Monday, February 09, 2009

Mencari Ketenangan

Manusia tidak terlepas daripada menerima cabaran, ujian, dugaan, ketakutan, perpisahan, kesedihan dan sebagainya. Apabila perkara-perkara ini menyapa hidup, manusia perlu bertenang samada untuk menyelesaikannya, menghadapinya atau pun melupakannya.


Ketenangan. Di mana hendak mencari ketenangan? Apakah dengan hanya melihat air sungai atau tasik yang tenang dan damai? Mungkin. Tapi mana tahu di bawahnya ikan-ikan sedang bersabung dan berkejaran.


Untuk mencari ketenangan, aku akan kembali kepada alam. Alam sangat jujur, tidak pernah menipu atau menyakiti manusia. Aku pernah bersandar di bawah sepohon Goncar di tengah-tengah sawah, biji-biji padi yang mula keemasan menunduk-nunduk malu, angin lewat petang laju berlari ke sana-sini tanpa hadangan, awan separa hitam membuak-buak di langit, matahari hampir tumbang, burung-burung yang tak ketahuan namanya bersenda-gurau di batas ban.


Bersama sebatang Kemuncut muda yang dicucuk di celah gigi, aku merenung jauh. Seekor burung besar mula menjunam di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas. Agak lama aku bersandar di tubuh kasar Goncar. Ketenangan aku perolehi pada lewat petang itu. Tapi seketika, tidak kekal.


Walaupun seketika, ketenangan di ada mana-mana dan dalam berbagai cara. Apabila dahi menyentuh baldu sejadah di sunyi malam, itulah ketenangan yang abadi. Bagaimana anda mencari ketenangan?

2 comments:

Al Hadi said...

aku mencari ketenangan dengan main game. tenang ke?

Encik Moshuchi said...

tak tenang...hati ko sentiasa risau takut kalah main game hehe..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.