Thursday, May 28, 2009

Kenangan Lalu

Kelmarin ketika aku mengemas bilik, kelihatan sesuatu yang cukup menyentuh hati dan perasaan. Aku terduduk. Sambil memegangnya, ingatan aku kembali kepada kenangan-kenangan lepas. Ternyata dia menjadi teman paling setia aku (kita semua) selama 6 bulan; pagi, petang, ke gunung, ke hutan, ke laut, ke pulau.

Selama 6 bulan tersebut, kita mengenali dunia walaupun sudah berpuluh tahun kita hidup, kita mengetahui arah tuju dan ke mana hala hidup kita, apa tanggungjawab dan bebanan digalas, kita mengenali kelebihan dan kekurangan diri sendiri, kita mencabar diri sendiri, ada kalanya kita kecewa dengan diri sendiri, kita memberi dan menerima, kita berpakat bermuafakat, kita menyokong dan disokong, kita terkongkong hingga berbohong.

Kita mengenali manusia yang menjadi kawan dan taulan, yang menjadi rapat dan akrab, yang menjadi jujur dan setia, gelak dan tangis bersama, kita bergelak ketawa kita bermuram kecewa, kita bergembira kita dicerca mencerca, kita ingin di depan kita dipijak jatuh ke belakang, kita ingin menjadi baik kita ditaik-taik, kita membina semangat kita menguatkan kudrat, bermacam-macam kelakuan dan ragam, kita menghormati dan dihormati, kita melawan dan ditawan.

Sehingga kini kita masih bersama, namun ada yang hilang entah ke mana, setiap dilakukan ada kebaikan, setiap arahan ada tujuan, setiap detik dan kenangan menjadikan kita dewasa, menjadikan kita matang dan tenang, membolehkan kita menilai dan menimbang, setiap jawapan dan keputusan..segala-galanya.



Akhirnya..Tersungkur Jua

Awal pagi tadi, peminat bolasepak seluruh dunia menyaksikan kelab tersohor dunia telah tersungkur di tengah kota Rome. Ramai peminat setia yang kecewa. Aku? Sikit la. Walaupun aku datang awal sejam, tapi Old Trafford Alor Setar dah penuh sesak dengan manusia. Tapi tempat duduk untuk aku tetap ada walaupun bukan grandstand.

Barcelona menghadiahkan 2 gol kepada Manchester United untuk dibawa balik ke England. Perlawanan tampak seimbang walaupun MU bermula garang dan menguasai perlawanan. Namun selepas jaringan pertama E'to, penguasaan saling bertukar tangan dan MU kelihatan sering hilang punca.


Mutu permainan MU dilihat tidak sehebat ketika peringkat separuh akhir lalu ketika menewaskan Arsenal. Namun permainan tetap menghibur serta mendebarkan. Walaupun Barcelona menjuarai kejohanan, tetapi gaya dan corak permainan Sepanyol tidaklah menghiburkan seperti mana Liga Perdana Inggeris. Apakan daya, kalah dan menang adat permainan, apa boleh buat.

Di atas padang di Rome mahupun di kedai mamak ni, Cristiano Ronaldo sentiasa dicemuh oleh penyokong Barcelona. Kenapa entah? Mungkin dia hebat atau mungkin kerana dia sentiasa agresif sehingga dilayangkan kad kuning atau mungkin..apa-apalah. Dia berusaha keras namun tak ada rezeki menjaringkan gol.

Dia sentiasa dibandingkan dengan Lionel Messi. Setuju, kedua-duanya hebat namun dalam karektor yang berbeza. Dia dilihat sebagai budak baik sementara Ronaldo budak nakal. Ternyata perlawanan akhir ini menyebelahi Messi malah dia juga berjaya menjaringkan gol kedua untuk Barcelona melalui tandukan yang cantik.

Bravo kepada Barcelona. Namun hati tetap di Manchester, England dan bukan Barcelona, Sepanyol atau pun lain-lain tempat di pelusuk Eropah.

Wednesday, May 27, 2009

Beza Orang Baik dan Orang Jahat

Di dunia ini ada bermacam-macam, ada baik dan ada tidak baik. Manusia juga ada yang baik dan jahat malah ada yang sangat baik dan tentulah juga adanya yang sangat jahat.

Antara sifat orang jahat ialah pendendam dan rasa dia saja yang betul, dia saja perlu menang dan dia saja perlu berada di atas. Tidak ada dalam kamus orang jahat untuk perkataan seri, mengalah, beriringan atau bergandingan.

Kebiasaannya orang jahat yang akan mencetuskan keburukan. Apabila orang baik membalas, mereka tidak dapat terima dan mula berdendam yang akhirnya keburukan itu berpanjangan. Bagi orang baik, setelah menjadikan kedudukan seri, sesuatu perkara buruk itu dianggap selesai.

Dalam filem, banyak contoh kelakuan manusia-manusia jenis ini yang mana orang jahat sentiasa ingin menang sedangkan orang baik rela mengalah asalkan keburukan itu dihapuskan. Tetapi orang baik selalunya ditekan dan terpaksa berjuang sehinggalah orang-orang jahat dihapuskan. Hanya kematian adalah penamat kepada orang jahat, begitulah gambaran dalam filem dan kisah-kisah kelakuan manusia zaman-berzaman.

Kesimpulannya, orang jahat sentiasa berasa tidak puas hati, berdendam dan tidak mahu mengalah atau seri. Berbeza dengan orang baik, sanggup seri atau kalah demi kebaikkan bersama.

Monday, May 25, 2009

Berkhidmat Untuk Negara

Perkhidmatan Kerajaan merupakan sebahagian daripada kewajipan asasi rakyat terhadap negaranya. Ini bermakna sekurang-kurangnya satu golongan rakyat dikehendaki menceburkan diri dalam perkhidmatan kerajaan. Oleh itu, sesiapa yang diberi amanah untuk memikul tanggungjawab-tanggungjawab tertentu di dalam jawatan kerajaan mestilah memahami dengan jelas akan segala hasrat, dasar dan matlamat kerajaan. Di samping itu, setiap kakitangan kerajaan berkewajipan penuh untuk membantu dan menjayakan hasrat, dasar dan matlamat tersebut dengan segala daya tenaga yang ada padanya.

Setiap kesanggupan untuk berkhidmat dengan kerajaan hendaklah disertai pula dengan semangat keikhlasan, kerelaan dan kesetiaan kepada negara. Keikhlasan melambangkan kesucian hati, kerelaan melambangkan kebebasan diri sendiri untuk memilih perkhidmatan kerajaan tanpa dipaksa oleh sesiapa, dan kesetiaan pula melambangkan pembulatan tekad serta kemahuan yang tidak berbelah bagi untuk berbakti kepada negara.

Sifat-sifat ikhlas, rela dan setia dalam menjalankan tugas-tugas perkhidmatan yang ditetapkan itu akan menjadi tunjang bagi kemajuan dan pembangunan negara. Negara Malaysia hanya memerlukan kepada kakitangan-kakitangan yang ingin berbakti kepadanya. Sebarang perkhidmatan yang mendatangkan faedah bagi pihak lain yang bertentangan dengan dasar negara adalah satu penyelewengan. Ini sudah tentu akan menjejaskan keutuhan negara dan boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan.

Berkhidmat Untuk Negara adalah satu tugas murni yang harus dibanggakan.

Wednesday, May 20, 2009

Acara Baru Sukaneka

Bila bersukaneka mesti best sebab kita boleh main macam-macam sukan yang sememangnya menyeronokkan serta melucukan. Kalau nak senaraikan kat sini banyak sangat. Tapi acara yang paling aku seronok ialah berebut kerusi dengan lagu dimainkan, lari dalam guni, makan buah epal yang digantung tanpa memegangnya dan tiup tepung. Tapi ini ada satu acara yang aku baru jumpa, tapi tak pernah tengok dekat lagi la. Acara...ermmm nak bagi nama apa ye? Entah.. Rasa-rasanya orang kita boleh main ke? Gila. Kehkehkeh.

Gelakkan Dia

JC : Eeee..tak malu!!!
MS : Biar laa..dengki.
JC : Tengok aku ni, menutup aurat.
MS : Ellehhh.
JC : Besarrr..bleh pegang hehe?
MS : Mengada ko ni, tampar kang..haaa
JC : Gelakkan dia, budak tak malu hahaha *Huhh..ingat best la dedah-dedah camtu, bini aku lagi best*
MS : Hoihhh..dengki.

Tuesday, May 19, 2009

Kita Dan Tekanan

Pagi semalam, seawal 8.15 pagi boss aku dah menghenyak bontotnya kat sofa bilik Datuk Dr. Pengarah Kesihatan Negeri. Aku kat sebelah. Mereka berbual agak rancak pasal isu-isu kesihatan hari ini. Banyak buah bicara yang tidak menyenangkan hati. "Uihh pening kepala, dia (penyakit) mai bertimpa-timpa, serentak pulak tu..H1N1 la, chikungunya la, menengitis la..". Kata Datuk Dr. Pengarah Kesihatan Negeri. Boss mengurut dahi.

8.40 pagi kami mengadap nasi lemak yang masih berasap kat tempat biasa boss bersarapan. Datang pula kenalan lama boss masa kat JPJ dulu. Diorang berborak sakan. Aku hanya senyum-senyum. Kenalan boss sekarang jadi pengedar utama kereta jenama Chery kat Alor Setar. Dia pesara kerajaan. "Sekarang hidup rileks, kepala lapang, hati senang..dulu sentiasa dalam tekanan kerja". Begitulah katanya. "Saya pun patutnya dah boleh rileks, dah kena tambah pula 2 tahun" boss pula menambah. Aku tersenyum lagi.

10.00 pagi kami meronda-ronda di sekitar Kompleks CIQ Bukit Kayu Hitam. Ketua Imigresen yang bertopeng mulut ada bersama kami. Proses keluar masuk di pintu utama negara berjalan lancar walaupun langkah berjaga-jaga diperketatkan. Pegawai-pegawai Kastam, AADK, PGA, UPP, Polis dan Imigresen bertugas seperti biasa walaupun ada sesetengah mereka macam Gaban, bertopeng mulut. "Itulah tuan, walaupun terdedah kepada risiko dan bahaya, kita kena juga bertugas. Kita akan pastikan wabak (H1N1) ini tak akan masuk ke negara ini melalui Bukit Kayu Hitam ni" Kata Ketua Imigresen. Boss mengangguk.

11.20 pagi, X-Trail hitam menyusuri jalan sempadan Malaysia-Thailand meninjau pagar keselamatan. Berhenti. "Kot, ada dua tiga tempat pagar ni berlubang..ermmm banyak juga yang dah berkarat. Dapatkan details nanti kita maklumkan 'ke atas'. Sat lagi maklum kat PGA dulu lokasi yang berlubang tu". Aku mengangguk. Dalam perjalanan balik ke Alor Setar, tak banyak bicara. "Haa, nanti buatkan analisa PIRU-12 yang lepas untuk saya bawa meeting di HQ minggu depan..kalau sempat buat dalam powerpoint". Baeekkk boss. Adusss.

Kita dan tekanan. Kita? Kitalah yang bekerja kerajaan ni. Aku cuba nak selami kata-kata kawan boss masa sarapan tu bilamana katanya, bila dah bersara/pencen kepala dan hati rasa bebas dan senang. Mungkin ada kebenarannya. Selagi itu, bertekananlah kita terutama yang "atas-atas, besar-besar dan yang akan menjadi besar".

* Kot - nama aku la tu, ShuKOT.

Sunday, May 17, 2009

Perihal Peluk, Pegang Tangan & Cium

Situasi 1
Pasangan kekasih yang sangat intim dan saling merindui. Apabila bertemu setelah sekian lama dan di tempat awam umpamanya, si perempuan mengharapkan kekasih hati memeluknya, memberikan sedikit ciuman dan merangkul tangannya. Tetapi si lelaki tidak bertindak begitu dan ia membuatkan si perempuan terasa hati. Timbul persoalan adakah kekasihnya betul-betul mencintainya?


Situasi 2
Sepasang sahabat baik tetapi bukan pasangan kekasih. Si lelaki tanpa isyarat atau alasan kukuh memeluk atau memegang tangan sahabat perempuannya. Walaupun hubungan persahabatan yang terjalin rapat, tetapi ia akan membuatkan perempuan merasa janggal dan keliru. Timbul persoalan kenapa si lelaki bertindak begitu, aku bukan kekasihnya.


Situasi 3
Lelaki yang telah berkahwin dilihat jarang memegang tangan isterinya kecuali apabila situasi memerlukan. Begitu juga seorang anak terutama lelaki jarang untuk memegang tangan ibunya sewaktu melintas jalan dan sebagainya. Persoalannya mengapa begitu?


Ya, persoalannya mengapa begitu? Bagi ketiga-tiga situasi di atas. Perihal dan persoalan ini lebih menjurus kepada tingkah laku lelaki. Mengapa lelaki begitu dan begini dalam hal berpegangan tangan, memeluk atau memberi ciuman. Beberapa andaian secara peribadi boleh dibuat.

Dalam situasi 1 misalnya, kita tidak boleh mengatakan bahawa seseorang lelaki dingin terhadap kekasihnya. Beberapa faktor boleh dikenalpasti misalnya kadangkala lelaki akan diselubungi perasaan gementar atau malu apabila berhadapan dengan pasangannya terutama pasangan yang masih baru dalam perhubungan. Lelaki pastinya ingin bertindak seperti seorang kekasih sejati yang sangat penyanyang kepada kekasihnya, namun segalanya menjadi gugup dan kelu sesudah kekasihnya berada di depan mata. Lelaki begini sentiasa berasa setiap pertemuan dengan kekasih hati adalah pertemuan pertama mereka. Perasaan cinta dan kasih dalam hati baginya sentiasa segar. Lelaki begini perlukan masa untuk membiasakan diri selain masih menitikberatkan pandangan masyarakat. Namun bagi lelaki yang telah lama terbiasa dengan perlakuan ini, mereka tidak menghadapi masalah untuk melakukannya.

Manakala dalam situasi 2 pula, perlakuan lelaki sebegitu seperti ingin menunjukkan sikap ambil beratnya terhadap sahabatnya. Namun ia perlu dilihat dalam beberapa situasi. Perlakuan memeluk sebagai tanda kemesraan atau 'big hug' sebagaimana dilakukan kebanyakkan orang adalah sesuatu yang baik dalam sesebuah hubungan persahabatan. Namun jika hanya kawan baik atau sahabat sahaja, perlakuan memeluk seperti pasangan kekasih tentulah agak menjanggalkan. Begitu juga merangkul tangan tanpa sebab tertentu juga boleh merimaskan. Samada lelaki atau perempuan, bertindak begitu sedangkan mereka adalah sahabat/rakan, tentulah ada maksud disebaliknya. Kemungkinan pertama, ada menaruh hati atau kemungkinan kedua ingin mengambil kesempatan atas kelemahan rakan. Jika ingin mengambil kesempatan, haruslah ia dielakkan kerana jika diteruskan pasti hubungan sahabat yang terjalin itu tidak akan kekal lama.

Bagi situasi 3 pula, ia adalah pemandangan biasa kebanyakkan lelaki Malaysia terutama lelaki Melayu. Berjalan berpegangan tangan suami isteri jarang-jarang dapat dilihat tetapi bukan tidak ada. Beberapa faktor menjadi penyebab antaranya peningkatan usia. Apabila usia semakin meningkat/tua, ramai beranggapan masa 'berpegangan tangan' mereka telah tamat, lelaki mahupun perempuan. Mereka lebih selesa begitu kerana pada mereka 'begitulah orang tua'. Faktor seterusnya ialah penerimaan yang tidak sekata iaitu jika suami ingin memeluk, memegang tangan atau mencium, si isteri akan menolak dan begitu juga sebaliknya apabila isteri ingin, suami menolak. Seterusnya ialah faktor ingin memberi contoh yang sopan dari sudut budaya Timur kepada anak-anak atau golongan muda. Manakala anak-anak lelaki pula lebih rela dan sanggup menjadi perisai kepada ibu mereka apabila melintas jalan daripada memegang tangan ibu.

Perlakuan memeluk, memegang tangan atau mencium adalah tindakbalas manusia untuk menyatakan perasaan, perasaan kasih dan sayang, gembira dan ceria. Ia boleh mengeratkan sesebuah hubungan tetapi juga boleh merosakkan sesebuah hubungan jika disalahgunakan. Dari sudut psikologi misalnya pasangan suami isteri digalakkan berperlakuan begini tetapi tidak semua melakukannya kecuali apabila ingin bersenggama sahaja. Begitu juga dari sudut agama, ia digalakkan supaya rumahtangga menjadi harmoni. Dari sudut psikologi juga, pasangan kekasih juga digalakkan bertindak demikian tetapi tidak dari sudut agama. Walau bagaimanapun, perlakuan-perlakuan ini digalakkan untuk mengeratkan sesebuah hubungan. Namun jika terdapat unsur-unsur seperti ingin mengambil kesempatan untuk kepuasan peribadi, ia perlulah dihindari.

Apakah kaum lelaki susah hendak menunjukkan sikap kasih sayang dan mesra mereka walaupun mereka sangat menyintai dan menyayangi pasangan? Secara peribadi, jawapannya adalah ya dan tidak.

Perihal Cikgu-Cikgu Aku

Selamat Hari Guru 2009 diucapkan kepada guru-guru di seluruh negara..guru-guru aku mahupun guru-guru korang ataupun guru-guru yang kita langsung tak pernah kenal. Tapi mereka adalah guru-guru kita anak Malaysia.

Semalam hari meraikan guru. Aku cuma meraikan mereka dengan menghantar ucapan tahniah dan terima kasih melalui SMS sahaja. Itupun kepada cikgu-cikgu yang aku ada nombor telefon bimbit mereka. Ada la dua tiga orang. Selebihnya, dengan SMS juga aku meraikan sebilangan rakan-rakan lama samada semasa di sekolah menengah ataupun semasa di universiti dulu yang sekarang ni bergelar guru. Ramai rakan aku yang bergelar guru. Bagus..bagus.

Sesungguhnya zaman menjadi murid dahulu memang saat paling menyeronokkan. Apatah lagi bila kita adalah murid yang menjadi perhatian guru. Berikut adalah perihal cikgu-cikgu yang aku sentiasa terkenangkan mereka.


Cikgu Salmah
cikgu kelas aku masa aku darjah 4, ngajar BM, cantik, sentiasa ajak aku makan bersama dia di kantin sekolah waktu rehat, bayar yuran sekolah aku, bawa aku pegi rombongan sekolah yang mana aku hanya bawa 'telur' aku je hehe.


Cikgu Roslan
ngajar BM masa darjah 6, dalam kelas suka kentut..kuat plak tu, pastu aku yang selalu kena tuduh..kadang-kadang budak lain, pengotor betul.


Cikgu Jani
cikgu pendidikan seni tingkatan 3 dan 4, selalu luku kepala budak..sekali kena berbinau kepala, semua dah merasa peluku dia sebab kalau baik dia akan cari salah supaya kena luku gak..dia selalu ajak aku 'conteng' seluruh bangunan sekolah. Sampai sekarang masih ada beberapa mural hasil tangan kami di dinding2 sekolah.


Cikgu Hashim
kecik kemetot je, ngajar geografi tingkatan 5, anggap kami cam member2 je di luar waktu sekolah, rumah sewa dia macam rumah sewa kami, bagi kebenaran kat kami guna library waktu malam..tiap2 malam jadi cam filem Night At Museum, kacau bilau..akhirnya kami semua berjaya gak dalam SPM.


Cikgu Amran
cikgu sastera tingkatan 6, tak mengajar aku tapi sangat baik dengan aku, selalu galak aku bersastera, berbahasa, menulis..selalu baca, edit dan komen karya-karya aku, sangat menghormati aku seperti mana aku menghormati dia.


Cikgu Kamsaini
cikgu kekasihku, ngajar subjek geografi kemanusian tingkatan 6, gewe kelate, manis, member2 gossipkan aku dengan dia..jelous la tu sebab aku selalu dapat markah tinggi dalam subjek ni, lagi satu bila dengan aku dia susah nak marah, member2 lain emmmm panas telinga..hehe.

Cikgu Farid
merupakan cikgu (walaupun tak ngajar aku), kawan, mentor, bekas bos aku..sekarang adalah pengarah di lembaga muzium negeri pahang, banyak membantu aku semasa zaman awal di universiti, banyak mengajar tentang banyak perkara kehidupan dan banyak lagi...

Begitulah kisah beberapa guru pilihan aku. Yang lain tetap juga berjasa namun mereka inilah yang memberi kesan dan kenangan yang agak mendalam dalam mencorakkan aku, murid mereka. TERIMA KASIH CIKGU.

Akhirnya..MU Juara Lagi

Akhirnya, Manchester United juara lagi Liga Perdana Inggeris apabila perlawanan kedua terakhir semalam mengesahkan kejuaraan liga terhebat dunia itu masih menjadi milik mereka. Keputusan seri menentang Arsenal sudah cukup bagi United untuk mengumpul 11 kejuaraan liga sepanjang Sir Alex Ferguson memimpin kelab terkaya dunia ini pada 1990.

Semalam, stadium Old Trafford kat Alor Setar ni penuh sesak dengan para penyokong MU selain sekelompok penyokong Arsenal dan juga Liverpool. Penyokong Liverpool kerap kali membuat provokasi mengalahkan penyokong Arsenal untuk memberi tekanan kepada penyokong United. Namun akhirnya mereka pulang dengan hampa. Terima kasih kepada Liverpool yang memberi saingan hingga ke penghujung liga dan para penyokongnya di Alor Setar juga 'boleh tahan' dalam memberi tekanan.

Selepas perlawanan, kami raikannya beramai-ramai..pakat pekena nasi kandar. Ok la tu kan. Kalau kat Manchester tu tak tau la macam mana kan, tentu penuh pub-pub, bar-bar dengan arak dan sebagainya kan..di jalanan. Kita kat sini tak perlulah begitu, nasi kandar dah cukup. Mamak pun tersenyum lebar je.

Manakala tidak jauh dari stadium Old Trafford, Stadium Darulaman masih bergegar kerana perlawanan antara Kedah dan Perak masih berlangsung. Kedah menang 3-1 mengatasi Perak dan melonjak ke tangga ketiga liga. Liga tempatan pun kena sokong..bolasepak tempatan pun kena ambil berat. Tahniah untuk MU dan juga Kedah.

Kepada penyokong lain-lain pasukan, musim depan kita jumpa lagi. Bluueekkkk...hehehe.

Sunday, May 10, 2009

Chek Sayangkan Mak

Ibu..ibu
engkaulah ratu hatiku
Bila ku berduka
engkau hiburkan selalu
Ibu..ibu
engkaulah ratu hatiku
Tiada lain yang ku harapkan
wahai ibu

Selamat Hari Ibu - ditujukan kepada semua ibu walau di mana berada. Terima kasih kerana melahirkan insan yang bergelar anak, terima kasih kerana membesarkan serta mendidik mereka, memberi kasih sayang dan segala-galanya. Kepada kenalan-kenalan wanita yang bergelar ibu, bakal bergelar ibu dan pastinya akan menjadi ibu kelak, terima kasih dan jadilah seorang ibu yang baik.

Mak, setiap titisan susu mak masih terasa mengalir dalam tubuh ini, pengorbanan dan kasih sayang yang tiada nilainya di dunia ini. Mak, chek sayangkan mak. Ampunkanlah segala dosa dan salah silap chek selama ini. Semoga mak sentiasa sihat dan gembira selalu. Mak, chek sayangkan mak melebihi segala-galanya di dunia ini. Selamat Hari Ibu mak.
* Chek - saya

Saturday, May 09, 2009

Dari Tingkap Pejabat..

Dari sini, kelihatan sawah yang terbentang luas saujana mata memandang
kehijauan yang menghampar bumi menyegarkan mata kepala dan mata hati
lopak-lopak air bergenang melembapkan akar-akar halus padi
untuk terus membesar dewasa, bulat membunting dan menunduk berisi
sebelumnya, dataran ini kering kontang dan berdebu pahit
tatkala mentari rembang memancar, tiada yang sanggup merentasinya
sekalipun helang sawah apatah lagi pipit-pipit sebesar ibu jari
namun segalanya berubah apabila giliran musimnya tiba.

Kehidupan kita juga amat luas umpama hamparan sawah yang menghijau
kita sentiasa inginkan kesegaran dan kehijauan itu
dan kita segar kini, kita berkerjaya kini, kita berbangga kini
tapi pasti jejak laluan yang kita tinggalkan penuh berliku
kerana kita juga melalui saat-saat kering kontang dan berdebu pahit
saat yang menjadikan kita bukan siapa-siapa dan bukan apa-apa
namun kita berusaha, bersusah payah dan membanting keringat
untuk berada di mana kita bersila panggung sekarang
bersyukurlah.

Dari ruang pejabat ini, aku boleh menikmati pemandangan yang indah
tentang alam kurniaan Tuhan yang tidak pernah menipu
alam pemberi kedamaian yang sangat ikhlas.

Friday, May 08, 2009

Peragut..Apalah Nak Jadi.

Surat khabar semalam memaparkan banyak laporan dan kes-kes ragut. Turut termuat kes yang mengakibatkan kematian dua orang mangsa; seorang isteri yang sedang hamil dan seorang lagi nenek tua yang dipukul setelah diragut. Kejadian ini sangat-sangat membimbangkan bukan saja kepada golongan wanita, tetapi juga lelaki seperti aku ni. Sebabnya, aku ada orang-orang perempuan yang disayangi, aku ada ramai kenalan perempuan dan paling penting sebagai warganegara yang baik, tentulah aku geram dengan situasi ini.

Cuma bermain di kepala aku ni, siapakah golongan yang meragut ni? Adakah mereka 'mat dadeh' dan juga 'mat rempit'? Kalau mat dadeh, kita tau mengapa mereka meragut..nak beli dadeh kan. Kalau mat rempit pula, takkan nak isi minyak motor penuh tangki untuk merempit? Atau memang ada kaitan kedua-duanya; mat dadeh merangkap perempit atau mat rempit yang perlukan dadeh untuk merempit? Apa pendapat korang? Tapi kalau kejadian meragut berlaku di depan mata aku, aku pasti akan membantu sedaya yang boleh. Itu azam aku.

Kawan-kawan pompuan, berhati-hatilah ye. Dalam beg tangan tu serba mak nenek ada; yang penting dan tak berapa penting. Tapi penting juga sebab ada dalam beg tangan kan. Kepada kawan lelaki, kalau nampak kejadian macam ni berlaku, kalau rasa mampu menghalang, lakukanlah. Bukan nak jadi hero tapi membantu orang yang dalam kesusahan. Budaya orang kita sekarang, "biarlah bukan aku yang kena". Memang la, esok bila kau yang kena baru padan muka.

Thursday, May 07, 2009

Lompat...Tepuk Lalat

Tepuk lalat, senaman paling mudah dan menyeronokkan. Ia berfungsi meregangkan seluruh anggota badan dari hujung kaki sampai ke hujung kepala dengan syarat ia dilakukan tanpa mengelat hehehe. Ia merupakan senaman kecergasan yang sering menjadi pilih utama. Untuk memaksimumkan pergerakannya, gerak lompatannya telah dikira dengan "3 kiraan 1" iaitu bermakna lompatan yang keempat adalah bersamaan 1. Bijak bijak. Tapi seronok kan.

Korang tentu merindui saat-saat di INTAN semasa DPA dulu kan? Lompatan ni dah jadi rutin, 30 kali, 40 kali atau 50 kali. Tapi aku merindui saat-saat di Pangkalan TLDM Lumut, 200 kali, 300 kali dan kadang-kadang 500 kali adalah rutin. Kami panggil tepuk bintang sebab bintang tu kan cantik dan jauh. Lagipun semua nak jadi bintang hehehe. Tepuk lalat apa kes. Selepas DPA tentu ada yang dah tak pernah lompat dah kan? Mesti ada punyalah. Sekali sekala lompatlah, 10 kali pun jadilah di halaman rumah hehehe.

* Brokos, gua rindu kat jurulatih masa kat INTENGAH la kehkeh..lu?

Keluarga Bahagia

"Aooouuuhhhhh ngantuknya rasa. Dah tujuh lapan kali nguap.
Papa ni plak, kat tempat public pun masih nak mesra-mesra ngan mama, hrmmmm".

"Papa, jangan kuat sangat, geli la.
Cover sikit nanti orang nampak plak..ermmm papaaaaa, nakal tau"

"Errmmmm sayang..."


Hehehe...padan muka korang. Terutama sekali Brokos dan Frankie..hehehe.

Sori la, aku bosan pula petang-petang ni, tadi sehari suntuk dalam bilik meeting, bincang pasal serangan balas untuk pasukan audit yang akan menyerang opis minggu depan.

* Thanks to Pa'e for the best picture.

Tuesday, May 05, 2009

Peribahasa Hari Ini...'Ayam'

Yeayy anak-anak (kawan-kawan), kita bertemu lagi hari ini untuk mempelajari peribahasa. Bagaimana dengan pelajaran/peribahasa yang lepas, masih ingat? Takpe, hari ini kita belajar peribahasa baru yang menarik, peribahasa tentang ayam atau yang berhubungkait dengan ayam. Jom.

1. Ayam sb - Pelacur

2. Ayam Bertanda sb - Keturunan berani

3. Ayam bertelur di atas padi ppt - Hidup mewah

4. Ayam didik sb - Orang yang dilatih untuk menjadi pengganti kepada pemimpin berkenaan

5. Ayam ditambat disambar helang ppt - Isteri dilarikan orang besar

6. Ayam jalak sb - Orang yang berani

7. Ayam kinantan sb - Pemuda yang lebih dari yang lain-lain

8. Ayam lepas tangan bercirit ppt - Berbuat jahat akhirnya malu

9. Ayam mati di atas padi ppt - Miskin di tempat makmur

10. Ayam patuk anaknya sb - Marah anak untuk mengajar

11. Ayam seekor bertambang dua ppt - Dua pemuda meminati gadis yang satu

12. Ayam tak patuk, itik tak sudu ppt - Sama-sama tidak sudi

* sb = simpulan bahasa
* ppt = pepatah

Selamat belajar semua, jumpa lagi.

bersambung...

Edy & Flu

Awal petang semalam.

"Bang, kat Alor Setar ke?"
"Sape ni?"
"Aku la, Edy..baru landing kat Airport Kepala Batas ni".
"Okay, tunggu..aku datang jemput".

Tanpa banyak soal aku pun memandu ke airport. Kebetulan aku memang nak keluar pun, nak makan. Sejak pagi hingga siap semua report (walaupun tetikus curi-curi melencong) yang dikehendaki, aku berlapar.

Sampai di balai ketibaan.

"Wehh, mana hang. Aku dah kat luar ni..balai ketibaan".
"Alaa, aku dah kat Stadium Darulaman ni, tadi driver opis datang ambil. Mesej aku tak dapat ke?"
"Ekkelehh..okay aku pi sana. Mesej apa..mana ada".

Sampai di stadium, tunggu si Edy tengok-tengokkan barang-barang untuk keperluan program anjuran kementerian dia. Ada sama CC dan sorang lagi..PT kot dari KPDN HEP Kedah. Selesai je, aku terus sambar Edy pi pekena nasi ayam kat gerai Kak Tipah Janda yang terkenal di stadium tu.

"Alamakk..mesej aku tadi aku terlupa send la beb..hehehe".
"Pungkoq hang aihh...".
"Rasa pun tak sedap, macam nak demam je..selesema".
"Selesema? Hehehe...". Edy pun gelak sebab dia tahu maksud aku.
"Woihh, mana ada. Tadi kat KLIA aku tak kena tahan pun hehehe".

Lepas makan aku hantar Edy ke Hotel Holiday Villa. Janji nak jumpa pula malam nanti. Walaupun kadang-kadang tak terdaya, tetapi sekali-sekala member turun, kena la layan. Tanggungjawab sosial kan.

"Aku dah sampai, kat bawah ni". Jam menunjukkan pukul 10.30 malam.
"Aku turun jap lagi". Edy balas.
"Woii mana hang. Aku rasa hang dah tertidoq ni. Call tak angkat. Oklah, aku cau dulu, dah lambat ni. Jumpa esok". Aku pun blah dari hotel. Aku pun mengantuk juga. Jam dah hampir 12.00 malam. Hajat nak pekena teh tarik tak kesampaian.

Pagi-pagi tadi ketika aku bersiap-siap nak ke opis.

"Astaga, kenapalah badan aku rasa macam nak terbakar dari malam tadi. Aku dah demam. Sori malam tadi".

Guurrppp..demam? Mudah-mudahan kawan-kawan aku dijauhkan daripada bala bahaya.

* Perbualan mesej telefon, perbualan bersemuka...kehkeh

Saturday, May 02, 2009

Lang Kawi

Kawasan pantai berpasir tu adalah Tanjung Rhu Beach Resort



Baru-baru ini aku ke Langkawi, bukan bercuti tapi atas urusan kerja/rasmi iaitu membuat lawatan (naziran) ke atas sasaran-sasaran penting Kerajaan. Turut sama ialah ahli-ahli dari beberapa jabatan penting lain yang juga menganggotai jawatankuasa naziran ini. Lawatan berkala ini dilakukan ke atas beberapa sasaran penting Kerajaan/aset bernilai Kerajaan. Tak perlulah cerita lanjut berkenaan semua tu kerana ia adalah rahsia Kerajaan hehe..padan muka.

Aku cuma nak cerita tentang betapa cantiknya Langkawi. Kata orang, boleh kerja sambil melancong. Tapi aku tak sempat buat kedua-dua tu, cukuplah utamakan hal kerja dahulu. Lagipun sorang-sorang taknak la aku melancong dalam kesangapan. Nanti-nanti boleh datang lagi. Brokos, lu nak ikut tak?

Dari atas menara radar yang mengawal keselamatan perairan utara


Pemandangan dari pulau/bukit menara radar, ketinggian kira-kira 1400m



Tanjung Rhu, kawasan paling utara pulau Langkawi. Jika cuaca cerah, boleh nampak negara Thailand





Di sana aku lepak kat Hotel Langkawi Seaview. Tak sangka sesuatu terjadi di sana, aku digoda lagi. Nasib baik tiada perkara buruk menimpa aku sepanjang 3 hari 2 malam kat sana. Kisahnya, semasa nak check-in hotel. Masa tu semua hotel penuh sebab Langkawi jadi tuan rumah Sukan Badan Berkanun Malaysia. Hotel-hotel kecil besar semua penuh dengan 'atlit-atlit melancong' ni. Sambung balik cerita di lobi Langkawi Seaview. Aku nak check-in la, tapi kata minah receptionist tu untuk bilik katil queen dah habis cuma yang tinggal bilik yang ada dua katil single je. Dengan tiba-tiba datang sorang mamat ni pula ambil alih tugas. Si minah ke tepi buat kerja lain. Mamat ni lagaknya macam supervisor kot, uniform dia pun lain sikit.

Mamat tu (dirahsiakan namanya) : Ohh, sorang je ke? Nak yang katil queen eh?

Aku : Aa ahh..ye.

Mamat tu : Ohh boleh boleh, awak punya pasal saya bagi yang katil queen.

Aku : Ehh ada ke? Ha oklah. Berapa eh?

Mamat tu : Ada. Special untuk awak. RM160.

Aku : Kakitangan Kerajaan?

Mamat tu : Ohh..saya bagi awak RM120. Boleh tengok ID?

Ermm laju je dia menaip itu ini sambil melihat-lihat ID/pass kerja aku. Tersenyum-senyum memandang aku. Ahh..aku macam nak cancel je tapi..arrggghhh lantaklah.

Mamat tu : Ok, ni bilik 401. Saya bagi bilik yang paling cantik view dia untuk awak. Bilik saya pun di tingkat 4 juga tau.

Aku : (Ahh..apakah semua ini?) Ermm..ok. Thanks.

Mamat tu : Malam ni awak buat apa? Kalau nak pergi berjalan-jalan, pergi spa ke saya boleh bawa. Pergi pantai Chenang ke?

Aku : Malam ni saya ada meeting. Ok terima kasih ya.

Baru je baring-baring, telefon hotel berbunyi. "Awak, kalau free atau nak pergi jalan-jalan kasitau saya, saya boleh temankan. Nama saya ..., ini nombor telefon saya ..., ok". Aduhh, untuk kesekian kalinya (kali ketiga rasanya) aku telah digoda..oleh sang lelaki.

* Bilik 401 memang cantik, selesa dan view yang sangat menarik. Terima kasih kepada .... Fuhh.

Matinya Seekor Patriot

Aku terlelap dalam feri. Sedar-sedar feri dah mula merapat ke jeti Kuala Perlis. Penumpang-penumpang bersebelahan sibuk mengangkat beg dan macam-macam lagi. Arrgghhh..letih sungguh. Selepas membayar duit parking, aku memecut ke Alor Setar. Rasa hati nak jumpa member-member kat Kangar ni, minum-minum petang dulu tapi badan ni tak izinkan pula, letih sangat. Emmm malas pula nak terus balik rumah, singgah rumah Pak Cik dululah, rehat-rehatkan badan. Kopi O yang Mak Cik buat memang kau, sentiasa nak minum je. Boleh juga rileks-rileks sambil makan colek mempelam.

Kata Pak Cik, tunggu makan nasi (makan malam) di sini jelah, lepas tu baru balik. Aku ok je. Ermm dia kata nak makan ayam kampung pula. Jadi lewat petang tu aku dan Pak Cik berkejaran la nak tangkap ayam jantan teruna yang seekor ni. Bermandi peluh jugalah kami. Aku pula bertambah letih, tapi tunjuk je muka bersemangat kat Pak Cik. Ayam seekor ni pula macam peluru. Kalau ada pistol mahu je aku tembak. Maklumlah, masih muda teruna kan, aksi-aksi menyelamatkan diri tu memang menakjubkan bagai seorang patriot. Tapi akhirnya dia tertewas juga. Tewas sebagai seekor patriot hehehe. * Emmm sedap sungguh ayam kampung muda.

Tewasnya seekor patriot muda
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.