Wednesday, September 16, 2009

Salam Lebaran


Kepada semua rakan dan kenalan atau sesiapa saja..sekiranya ada salah dan silap, terkasar perbuatan dan bahasa atau apa saja dari diri ini samada sedar atau tidak, mohon dimaafkan. Tidak ada perbuatan yang sangat mulia melainkan memohon maaf serta menerima kemaafan. Sesunggunya manusia itu tidak sempurna.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.

Monday, September 14, 2009

Tunggu Dan Lihat

Bila kaki melangkah masuk ke ruang legar/lobi Suria KLCC, kagum melihat sebuah rumah tradisional Melayu tersergam indah. Hati juga berbangga apabila karya kartunis besar negara, Dato' Lat diabadikan sebagai latar untuk promosi sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti. Ia menggambarkan suasana sibuk membuat persiapan di sebuah rumah menjelang hari raya. Apa pun hanya itu sahaja yang ada. Begitu juga ketika kaki sempat ke Mid Valley, ruang legarnya juga berkonsepkan yang sama namun jauh lebih suram berbanding di KLCC. Tetapi karya Dato' Lat tidak digunapakai seperti di KLCC. Pasti anda semua akan perasan jika berkunjung ke sana.

Kita tunggu dan lihat sajalah, apakah pula yang akan berlaku apabila menjelangnya musim perayaan Hari Krismas atau Tahun Baru Cina nanti. Tunggu dan lihat sajalah nanti, selepas itu kita kembali berkomen.

Biar saya tolong makcik kacau dodol ya...hehehe

Kita tunggu dan lihat sajalah nanti bagaimana.

KebesaranNya

Aku teringat suatu kisah yang diceritakan oleh Ustaz semasa di sekolah rendah dahulu. Kisah tentang Rasulallah dan para sahabat dalam satu perjalanan yang jauh dan memenatkan. Mengharungi padang pasir yang maha luas serta panas terik memaksa para sahabat meminta Rasulallah memohon perlindungan dan kekuatan daripada Allah S.W.T. Permohonan baginda diperkenankan. Sekumpulan awan tebal yang menghalang terik matahari mengiringi mereka di sepanjang perjalanan. Begitulah lebih kurang kisahnya.

Beberapa hari lalu ketika aku dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, melalui lebuh raya Utara-Selatan, melalui Daerah Pendang, di kiri kanan lebuh raya terbentang sawah padi yang maha luas dan langit cerah membiru tanpa sekepul awan pun. Namun mata aku menangkap suatu pemandangan; sekumpulan awan putih tebal seolah-olah berlegar-legar di suatu tempat sahaja. Di bawahnya kelihatan sepulau kampung (atau mungkin sebuah rumah) di tengah-tengah sawah. Lama aku perhatikan, awan itu tidak bergerak-gerak. Teringat kembali kepada cerita Ustaz dulu.

Sesungguhnya Allah Maha Besar.

Tuesday, September 08, 2009

Uhhh..Sedapnya Udang Besar

Semalam, telah berlangsung majlis berbuka puasa ofis aku. Kira acara tahunan la ni. Alaa..opis korang pun tentu buat macam ni kan? Kalau tak pernah buat tu, ermmm ada masalah la tu hehe. Majlis ni mulanya nak buat pada 17hb. tapi tarikhnya sentiasa berubah-ubah. Hampir seminggu dok cari tarikh yang sesuai. Ada yang tak boleh datang sebab suami kerja malam la, ada yang nak pergi sana la sini la, hal itu la hal ini la..banyak songeh. Sehari sebelum tu, CC masuk bilik aku dok tanya pasal tarikh yang sesuai. "Kita buat petang esok" kata aku. "Panggil PT Kew mai jumpa saya" kata aku lagi. CC terkebil-kebil sambil berlalu pergi. Aku pula berjalan masuk bilik boss. "On" kata boss. Sempoi. PT Kew ditugaskan untuk tetapkan restoren yang sesuai dan juga senarai menu. "Jangan lupa sambal udang ya" pesan aku di akhir perbincangan. Petangnya pula, memo siap disain dan diedarkan.

Ermm takdak masalah pun akhirnya. Semua boleh datang dengan keluarga masing-masing. Macam hari raya pula. Meriah. Kalau nak tunggu nak cari tarikh yang sesuai yang semua kelapangan, sampai ke sudah la majlis tu tak jalan. Sebelum berbuka tu, diadakan sedikit tazkirah oleh ustaz yang dijemput. Lebih kurang 20 minit selepas tu, berbukalah kami. Alhamdulillah syukur rezeki Tuhan. Majlis diadakan di Restoren Sala Klasik, Alor Setar. Restoren ni terkenal dengan masakan Siam. Sambal udang yang besar-besar dan pedas tu tidak dilupakan. Dah habis majlis, aku bawa balik nasi dan sambal udang tu sikit buat bersahur nanti. Huhuhu tapi tak sedar, bangun pun lambat 6.10 pagi. Waktu sahur dah habis. Takdak rezeki untuk round kedua makan sambal udang tu. Apapun alhamdulillah atas rezekiNya.

Alhamdulillah. Boss aku cuba menghabiskan air tembikai+laici yang masih berbaki.

Sunday, September 06, 2009

Lelaki vs Wanita

Rahsia wanita di mata lelaki. Sekadar renungan bersama.

- Kecantikan seorang wanita terletak pada sejauh mana ia dapat menahan (menjaga) malunya, sementara kegagahan seorang lelaki terletak pada sejauh mana ia dapat menahan marahnya.

- Orang yang bujang adalah orang yang belum menemukan penghibur duka dan dia baru memperolehnya dengan berkahwin.

- Suami adalah orang yang mencari kebahagiaan hidup dengan menghilangkan sebahagian kemerdekaannya.

- Wanita menghadapi banyak permasalahan yang sebahagiannya diatasi dengan berkahwin dan sebahagian lagi diatasi selepas dia masuk ke liang kubur.

- Mata yang paling indah tetapi harus waspada ialah mata golongan wanita.

- Jangan menyalahkan perasaan isteri kerana perasaannya yang terbaik ialah ketika ia menerima anda sebagai suami.

- Perawan tua ialah wanita yang kehilangan kesempatan untuk menyusahkan seorang lelaki.

- Wanita boleh memaafkan pengkhianatan suaminya tetapi dia tidak boleh melupakannya.

- Kecantikan wanita tidak bererti apa-apa dibandingkan dengan kemuliaan akhlak dan perilakunya.

- Sebelum berkahwin, wanita hafal seluruh jawapan dan sesudah berkahwin dia hafal seluruh pertanyaan.

- Wanita bintang dan pelita bagi lelaki, tanpa pelita lelaki bermalam dalam kegelapan.

- Wanita lebih cepat menangis dan mengingati peristiwa yang menyebabkan dia menangis berbanding lelaki.

- Wanita tertawa apabila ia mampu dan menangis apabila ia menginginkan sesuatu.

- Pudarlah kebahagiaan seorang wanita jika ia tidak mampu menjadikan suaminya teman termulia.

- Wanita sangat berlebihan dalam mencintai dan membenci serta tidak mengenal pertengahannya.

-Wanita selalu tergolong sebagai manusia halus dan lembut hingga saat dia berkahwin.

- Tidak mungkin seorang lelaki hidup bahagia tanpa didampingi seorang isteri yang mulia.

- Wanita hidup untuk berbahagia dengan cinta, sementara lelaki mencintai untuk hidup berbahagia.

- Kebijaksanaan wanita terletak dalam hatinya.

- Seorang wanita yang bijaksana menambahkan gula pada kalimatnya setiap kali berbicara dengan suaminya dan mengurangi garam pada ucapan suaminya.

- Sesungguhnya tidak ada wanita yang sangat cantik, yang ada ialah golongan lelaki yang sangat lemah apabila berhadapan dengan kecantikan.

-Bagi lelaki, yang terakhir sekali mati ialah jantungnya dan bagi wanita adalah lidahnya.

-Wanita tidak diciptakan untuk dikagumi semua lelaki, tetapi sebagai sumber kebahagiaan seorang suami.

- Setiap wanita mempunyai dua mata. Wanita yang cemburu pula berlebihan mata iaitu satu di sebelah kanan, satu di sebelah kiri dan yang ketiga diarahkan kepada suami.

- Wanita pada umumnya takutkan tiga perkara iaitu tikus, uban di kepala dan wanita cantik yang menjadi saingannya.

- Isteri yang jujur dan setia pada suami meringankan setengah beban kehidupan suaminya.

- Seorang wanita menghadapi kesulitan apabila ia berada antara lelaki yang dicintainya dan yang mencintainya.

- Ketika bertunang, lelaki banyak berbicara dan perempuan hanya mendengar. Pada saat perkahwinan perempuan berbicara dan pengantin lelaki mendengar. Sesudah perkahwinan, suami dan isteri banyak berbicara dan jiran tetangga pula yang mendengar.

Sumber : Ruangan Variasi - Hati, Harian Metro, Khamis 25 Oktober 2007.

Nikmat Berbuka Puasa

Nikmat berbuka puasa tidak semestinya dapat menghadap sehidangan makanan yang lazat dan menyelerakan. Sebiji tamar dan segelas air juga adalah nikmat berbuka puasa jika bersama orang-orang yang disayangi. Sehingga hari ini (hari ke-15 puasa), hanya sekali aku berbuka bersendirian di rumah (sewa). Waktu itu hidangan adalah yang paling ringkas dan ingatan melayang kepada Rosli, sahabat serumah yang 'lari' meninggalkan aku keseorangan menghuni rumah bercat kuning itu. Semoga dia berbahagia bersama keluarga, berbuka bersama keluarga.

Di waktu lainnya, saat berbuka puasa sangat indah bersama orang-orang yang berbeza dan dalam suasana yang berbeza. Suasana tentulah sangat romantik ketika berkesempatan berbuka puasa bersama kekasih hati. Suasana yang agak riuh berjenaka pula bilamana berbuka di rumah kakak, dengan ragam lima anak buah. Suasana santai pula bila berbuka di rumah bapa saudara; hidangan ala kampung dengan setimbun ulam-ulaman, sambal cili tumbuk yang menjerit lidah serta bual bicara yang sedikit kedewasaan. Suasana yang aman tenteram bila berbuka bersama Tok (nenek). Keceriaan sedikit hilang setelah Tok Wan (datuk) 'pergi' awal tahun dulu.

Kemudian suasana yang juga santai tetapi berdiplomatik bilamana berbuka puasa di rumah keluarga si dia yang mana kemesraan perlulah dipupuk segera. Suasana yang seronok/gila-gila pula bilamana berbuka bersama kawan-kawan yang sekepala, sangatlah meriah. Suasana yang agak tersentuh bila berbuka puasa di tapak bazar Ramadhan bersama kawan lama yang berniaga di sana. Tetapi seronok bila dapat berbual panjang dan berkemas bersama. Namun suasana yang paling indah ialah apabila dapat berbuka bersama ibu dan ayah, makan masakan emak, mengaminkan doa ayah. Mungkin di hujung-hujung Ramadhan barulah aku dapat menikmati suasana indah itu, berbuka puasa bersama emak dan ayah.

Bersama teman-teman selepas berbuka puasa di Madam Kwan, Pavilion KL

Wednesday, September 02, 2009

Aku Dan Sasterawan Negara

Sasterawan Negara (SN) Dato' A. Samad Said. Siapa yang tidak kenal beliau. Orangnya amat sederhana, mudah dikenali (dicam) dan senang didekati. Aku tidaklah terlalu mengenali tokoh ini secara dekat dan mendalam. Hanya mengenali beliau melalui karya-karya pena beliau saja. Aku masih ingat, ketika berusia 17 tahun aku sudah membaca habis Salina, novel agung karya beliau. Novel itu agak tebal dan jika isinya tidak menarik hati, mustahil bagi sesiapa pun untuk menghabiskannya.

Pertama kali bertemu beliau ialah semasa aku menuntut di universiti dahulu, semasa di tahun kedua. Waktu-waktu itu aku dan sekumpulan rakan lain agak aktif dalam aktiviti kebudayaan, penulisan, teater dan aktiviti seni lain. Saban minggu kami akan memenuhi ruang laman Rumah Pena untuk berpuisi. Kadangkala aktiviti ini dijalankan di suatu sudut kafe di Muzium Negara. Aktiviti membaca puisi ini sangat menarik kerana menampilkan nama-nama besar bidang penulisan dan disampaikan secara sangat santai. Di suatu waktu itulah aku buat pertama kalinya dapat melihat kelibat beliau secara langsung dan dekat.

Kemuncaknya, aku bersama Hayati duduk semeja dengan beliau sambil menghirup teh tarik di sebuah kafe di Stesen Sentral, Kuala Lumpur kerana membincangkan suatu projek/acara. Isteri beliau yang kami panggil auntie juga ada bersama. Waktu itu aku memanggilnya Bapak kerana dia membahasakan dirinya Bapak. Menurut Hayati, panggilan Bapak lebih sesuai sementara dia pula memanggil dengan panggilan Paman (Hayati mempunyai hubungan keluarga yang rapat dengan beliau. Menurut Hayati juga, dia rapat dengan Dato' A. Samad Said semasa di zaman kecilnya). Sebenarnya beliau tidak kisah panggilan untuknya; ada yang memanggil Dato', Pak Samad atau Bapak bagi sesetengah yang rapat.


Lanjutan dari pertemuan itu juga, kami bertemu lagi dan kali ini di sebuah majlis bagi meraikan bakat-bakat muda dalam bidang penulisan yang diadakan di sebuah hotel besar. Aku sangat teruja pada malam itu. Nama-nama besar lain seperti Senator Dato' Jins Shamsudin (sewaktu dalam perjalanan ke hotel tersebut, kereta kami bergerak bersebelahan dengan kereta Perdana beliau dalam kesesakan. Beliau memandu sendiri), Dato' Rahim Razali, Dato' Mustaffa Maaroff, S.M Zakir, Lim Swee Thin dan lain-lain. Aku sempat merakamkan gambar bersama nama-nama besar tersebut namun entah bagaimana, gambar-gambar tersebut terpadam (delete). Ermm lupakan. Selain memenuhi undangan, kehadiran kami pada malam itu juga adalah kelangsungan perbincangan mengenai projek/acara yang akan kami adakan di INTAN Bukit Kiara kelak.

"Tinta Nan Sembilan". Itulah projek kami, ahli-ahli Sidang C semasa menjadi penuntut Diploma Pengurusan Awam di INTAN dahulu. Ia adalah projek/acara yang mengetengahkan bidang sastera; penulisan puisi, deklamasi sajak, nyanyian puisi dan lakonan. Namun apa yang lebih penting, ia adalah projek bagi memberi penghormatan kepada tokoh-tokoh dunia sastera khususnya sembilan orang Sasterawan Negara. Kesudian Dato' A. Samad Said meluangkan masa untuk hadir pada malam acara itu sangat-sangat dihargai dan beliau juga sebagai mewakili seluruh 'sahabat'nya. Terima kasih juga kepada semua rakan Sidang C yang menjayakan acara tersebut.


Malam acara tersebut diserikan dengan gimik oleh hulubalang-hulubalang seperti di zaman kesultanan Melayu Melaka, ada persembahan deklamasi sajak, nyanyian puisi oleh penyair-penyair jemputan, bual bicara sastera dan persembahan pentas/drama Konserto Terakhir. Persembahan drama ini mengimbau aku kepada zaman semasa di universiti dahulu, ketika begitu leka dan asyik dengan drama pentas. Namun aksi ketika membawakan watak Hilmi sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada aku. Konserto Terakhir adalah karya SN Abdullah Hussain yang juga merupakan ayah Hayati.

Barisan pelakon Konserto Terakhir

Begitulah. Sasterawan Negara, suatu gelaran yang sangat tinggi kepada figura-figura yang juga cukup tinggi ilmu kesusasteraannya, bahasanya, jiwanya, jati dirinya, martabat maruahnya (bangsanya). Namun di mana mereka? Mereka tidak minta dilambung melangit, cukuplah menghargai, menghormati dan memartabatkan buah fikiran mereka samada melalui lisan atau mata pena. Jika dibandingkan, mereka jauh tidak dikenali/diendahkan berbanding artis-artis popular masakini. Namun mereka tidak pernah akan diterbangkan laksana kertas kosong oleh angin zaman seperti tenggelamnya artis popular bila sampai karamnya.

Kesempatan untuk bertemu dengannya semula terbuka luas pada 8 Ogos 2009 lalu di Majlis Penghargaan 'Menjelang 75 Tahun A. Samad Said', namun undangan Hayati itu tidak dapat dipenuhi kerana bergelut dengan beberapa urusan kerja yang lain. Bagaimanapun, kehampaan tersebut sedikit terubat apabila Hayati melayangkan senashkah coretan kecil 'Nota Dari Sasterawan Negara' tidak beberapa lama selepas itu. Terima kasih Hayati.

Aku tidak tahu bilakah lagi dapat bertemu secara langsung, berjabat tangan sambil berbual-bual dengan sasterawan negara yang seorang ini lagi, walaupun aku tahu cukup mudah untuk menjejakinya. Jika diteliti dalam keramaian manusia di Stesen Sentral itu, pasti akan menemui lelaki tua berjanggut dan berambut putih ini. Itu adalah laluannya. Pengangkutan awam terutama LRT adalah 'kakinya'. Atau mungkin dia sudah tidak mengingati aku lagi kerana dia adalah milik masyarakat berjuta. Teringat senyum tawa beliau sewaktu bergurau senda mengenai stail rambut aku yang tercacak-cacak. Mungkin dia sudah lupa.

Berharap kesempatan untuk berjumpa dengan SN Abdullah Hussain akan tiba nanti. InsyaAllah.

Ogos Yang Sibuk Tapi Agak Lembap

Bulan Ogos memang agak sibuk dengan itu ini. Samada melibatkan hal-hal berkaitan kerja; mesyuarat, seminar, outstation dan sebagainya. Juga hal-hal personal yang memenuhi jadual. Bulan Ogos saja 3 kali aku ke Langkawi kerana urusan kerja. Itu pun ada juga yang dipertanggungjawabkan kepada pegawai lain, kalau tak aku juga yang kena. Pening kepala dibuatnya asyik dibuai ombak untuk ke sana. Apapun tak mengapa, itu kerja dan tanggungjawab kepada negara. Ingat, 'Berkhidmat Untuk Negara'.

Bulan Ogos juga adalah bulan yang sangat lembap. Hanya 5 entri saja yang mengisi bulan Ogos. Rasa macam tak syok je kan. Peristiwanya banyak, ceritanya banyak cuma masa untuk menceritakannya itu yang tak banyak. Itulah kaitannya bulan Ogos yang sibuk dan lembap. Bagaimanapun, hal-hal yang berlaku dalam bulan Ogos akan dipaparkan dalam September jika berkesempatan. Jika berkesempatanlah kan kerana September yang sweet juga boleh menjadi seperti Ogos.

Bersahur Di Dataran Merdeka

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-52 pada tanggal 31 Ogos, dua hari yang lepas. Merdeka..merdeka..merdeka. Tahun ini sambutannya serba sederhana atau dengan perkataan lain, patut-patut kerana bagi menghormati bulan Ramadhan. Perarakan 'kecil-kecilan' hanya berlangsung di sekitar perkarangan bangunan Parlimen. Jumlah yang terlibat juga sangat kecil kira-kira 1,600 orang sahaja.

Walaupun sambutan tahun ini tidak disambut secara besar-besaran seperti selalu, tetapi 'pesta-pesta' merdeka tetap berlangsung umpamanya di Genting Highlands, sekitar Bukit Bintang, Jalan Telawi Bangsar dan beberapa tempat lain yang sentiasa happening. Merdeka adalah alasan utama untuk berpesta ria.

Sekitar jam 1.30 pagi, aku dan teman singgah untuk melihat bendera besar dan jam besar di Dataran Merdeka. Di dataran itu juga kami bersahur dengan bekalan yang dibawa. Hati rasa teringin untuk ke sana kerana Merdeka sangat sinonim dengan dataran tersebut. Kelihatan di padang dan kawasan sekitar berkemutihan dengan sampah-sarap, banyak sekali. Tentunya perbuatan mereka-mereka yang datang menunggu menjelangnya detik 12.00 malam/pagi merdeka.

Selain sampah-sarap yang bertaburan, remaja-remaja dan anak muda juga bergelimpangan melelapkan mata di sana sini. Masih ada juga yang belum hilang semangat merdekanya apabila masih menari-nari shuffle dan terkinja-kinja. Sementara segolongan yang lain pula menjadikan hadapan bangunan Sultan Abdul Samad sebagai pit stop pasukan lumba masing-masing. Inilah anak merdeka.

Selepas bersahur, kami pun pulang. Semasa berlalu pergi, aku sempat mendongak sayup-sayup ke atas. Jalur Gemilang raksasa itu sedang tidur nyenyak dalam kedinginan dinihari. Selamat Hari Merdeka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.