Wednesday, November 19, 2008

Nilai Suami dan Isteri


Pernikahan atau perkahwinan menyingkap tabir rahsia?
Suami...Isteri yang kamu nikahi tidaklah semulia Khadijah, tidaklah setaqwa Aisyah, pun tidaklah setabah Fatimah.

Justeru isterimu hanyalah wanita akhir zaman yang punya cita-cita menjadi solehah....
Pernikahan atau perkahwinan mengajar kita kewajiban bersama.
Isteri menjadi tanah kamu langit penaungnya.
Isteri ladang tanaman kamu pemagarnya.
Isteri kiasan ternakan kamu gembalanya.
Isteri adalah murid kamu mursyidnya.
Isteri bagaikan anak kecil kamu tempat bermanjanya.
Saat isteri menjadi madu kamu teguklah sepuasnya.
Seketika isteri menjadi racun kamulah penawar bisanya.
Seandainya isteri tulang yang bengkok berhatilah meluruskannya.
Pernikahan atau perkahwinan menginsafkan kita perlunya iman dan taqwa.
Untuk belajar meniti sabar dan redha Allah s.w.t. kerana memiliki isteri yang tak sehebat mana.
Justeru kamu akan tersentak dari alpa.
Kamu bukanlah Rasulullah s.a.w.
Pun bukanlah Sayyidina Ali Karamallahhuwajhah.
Cuma suami akhir zaman yang berusaha menjadi soleh... amin.

Manakala Isteri.... renungkanlah.
Suami yang menikahi kamu tidaklah semulia Muhammad saw.
Tidaklah setaqwa Ibrahim, pun tidak setabah Ayyub atau pun segagah Musa.
Apalagi setampan Yusuf.

Justeru suamimu hanyalah lelaki akhir zaman yang punya cita-cita membangunkan keturunan yang soleh.
Pernikahan atau perkahwinan mengajar kita kewajiban bersama.
Suami menjadi pelindung kamu penghuninya.
Suami adalah nahkoda kapal kamu pengemudinya.
Suami bagaikan pelakon yang nakal kamu adalah penonton kenakalannya.
Saat suami menjadi raja kamu nikmati anggur singgahsananya.
Seketika suami menjadi bisa kamulah penawar ubatnya.
Seandainya suami bengis lagi lancang sabarlah memperingatkannya.
Pernikahan ataupun perkahwinan mengajarkan kita perlunya iman dan taqwa.
Untuk belajar meniti sabar dan redha Allah s.w.t. kerana memiliki suami yang tak segagah mana.
Justeru kamu akan tersentak dari alpa.
Kamu bukanlah Khadijah yang begitu sempurna dalam menjaga.
Pun bukanlah Hajar yang begitu setia dalam sengsara .
Cuma wanita akhir zaman yang berusaha menjadi solehah... amin!

Justeru itu wahai para suami dan isteri,
jangan menuntut terlalu tinggi seandainya diri sendiri jelas tidak berupaya.
Mengapa mendambakan isteri sehebat Khadijah andai diri tidak semulia Rasulullah?
Mengapa mengharapkan suami setampan Yusof seandainya kasih tak setulus Zulaikha?
Tidak perlu mencari isteri secantik Balqis andai diri tidak sehebat Sulaiman
dan tidak perlu mencari suami seteguh Ibrahim andai diri tidak sekuat Hajar dan Sarah.

2 comments:

leLabu said...

oit, mana tau kasih zulaikha pada yusof tulus?

Encik Moshuchi said...

ada sorang member lama, nama yusof..kebetulan isteri pula nama zulaikha, ermm memang tulus kasih mereka..hehehe.
untuk Nabi Allah Yusof a.s, wallahuallam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.