Wednesday, March 18, 2009

Macam Hendak Kiamat

Bilik pejabat aku di Aras 4 Blok B Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan (Mini Putrajaya) di Anak Bukit, Alor Setar ni mengadap ke arah Barat. Jadinya sebelah pagi agak sejuk sehinggalah membawa ke tengahari. Petang pula sekitar pukul 4.00 matahari sudah mula mengetuk cermin dengan cahaya yang terang benderang kerana telah bergerak ke arah Timur dan aku cepat-cepat menghalangnya dengan langsir. Tapi petang semalam (orang Kedah kata kelmarin) aku terperasan yang cahaya mentari petang tak masuk-masuk. Aku toleh ke belakang, masyaAllah.

Terdiam aku; terkejut dan rasa semacam takut. Aku dapat melihat dengan jelas awan hitam tebal di langit bergulung-gulung, memintal-mintal sesama sendiri seperti sedang bertarung. Keadaan sekeliling sangat gelap walaupun masih awal petang. Sawah padi yang luas dan sebongkah Gunung Keriang semakin hilang dalam cahaya hitam. Aku terus melekat di kerusi sambil merapat ke dinding cermin. Kerja terhenti. Aku asyik memandang ke langit, rasa takut dan tertanya-tanya dalam hati, bagaimanakah keadaannya apabila datangnya 'hari kehancuran' nanti. Alhamdulillah, setelah hampir 20 minit, awan hitam semakin menipis dan setitis hujan pun tak terjun ke bumi.

Sunday, March 08, 2009

Polis vs Penjenayah


Kebelakangan ini banyak kejadian berbalas tembakan antara pasukan Polis dan penjenayah yang tentunya akan berpihak kepada pasukan keselamatan itu. Namun ada sesetengah pihak yang kurang berpuas hati (tidak berpuas hati sebenarnya) dengan kaedah begitu dan mengatakan tindakan begitu kejam dan sebagainya.

Inilah yang peliknya masyarakat kita, apabila berasa terancam atau terancam atau menjadi mangsa sesuatu kejahatan oleh penjahat/penjenayah, berbuih-buih mulut menyalahkan pihak keselamatan kerana tidak bertindak dan sebagainya. Kini apabila pasukan keselamatan bertindak seperti sepatutnya, masih mahu menyalahkan, masih ingin mencari salah orang lain, tidak pernah sedar dan berterima kasih.


Terang-terangan semua yang mati ditembak adalah penjahat/penjenayah. Mereka bukan pencuri roti di kedai runcit atau penyeluk saku sepuluh dua puluh ringgit tepi jalan tetapi jelas mereka adalah pembunuh, perompak, perogol, pengedar dadah dan sebagainya mengikut kepakaran masing-masing dan jenayah yang mereka lakukan sangat serius serta secara besar-besaran. Lebih jelas bahawa mereka sangat berbahaya ialah mereka mempunyai kelengkapan senjata/senjata api yang berbagai, rekod jenayah yang tak sudah-sudah malah tidak teragak-agak untuk menembak (membunuh) anggota pasukan keselamatan.

Kita kena sedar perkara ini, soal keselamatan negara dan ketenteraman awam tidak boleh dikompromi sama sekali. Walau siapapun mereka; warga asing dari berbagai negara, warga tempatan sendiri yang berbilang bangsa, warna kulit dan sebagainya, jenayah/kejahatan mesti ditumpaskan. Janganlah kita dipengaruhi emosi yang cetek dalam menangani perkara penting seumpama ini.

Apakah apabila rumah dan harta benda kita dirompak, saudara-mara dibunuh, anak-anak gadis dirogol atau ketika parang berada di leher baru kita hendak sedar?

Semoga dengan tindakan-tindakan begini, jenayah dapat dikurangkan, penjenayah menjadi semakin takut dan keselamatan negara (kita) sentiasa terjamin. Syabas pasukan Polis DiRaja Malaysia.

Peribahasa Hari Ini

Kita sambung semula kelas peribahasa kita..yang menampilkan peribahasa-peribahasa yang jarang-jarang kita dengar apatah lagi untuk menyelitkannya dalam pertuturan seharian.

Bagai guna alu-alu, sesudah menumbuk dicampakkan,
Dihargai hanya sewaktu berguna.

Bagai kelip terbang malam,
Rahsia yang diketahui orang.

Bagai ayam naik surau,
Datang tapi tidak dijamu/dilayan.

Belum bertaji hendak berkokok,
Belum banyak ilmu tapi sudah hendak menyombong.

Belum terangkat kening,
Sebelum pukul 7.00 pagi.

Empat sudah bersimpul satu,
Sempurna bila ada ilmu, berakal, mahir dan rajin.

Hilang geli kerana geletek,
Kalau sudah biasa, yang susah pun tak terasa lagi.

Lain yang bengkak lain yang bernanah,
Lain yang salah lain yang dituduh.

bersambung...

Kisah Hari Graduasi II

Bersama Frankie, salah seorang penuntut cemerlang..




Kadang-kadang dah muak ngan gambar 'perisai manusia' camni..


2 Mac... Raptai penuh diadakan. Bukan belasan atau puluhan, tapi ratusan wajah..lelaki dan perempuan berada di depan mata. Wajah yang setiap satunya ada cerita tersendiri. Wajah-wajah yang membangkitkan aneka perasaan - cinta, kasih, suka, sayang, bangga, semangat, seronok, ceria, kasihan, terharu, sedih, bengang, marah, geram, meluat dan benci sepanjang 6 bulan bersama.

3 Mac... Hari konvokesyen. Semuanya berpakaian putih kuning-kuning air, segak dan cantik sekali. Pada hari itu juga segala aneka perasaan itu kembali berkocak..perasaan yang baik dan murni terus dikekalkan dan yang sebaliknya pula telah dibuang jauh-jauh ke dalam tasik. Itulah yang sebetulnya. Bersihkan hati seputih baju istiadat pada hari itu. Persahabatan adalah segala-galanya.


Kisah Hari Graduasi I

2 Mac...seawal 8.00 pagi Speedo aku dah memasuki ruang parkir PICC. Ada raptai penuh pulak hari ni. Biasalah tu mana-mana majlis konvokesyen mesti ada raptai. Tapi tak sangka pula raptai tu memakan masa sehari suntuk hingga ke petang. Dulu di universiti ada raptai juga tapi pelajar-pelajar telah ditunjukkan tatacara dan kaedah menerima anugerah walaupun tanpa hadir ke dewan utama. Majlis tetap meriah tanpa cacat-cela. Mungkin cara pengurusan dan kendaliannya yang membezakan keduanya. Tak kisahlah, dulu semasa anugerah pentauliahan Agong/perbarisan tamat latihan PALAPES, raptai penuh dan persediaan saja sehingga tiga minggu. Kalau sehari suntuk ni apalah sangat. Mungkin disebabkan dapat bertemu semula kawan-kawan lama dan bercerita itu ini, sehari suntuk tu tak la terasa sangat (walaupun perut mencerut-cerut, kosong dari pagi hingga petang).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.