir terlupa maklumlah mata pun mula mengantuk. Terima kasih kepada semua yang memberi ucapan selamat; mesej atau panggilan. Aku sangat-sangat menghargainya. Terima kasih juga kepada teman paling rapat yang membuat panggilan memberi ucapan selamat dari kejauhan. Keesokkannya aku menerima 'tanda ingatan' yang sangat cantik. Terima kasih.

Di usia baru ini, aku cuma berazam untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Lebih baik dalam kehidupanku, lebih baik sebagai hambaNya, lebih baik sebagai seorang anak, lebih baik sebagai seorang lelaki, abang dan adik, lebih baik dalam pekerjaanku, lebih baik kepada orang tersayang, lebih baik kepada kenalan dan taulan, lebih baik segala-galanya. Azam, niat dan berusahalah, insyaAllah.

* Terima kasih juga kepada kakak dan anak-anak kerana mengucapkan selamat serta memberikan beberapa 'tanda ingatan' lebih awal, dua hari sebelumnya kerana terpaksa berangkat ke suatu destinasi atas beberapa urusan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.