Showing posts with label Pemerhatian. Show all posts
Showing posts with label Pemerhatian. Show all posts

Saturday, February 16, 2013

Tak Terasa MALU Ke Kita Dekat LEMBU & KERBAU???


Pernahkah kita tidak menggunakan jejantas atau jejambat yang disediakan untuk melintas jalan? Tentu pernah kan. Bagi sesiapa yang sentiasa menggunakan jejantas ketika melintas, tahniah kerana anda memang seorang yang baik dan sabar.

Thursday, October 11, 2012

Wanita Lebih 'Hebat' Di Jalan Raya?

Antara lelaki dan wanita, siapa yang paling 'hebat' ketika memandu di jalan raya?

Hebat yang dimaksudkan bukanlah hebat seperti memandu ketika perlumbaan-perlumbaan kereta (terang dan jelaslah bahawa golongan lelaki lebih hebat dari segi itu) tetapi maksud tersirat adalah dari aspek cara pemanduan yang menyumbang atau mengundang perkara-perkara yang tidak selamat di jalan raya seperti menjadi punca berlakunya kemalangan.

Sebelum itu, aku minta maaf kerana entri ini bukanlah sebuah penulisan yang mendiskriminasikan golongan wanita. Ini hanya luahan pendapat melalui pengalaman dan pemerhatian sepanjang masa.

Jika ditanya kepada lelaki tentu jawapannya wanitalah yang kurang berhemah di jalan raya dan jika ditanya kepada wanita pula tentu sekali jawapannya lelakilah paling tidak berhemah ketika di jalan raya. Jadi yang mana betul? Siapa yang betul dan siapa yang tidak? Aku sendiri tiada jawapan. Ada suatu kajian yang dijalankan di Eropah yang aku pernah baca dahulu, menurut kajian tersebut golongan lelaki mempunyai kelebihan dari segi mengukur atau menilai sesuatu jarak (jarak bahaya) ketika memandu. Misalnya dapat mengukur jarak kelajuan kereta di hadapan ketika ingin memintas/memotong, ketika ingin membelok, menyeberang jalan malah juga dapat mengukur jarak dengan baik ketika ingin meletakkan (parking) kereta di sudut-sudut tertentu. 

Mungkin ada benarnya hasil kajian tersebut. Mungkin juga ada kajian-kajian lain (yang kita tak tahu/tak baca) yang mempunyai hasil yang pelbagai. Mungkin ada golongan wanita yang berkata bahawa mereka juga boleh atau cekap dalam menilai/mengukur jarak bahaya begitu. Ya, aku tak nafikan. Itu hak masing-masing. Jika tidak masakan ramai wanita yang boleh memandu, kan?

Persoalannya antara lelaki dan wanita; siapa lebih berhemah dan bersopan di jalan raya? Siapa lebih bercermat dan bertimbang rasa di jalan raya? Siapa lebih berhati-hati ketika di jalan raya? Termasuklah juga di lebuh raya. Aku tiada jawapan. Jawapannya kenalah tanya diri sendiri masing-masing. Lihatlah sekeliling. 

Ramai orang yang sangat 'berhati-hati' di jalan raya atau lebuh raya tetapi sebenarnya ia mengundang pula bahaya kepada pengguna yang lain. Ini termasuklah juga mereka yang suka 'bercuti-cuti Malaysia' di jalan raya atau lebuh raya, baik lelaki baik wanita. Kita mungkin merasakan kita sudah berhemah, tetapi tidak kepada pengguna yang lain.

Satu kes aku nak kongsi. Kejadian ni aku sendiri yang alami tiga hari lepas. Situasinya sebuah kereta dipandu wanita yang ingin memasuki jalan utama di simpang tiga jalan. Kereta aku di belakang kereta wanita ni. Ketika berhenti di simpang jalan, bahagian depan keretanya sudah terlebih di jalan utama. Menyedari kesilapan tersebut dia terus undur ke belakang. Baguslah dia sedar kesilapan tu. Tapi yang tak sedapnya dia sudah 'tonggek bontotnya' kat aku. Alahai kak, tak sedar ke ada orang di belakang atau tak tengokkah cermin sisi atau cermin pandang belakang tu? Aku keluar dari kereta, tengok tempat yang digesel. Nasib baik tak 'terluka' baru walaupun ada parut-parut luka lama kat situ. Mungkin bila nampak aku macam tak berkisah, dia pun terus jalan dengan lajunya. Haii 'berbudi bahasa' sungguh di jalan raya kan? Mujurlah aku ni bukan jenis baran atau kaki roadbully.

Itulah kisahnya. Bukan nak ambil kesempatan untuk mengatakan bahawa golongan wanita 'hebat' di jalan raya tapi sekadar berkongsi cerita melalui pengalaman dan pemerhatian. Apakah situasi ini membuktikan  kajian tentang mentafsir/mengukur jarak bahaya yang dibuat tu betul, yang menyatakan lelaki punya kelebihan?

Sebelum tu, layan dulu gambar-gambar santai yang dihantar oleh seorang sahabat melalui email tentang 'hebatnya' wanita ketika memandu (semua ni wanita di luar negara, wanita di Malaysia okey).

    




Polis tak Polis...

Yang ni paling best hehehe...macam tu ke pakai topi keledar?


Yang ini pula di Malaysia, di kawasan rumah aku. Tak tahulah ini lelaki punya kerja atau wanita. Tapi kalau beginilah sikap kita..lu pikirlah sendiri.

Moshuchi Kata : Nak ambil lesen kereta kebal pula la hehehe...

Wednesday, May 23, 2012

Nazmi Faiz : Sah Menjadi Milik SC Beira Mar

Kemasukan Nazmi sebagai ahli keluarga baru Beira Mar turut dimuatkan dalam laman web rasmi pasukan.
Nazmi sedang menandatangani kontrak selama 3 tahun/musim sehingga Jun 2015 bersama kelab Divisyen 1 Portugal, SC Beira Mar.

Tahniah kepada anak muda Malaysia ini.

Moshuchi Kata : Hebat...buktikan Malaysia Boleh.

Nazmi Faiz : Terpaksa Berjauhan Dengan Kekasih Hati



Demi memburu kejayaan dan mencipta nama di Eropah dan dunia, Nazmi terbang ke Portugal dan terpaksa berjauhan dengan kekasih hati buat sementara waktu. Sementara waktu je, lepas ni boleh bersama semula. Semoga elok-eloklah korang berdua.
Moshuchi Kata : Pandai ko cari ye hehe...

Nazmi Faiz : Mendapat Liputan Media Utama Portugal

Propinas por pagar quase chegaram aos dois milhoes. Beira Mar procura talentos = Fees to pay almost reached the two millions. Beira Mar looking for talents.
Alcancar o Sonho de Jogar na Europa = Achieve the Dream to Play in Europe
Moshuchi Kata : Anak Malaysia hebat...

Nazmi Faiz - Sesi Latihan Pemilihan SC Beira Mar

Inilah enam pemain yang diuji kelab SC Beira Mar dan hanya Nazmi Faiz sahaja yang berkelebihan kerana boleh bermain untuk kedua-dua pasukan iaitu pasukan bawah 19 dan juga pasukan utama.


Diberi jolokan Kaka Malaysia
Moshuchi Kata : Tahniah...Malayisa Boleh.

Friday, April 20, 2012

Pakar Parkir


Sepupu perempuan sebelah isteri aku baru-baru ni ada bagitau yang dia gagal ujian JPJ untuk mendapatkan lesen kereta. Katanya cuma ujian nak parkir je yang gagal, ujian lain semuanya lulus. Jadi terpaksalah dia mengambil ujian tersebut sekali lagi lepas ni..cuma ulang ujian parkir tu saja.

Teringat masa aku nak ambil lesen kereta beberapa tahun dulu, memang ramai yang gagal disebabkan ujian parkir. Masa tu siap ada beberapa tiang kecil lagi sebagai panduan atau tiang ukuran untuk masuk petak parkir. "Biar sama dengan tiang no. 7..." Teringat lagi kata-kata cikgu memandu aku dulu hahaha. Parkir melalui belakang atau masuk 'bontot' kereta dahulu.

Yang peliknya sekarang ni kenapa ramai sangat orang yang 'gagal semula setelah mendapatkan lesen atau lulus' ujian memandu? Kalau tak percaya cubalah tengok gambar-gambar ini.

Atau apakah mereka punya satu tabiat iaitu 'takpelah' atau 'lantaklah'?? Perangai atau tabiat ini sangatlah buruk kerana pelakunya (mesti) menyedari yang tindakannya adalah salah tetapi tidak mempedulikannya. Tabiat seperti ini harus dibuang atau diubah.

Paling buruk kalau tindakan itu akan menyusahkan orang lain pula.

Moshuchi Kata : lesen terbang ke..??

Monday, December 05, 2011

Jawapan Kepada Mata Kucing

Korang suka makan buah mata kucing? Sedap kan? Aku pun suka.
Tapi pernahkah kita terfikir bagaimana buah ini mendapat namanya? Mungkin pernah terfikir tapi tak tahu jawapannya. Atau malas nak fikir, makan saja.

Tapi rata-rata daripada kita tentu mengatakan bahawa buah ini mendapat nama sebab rupa bentuknya yang seperti mata kucing. Betul ke? Mungkin. Aku pun beranggapan begitu. Tapi cuba tengok gambar di bawah, ada ke rupanya macam mata kucing? Bolehlah asalkan bulat kan. Mata kita pun bulat juga hehehe. Biasanya kita malas nak fikir dalam-dalam, kita makan saja.

Tapi baru-baru ni aku dah temui jawapan mengapa ia dipanggil buah mata kucing, dan aku mengakuinya. Semuanya bermula bilamana isteri aku minta tolong kupaskan buah mata kucing banyak-banyak dan simpan dalam peti ais seketika sebelum dimakan. Cara begitu lebih sedap katanya. Ketika inilah aku mulai perasan ada benarnya mengapa ia dipanggil buah mata kucing. Cuba lihat gambar di bawah. Bagaimana?


Malah bila dah dimakan dan tinggal biji-biji saja, ia masih lagi menyerupai mata kucing. Jadi benarlah, orang-orang lama dahulu memang hebat dalam memberikan nama. Bukan saja-saja main letak/sebut saja tapi ia dilakukan setelah melalui proses 'penyelidikan'. Memang hebat.


Buah mata kucing sekarang sekilo Rm7 - RM9 mengikut saiz. Jom beli.


Moshuchi Kata : ..mencari jawapan 'biru mata hitamku'..

Thursday, December 01, 2011

Minum Pati Buah-Buahan Keluarga Berri

Tentu korang pernah dengar tentang nama Monavie ni kan? Ia adalah sejenis produk berupa minuman kesihatan yang diperbuat daripada campuran pelbagai jenis buah-buahan terutama dari keluarga berri.

Dah lama aku terbaca tentang produk ni selain dah melihat sendiri beberapa testimoni yang menunjukkan khasiatnya. Jadi apa salahnya mencuba kan..cuma beli dan minum. Macam kita beli produk Ribena atau Sunquick kat pasaraya juga.

Untuk pertama kali ni aku beli jenis Pulse yang warna merah ni. Monavie Pulse ni mengandungi jus yang dicampur dengan 18 jenis buah yang penuh khasiat, iaitu Epal, Acerola, Aronia, Kranberi, Blueberi, Delima, Camu Camu, Bilberi, anggur Concord, Nanas, Prickly Pear, Elderberi, Yumberi, Blackberi, Cheri, Raspberi, Strawberi dan Cupuacu.


Antara khasiat utama Monavie Pulse adalah :

• Menurunkan kadar kolesterol secara semulajadi
• Melindungi jantung dan sistem kardiovaskular
• Membantu mengekalkan level kolesterol yang baik
• Melawan kerosakan oksidatif dan penuaan
• Memberi kesihatan jantung yang sihat dari plant sterois dari tumbuhan, resveratrol dan asid lemak Omega 3
• Diformulakan secara saintifik dengan jantung sebagai sasaran
• Sumber antioksidan yang hebat

Monavie Pulse ni amat baik untuk kesihatan jantung. Ia sesuai digunakan untuk merawat sakit jantung, darah tinggi, kanser, gout, diabetis, dan strok. Ia boleh diminum oleh semua peringkat umur. Kalau terbukti ia berkhasiat dan bagus, aku bercadang nak beli untuk mak ayah dan mak abah di kampung pula.

Banyak maklumat boleh didapati melalui laman-laman web berkaitan Monavie.

Moshuchi Kata : 'Berri Hitam' pun ada juga hehehe..

Monday, April 04, 2011

Perihal 110 km/j

kita ada peraturan-peraturan di jalan raya juga di lebuh raya. peraturan yang selalu kita langgar dan payah nak ikut ialah berkaitan kelajuan. kenapa kita suka laju? aku sendiri tak pasti. banyak sebabnya kalau nak perhalusi. tapi lumrahnya, yang dilarang itulah yang kita suka nak buat.

kita di malaysia ada lebuh raya yang panjang iaitu lebuh raya utara-selatan PLUS yang panjangnya lebih kurang 800km. memang seronok kalau pandu laju di lebuh raya yang panjang dan lurus. tapi peraturan telah menetapkan kelajuan di lebuh raya (atau jalan raya seluruh negara) adalah pada kadar 110 km/j. dulu kecoh juga di parlimen pasal nak naikkan kadar laju ke 130 km/j tapi tak diluluskan.

berbalik pada soal laju ini, anda pernah memandu tidak lebih 110 km/j di lebuh raya? sentiasa mengikut peraturan kelajuan di lebuh raya? kalau ya, nah aku tabik 5 kali, syabas. tapi mesti ramai yang 'tidak' kan hehehe. termasuklah aku sendiri. yang pastinya ada masa kita mematuhi peraturan dan ada masanya kita langgar peraturan 110 km/j tu. (ini pasal kelajuan 110 km/j saja, aku taknak sentuh hal2/peraturan2 yang lain di lebuh raya).

bagi aku la (ni bagi aku, korang aku tak kisahlah macam mana kan), nak mematuhi kadar kelajuan 110 km/j tu di lebuh raya sepanjang masa pemanduan adalah mustahil. dan aku sendiri beri jaminan bahawa aku tak mampu nak mematuhinya. ada masa/tempat/situasi di lebuh raya aku ikut peraturan 110 km/j, tapi di waktu lain yang dirasakan sesuai akan mencanaklah jarum meter sehingga 160 km/j ke 170 km/j. tapi terus terang, bagi kereta aku yang berkeupayaan 1.7 (1700 cc) kelajuan 140 km/j adalah kelajuan yang paling selesa di lebuh raya.

apatah lagi bagi mereka-mereka yang punya kereta berkapasiti 2000 cc atau lebih, tentulah 150 km/j dan ke atas adalah kelajuan selesa mereka. dan peraturan had laju 110 km/j tidak punya apa-apa makna bagi mereka, langsung tak hirau atau pandang. salahkah mereka? kalau dah langgar peraturan memang salahlah kan.

bagi yang sentiasa tidak mempedulikan peraturan 110 km/j ni, saman polis bukanlah suatu bebanan bagi mereka. samanlah selalu, saman ekor pun, sampai masa mereka akan membayarnya. tapi nak ikut peraturan 110 km/j tu jangan haraplah. terutama yang berkereta besar/mewah/mahal/laju. kita sendiri pun boleh bayangkan, kalau naik/bawa kereta bmw siri 5 atau mercedes clk atau jenama mewah lain, takkan nak pandu dengan kelajuan maksimum 110 km/j?

jadi, kita (aku) kena fahamlah. kadar 110 km/j tu bukanlah untuk semua pengguna lebuh raya. bagi akulah, kalau kita (ada orang) rasa tak 'layak' untuk 110 km/j tu, pergilah berapa laju kau nak pergi sebab kereta kau besar/laju/mewah, kereta mewah kau tentu ada ciri2 keselamatan yang terbaik, kau tentu kerja besar duit banyak, kena saman rm300 satu saman apalah sangat kan, boleh bayar punya kalau dapat 10 saman sekalipun.

tapi kalau kita (ada orang) rasa cukuplah lajunya sekadar 110 km/j atau lebih sikit pun 120 km/j di lebuh raya, tak mengapa. selain kita mematuhi peraturan, kita juga sedar dan tahu kemampuan jentera kita, jangan seksa kereta kita dengan kelajuan yang di luar kekuatannya. lagipun tentu kita berfikir duit yang ada daripada bayar saman buta2 je baik buat benda lain yang lebih patut kan.

kepada yang laju2 di lebuh raya, kita jangan marahkan mereka. biarkan mereka. mereka tahu dan sedar apa yang mereka buat. terseksa jiwa raga mereka kalau memandu kereta besar/laju/mewah dengan kelajuan yang tak seberapa. kepada yang tak boleh nak laju2, takpe itulah had kita dan kita patut berbangga kerana sentiasa mematuhi peraturan 110 km/j. tapi kita juga kena pandai dan tahu di mana kedudukan kita yang sebetulnya, kena selalu peka tentang lorong kita.

ingat, di lebuh raya lorong paling kanan bukan untuk kelajuan 110 km/j tapi untuk yang lebih atas dari itu. mungkin 150 km/j ke atas dan silap2 hari bulan 200-240 km/j pun akan berada di lorong paling kanan itu. kita mungkin akan terasa panas hati kalau ada kereta di belakang yang dok bagi lampu/high bim kat kita supaya beri laluan kan? takpe, jangan salahkan mereka, itulah situasinya.

mungkin sebab itu kereta yang berkapasiti 1500cc dan ke bawah lebih banyak dihasilkan di negara kita supaya sesuai dengan kadar 110 km/j tu. tapi kita tetap langgar juga kan. ada juga kancil (maaf sape yang berkereta kancil) yang berada di lorong paling kanan di lebuh raya. tak salah, sekali lagi tak salah. kita juga (kancil) ada hak untuk berada di lorong paling kanan, tapi kita haruslah tahu bila waktu2 yang sesuai untuk berada di sebelah kanan dan bila waktu2nya pula beransur ke sebelah kiri.

itulah, memang sukar untuk mematuhi kadar 110 km/j tapi bukan bermakna kita langsung tidak mematuhinya. aku sendiri pun, sentiasa mematuhi kadar 110 km/j cuma kadang2 bila terasa nakal sikit pergi ke 140 km/j. lebih pada tu taknaklah sebab aku taknak seksa kereta aku tu.

laju bahaya, perlahan pun bahaya di lebuh raya. jadi kita faham2lah sendiri. kita harus tahu dan peka takat kemampuan kita/kereta, lorong yang sesuai, cuaca dan keadaan, aliran kenderaan padat atau kurang, faktor badan letih.ngantuk ke tidak dan sebagainyalah agar perjalanan kita selamat. supaya kita tak membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Moshuchi Kata : takde tempat/jalan di Malaysia yang boleh berlaju-laju...sabar jelah.

Thursday, November 11, 2010

Ragam Banjir 2

bencana banjir semakin pulih.
air telah kering di jalanan menuju laut.
selut tanah mula disepak terajang keluar rumah.
tapi sampah-sarap masih tidur lena di jalanan.

mual tekak.

bila bencana segala bantuan datang.
dari kiri dan kanan depan dan belakang.
tangan kanan memberi tangan kiri melambai-lambai.
semua nak cari publisiti.

geleng kepala.

bantuan selepas bencana paling popular.
poli-tikus poli-tikus melompat-lompat.
...................................

arrgghh aku nak lari.

moshuchi kata : *diam*

Sunday, August 22, 2010

'Ciwi' Anak


Pernahkah kamu semua melihat ibubapa atau bapa atau ibu atau mungkin datuk atau nenek yang membawa, mendukung atau menggendong anak kecil..bukan anak kecil tapi bayi, bayi yang masih merah, bayi yang baru beberapa bulan menyedut udara dunia, bayi yang masih sangat lemah dan kadangkala matanya pun belum selesa untuk terbuka bebas? Mungkin pernah kan?

Aku selalu dan dah banyak kali melihat perkara ini. Kali terakhir ketika sedang berbuka puasa di Kuala Perlis bersama seorang teman. Aku ternampaklah sebuah keluarga ni, ramai juga dan si bapa sedang mendukung bayinya yang masih merah. Aku asyik memandang gelagat si bapa bayi itu. Dia mengelak kiri dan kanan, menjaga langkah dan jalan bimbang kalau-kalau ada orang melanggar dia atau anak dia. Maklumlah orang ramai pada ketika itu berlaga-laga bahu jalannya. Dalam hati aku terus memaki-hamun si bapa tolol tu. Isterinya juga tolol.

Opps maaf. Sebelum tu, 'ciwi' itu adalah loghat orang utara terutamanya orang Kedah yang bermaksud terlalu teruja, terlalu suka dan ada sedikit perasaan ingin menunjuk-nunjuk apabila beroleh sesuatu yang sangat dihajati atau diingini. Begitulah maksudnya lebih kurang. Setiap orang akan ada perasaan seperti ini namun yang penting ialah bagaimana kita mengawalnya. Sebagai contoh 'ciwi', ada orang akan selalu menaiki kereta yang baru dibelinya walaupun ke tempat-tempat yang sangat dekat dengan rumahnya atau ke tempat-tempat tumpuan orang kampung atau sentiasa membasuh kereta barunya itu. Itu adalah orang-orang yang 'ciwi'.

Begitu juga halnya dengan ibubapa yang anaknya masih merah sudah dibawa berjalan-jalan di luar, berpanas berdebu, terdedah kepada bahaya dan sebagainya. Kenapa? Mungkin nak 'memberitahu' orang ramai yang mereka baru mendapat cahaya mata, mereka sudah bergelar ibu dan bapa, anak mereka comel atau apa saja. Pada aku, itu adalah tindakan yang bodoh, baik si bapa atau pun si ibu. Kedua-duanya bodoh dan 'ciwi'.

Kita boleh memahami perasaan pasangan yang berkahwin yang baru mendapat anak bagaimana, seronok. Kita juga faham bagaimana perasaan kasih dan sayang pada anak kecil tersebut. Tapi dalam waktu-waktu begitu, waktu-waktu si anak masih merah dan lemah, yang baru tiga empat bulan usianya, biarlah dia di rumah dan dijaga dengan baik. Tak usahlah dedahkannya terlalu awal dengan persekitaran yang kotor dan bahaya.

Aku pernah melihat ibubapa tolol membawa anak yang masih kecil ke stadium menonton perlawanan bolasepak, pernah melihat ibubapa tolol membawa anak yang masih merah lemah ke pawagam, ke pasar malam, ke pusat membeli-belah, bazar ramadhan dan terbaru ke tempat yang penuh sesak untuk berbuka puasa. Sambil tersenyum aku berkata dalam hati, "si bapa/ibu begitu teruja untuk memberi pengalaman hidup kepada si anak".

Tapi aku juga harus bersikap adil. Mungkin tidak ada sesiapa yang ingin menjaga bayi mereka jika mereka keluar rumah, tidak ada pengasuh atau penjaga. Ya betul. Tapi jika begitu halnya, tak usahlah menonton perlawanan bolasepak di stadium atau menonton wayang berdua buat sementara waktu, si bapa pergilah pasar malam, membeli-belah, bazar ramadhan seorang diri saja dulu buat sementara waktu. Dan si ibu menjaga bayi dengan sebaik mungkin di rumah. Biarlah bayi tersebut besar dan kuat dahulu seiring dengan usianya tujuh lapan bulan mungkin, waktu itu bolehlah didedahkan dengan dunia luar.

Aku hanya boleh menulis dan luahkan pendapat aku kerana aku belum mengalami situasi begitu, aku belum ada anak dan bergelar ayah. Tapi apa yang pasti, aku ada prinsip dan had-had yang ditentukan berhubung soal ini. Siapa yang tak suka bergelar ayah/ibu, mendapat anak dan siapa yang tak sayangkan anak, kan? Ilmu keibubapaan itu sangatlah penting, carilah dan pelajarilah ia sebanyak mungkin.

Moshuchi Kata : Aku tak mahu menjadi bapa tolol hehehe...

Monday, August 02, 2010

Kemerdekaan

Selamat datang bulan ogos..bulan kemerdekaan Malaysia, yang akan diraikan pada penghujung bulan nanti. Sepatutnya semalam aku tulis tentang entri ini, tapi 1 ogos aku berada di daerah Padang Terap atas urusan kerja. Sudahlah sekarang jarang-jarang dapat luangkan masa nak menulis. Kerja agak banyak. Tapi itulah kerja namanya, rezeki aku buat makan minum hari ini dan untuk berpuluh tahun lagi sebelum bersara.

Berada di sebuah daerah yang jauh dari kesibukan bandaraya Alor Setar, aku dapat mengenali berbagai bentuk dan rupa, cara dan personaliti manusia. Manusia yang berstatus luar bandar, miskin, biasa-biasa, serba sederhana (kekurangan). Kadangkala geli hati, tertawa, tersenyum dan tertarik dengan telatah mereka. Adakalanya pula timbul perasaan hiba dalam diri. Jurangnya sangat jauh. Pernah aku berasa seperti tak terkejar ketika berada di tengah-tengah metropolitan, dan di sini pula aku merasakan seperti kembali berpuluh-puluh tahun ke belakang. Jurang perbezaan pembangunan dan pemikiran mereka adalah seiring.

Apapun, mereka tetap rakyat yang merdeka. Teringat kata-kata seorang profesor (bekas guru aku di UM dulu) ketika bersama beliau beberapa hari lalu, "negara maju lain dah beratus tahun 'terbentuk', tapi kita baru 53 tahun. Masih terlalu mentah".
Akmal, mungkin hang sangat memahami maksud entri ini.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-53. Jom kibarkan jalur gemilang.

Moshuchi Kata : Dah siap2 dengan dua helai bendera besar...

Sunday, July 18, 2010

Bas Ekspres Sani

Sani Ekspress (SE) boleh dikatakan sebuah syarikat yang masih baru dalam dunia pengendalian pengangkutan bas ekspres. Menariknya ia diusahakan oleh seorang anak muda, Wan Mohamad Sani (sekarang Datuk) yang dahulunya berkecimpung dalam dunia glamor artis. Pernah menubuhkan kumpulan trio bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof, Impression kalau tak silap nama kumpulan depa ni. Tapi tak lama bertahan, lepas tu hilang lesap entah ke mana. Sani pun lesap manakala dua lagi kawannya masih bergiat aktif sebagai pelakon hingga kini.

Tup tup Sani timbul sebagai seorang usahawan bas ekspres, iaitu Sani Ekspress yang menyediakan perkhidmatan bas dua tingkat berwarna merah hati berenjin Scania ni untuk perjalanan jauh sejauh dari Kangar, Perlis serta Kota Bahru, Kelantan ke Kuala Lumpur hingga Shah Alam. Wahh..kira bagus dan bangga jugalah dengan pencapaian Sani ni.

Suatu ketika tidak lama dulu, SE mengalami masa-masa sukar bila mana sebuah basnya mengalami kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan yang mengakibatkan kematian ramai penumpang terutama penumpang di tingkat bawah bas. Ekoran peristiwa itu, tanggapan masyarakat terhadap SE semakin merosot dan menurun. Bayangkan, aku pernah menaiki bas SE dari Alor Setar ke Kuala Lumpur dan penumpangnya adalah seramai lima orang. Begitu takutnya orang ramai untuk menaiki bas SE kerana takut mati hehehe. Tapi selepas kejadian tersebut, alhamdulillah sehingga kini bas SE tidak mengalami apa-apa yang membimbangkan.


Bagi aku, sejak aku mengenali SE dan beberapa kali menaikinya, bas SE adalah pilihan aku kalau hendak ke Kuala Lumpur. Malah semasa suasana orang ramai seperti memboikot atau bimbang menaiki bas SE, aku tetap memilih bas SE. Jika dari Alor Setar ke Kuala Lumpur, tambangnya adalah RM40 iaitu RM1 lebih mahal dari harga tiket bas ekspres syarikat-syarikat lain. Namun begitu aku suka memilih bas SE kerana keselesaan dan mutu perkhidmatan yang disediakan amat berbaloi.

Perjalanan lima ke enam jam tak akan terasa letih dan memenatkan badan malah rasa seronok dan selesa. Kita boleh tidur dengan nyenyak. Bas SE adalah bas berenjin Scania yang baru dan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lengkap. Bagi aku yang paling penting ialah mutu perkhidmatan yang disediakan. Di SE, mutu perkhidmatan yang baik dan bersistematik bermula ketika di kaunter membeli tiket lagi. Layanan pekerja kaunter yang mesra dan mereka semua termasuk pemandu-pemandu sangat kemas dan bersikap membantu. Keadaan bas terutama dalaman bas seperti kusyen dan ruang begitu selesa. Perkara inilah yang aku utamakan kerana perjalanan yang jauh sehingga lima ke enam jam, kita perlukan keselesaan dan keselamatan yang sempurna.

Berdasarkan pemerhatian aku, sekarang ini penerimaan orang ramai terhadap SE semakin baik. Penumpang-penumpang SE semakin banyak. Baguslah. Kita perlu mempunyai pemikiran yang positif. Ajal dan maut di tangan Tuhan dan di mana-mana sekalipun jika sudah sampai ajal kita, kita tak boleh mengelak. Sebab itu dalam suasana fobia terhadap SE, aku tetap memilih SE. Menaiki bas SE tak jauh bezanya dengan menaiki pesawat MAS Kelas Ekonomi, malah mungkin lebih baik/selesa dari itu.

Moshuchi Kata : SE kena bagi diskaun kat aku nih...buat promotion plak hehehe...

Cerita lebih menarik/lanjut baca kat sini (terima kasih zermye adnan) :-http://zermyeadnan.blogspot.com/2009/12/siapa-itu-tuan-punyer-wisma-datuk-sani.html

Tuesday, July 13, 2010

Cara Kita

Kita? Kita yang dimaksudkan aku ialah Melayu..orang Melayu. Aku Melayu dan kamu kamu yang membaca tulisan ini juga kebanyakkannya adalah orang Melayu. Tulisan ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan, memalukan atau mempersenda Melayu..tidak sama sekali tetapi mungkin sekadar untuk menyampaikan kekesalan dan rasa sedih terhadap orang 'kita'.

Contoh 1 : Aku menempah baju di sebuah kedai menjahit baju..kedai orang Melayu. Kenapa aku ke situ? Tentulah untuk menolong sesama Melayu, memberi pendapatan kepada Melayu, menguatkan ikatan sesama Melayu. Tetapi orang Melayu bila berniaga tidak mengamalkan konsep kepuasan pelanggan atau pelanggan diutamakan. Baju yang ditempah lambat siap. Terlewat beberapa hari dari tarikh sebenar pada kad tempahan. Kali ketiga aku ke kedai untuk mengambil baju, barulah dapat. Itu pun pada waktu itu masih dalam keadaan kalut itu dan ini. Tapi tak mengapalah.

Beberapa lama selepas tu, aku sekali lagi ke kedai yang sama untuk menempah baju. Tapi baju orang lain, sengaja di bawa ke situ. Sengaja untuk melihat apakah ada perubahan dan perkembangan. Malangnya perkara yang sama tetap berlaku. Aku sengaja pergi mengambil baju tersebut agak lewat dari tarikh yang tercatit dalam kad tempahan, dengan harapan bila ke sana baju telah siap. Tapi tidak, keadaan kalut-malut masih berlaku. "Saya dah agak mesti tak siap lagi, macam sebelum ni jugak..hrmmm" Itulah yang aku suarakan tanpa mempedulikan perasaan dia lagi. Dia berjanji esok baju siap. Sekarang aku sedang berkira-kira bila untuk ke sana lagi mengambil baju tersebut.

Itulah. Mungkin aku yang bodoh kerana masih ke situ lagi sedangkan sudah tahu situasinya begitu. Aku cuma sekadar ingin memberi peluang dan kepercayaan kepada dia, ingin membantu perniagaan dia. Tapi apa yang pasti, selepas ini aku tak akan menjejakkan kaki ke situ (kedai dia) lagi.

Contoh 2 : Aku rasa situasi ini mungkin kamu kamu yang lain juga pernah mengalaminya. Pernah tak kalau kita ke kedai-kedai runcit atau gerai-gerai makan, ketika untuk membayar kita akan ditanya/diminta duit kecil (syiling)? Contoh; bayaran RM4.30 atau RM5.50 dan sebagainya manakala kita pula memberi RM5.00 atau RM6.00. Mereka akan "ada 30 sen?" atau "ada 50 sen?". Ini memang menyakitkan hati kerana perkara yang sama tidak pernah berlaku di kedai-kedai mamak atau kedai runcit yang bukan orang 'kita' (setakat pengalaman aku). Apa salahnya sediakan syiling yang mencukupi khas untuk baki bayaran. Aku tak faham.

Jadi begitulah keadaannya, orang kita..cara kita. Apakah ianya sudah menjadi budaya, aku sendiri tidak pasti. Mungkin hanya segelintir saja (tidak secara umum) tapi ia tetap suatu amalan yang tidak baik jika ingin berniaga. Perkara-perkara begitu diambil mudah dan dianggap remeh. Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang baik. Aku tidak suka.

Moshuchi Kata : Susahlah bila orang menolong kita tapi kita tak menolong diri sendiri..

Sunday, February 21, 2010

Kita & Budaya Senaman


Aku bekerja pagi (hari) ini. Tapi kebanyakkan yang lain masih bercuti. Waktu pagi begini tentu ada yang masih sedang enak tidur, tentu ada juga yang sedang bersenam (berjoging dan sebagainya) di lokasi kegemaran serta tentu ada juga yang sedang menikmati teh tarik dan roti canai di warung. Semuanya pilihan kita.

Petang semalam aku melalui taman rekreasi tempat selalu aku berjoging, hanya melalui saja kerana aku ada hal lain. Tapi hari sebelum tu aku memanaskan badan juga walaupun tidak sekerap dahulu (dahulu seperti gian berjoging). Seperti biasa tak ramai manusia yang bersenam (joging) sebaliknya lebih banyak yang mundar-mandir, melepak, berkumpul dan berborak, duduk-duduk sambil makan/minum di gerai-gerai dan sebagainya.

Kebanyakkan yang golongan muda-mudi lebih santai bertonggek-tonggek di atas motosikal yang bertongkat beramai-ramai sambil memerhatikan orang yang berjoging. Sekali-sekala ketawa berdekah-dekah. Mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam hanya melepak begitu. Aku pun tak faham.

Fenomena biasa yang aku lihat di sini (taman rekreasi tempat aku selalu joging) tidak ramai 'orang kita' yang datang bersenam. Payah untuk melihat sebilangan yang telah berusia 40-an atau 50-an bersenam. Jika tidak berjoging pun, cukuplah sekadar berjalan laju atau berjalan-jalan keluarkan peluh. Tidak seperti bangsa lain, sudah berumur pun masih bersenam; berjalan laju, berjalan dan paling tidak pun bersenam tai-chi.

Perkara sama aku pernah perhatikan di Taman Tasik Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa. Orang kita tidak sangat membudayakan amalan senaman dalam kehidupan sebaliknya suka berpantang itu dan ini untuk menjaga kesihatan.

Moshuchi Kata : 20 minit sehari 3 kali seminggu..susah ke?

Thursday, January 21, 2010

Menanti Pemandu Teksi Ditampar

1. Menanti pemandu teksi ditampar. Ya, petang tu memang aku tunggu je nak tengok seorang pemandu teksi ditampar atau ditumbuk sebiji di muka atau apa-apa saja. Memang aku tunggu dan mengharapkan ia berlaku di depan mata. Aku tak kisah siapa pemandu teksi tu; Melayu, Cina, India atau apa-apa bangsa pun. Dia patut diajar pada petang tu. Tapi dia bernasib baik. Huhh...

2. Kisahnya. Petang ahad lepas kami berpusing-pusing di tengah Kuala Lumpur, atau lebih tepat lagi sekitar Jalan TAR dan Jalan Masjid India. Kejadian berlaku dekat-dekat dengan Pertama Kompleks. Kesesakan lalulintas memang macam sial la KL waktu tu. Sebuah pacuan 4 roda XTrail dari lorong kedua paling kanan/lorong tengah nak memasuki simpang jalan di sebelah kanan. Pemandunya bagi la signal dan siap buka cermin angkat-angkat tangan lagi bagi isyarat. Dan di lorong paling kanan pula sebuah teksi merah putih. XTrail tu tak terus 'pancung' ke kanan tapi masuk perlahan-lahan. Maklumlah pergerakan kenderaan sangatlah perlahan. Semakin dia ke kanan semakin galak teksi tu 'mencucuk' (menutup ruang supaya XTrail tu tak boleh ke kanan).

Sekadar gambar hiasan.
3. Teksi sial tu terus mencucuk-cucuk. Akhirnya, XTrail berhenti. Seorang lelaki Melayu bertopi besbol keluar. Dia mula memaki-hamun dan marah-marah (aku tak dengar butir kata-katanya sebab tak buka cermin. Lagipun ada sebuah lagi kereta lain di depan kereta kami) sambil menunjuk-nunjuk ke arah bumper XTrailnya. Perlanggaran masih belum berlaku tapi dia mungkin menerangkan akibat jika teksi tu terus 'mencucuk-cucuk' keretanya. Sambil tu dia juga menyuruh pemandu teksi tu keluar dari teksi. Lama dia menunggu. Pemandu teksi tu pula, lelaki India, senyap je dalam teksi. Tak respon apa-apa pun. Hahh..tahu takut kau.

4. Tak berani keluar dia. Dia tau dia salah. Kalau keluar mahu kena penampar atau penumbuk sebiji dua. Tahu takut. Kebanyakkannya (kebanyakkan..ya) pemandu teksi di Kuala Lumpur memang sangatlah kurang ajar. Tidak ada langsung nilai-nilai pemanduan berhemah, bertimbang rasa apatah lagi mematuhi undang-undang lalulintas. Main redah je. Selamba je masuk kiri atau kanan tanpa signal. Lepas tu kalau nak berhenti pula, ikut suka hati je macam jalan kampung dia je dibuatnya. Mereka juga suka 'mencucuk-cucuk' sebab mereka tahu kenderaan lain akan memberi laluan. Mereka selalu menang di jalan raya sebab tu mereka sangat biadap.

5. Aku tak kira, pada aku sama je pemandu teksi yang macam sial ni..maaf la cakap. Tak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain bangsa. Paling sial, sekali lagi maaf cakap..pemandu teksi India. Bukan semua tapi kebanyakkannya memang kurang ajar dan sangat biadap di jalan raya. Bukan kes di atas je, sebelum pada tu ada lagi kes lain. Kisahnya, pada petang yang sama juga di sebatang jalan di KL. Sedang anggota Polis Trafik dok jaga laluan dan bagi arahan lalulintas di simpang jalan, selamba je pemandu teksi tu redah. Padahal laluannya masih dalam arahan berhenti. Selamba je redah depan Polis. Kes ni teksi berwarna kuning dan pemandunya adalah berbangsa India. Ini bukan bersifat perkauman..ya, tapi kenyataan. Pemandu dari bangsa lain juga sama saja, kebanyakkannya sangat biadap.

6. Aku pun hairan. Kenapa perangai pemandu-pemandu teksi di KL kebanyakkannya sangat biadap dan kurang ajar. Di tempat lain tak macam tu. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian aku, di Kangar tak berlaku, di Alor Setar juga tak berlaku. Adakah disebabkan suasana atau persekitaran lalulintas di sesebuah bandar? Mungkin KL kesesakannya macam sial, sebab itu juga corak pemanduan pemandu teksinya juga macam sial? Setuju begitu? Andai setuju begitu takkanlah sampai sanggup melanggar undang-undang, jadi samseng jalanan dan tak menghormati anggota penguatkuasa di depan mata?

7. Bukan teksi saja. Satu lagi samseng jalanan di tengah-tengah bandaraya KL ialah bas Metrobus hijau putih biru ni. Memang corak pemanduannya macam sial. Ini sial kategori besar. Aku dah banyak kali kena. Walaupun kita di laluan yang betul atau di jalan yang betul, janganlah melawan. Biar je apa diorang nak buat, nak lalu, nak masuk, ke kanan ke kiri dan sebagainya. Kalau tak, kereta sendiri yang cacat sana cacat sini. Aku percaya korang (yang hidup di KL) dah biasa dengan karenah samseng-samseng jalanan ini. Dalam kes bas sial ni memang takkan ada la kereta atau kenderaan lain yang lebih kecil yang berani berhenti dan keluar untuk marah-marah pemandu bas. Mungkin ada cuma kejadian tu belum terjadi barangkali.

Sekadar gambar hiasan
8. Kadang-kadang malas nak fikir benda-benda sial macam ni, tapi hati sangat geram. Petang tu memang aku mengharapkan sebiji penampar atau penumbuk hinggap di pipi, tapi dia bernasib baik. Minta maaf pemandu-pemandu teksi dan bas yang baik serta berhemah, bukan anda tapi rakan-rakan anda yang lain yang kerana "nila setitik rosak susu sebelanga". Tapi kenyataan yang anda harus telan, kebanyakkan rakan anda itu memang macam sial. Maaf cakap.

Moshuchi Kata : Bertimbang rasalah di jalan raya. Sekali-sekala apa salahnya "biar buku bertemu ruas"...kan?

Monday, September 14, 2009

Tunggu Dan Lihat

Bila kaki melangkah masuk ke ruang legar/lobi Suria KLCC, kagum melihat sebuah rumah tradisional Melayu tersergam indah. Hati juga berbangga apabila karya kartunis besar negara, Dato' Lat diabadikan sebagai latar untuk promosi sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti. Ia menggambarkan suasana sibuk membuat persiapan di sebuah rumah menjelang hari raya. Apa pun hanya itu sahaja yang ada. Begitu juga ketika kaki sempat ke Mid Valley, ruang legarnya juga berkonsepkan yang sama namun jauh lebih suram berbanding di KLCC. Tetapi karya Dato' Lat tidak digunapakai seperti di KLCC. Pasti anda semua akan perasan jika berkunjung ke sana.

Kita tunggu dan lihat sajalah, apakah pula yang akan berlaku apabila menjelangnya musim perayaan Hari Krismas atau Tahun Baru Cina nanti. Tunggu dan lihat sajalah nanti, selepas itu kita kembali berkomen.

Biar saya tolong makcik kacau dodol ya...hehehe

Kita tunggu dan lihat sajalah nanti bagaimana.

Sunday, July 05, 2009

Siot La Mamat Ni

Siot betul. Memalukan. Mencemarkan imej Islam dan Melayu. Dah tua tapi kaki ekor. Muka tak tahu malu. Aduuhh..ada juga manusia bahalolll macam ni.

Manusia itu tidak sempurna, betul. Adakah ini juga dikategorikan sebagai tidak sempurna? Tak sempurnakah akal dan fikiran dia? Kesian. Tapi macam s**l.

Sunday, June 07, 2009

Potong Q dan Potong Kiri Paling Aku Hangin

Ini situasi paling aku hangin. Mau je aku pegi tampar pelempang sekor-sekor. Hari tu petang Khamis, macam biasa ada pasar malam kat satu tempat tu. Orang sekitar Alor Setar semua mesti tau ada pasar malam situ. Macam biasa la, kalau pasar malam kat sini, kalau boleh atas jalan tu nak diletaknya meja menjual itu ini. Kalau boleh nak tutup terus jalanraya tu. Apa punya perangai la diorang ni. Dah lama aku perhatikan, PBT macam makan gaji buta je. Ok lupakan pasal tu.

Ni pasal potong Q dan potong kiri ni. Biasanya 1km atau 2 km sebelum tempat pasar malam, jalan dah sesak dan kenderaan bergerak perlahan. Dah tau ada pasar malam kat depan, ehh dia nak potong Q juga, potong kiri juga. Akhirnya nanti makin sesak dan perlahan sebab diorang terhegeh-hegeh nak masuk lane balik di hujung jalan. Apa salahnya tunggu giliran, lama-lama nanti sampai juga. Adoii bengang betui aku dengan situasi macam ni. Sebab tu aku tak pernah bagi peluang kat kereta yang tak malu potong Q pastu terkial-kial nak masuk lane balik. Kalau ada lori balak kat depan biar lunyai kena langgar.

Kalau ada korang yang bertabiat macam ni, sorilah. Aku benci betul orang yang takde kesedaran sivik macam ni. Kalau ada ubah-ubahlah perangai tu, kot-kot nanti orang yang aku nak pelempang tu adalah kawan-kawan plak.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.