Nikmat berbuka puasa tidak semestinya dapat menghadap sehidangan makanan yang lazat dan menyelerakan. Sebiji tamar dan segelas air juga adalah nikmat berbuka puasa jika bersama orang-orang yang disayangi. Sehingga hari ini (hari ke-15 puasa), hanya sekali aku berbuka bersendirian di rumah (sewa). Waktu itu hidangan adalah yang paling ringkas dan ingatan melayang kepada Rosli, sahabat serumah yang 'lari' meninggalkan aku keseorangan menghuni rumah bercat kuning itu. Semoga dia berbahagia bersama keluarga, berbuka bersama keluarga.
Di waktu lainnya, saat berbuka puasa sangat indah bersama orang-orang yang berbeza dan dalam suasana yang berbeza. Suasana tentulah sangat romantik ketika berkesempatan berbuka puasa bersama kekasih hati. Suasana yang agak riuh berjenaka pula bilamana berbuka di rumah kakak, dengan ragam lima anak buah. Suasana santai pula bila berbuka di rumah bapa saudara; hidangan ala kampung dengan setimbun ulam-ulaman, sambal cili tumbuk yang menjerit lidah serta bual bicara yang sedikit kedewasaan. Suasana yang aman tenteram bila berbuka bersama Tok (nenek). Keceriaan sedikit hilang setelah Tok Wan (datuk) 'pergi' awal tahun dulu.
Kemudian suasana yang juga santai tetapi berdiplomatik bilamana berbuka puasa di rumah keluarga si dia yang mana kemesraan perlulah dipupuk segera. Suasana yang seronok/gila-gila pula bilamana berbuka bersama kawan-kawan yang sekepala, sangatlah meriah. Suasana yang agak tersentuh bila berbuka puasa di tapak bazar Ramadhan bersama kawan lama yang berniaga di sana. Tetapi seronok bila dapat berbual panjang dan berkemas bersama. Namun suasana yang paling indah ialah apabila dapat berbuka bersama ibu dan ayah, makan masakan emak, mengaminkan doa ayah. Mungkin di hujung-hujung Ramadhan barulah aku dapat menikmati suasana indah itu, berbuka puasa bersama emak dan ayah.
Bersama teman-teman selepas berbuka puasa di Madam Kwan, Pavilion KL
4 comments:
kenangan terindah...
yeahhh..sangat seronok waktu itu..lebih seronok jika ramai lagi yang ada..
mungkin boleh repeat lg kot
insyaallah...diusahakan utk sesi seterusnya..
Post a Comment