Tuesday, July 13, 2010

Nikon D3000





Moshuchi Kata : Ingin mengenalimu dengan lebih rapat lagi...

Cara Kita

Kita? Kita yang dimaksudkan aku ialah Melayu..orang Melayu. Aku Melayu dan kamu kamu yang membaca tulisan ini juga kebanyakkannya adalah orang Melayu. Tulisan ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan, memalukan atau mempersenda Melayu..tidak sama sekali tetapi mungkin sekadar untuk menyampaikan kekesalan dan rasa sedih terhadap orang 'kita'.

Contoh 1 : Aku menempah baju di sebuah kedai menjahit baju..kedai orang Melayu. Kenapa aku ke situ? Tentulah untuk menolong sesama Melayu, memberi pendapatan kepada Melayu, menguatkan ikatan sesama Melayu. Tetapi orang Melayu bila berniaga tidak mengamalkan konsep kepuasan pelanggan atau pelanggan diutamakan. Baju yang ditempah lambat siap. Terlewat beberapa hari dari tarikh sebenar pada kad tempahan. Kali ketiga aku ke kedai untuk mengambil baju, barulah dapat. Itu pun pada waktu itu masih dalam keadaan kalut itu dan ini. Tapi tak mengapalah.

Beberapa lama selepas tu, aku sekali lagi ke kedai yang sama untuk menempah baju. Tapi baju orang lain, sengaja di bawa ke situ. Sengaja untuk melihat apakah ada perubahan dan perkembangan. Malangnya perkara yang sama tetap berlaku. Aku sengaja pergi mengambil baju tersebut agak lewat dari tarikh yang tercatit dalam kad tempahan, dengan harapan bila ke sana baju telah siap. Tapi tidak, keadaan kalut-malut masih berlaku. "Saya dah agak mesti tak siap lagi, macam sebelum ni jugak..hrmmm" Itulah yang aku suarakan tanpa mempedulikan perasaan dia lagi. Dia berjanji esok baju siap. Sekarang aku sedang berkira-kira bila untuk ke sana lagi mengambil baju tersebut.

Itulah. Mungkin aku yang bodoh kerana masih ke situ lagi sedangkan sudah tahu situasinya begitu. Aku cuma sekadar ingin memberi peluang dan kepercayaan kepada dia, ingin membantu perniagaan dia. Tapi apa yang pasti, selepas ini aku tak akan menjejakkan kaki ke situ (kedai dia) lagi.

Contoh 2 : Aku rasa situasi ini mungkin kamu kamu yang lain juga pernah mengalaminya. Pernah tak kalau kita ke kedai-kedai runcit atau gerai-gerai makan, ketika untuk membayar kita akan ditanya/diminta duit kecil (syiling)? Contoh; bayaran RM4.30 atau RM5.50 dan sebagainya manakala kita pula memberi RM5.00 atau RM6.00. Mereka akan "ada 30 sen?" atau "ada 50 sen?". Ini memang menyakitkan hati kerana perkara yang sama tidak pernah berlaku di kedai-kedai mamak atau kedai runcit yang bukan orang 'kita' (setakat pengalaman aku). Apa salahnya sediakan syiling yang mencukupi khas untuk baki bayaran. Aku tak faham.

Jadi begitulah keadaannya, orang kita..cara kita. Apakah ianya sudah menjadi budaya, aku sendiri tidak pasti. Mungkin hanya segelintir saja (tidak secara umum) tapi ia tetap suatu amalan yang tidak baik jika ingin berniaga. Perkara-perkara begitu diambil mudah dan dianggap remeh. Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang baik. Aku tidak suka.

Moshuchi Kata : Susahlah bila orang menolong kita tapi kita tak menolong diri sendiri..

Wednesday, July 07, 2010

Seorang Yang Bernama Lelaki

Seorang lelaki perlulah tahu menghormati; menghormati diri sendiri dan orang lain di sekeliling, menghormati orang-orang yang terdekat, menghormati lelaki lain, menghormati rakan dan sahabat baik, menghormati hak orang lain, menghormati hak-hak lelaki lain yang bukan lagi haknya, menghormati sesuatu yang menjadi jalan kebaikan, menghormati kegembiraan dan kebahagiaan orang lain, menghormati kehidupan yang baik bagi dirinya dan juga orang lain...

Seorang lelaki juga perlu ada pendirian; pendirian sebagai seorang ketua yang memimpin kehidupan, pendirian sebagai seorang ketua yang memimpin bahtera keluarga-memimpin perhubungan dan ikatan sedia ada, pendirian sebagai seorang rakan dan sahabat yang baik dan memahami, pendirian saling hormat-menghormati dan memahami, pendirian mengutamakan segalanya perkara yang baik, pendirian yang tidak menghancurkan pihak lain...

Seorang lelaki yang tahu menghormati orang lain, berpendirian yang baik dan memahami perasaan orang lain...adalah seorang lelaki yang baik dan layak digelar lelaki sejati.

Moshuchi Kata : Seorang lelaki dicipta untuk memimpin..memimpin dirinya dan hidup perempuan, tapi bukan untuk merosakkan hidupnya dan hidup perempuan (yang juga tulang rusuk kirinya)...

Tuesday, June 22, 2010

Aku Seorang Pengumpul

Semasa menunggu keputusan SPM diumumkan, aku diterima bekerja sambilan di Muzium Sultan Abu Bakar, Lembaga Muzium Negeri Pahang (LMNP) sebagai Pembantu Pereka. Berbagai tugas di muzium yang bersangkutan dengan grafik atau kerja seni tangan (artwork) aku lakukan, dalam masa yang sama aku pelajari dan dalami. Mula seronok berkerja. Keputusan SPM keluar dan aku memperolehi pangkat 1. Kemudian aku berhenti kerja dan sambung belajar ke peringkat STPM.

Seperti sebelumnya, sementara menunggu keputusan STPM diumumkan, aku kembali bekerja di bangunan bersejarah itu, bangunan bekas Istana Kota Beram, bangunan yang pernah menjadi kediaman Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang ke-4. Kali ini aku bertugas pula sebagai Pembantu Muzium. Tapi dalam masa yang sama, kerja-kerja grafik dan artwork masih aku melakukannya. Kemudian, keputusan STPM diumumkan dan aku mendapat 5P dengan gred A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Masa berlalu selama beberapa bulan, sehinggalah permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) diterima. Aku pun meninggalkan muzium walaupun pada waktu itu jiwa dan hati sudah semakin sebati dengan dunia pemuziuman yang penuh dengan elemen kesenian, kebudayaan dan persejarahan. Di universiti, aku mengikuti jurusan Antropologi dan Sosiologi; bidang yang masih tidak lari dari ilmu sejarah, budaya, kesenian, arkeologi, etnografi, ketamadunan dan sebagainya yang melingkari kehidupan manusia sejak dari zaman Paleolitik sehinggalah ke zaman globalisasi kini.

Ketika di tahun akhir pengajian, aku menjadikan muzium sebagai subjek kajian untuk penulisan tesis sebagai memenuhi syarat untuk melengkapkan penganugerahan ijazah pertama. Keputusan daripada tesis tersebut juga amat memuaskan, syukur. Selepas tamat pengajian, aku berkerja di beberapa tempat bagi mengutip pengalaman. Kemudian seperti 'sireh pulang ke gagang', aku kembali bertugas di Muzium Pahang. Sesuai dengan kelulusan dan bidang pengajian, aku dilantik sebagai Kurator Bahagian Arkeologi dan Penyelidikan LMNP walaupun jawatan tersebut berstatus kontrak.

Aku pun memulakan tugas baru ini sambil mempraktikkan semula ilmu-ilmu yang dipelajari di universiti dahulu. Di universiti, masa lebih banyak di dewan kuliah tetapi setelah berkerja dalam bidang ini, masa lebih banyak di kawasan lapangan (fieldwork) seperti di dalam gua-gua, di bukit dan hutan. Kerja-kerja carigali (arkeologi) amat menarik tapi bagi yang berminatlah. Aku agak bertuah kerana mendapat tunjuk ajar dari seorang tokoh arkeologi terkenal negara, yang berpusat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga telah bertindak sebagai Penasihat kepada Bahagian Arkeologi dan Penyelidikan.

Apa itu Kurator (Curator)? Kurator adalah gelaran bagi pegawai-pegawai atau pengarah-pengarah dalam bidang/institusi pemuziuman, hanya dalam pemuziuman sahaja. Sebab itulah amat penting bagi seseorang Kurator itu untuk mempunyai sifat-sifat curate/curative iaitu bersifat mengumpul, menyimpan, mengkaji dan menganggap setiap sesuatu benda/objek itu ada nilai-nilai estetikanya walaupun mungkin pada orang lain ia tidak begitu. Ini penting kerana seseorang yang tidak bersifat curate/curative, amat sukar baginya untuk menyesuaikan diri dalam bidang pemuziuman, suatu bidang yang berkerja dengan objek-objek (artifak/monumen) lama, usang, bersejarah dan harus dipelihara.

Tetapi malangnya, jodoh aku dalam bidang pemuziuman tidak lama. Sebenarnya dalam diam-diam aku mula merisik bidang Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD). Setelah melepasi satu demi satu tapisan kelayakan yang bukan calang-calang, aku berjaya diterima ke dalam perkhidmatan elit ini. Walaupun berasa berat hati, tapi demi masa depan yang lebih terjamin dan pengalaman dalam bidang yang lain, aku meninggalkan bidang pemuziuman. Beberapa ketika selepas itu, aku dikhabarkan akan ditanggung oleh Muzium Negara untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang arkeologi. Semuanya sudah terlambat. Tapi aku juga tidak pernah menyesal dengan apa yang aku lakukan, jalan mana yang telah aku pilih. Mungkin inilah yang dikatakan rezeki dan jodoh. Hanya Dia yang menentukan.

Walaupun begitu, aku masih seorang kurator yang kuat bersifat curate/curative. Aku suka mengumpul objek-objek tertentu yang aku rasakan suatu hari nanti ia akan ada kegunaan, kepentingan dan nilai-nilai tertentu. Mungkin pada pandangan orang lain tidak begitu, tidak mengapalah. Malah perspektif tentang perkara-perkara berkaitan sejarah, kesenian dan warisan, kebudayaan, senibina dan monumen, artifak zaman lampau dan seumpamanya masih tetap sama dalam jiwa. Minat tentang semua itu tetap ada dalam diri.

Keterangan gambar : Beberapa batang pensil yang aku kutip/kumpul/simpan dari berbagai tempat yang aku hadiri (mesyuarat/bengkel/seminar/hotel/dll). Itu yang berada di pejabat, dan yang tersimpan di rumah masih ada banyak lagi, berpuluh-puluh batang. Tidak termasuk objek-objek lain lagi yang tidak ditunjukkan di sini. Perkara ini kadangkala menimbulkan pertanyaan kenapa, untuk apa simpan dan sebagainya di kalangan orang lain. Kadangkala sukar untuk menjelaskannya. Kenapa aku kumpul/simpan? Sebab aku seorang kurator dan bersifat curate/curative. Aku seorang pengumpul.

Moshuchi Kata : Walaupun orang-orang Barat telah jauh maju ke depan, mereka suka mengunjungi muzium-muzium untuk melihat asal-usul mereka...orang kita bagaimana?

Mr. Buzz Yang Sempoi

Filem Toy Story 3 yang terbaru ini lebih menghiburkan dan menyentuh hati. Jalan cerita juga menarik di samping garapan elemen-elemen kemanusiaan; persahabatan, kesetiaan, semangat kesetiakawanan, susah-senang bersama, tidak berdendam ternyata menyentuh perasaan. Paling seronok ialah telatah Mr. Buzz yang berbahasa Sepanyol, menari tango dan bersikap romantik. Sungguh mencuit hati. Seronok menonton. Pergilah tonton kepada yang belum menonton.

Moshuchi Kata : Cik Jejari, jom menari tango...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.