Sunday, November 23, 2008

Melayu Perlu Berubah


Dipetik (tidak secara keseluruhan) daripada Wawancara Khas Bersama Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz Mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada 9 April 2006 oleh wartawan Mingguan Malaysia, Noor Azam Shairi dan nashkah ini diterbitkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan.

Pandangan Pak Ungku tentang usaha untuk membangunkan kawasan ekonomi baru (koridor) ;

"Ini sesuatu yang baik tetapi pada masa yang sama, kita harus berhati-hati. Kita harus menggunakan pembangunan koridor baru itu untuk kemajuan orang Melayu di desa. Apabila kita membuka jalan dan kawasan pembangunan baru kita harus juga memerhatikan siapa yang masuk dan membuka perniagaan di situ".

"Saya percaya akan ada orang yang datang untuk membeli tanah, membuka kawasan perumahan dan perindustrian. Tetapi apakah orang Melayu di kawasan itu akan merebut peluang itu, atau mendapat manfaatnya?"

"Kita perlu menyelesaikan masalah-masalah ini kalau kita mahu meningkatkan keadaan sosioekonomi orang Melayu. Kita perlu mengubah mindset".

Ini soal sikap, apa lagi masalah orang Melayu?

"Masalahnya ialah perspektif dunia dan pemimpin yang banyak bercakap serta sentiasa berfikir untuk menukar butang pada kotnya, daripada butang biasa kepada butang emas; selalu memikirkan tentang pangkat dan stail, dan kurang memikirkan tentang rakyat".

Apakah yang boleh menggagalkan usaha-usaha ke arah perubahan?

"Kuncinya ialah bagaimana memberikan perkhidmatan kepada rakyat, bukannya untuk kepentingan diri sendiri, atau rasuah dan penyelewengan. Perkara yang paling utama ialah penyampaian. Kita ada idea yang baik dan sumber yang baik tetapi bagaimana hendak memastikan ia tidak diselewengkan oleh birokrat atau korporat yang tidak jujur".

Bagaimana hendak selesaikan masalah rasuah?

"Kita harus menekankan bahawa rasuah itu satu dosa, baik penerima mahupun pemberi. Kalau ada rasa seperti itu, dalam hati nurani mereka akan timbul kesedaran untuk tidak melakukannya".

Apa lagi yang perlu orang Melayu lakukan?

"Orang Melayu mesti kiasu sedikit. Mesti ada perasaan mahu berjaya, tidak kira apa juga halnya dan tidak pedulikan orang lain. Orang Melayu mesti mula berfikir mementingkan diri sendiri".

Bagaimana mahu mengatasi masalah sikap?

"Inilah yang harus diberikan perhatian sekarang - membina satu sikap baru".

"Tentunya bukan dengan syarahan dan ceramah. Kita mesti menunjukkan contoh, memberikan latihhan dan paksa mereka buat. Orang Melayu mudah berubah dan memberikan respons yang lebih baik dengan paksaan berbanding pujuk rayu. Kalau kita pujuk-memujuk, nanti ada pelbagai alasan macam loyar buruk".

"Mereka memerlukan orang yang boleh mengatakan "Buat!". Kita mesti paksa kalau kita mahu membetulkan perspektif orang Melayu. Kita mesti jelas tentang apa yang kita mahu mereka lakukan".

"Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya adalah satu daripada kejayaan cara paksaan ini. Kita pilih anak desa untuk diberikan peluang, dan kita paksa mereka; kalau lulus baru boleh naik semester, kalau tidak balik kampung. Selepas lulus dua semester, mereka masuk ke fakulti perubatan dan kejuruteraan".

"Kita boleh lihat kejayaan paksaan itu daripada senarai nama mereka yang pernah melalui Pusat Asasi Sains. Tetapi malangnya ia sekarang disabotaj sejak beberapa tahun lalu....".

Harapan Pak Ungku ;

"Kita mesti hadapi ini dengan sikap yang jujur dan berani. Kita tidak boleh lagi segan. Kita mesti tegas dan berani mengatakan bahawa kita orang Melayu, dan kita mahu menakluki dunia. Kenapa harus segan? Kenapa malu mengaku Melayu dan mengatakan kita orang Malaysia. Kalau Melayu, Melayulah".

"Kita mesti melahirkan lebih banyak usahawan yang naik dan jatuh kerana mereka berani mengambil risiko. Keberanian itulah yang akan menentukan seseorang usahawan itu berjaya, atau kurang berjaya atau rugi tetapi mampu bangun semula".

"Kalau mahu jadi usahawan kita mesti kiasu. Kalau untung, untung. Kalau rugi, sanggup bangun semula".

2 comments:

Anonymous said...

yati pernah berdiskusi dengan seorang sahabat mengenai perkara ini. kami berdua berpendapat, mungkin sudah tiba masanya kita memerlukan seorang pemimpin yang sedikit autokratik (diktator bunyinya mcm agak negatif kan?). kena paksa. memang betul, yati sangat setuju.

melayu ini mudah complacent. mudah rasa selesa. kita harus bersyukur dengan apa yang kita ada, tapi kita juga kena berusaha untuk menjadi lebih baik daripada keadaan kita sekarang.

Encik Moshuchi said...

Betul, pemimpin yang bagus adalah yang boleh memainkan dua peranan; autokratik dan liberal mengikut kesesuaian dan keperluan semasa dalam negara.
Barulah individu yang memainkan dua peranan tersebut dengan baik boleh dikatakan seorang 'Hero'.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.