Showing posts with label Peribahasa. Show all posts
Showing posts with label Peribahasa. Show all posts

Monday, June 25, 2012

Peribahasa Bulan Ini : Perumpamaan

Bulan Jun ni dalam ruangan Peribahasa kita akan melihat lagi beberapa peribahasa dari kategori perumpamaan. Apa itu perumpamaan?

Perumpamaan ialah perbandingan makna yang sangat jelas kerana ia didahului oleh perkataan seolah-olah, bak, seperti, umpama, laksana, bagai, ibarat dan macam. Istilah pinjaman Inggeris bagi perumpamaan ialah Simili. Antara perumpamaan bulan ini adalah seperti berikut;

Bagai anak dara sudah berlaki
Gadis tidak pemalu, pemalas lagi pengotor.

Bagai ikan lampam di air jamban
Anak yang sihat, lekas besar; makan hasil perbuatan maksiat.

Ibarat gasing; berpaku tetap berpusing, tak berpaku merayau
Lelaki yang sudah beristeri, ke mana pergi tentu pulang ke rumah.

Laksana asam dengan garam
Kalau jodoh bertemu juga, walaupun jauh.

Laksana janda baru bangun tidur
Perempuan yang mengghairahkan laki-laki.

Macam kapal tiga tiang
Rupawan dan anggun.

Macam datin-datin
Tidak bergelar datin tapi berlagak seperti isteri orang ternama.

Umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul jua
Orang yang baik, walau di mana dimuliakan juga.

Umpama pucuk dan umbut, tiada lauk baru dibaham
Apabila tiada pilihan yang lain, baru digunakan.

Moshuchi Kata : umpama batang pinang..sayalah tu hehehe.

Thursday, May 03, 2012

Peribahasa Bulan Ini - MAIN

Baiklah murid-murid (hehehe..), kita bertemu lagi dalam segmen peribahasa. Kali ini, aku (aku? bunyi macam keras je kan bagi hubungan antara cikgu dan murid? takpe-takpe ini semua murid tua hehehe) akan mengambil peribahasa dari keluarga Simpulan Bahasa (SB).

Apakah SB? Bagaimana untuk memahaminya? SB merupakan ungkapan yang biasanya terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal perkataan-perkataan tersebut. Contohnya Hari Jadi = ulang tahun tarikh lahir, Lampu Hijau = izin untuk melakukan sesuatu dan Makan Gaji = mencari nafkah secara bekerja dengan majikan. Sekarang dah faham kan? Bagus.

Untuk itu, peribahasa (SB) kali ini adalah berkaitan dengan MAIN. Main bukan sebarang main, banyak SB yang bertemakan perkataan main kadangkala kita tak tahu maknanya atau kita jarang-jarang dengar/guna. Jom kita pelajari bersama-sama dan menggunakannya dengan betul dalam percakapan atau penulisan (bila perlu).

Main = Bersetubuh
Main Angin = Cakap dusta
Main Api = Berasmara
Main Perempuan = Berzina
Main Duit = Berniaga
Main Gajah-Gajahan = Main catur
Main Gampang-Gampangan = Asal buat saja, tentu tidak sempurna.
Main Gila/Main Kayu/Main Kayu Tiga/Main Sikut = Curang
Main Gila-Gila = Melakukan sesuatu secara berlebih-lebihan.
Main Hentam Kromo = Tanpa berfikir dahulu
Main Muda = Berseronok-seronok
Main Panas = Suka bermain di bawah cahaya matahari
Main Kartu/Main Pancing = Berjudi/bermain daun terup
Main Kong Kalikong = Tipu muslihat
Main Siku = Berlaku curang, menipu dan mencuri.
Main Kotor = Perbuatan tidak beretika.
Main Tubruk/Main Teka/Main Tembak = Agak-agak saja.
Main Tempel = Mencuri untung dengan mendampingi orang-orang yang berkuasa.

Akhir sekali (walau banyak lagi) ialah Mainan Hati = Anak kesayangan ibu bapa.

Sekian dulu untuk kali ini. Setiap peribahasa itu tiada lain hanya untuk menjadi teguran yang paling berlemah-lembut di atas setiap perbuatan kita. Yang baik jadikan teladan yang sebaliknya dijauhkan.

Moshuchi Kata : masa kecik2 dulu suka main tuju kasut...

Tuesday, April 03, 2012

Peribahasa Bulan Ini

Segmen Peribahasa kembali lagi. Ermm agak lama entri Peribahasa ni tak ditulis. Harapnya selepas ni segmen (hehe segmen konon..macam rancangan tv la pula) Peribahasa akan ditulis setiap bulan.

Peribahasa bulan ini aku akan ambil daripada keluarga Pepatah. Sebelum tu, untuk pengetahuan semua, Peribahasa adalah tergolong dalam Bahasa Kiasan yakni ungkapan-ungkapan yang maknanya tidak boleh diketahui daripada makna perkataan itu sendiri ataupun daripada susunan tatabahasanya. Peribahasa pula dipecahkan kepada 4 keluarga iaitu Simpulan Bahasa, Perumpamaan, Pepatah dan Bidalan.

Jadi, Peribahasa (Pepatah) kali ini adalah :-

Hangat tiada berapi, sejuk tiada berair
Orang jahat walaupun diberi kesenangan, kalau ada peluang akan mengulangi perbuatan jahatnya.

Hanya air dingin yang dapat memadamkan api
Kata-kata yang lemah lembut dapat menyejukkan hati yang sedang marah.

Hari baik dibuang-buang, hari buruk dikejar-kejar
Masa ada kesempatan dibiarkan berlalu, bila tiada baru tergopoh-gapah.

Begitulah, salah satu keistimewaan Bahasa Melayu ialah kekayaan bentuk-bentuk bahasa kiasan yang terdapat di dalamnya yang mana kadangkala ia sangat aktif digunakan hari-hari.

Moshuchi Kata : Cintai bahasa kita...

Sunday, March 08, 2009

Peribahasa Hari Ini

Kita sambung semula kelas peribahasa kita..yang menampilkan peribahasa-peribahasa yang jarang-jarang kita dengar apatah lagi untuk menyelitkannya dalam pertuturan seharian.

Bagai guna alu-alu, sesudah menumbuk dicampakkan,
Dihargai hanya sewaktu berguna.

Bagai kelip terbang malam,
Rahsia yang diketahui orang.

Bagai ayam naik surau,
Datang tapi tidak dijamu/dilayan.

Belum bertaji hendak berkokok,
Belum banyak ilmu tapi sudah hendak menyombong.

Belum terangkat kening,
Sebelum pukul 7.00 pagi.

Empat sudah bersimpul satu,
Sempurna bila ada ilmu, berakal, mahir dan rajin.

Hilang geli kerana geletek,
Kalau sudah biasa, yang susah pun tak terasa lagi.

Lain yang bengkak lain yang bernanah,
Lain yang salah lain yang dituduh.

bersambung...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.