Tuesday, February 24, 2009

Perihal Bermula dan Berakhir

Setiap yang bermula pasti akan berakhir bergantung samada sekejap atau pun lama. Hidup di dunia ini, ada kelahiran dan pasti ada kematian. Begitu jugalah halnya tentang sebuah hubungan atau ikatan (perkahwinan atau hubungan kekasih), ia bermula dan apabila sampai suatu masa ia akan berakhir. Terpulanglah samada berakhir hidup (berpisah) atau berakhir mati.

Jika yang berakhir dengan kematian, ia merupakan hubungan yang dianggap berjaya dan merupakan memori sedih yang indah kerana hanya maut yang memisahkan. Tetapi jika berakhir tanpa kematian pula, tentulah merupakan memori sedih yang sedikit pedih (atau teramat pedih). Soalnya di sini, adakah kita mengakhirinya dengan cantik sebagaimana kita memulakannya?

Cantik di sini bermaksud perpisahan itu dilakukan dengan baik, tidak menyakitkan hati kedua-dua pihak, tidak meninggalkan perasaan benci sesama sendiri dan orang lain (yang rapat) di sekitarnya. Kebanyakkan hubungan bermula dengan gabungan hal-hal yang cantik dan indah, jadi apabila berpisah seharusnya juga biarlah cantik (walaupun sedikit kerana perpisahan amat menyakitkan).

Perpisahan bukanlah suatu kesalahan. Jika sudah tidak boleh bersama lagi setelah menilai kewajaran dan sebab-musababnya dengan rasional, itulah jalan yang terbaik. Sebagai seorang Muslim, sedarlah kita pada fitrah agama bahawa jodoh dan pertemuan itu ketentuan Tuhan, dan sebagai bangsa Melayu, kita ada nas-nas adat budaya yang cantik serta indah.

Bagi kaum lelaki, untuk menjadi lelaki yang baik (melakukan perkara yang cantik seperti di atas) bukanlah sesuatu yang mudah. Tetapi soalnya adakah lelaki berusaha ke arah itu; menjadi lelaki yang baik? Seharusnyalah berusaha menjadi lelaki yang baik.

Tetapi perpisahan boleh tercetus oleh lelaki mahupun perempuan. Yang penting lelaki dan perempuan harus menilai diri sendiri, mungkin ada kesilapan yang tidak disedari. Yang bermula pasti akan berakhir dan selepas berakhir pasti ada suatu permulaan semula.
* aku sendiri pernah merasai 'bermula' dan 'berakhir'...malah aku juga sentiasa berusaha untuk menjadi lelaki yang baik.

Monday, February 23, 2009

Upin & Ipin

Tiga malam lepas, aku keluar bersama seorang kenalan rapat serta anak-anaknya (macam anak-anak aku juga). Tapi sedikit terlewat kerana banyak urusan di pejabat. Terus berjumpa di dalam panggung dan cerita 'Geng Pengembaraan Bermula' ni dah pun bermula dalam 20 minit.

Tentunya dalam panggung lebih daripada separuh adalah penonton-penonton kecil. Kebiasaannya dalam panggung penontonnya duduk diam..tumpu jalan cerita tetapi panggung yang ini riuh-rendah. Tapi cukup menyeronokkan.

Tak tahu nak cakap macam mana tentang cerita budak botak dua orang ni, tapi ternyata best. Jalan cerita yang menarik, animasi yang menjadi dan segala-galanya cukup menarik dan menghiburkan. Tak rugi tengok cerita kartun ni..memang best. Pergilah menonton, tak salah jadi budak-budak kurang dari dua jam kan.

Aku juga peminat kartun. Paling suka The Adventure of Tom Sawyer..lama dah kartun ni. Suka juga Detektif Conan. Sinchan sikit-sikit..suka sebab dia memang *sickos*.

Sila Ke Tepi

Menunggang motosikal memang menyeronokkan apatah lagi kalau jentera tu pula jenis yang berkuasa ala-ala Gaban atau Satria Baja Hitam. Kena pula perjalanan yang jauh kan..fuhh best. (*Iswani, jadi ke nak berkonvoi ke Hatyai bulan depan?* - menyibuk je).

Nak pulak kalau ada 'sebontot' pembonceng manis kat belakang kan..ermmm layan beb. Kalau easy rider layan blues je..kalau super bike pulak fuhhh mencanak wa cakap lu.

Tapi 'mamat-mamat' yang motor besar ni bukan kategori Mat Rempit. Diorang ni jenis yang baik dan mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya.

Sentuh soal Mat Rempit ni..(nak sentuh Minah Rempit sebenarnya) bila bawa minahnya ni, wahh punyalah lentik..menong***-nong***. Seronok tengok (dalam hati selalu kata.."uuhhh, kalaulah jatuh menyagat jalan tar..ermm). Itulah Minah Rempit kat Malaysia.

Kat luar negara ada Mat Rempit ke? Ada kot... Minah Rempit diorang lagi power rasanya kan? Nahhh ambik kau...huhuhu

"Sila ke tepi...sila ke tepi..."




Apakah kesalahannya? Mungkin tak pakai helmet kot..hahaha

Mr. Pinky

Hari ni aku pakai baju kemeja warna pink ke pejabat. Sebenarnya pink bukanlah warna kegemaran aku. Tapi entah macam mana aku boleh terbeli baju kemeja warna pink selain mempunyai sehelai kemeja-T juga warna pink. Entah bila aku beli, aku pun tak ingat..tu pun jarang pakai.


Tapi apa yang aku perasan, bila pakai baju warna pink ni, rasa macam ramai sangat orang yang asyik perhati dan tentunya dalam kepala diorang tu bermacam-macam yang diperkatakan. Tengahari tadi aku pergi makan, banyak mata yang memandang terutama yang perempuan.

Perempuan memang sangat suka warna pink ke? Rasanya macam tu la kan...

Apa rasa pelikkah lelaki memakai baju pink?

Pernah juga terbaca yang mengatakan lelaki yang pakai baju pink nampak seksi..cehh betul ke?



Tak kisahlah apapun, warna pink bukan warna kesukaan aku tapi tak salah sekali-sekala pakai baju pink..ramai pulak yang bagi perhatian hehehe..

Atau mungkin juga pink dan coklat pekat adalah kombinasi yang ideal..ermmmm

Tuesday, February 17, 2009

Terasing - Insaflah

Sebuah lagu mengenai seorang penagih dadah yang telah insaf dan ingin pulang ke pangkal jalan. Aku tak ingat apa tajuknya, Terasing kalau tak silap. Dinyanyikan sendiri oleh Presiden Pengasih dan pernah disiarkan di TV suatu ketika dulu.

Pada aku, sesiapa saja yang pernah melakukan kesilapan/dosa segeralah insaf.

Identiti Kita

Inilah di antara identiti kita yang menggambarkan siapa kita, uniknya kita dan harmoninya kita di mata dunia. Sama-samalah kita peliharanya; sebuah perpaduan.

Jalur Gemilang, inilah 'nama' sebenar kita...

Lagu kita...

Keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang kita...


Keunikan budaya kita, MAS membawanya ke serata dunia...


Senyuman kita walau apa sekalipun warna kita...


Keunikan kita dan persefahaman kita...


Pergaulan dan setiakawan kita...


Gelak tawa kita...bersama


Andai kita bersatu dan menghayati serta memelihara semua persamaan ini, kita boleh hidup bersama penuh harmoni.


Monday, February 16, 2009

Peribahasa Hari Ini

Bahasa Melayu sememangnya indah, di dalamnya terkandung kata kiasan yang bertujuan memberi teguran, sindiran atau nasihat secara halus atau lembut. Kata kiasan terbahagi kepada dua iaitu bahasa peribahasa (personafikasi, hiperbola dan metafora) dan peribahasa (simpulan bahasa, pepatah, perumpamaan dan bidalan). Hari ini kita lihat beberapa peribahasa terpilih untuk renungan bersama.


Jikalau intan, keluar dari mulut anjing sekalipun, bernama intan juga - pepatah
Idea yang baik tetap baik, tidak kira siapa yang mengemukakannya.

Jikalau kasihkan padi, buanglah rumput - pepatah
Jika sayangkan anak isteri, jangan mencintai perempuan lain.

Biar jadi telinga tempayan, jangan jadi telinga kuali - bidalan
Lebih baik mendengar nasihat yang baik daripada mendengar ajaran yang jahat.

Biar luka di dada, jangan luka di belakang - bidalan
Biar kalah selepas melawan, jangan kalah kerana melarikan diri.

Biar dibaham harimau, jangan digigit anjing - bidalan
Biar kalah pada orang kuat, jangan kalah pada orang lemah.

Biar kain buruk dipakai, asal pandai mengambil hati - bidalan
Budi bahasa yang baik lebih penting dari rupa paras.

Bagai panas mengandung hujan - perumpamaan
Ketawa gembira tapi hati di dalam menderita.

Sunday, February 15, 2009

Laguku Untukmu

Inilah lagu untuk anda semua terutamanya pemimpin-pemimpin Melayu..daripada setinggi-tinggi PM sehinggalah peringkat paling bawah yang asyik berbalah sesama sendiri, orang-orang Melayu tak kiralah apa fahaman sekalipun dan anak-anak Melayu yang muda-mudi yang sentiasa hanyut.

Lagu ini tidaklah best mana pun dan tidak pula dinyanyikan oleh penyanyi tersohor tanah air; hanya dinyanyikan beramai-ramai di kem-kem motivasi/kursus peringkat sekolah yang bunyinya bermacam ragam dan nada. Namun yang pasti lagu ini boleh menegakkan bulu roma jika dinyanyikan dengan penuh semangat jatidiri dan keinsafan.

Sekitar tahun 1997, aku pernah menyanyikan lagu ini sambil menangis di tengah malam bersama puluhan rakan yang lain. Sedikit sebanyak peristiwa itu membentuk diri aku, bagaimana aku dan di mana aku sekarang. Jika tidak, aku sendiri tidak tahu. Elok jika lagu UMNO yang ada sekarang ditukarkan kepada lagu ini. Sama-samalah kita sedar dan hayatinya.


WARISAN

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Peribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di Nusantara

Wednesday, February 11, 2009

My Favourite Band

Inilah antara band kegemaran aku; Coldplay dan Keane. Kedua-duanya dari United Kingdom. Tahniah untuk Coldplay kerana memenangi tiga anugerah semasa anugerah Grammy ke-51 baru-baru ini menerusi Lagu Terbaik dan Persembahan Vokal Pop/Duo Berkumpulan Terbaik untuk lagu Viva La Vida dan Album Rock Terbaik - Viva La Vida Or Death And All His Friends.


Keane juga tidak kurang hebatnya. Lagu-lagunya sentiasa menenangkan dan santai walaupun muziknya hanya bergantung kepada dentuman dram dan merdu piano saja.

Tuesday, February 10, 2009

Kisah Burung


Kalau di kampung-kampung, ramai orang yang suka memenjarakan burung terutamanya dari spesis Terkukur, Merbok dan Punai. Spesis-spesis ini bukan dibiarkan terbang bebas seperti Merpati tetapi diikat kakinya di sangkar yang terbuka atau dikurung di dalam sangkar. Ini kerana spesis Terkukur dan Merbok ini lain dari yang lain; cantik, suara merdu, susah nak jumpa/tangkap dan semakin pupus. Sebab itu, ada sesetengah orang yang sanggup menyediakan sangkar seperti emas untuk memenjarakan burung-burung ini. Dalam kehidupan manusia pun, ada perempuan/isteri yang dikurung dalam sangkar emas hehehe..

Walau bagaimanapun, hobi membela atau lebih tepat lagi memenjarakan burung ini bukanlah suatu hobi yang baik dan mulia. Di Kedah ini, memang ramai orang lelaki (pertengahan umur dan veteran) yang hobinya begini. Sempat la aku berbual dengan seorang veteran ni, tapi dia bukanlah pemenjara burung sebaliknya membenci hobi tersebut. Sempatlah dia bercerita kisah-kisah berkenaan memenjarakan burung ni dengan aku. Ikuti kisahnya.


Kisah 1 : Bebas Dari Hukuman Gantung

Seorang lelaki dihukum penjara dan gantung kerana melakukan satu kesalahan besar. Pada suatu malam, dia bermimpi supaya melepaskan burung peliharaannya dan burung itu akan membebaskannya dari hukuman. Keesokkannya dia menyuruh isterinya melepaskan burung tersebut. Beberapa hari kemudian, burung tersebut terbang di sekitar penjara sambil berbunyi merdu sehinggalah didengari oleh Ketua Penjara. Setiap hari burung itu akan berbunyi dan menarik perhatian Ketua Penjara.

Lelaki : Tuan suka pada burung itu? Saya boleh menangkapnya untuk Tuan.

(kenallah dia bahawa itu burung peliharaannya dulu)

Ketua Penjara : Ahh kamu ni, mengarut saja. Tapi apa betul?

Lelaki : Betul Tuan. Tapi Tuan mesti berjanji akan membebaskan saya bila saya mendapatkannya untuk Tuan.

Ketua Penjara : Ohh, baiklah. Saya berjanji akan membebaskan kamu.

Dengan hanya segenggam beras, burung itu datang kepadanya dan ditangkap. Akhirnya bebaslah dia. (kata orang tua tu, cerita ni macam cerita mitos la zaman dulu-dulu kat Siam sana nun..tak tau la aku)


Kisah 2 : Sihat Dari Sakit

Ada seorang lelaki yang sakit. Bermacam-macam cara dan ubat telah diamalkan, dimakan namun masih tidak sembuh. Sehinggalah suatu hari seorang bomoh berkata "Bebaskanlah semua burung peliharaan kamu itu, InsyaAllah mereka akan berdoa untuk kamu kerana selama ini mereka menyumpah-nyumpah kamu". Selang beberapa hari selepas membebaskan burung-burung itu, sembuhlah dia seperti sediakala.


Kisah 3 : Burung Hang Dah Potong?

Hehehe...tergelak aku bila ingat kisah ni. Burung yang ni special dari burung-burung yang lain. Burung ni memang kena pelihara elok-elok, tak boleh terlepas langsung. "Kalau potong kampung (Tok Mudim) lawa sikit, tak macam potong hospital, tak berapa lawa". Orang tua tu bergurau dengan aku bila mengetahui burung aku potong kampung. Teringat kisah 19 tahun dulu. "Burung hang dah potong?".

Monday, February 09, 2009

Mencari Ketenangan

Manusia tidak terlepas daripada menerima cabaran, ujian, dugaan, ketakutan, perpisahan, kesedihan dan sebagainya. Apabila perkara-perkara ini menyapa hidup, manusia perlu bertenang samada untuk menyelesaikannya, menghadapinya atau pun melupakannya.


Ketenangan. Di mana hendak mencari ketenangan? Apakah dengan hanya melihat air sungai atau tasik yang tenang dan damai? Mungkin. Tapi mana tahu di bawahnya ikan-ikan sedang bersabung dan berkejaran.


Untuk mencari ketenangan, aku akan kembali kepada alam. Alam sangat jujur, tidak pernah menipu atau menyakiti manusia. Aku pernah bersandar di bawah sepohon Goncar di tengah-tengah sawah, biji-biji padi yang mula keemasan menunduk-nunduk malu, angin lewat petang laju berlari ke sana-sini tanpa hadangan, awan separa hitam membuak-buak di langit, matahari hampir tumbang, burung-burung yang tak ketahuan namanya bersenda-gurau di batas ban.


Bersama sebatang Kemuncut muda yang dicucuk di celah gigi, aku merenung jauh. Seekor burung besar mula menjunam di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas. Agak lama aku bersandar di tubuh kasar Goncar. Ketenangan aku perolehi pada lewat petang itu. Tapi seketika, tidak kekal.


Walaupun seketika, ketenangan di ada mana-mana dan dalam berbagai cara. Apabila dahi menyentuh baldu sejadah di sunyi malam, itulah ketenangan yang abadi. Bagaimana anda mencari ketenangan?

Sunday, February 08, 2009

Kapten Harry

Petang Khamis 05.02.2009, aku mendapat panggilan dari adikku, Harry di Port Dickson. Katanya dia baru sahaja selesai majlis penganugerahan serta pemakaian pangkat oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT). Wah, selepas ni kenalah aku panggil dia Kapten Harry (Muhammad Zulkhairy). Selepas ini dia dan pasukannya akan mengikuti latihan selama 8 bulan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA).

Hehe..nampaknya dia pun akan melalui 'saat-saat manis' di Pulada. Mungkin lebih 'manis' daripada apa yang aku dan pasukan (sidang) aku alami dahulu. Lagipun, apa yang aku terima di Pulada sehingga mendapatkan anugerah seperti di atas, rasanya sekelumit cuma daripada apa yang bakal adikku alami nanti. Tapi aku yakin dengan dia. Aku tahu dia lebih kuat (semangat) dariku. Selamat maju jaya adikku, Kapten Harry.

Puisi Buat Seorang Adik


HARI YANG KEDELIMA

Tatkala hari yang kedelima
subuh menyinsing penuh kekuningan
baki-baki kabus masih berterbangan
titis embun-embun akhir mula menjunam
menusuk tanah yang masih lembab
menanti suatu kelahiran

Tatkala hari yang kedelima
sayup-sayup suara bayi memecah hari
di sebuah taman di tengah kota di tengah negara
ketika kuning langit bertukar putih
ketika kabus dan embun lenyap bersembunyi
ketika tanah mula kering dimamah mentari

Hari yang kedelima itu
bayi perempuan yang masih merah
mata yang masih belum terbuka
tersenyum di balutan lembut kapas
disentuh dipandang sekalian kerabat
tanda sebuah kesyukuran

Hari yang kedelima itu juga
budak kecil yang hitam dan kurus
turut gembira dan tertawa di utara negara
berlari memusing laman sekampung
dua tahun empat bulan usianya
waktu gembira tanpa memikir apa-apa.

Hilmi.

Rakyat Perak, Apa Sudah Jadi


Rakyat Perak (lebih tepat lagi orang Melayu, orang PAS, orang PKR), apa sudah jadi. Adakah ingin mencontohi apa yang orang Siam buat di Bangkok. Sungguh memalukan, mengadakan perhimpunan di jalanan tanpa sedar dan memikirkan sedalam-dalamnya kedaulatan bangsa, agama, adat dan Raja semata-mata mengikut hawa nafsu politik yang sempit dan cetek.

Adat orang baik kalah, menerima dengan hati yang baik juga. Adat orang jahat kalah, membuat kacau kerana tidak boleh menerima kekalahan. Walaupun aku tak sempat mengikuti siaran langsung perlantikan Menteri Besar baru di dalam istana dan kekecohan 'orang gila' di luar istana, tetapi gambaran yang dilihat dan maklumat yang diperolehi selepas itu amat memalukan.

Fikirkanlah, apakah nilainya kita ini. Perhimpunan itu majoritinya (boleh dikatakan semuanya) orang Melayu, orang Islam, berkopiah putih dan orang Indon yang 'sesat'. Tiada kelibat orang Cina dan India. Tidak malukah kita? Tidak sedarkah kita?

Peralihan pentadbiran dari orang bukan Melayu (walaupun bekas MB adalah Melayu-boneka kepada majoriti bukan Melayu) kepada Melayu, kita tentang. Kata putus yang bijaksana dari Sultan yang merupakan simbol kedaulatan negeri/negara kita tentang.

Sebaliknya kita menyokong (tidak menentang) orang bukan Melayu, bukan Islam yang boleh dilabelkan sebagai musuh negara (sering menimbulkan keadaan huru-hara dalam pentadbiran negara) mengugut untuk menyaman Sultan Perak dan Kerajaan. Apakah cukup besar ilmu perundangannya untuk menentang KDYMM Sultan Perak? Sedarkah dia siapa Sultan Perak?

Sedarlah wahai orang Melayu.

Kisah Di Hari Jumaat

Hari Jumaat adalah hari yang mulia, penghulu bagi segala hari. Hari di mana kita sentiasa mengharapkan sesuatu yang baik berlaku. Namun suatu hari itu tidak akan indah jika tiada rencana suka dan duka di dalamnya.

Jumaat 06.02.2009 - aku ke Kuala Lumpur/Putrajaya kerana ada perkara penting selain tugas rasmi yang perlu diselesaikan. Maaf kupinta kepada teman-teman yang sentiasa 'merindui' kehadiran aku di sana. Pemergianku ke sana tanpa diberitakan dan pulangku adalah secepat yang mungkin jika boleh. Sengaja aku berbuat begitu. Kedatangan kali ini tidak dijadualkan untuk bersembang panjang hoha hoha di meja Pelita.


Kisah 1 : Jumaat pagi - Terlerai Segalanya

Pagi Jumaat yang hening itu, dua insan yang menyulam kasih bertemu, dalam suasana sedih dan terharu. Kasih yang sebelumnya kepada seorang kekasih telah bertukar menjadi kepada seorang kawan. Kata putus telah dibulatkan dan jalan terbaik demi kebaikkan bersama telah dipilih. Setelah sekian lama, perpisahan tidak dapat dielakkan lagi apabila keserasian, kefahaman dan kesesuaian tiada di jiwa dan hati. Suasana sedih dan pedih, namun segalanya dalam aman dan damai, positif dan profesional.

Keputusan dibuat berlandaskan pemikiran dan pertimbangan wajar, tiada perasaan marah, benci dan dendam mengekori. Masing-masing berhak untuk memilih, berasa gembira, bahagia, tenang dan senang. Jalan terbaik adalah memilih jalan sendiri. Bersimpuh di rumah Allah untuk solat Jumaat sambil merenung jauh ke mata Tuhan, maka sedarlah bahawa kita hanya merancang tetapi Tuhan menentukan. Adakalanya hubungan persahabatan itu lebih baik dan membuahkan kegembiraan. Akhirnya terlerai sudah segalanya.


Kisah 2 : Jumaat petang - Celoteh Hans George Wolf

Tepat jam 3.00 petang, bermulalah sesi ceramah mengenai Information Warfare-IW, Electronic Warfare-EW dan ICT Security oleh Profesor Dr. Hans Geogre Wolf dari Jerman. Dewan persidangan yang gah dan di bangunan yang juga gah kian membeku. Barisan diketuai SUM, SUB, KPSU dan segerombolan PSU mula memberi perhatian. Adakalanya aku terfikir apa yang disampaikan oleh pakar Jerman ini seperti kami angkatan tentera Nazi yang bersiap sedia untuk menawan seluruh Eropah. Aspek tektikal dan teknikal yang dikongsi amat mengagumkan dan mempunyai tahap yang tinggi.

Lagaknya orang Jerman ini, jika diberi 5 jam pun dia masih boleh berbicara tanpa henti. Kadangkala butir bicaranya seperti bercakap dalam bahasa Jerman. Bagaimana kita berasa gelihati apabila perkataan Inggeris diTamilkan begitu juga apabila ia diJermankan. Seperti Inspektor Jacques Clouseau lakonan Steve Martin dalam filem Pink Panther(tapi ia bahasa Inggeris diPeranciskan). Namun apa yang disampaikan amat menarik dan berguna kepada jabatan kami. Walaupun Wolf pandai berceramah dan berjenaka, tetapi tumpuan aku ada masanya terbang keluar dewan, kembali kepada Kisah 1.
Kisah 3 : Jumaat malam - Berlari-Lari Kuala Lumpur

Aku kembali ke rumah sentimental value aku di Bangsar dengan kepala yang sarat mengandung - selama 2 jam setengah Profesor Wolf memberatkan kepala otak dengan teknik dan tektiknya, kembali kepada Kisah 1, percaturan yang kelam-kabut untuk segera kembali ke Alor Setar, perut berkeroncong yang sengaja ditahankan dan sedikit rasa kesal kerana tidak menghubungi teman-teman baik di sana (aku tahu pada malam itu kalian semua mempunyai agenda lain di tempat yang lain, sengaja aku tidak mahu mengganggu kerana ingin bersendirian).

Akhirnya, dengan perasaan yang bercampur-baur, kepala yang pening-pening, fikiran yang kusut-masai, aku berlari-lari menikmati neon-neon kota yang busuk bersama seorang teman. Ke sana ke sini membelah dingin malam sehinggakan berlari di tempat yang sama berulang-kali tanpa sedar. Begitu pun, aku sedikit tenang dan lapang. Jalan yang bersimpang siur di kepala otak cuba aku susuri sebaiknya. Begitulah juga cara lelaki, masih boleh kelihatan tersenyum, tertawa, tenang walaupun hati di dalam hanya Tuhan yang tahu. Begitulah kisahku di hari Jumaat.

Monday, February 02, 2009

Batang Joran



Aku sebenarnya seorang kaki pancing (dahulunya) tapi sekarang aktiviti ni jarang-jarang dilakukan apatah lagi selepas aku menjual secekak batang-batang joran kesayangan aku kira-kira 8 tahun yang lalu. Cuti (hari Jumaat) baru-baru ni aku melakukan kembali aktiviti berhantu tu walaupun tidak seghairah dulu, apatah lagi setelah bersama dengan kawan-kawan yang juga hantu memancing.
Dari awal pagi kami menuju Tasik Pedu namun tidak lama di sana kerana port tak best selain sukar mencari lubuk sesuai. Akhirnya kami beralih arah menjadikan jelawat dan lampam di sebatang anak sungai di Padang Terap sebagai mangsa. Beberapa ekor lampam berjaya diratah menjelang tengahari, isi lampam yang manis dan segar menjadikan kami berdosa (terlepas solat Jumaat minggu ini-ampunkan kami Tuhan). Tebing sungai tetap menjadi sejadah Zohor dan Asar kami. Manakala jelawat masih berlagak di dalam sungai, tidak mengapa kali ini.

Aku akui agak kekok memancing di sungai kerana dulu aku lebih terdedah kepada pertarungan di laut. Selain bertarung dengan ikan yang lebih garang, ombak laut juga perlu dihadapi. Namun hari itu aku cukup rileks dan hari cuti tidaklah sia-sia.

Perihal Guru vs PTD

Coretan ini bukan sengaja untuk menghangatkan kembali isu lama yang sememangnya hangat tidak berapa lama dahulu, tetapi sekadar berkongsi pendapat atau pandangan.
Baru-baru ini aku sempat bertemu beberapa kawan lama semasa di zaman universiti dahulu, rata-ratanya sekarang bergelar guru (sungguh mulia seorang pendidik). Perasaan seronok menguasai kami, maklumlah selepas tamat pengajian masing-masing melata di bumi Tuhan ini meneruskan agenda dan perjuangan cita-cita untuk kelangsungan hidup.
Pertemuan itu sememangnya dinantikan apatah lagi setelah mereka mengetahui aku seorang pegawai PTD. Masing-masing saling memuji, guru memuji PTD dan PTD memuji guru. Dalam kerancakan berbual, mengimbas kembali memori lama, bergurau-senda, timbul juga isu yg panas itu. Masing-masing memberi pendapat dan akhirnya isu tersebut hilang terbang melayang mengikut sepoi-sepoi angin pada petang itu. Perbualan kembali rancak selama beberapa jam.
Walaupun kami berbeza bidang tugas, cara pelaksanaan, aturan dan tindakan tetapi semua itu tidak membinasakan sebuah persahabatan. Sepatutnya kami, kita, engkau dan aku saling bekerjasama demi kedaulatan bangsa dan negara tercinta ini.
Rumusan dari pertemuan itu, kami saling mengakui bahawa masing-masing mempunyai tanggungjawab yang besar kepada bangsa dan negara; iaitu:-
guru berusaha melahirkan, membentuk, mendidik (segala perilaku baik dan terpuji) generasi muda negara sedari pendidikan awal, rendah, menengah, universiti agar menjadi warganegara yang baik, berilmu, cekap, kuat menghadapi cabaran dan berdaya saing untuk kelangsungan kegemilangan negara, seterusnya juga melahirkan generasi-generasi baru dalam PTD;
manakala PTD pula berusaha mentadbir urus negara dengan baik, cekap, mantap serta berintegriti dan tanggungjawab ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipikul, mencakupi berbagai jenis bidang; pentadbiran dan pengurusan, pembangunan, ekonomi, keselamatan, kewangan, hubungan luar dan sebagainya demi pembangunan negara bangsa dan kesejahteraan seluruh rakyat.
Selepas pertemuan itu, ada ketikanya aku menghubungi juga kawan-kawan lain yang juga kamcing semasa di sekolah menengah dan juga di universiti dulu; guru di Tawau, Sandakan, Kuala Berang, Nilai, Banting, Kampar dan Muar, jurutera di Klang dan Johor Bahru, peguam di Kuala Lumpur, pegawai bank di Kuala Lumpur, Kota Bahru, Damansara dan Kuantan mengenai isu tersebut, masing-masing bersetuju dan tiada masalah mengenainya.
Dengan kata lain, ruang lingkup PTD sangat luas merangkumi pelbagai aspek urus tadbir negara (dalam negara mahupun luar negara). Walau bagaimanapun, guru mahupun PTD mempunyai tanggungjawab yang besar kepada negara dan jika tanggungjawab itu dilaksanakan dengan penuh rasa rendah diri, tidak akan timbul siapa yang lebih siapa yang kurang sebaliknya saling bergantungan.
Jadi kepada pihak berkaitan di luar sana yang masih mempunyai sifat-sifat iri hati, dengki atau rasa tidak puas hati, eloklah berfikir dan berfikir dalam-dalam. Kepada kawan-kawan, guru-guru dan juga pegawai-pegawai PTD, semoga kita semua maju jaya.

Perihal Senang dan Susah

Apakah perkara paling senang untuk dilakukan?
Apakah perkara paling susah untuk dilakukan?

Tentunya bermacam-macam jawapan boleh diberikan. Makan, minum, tidur...senang? Tak juga kerana ada orang yang susah nak makan, minum atau tidur.

Perkara paling senang dilakukan ialah melanggar peraturan dan undang-undang.
Perkara paling susah dilakukan ialah mematuhi peraturan dan undang-undang.

Betul atau tidak, fikir-fikirkan. Tepuk dada tanya diri sendiri. Setiap daripada kita pernah melaluinya walaupun mungkin dalam situasi yang berbeza-beza. Jadilah warganegara yang baik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.