Sunday, February 08, 2009

Kisah Di Hari Jumaat

Hari Jumaat adalah hari yang mulia, penghulu bagi segala hari. Hari di mana kita sentiasa mengharapkan sesuatu yang baik berlaku. Namun suatu hari itu tidak akan indah jika tiada rencana suka dan duka di dalamnya.

Jumaat 06.02.2009 - aku ke Kuala Lumpur/Putrajaya kerana ada perkara penting selain tugas rasmi yang perlu diselesaikan. Maaf kupinta kepada teman-teman yang sentiasa 'merindui' kehadiran aku di sana. Pemergianku ke sana tanpa diberitakan dan pulangku adalah secepat yang mungkin jika boleh. Sengaja aku berbuat begitu. Kedatangan kali ini tidak dijadualkan untuk bersembang panjang hoha hoha di meja Pelita.


Kisah 1 : Jumaat pagi - Terlerai Segalanya

Pagi Jumaat yang hening itu, dua insan yang menyulam kasih bertemu, dalam suasana sedih dan terharu. Kasih yang sebelumnya kepada seorang kekasih telah bertukar menjadi kepada seorang kawan. Kata putus telah dibulatkan dan jalan terbaik demi kebaikkan bersama telah dipilih. Setelah sekian lama, perpisahan tidak dapat dielakkan lagi apabila keserasian, kefahaman dan kesesuaian tiada di jiwa dan hati. Suasana sedih dan pedih, namun segalanya dalam aman dan damai, positif dan profesional.

Keputusan dibuat berlandaskan pemikiran dan pertimbangan wajar, tiada perasaan marah, benci dan dendam mengekori. Masing-masing berhak untuk memilih, berasa gembira, bahagia, tenang dan senang. Jalan terbaik adalah memilih jalan sendiri. Bersimpuh di rumah Allah untuk solat Jumaat sambil merenung jauh ke mata Tuhan, maka sedarlah bahawa kita hanya merancang tetapi Tuhan menentukan. Adakalanya hubungan persahabatan itu lebih baik dan membuahkan kegembiraan. Akhirnya terlerai sudah segalanya.


Kisah 2 : Jumaat petang - Celoteh Hans George Wolf

Tepat jam 3.00 petang, bermulalah sesi ceramah mengenai Information Warfare-IW, Electronic Warfare-EW dan ICT Security oleh Profesor Dr. Hans Geogre Wolf dari Jerman. Dewan persidangan yang gah dan di bangunan yang juga gah kian membeku. Barisan diketuai SUM, SUB, KPSU dan segerombolan PSU mula memberi perhatian. Adakalanya aku terfikir apa yang disampaikan oleh pakar Jerman ini seperti kami angkatan tentera Nazi yang bersiap sedia untuk menawan seluruh Eropah. Aspek tektikal dan teknikal yang dikongsi amat mengagumkan dan mempunyai tahap yang tinggi.

Lagaknya orang Jerman ini, jika diberi 5 jam pun dia masih boleh berbicara tanpa henti. Kadangkala butir bicaranya seperti bercakap dalam bahasa Jerman. Bagaimana kita berasa gelihati apabila perkataan Inggeris diTamilkan begitu juga apabila ia diJermankan. Seperti Inspektor Jacques Clouseau lakonan Steve Martin dalam filem Pink Panther(tapi ia bahasa Inggeris diPeranciskan). Namun apa yang disampaikan amat menarik dan berguna kepada jabatan kami. Walaupun Wolf pandai berceramah dan berjenaka, tetapi tumpuan aku ada masanya terbang keluar dewan, kembali kepada Kisah 1.
Kisah 3 : Jumaat malam - Berlari-Lari Kuala Lumpur

Aku kembali ke rumah sentimental value aku di Bangsar dengan kepala yang sarat mengandung - selama 2 jam setengah Profesor Wolf memberatkan kepala otak dengan teknik dan tektiknya, kembali kepada Kisah 1, percaturan yang kelam-kabut untuk segera kembali ke Alor Setar, perut berkeroncong yang sengaja ditahankan dan sedikit rasa kesal kerana tidak menghubungi teman-teman baik di sana (aku tahu pada malam itu kalian semua mempunyai agenda lain di tempat yang lain, sengaja aku tidak mahu mengganggu kerana ingin bersendirian).

Akhirnya, dengan perasaan yang bercampur-baur, kepala yang pening-pening, fikiran yang kusut-masai, aku berlari-lari menikmati neon-neon kota yang busuk bersama seorang teman. Ke sana ke sini membelah dingin malam sehinggakan berlari di tempat yang sama berulang-kali tanpa sedar. Begitu pun, aku sedikit tenang dan lapang. Jalan yang bersimpang siur di kepala otak cuba aku susuri sebaiknya. Begitulah juga cara lelaki, masih boleh kelihatan tersenyum, tertawa, tenang walaupun hati di dalam hanya Tuhan yang tahu. Begitulah kisahku di hari Jumaat.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.