Thursday, February 25, 2010

Cinta Ini

Betapa engkau menyintai
agungkan aku bagai seorang puteri
selalu kau puja diriku ini
melayang aku tak memijak bumi

Namun terkadang ku rasakan
apakah sikapmu tak berlebihan
aku wanita tak sempurna
bukan sekilaunya batu permata

Marilah bersama jalani cinta kita apa adanya
saling mengerti dan sudi menerima
kita manusia biasa
Marilah menjaga kesucian cinta rahmat yang kuasa
saling berpadu hati kita berdua
dalam dakapan mesra

Nikmat suka berbagai duka
seiring dengamnu aku bahagia
genggam jemari dan berjanji
setia selamanya sampai akhir nanti

Moshuchi Kata : sebuah lagu, sebuah puisi, sebuah cinta, sebuah hati (yang di dalamnya ada dua jiwa)

Tuesday, February 23, 2010

Solo Camping

Solo Camping atau berkhemah secara solo/seorang diri. Saja aku nak mengimbau kenangan sewaktu menjalani kursus di Outward Bound School (OBS) dulu. Salah satu modul kursus yang perlu dilengkapkan ialah solo camping ni.

Tentu rakan-rakan sekursus mempunyai kenangan dan ragam masing-masing sepanjang sehari semalam menjalani solo camping ini. Aku percaya itu tentunya menjadi kenangan terindah dalam hidup masing-masing, kerana sepanjang hidup tidak pernah mengalami pengalaman bagaimana rasanya solo camping.

Semasa kursus tersebut, tidaklah dianggap solo camping yang sebenar-benarnya kerana kita masih mempunyai rakan-rakan di sekeliling, kita tahu rakan-rakan kita berada dalam jarak 10 ke 20 meter dari kita. Walaupun begitu, apabila berada di dalam hutan seorang diri, apabila kelam hutan serta unggas malam berbunyi, tentunya membuatkan hati tak tenteram. Perasaan takut adalah perkara biasa.

Ketika menjalani modul tersebut, aku adalah orang terakhir dalam kumpulan. Bermakna aku adalah orang yang paling dalam/jauh kedudukannya dalam hutan. Kedudukan pula di kawasan yang sedikit berbukit dan dari khemah aku boleh melihat kawasan hutan sepenuhnya. Khemah/kedudukan orang kedua terakhir juga dapat dilihat sedikit dari tempat aku. Tetapi untuk pergi kepadanya atau ke khemah rakan-rakan yang lain tidak sama sekali kerana itulah peraturannya. Tetapi sebelum matahari jatuh, ada seorang dua rakan yang datang ke tempat aku.

Aku rasa seronok solo camping ini walaupun pada awalnya hati tak sesedap mana. Maklumlah masuk ke kawasan/hutan baru, yang kita belum biasa/kenal. Sewaktu kecil aku selalu mengikut TokWan (datuk aku yang kini berusia 104 tahun) masuk ke hutan mencari kayu dan herba. Katanya jika hutan sudah mengenali kita, takkan ada masalah. Sebab itulah, sebelum aku mendirikan khemah, aku telah membersihkan kawasan tersebut serta 'memagarnya' di empat penjuru. Itu juga yang pernah dipesankan oleh TokWan aku dulu.

Solo camping adalah sangat bagus. Samada di dalam hutan, di tepi sungai atau tasik, di tepi pantai dan sebagainya. Ia menuntut untuk kita bermuhasabah diri, mengenal kekuatan diri sendiri, kekuatan semangat dalam diri dan untuk kita menikmati keindahan ciptaan Tuhan. Pengalaman solo camping tersebut cukup indah. Sebelum matahari terbenam aku menyiapkan khemah. Kemudian menikmati saat indahnya langit sewaktu matahari jatuh. Selepas itu membuat unggun api dan siapkan makanan. Unggun api cukup besar dan marak. Batang-batang kayu sebagai habuan api telah aku cari sejak petang, cukup untuk api makan sehingga dinihari.

Sebenarnya solo camping bagi kumpulan aku (watch Beremban) pada hari Khamis, bermakna malam Jumaat. Cukup menarik. Malamnya sekitar pukul 9.00 malam angin kencang dan hujan lebat turun berserta kilat. Cukup menguji ketahanan mental dan semangat. Hujan tidak lama mana, akhirnya berhenti. Aku kembali menghidupkan unggun api kerana bara-baranya masih hidup. Api kembali menjulang. Ketika selepas hujan, di waktu malam dan di dalam hutan, suatu pemandangan yang indah terbentang di langit. Itu yang aku nikmati pada malam itu. Sayangnya rakan-rakan yang lain bersembunyi diri dalam khemah masing-masing.

Aku berada di luar khemah; menikmati malam dan panas unggun api, menikmati biskut dan teh panas, memandang seluruh alam hutan, memandang langit yang berbalam-balam sambil bermuhasabah diri. Lebih kurang pukul 2 pagi barulah aku masuk ke khemah dan tidur. Aku merasakan telah berjaya mencapai maksud/tujuan solo camping tersebut. Aku rasa puas dan tenang. Ini bukan solo camping yang pertama aku, atau bukan kali pertama aku bermalam di dalam hutan, tetapi solo camping inilah yang betul-betul memberi kepuasan kepada aku. Sedangkan rakan-rakan yang lain melepaskan peluang untuk menguji betapa kuatnya semangat diri masing-masing.

Bila teringat balik ragam rakan-rakan ketika solo camping, geli hati juga dibuatnya. Ada yang berkata ternampak hantulah, ada hantu mencakar-cakar khemahlah, ada pula siapkan makanan awal-awal, makan dan terus masuk dalam khemah tak keluar-keluar sehingga keesokkan harinya, ada juga yang meminum ubat batuk melebihi dos supaya cepat mengantuk dan cepat tidur dan sebagainya. Pilihan masing-masing. Solo camping adalah bertujuan untuk kita bermuhasabah diri dan juga menikmati malam/alam ciptaan Tuhan dengan tenang, itu saja.

Moshuchi Kata : Ketika bertapa (modul terakhir untuk melengkapkan ilmu persilatan dahulu), langsung tak boleh tidur. Hanya duduk bersila sambil berzikir sampai ke pagi. Padan muka hehehe.

Sunday, February 21, 2010

Eight Below

Ini bukan sinopsis untuk filem terbaru atau popular di pawagam sekarang tetapi saja aku nak berkongsi tentang filem ni. Perkara yang baik apa salahnya dikongsi bersama. Malam tadi aku tonton filem keluaran Walt Disney ni di TV3. Mungkin ada antara korang yang tengok juga. Bagaimana, menarik kan?

Mengisahkan keakraban dan kasih sayang seorang ketua ekspedisi Antartika lakonan Paul Walker dengan sekumpulan (8 ekor) anjing-anjing salji penarik 'kereta salji'nya. Ketika melakukan satu ekspedisi bersama seorang profesor untuk mendapatkan batu/tahi bintang yang dikatakan dari planet Utarid, mereka diarahkan pulang ke kem kerana ribut besar akan melanda. Dalam masa yang sama, kemalangan telah berlaku dan profesor berkenaan telah mengalami kecederaan yang teruk. Dengan bantuan anjing-anjing salji tersebut, profesor berjaya diselamatkan dan mereka selamat sampai ke kem. Kemudian mereka meninggalkan Antartika dan anjing-anjing tersebut terpaksa ditinggalkan buat sementara waktu.

Anjing-anjing salji telah ditambatkan di luar kem kerana dia (Paul Walker) akan datang semula untuk mengambil mereka kemudian sambil berpesan kepada Maya untuk menjaga rakan-rakannya. Setelah empat hari berlalu, dia berusaha untuk kembali ke Antartika tetapi usahanya tidak berjaya kerana dihalang oleh berbagai agensi bertanggungjawab ekoran cuaca buruk dan faktor keselamatan. Manakala di kem, anjing-anjing salji yang diketuai oleh Maya berjaya melepaskan diri dari ikatan, bersedia untuk bergerak (mencari makanan). Hanya seekor sahaja iaitu Old Jack yang setia di tambatan dan akhirnya mati di situ.

Akhirnya setelah hampir 6 bulan kemudian, barulah dia berjaya sampai ke kem (Antartika) semula dan menyelamatkan anjing-anjing salji kesayangannya. Bagaimanapun, hanya 6 ekor saja dapat bertahan dan selamat. Dua ekor telah mati; selain Old Jack, seekor lagi mati setelah terjatuh ke dalam gaung. Manakala Maya mengalami kecederaan kaki setelah diserang oleh Anjing Laut Harimau.

Cerita ini memang menarik. Tapi apa yg lebih menarik ialah elemen kasih sayang antara manusia dan haiwan serta haiwan dengan haiwan. Pada aku, 8 ekor anjing salji tersebut adalah pelakon yang baik terutama Maya dan Max. Sepanjang 6 bulan bertarung nyawa untuk meneruskan hidup, mereka semua berjaya menghidupkan watak yang penuh emosi; semangat setiakawan, bekerjasama, hormat-menghormati dan semangat kepimpinan yang tinggi sedangkan mereka semua adalah haiwan. Cukup menyentuh hati.

Carilah filem ini dan tak rugi menontonnya. Terlupa, filem ini adalah 'base on true story' sebuah penghargaan buat sekumpulan anjing-anjing salji penarik 'kereta salji'.

Moshuchi Kata : Sedih bila manusia pula yang tidak punya kasih sayang dan perikemanusiaan - buang bayi merata-rata sedangkan anjing pun tidak begitu.

Kita & Budaya Senaman


Aku bekerja pagi (hari) ini. Tapi kebanyakkan yang lain masih bercuti. Waktu pagi begini tentu ada yang masih sedang enak tidur, tentu ada juga yang sedang bersenam (berjoging dan sebagainya) di lokasi kegemaran serta tentu ada juga yang sedang menikmati teh tarik dan roti canai di warung. Semuanya pilihan kita.

Petang semalam aku melalui taman rekreasi tempat selalu aku berjoging, hanya melalui saja kerana aku ada hal lain. Tapi hari sebelum tu aku memanaskan badan juga walaupun tidak sekerap dahulu (dahulu seperti gian berjoging). Seperti biasa tak ramai manusia yang bersenam (joging) sebaliknya lebih banyak yang mundar-mandir, melepak, berkumpul dan berborak, duduk-duduk sambil makan/minum di gerai-gerai dan sebagainya.

Kebanyakkan yang golongan muda-mudi lebih santai bertonggek-tonggek di atas motosikal yang bertongkat beramai-ramai sambil memerhatikan orang yang berjoging. Sekali-sekala ketawa berdekah-dekah. Mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam hanya melepak begitu. Aku pun tak faham.

Fenomena biasa yang aku lihat di sini (taman rekreasi tempat aku selalu joging) tidak ramai 'orang kita' yang datang bersenam. Payah untuk melihat sebilangan yang telah berusia 40-an atau 50-an bersenam. Jika tidak berjoging pun, cukuplah sekadar berjalan laju atau berjalan-jalan keluarkan peluh. Tidak seperti bangsa lain, sudah berumur pun masih bersenam; berjalan laju, berjalan dan paling tidak pun bersenam tai-chi.

Perkara sama aku pernah perhatikan di Taman Tasik Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa. Orang kita tidak sangat membudayakan amalan senaman dalam kehidupan sebaliknya suka berpantang itu dan ini untuk menjaga kesihatan.

Moshuchi Kata : 20 minit sehari 3 kali seminggu..susah ke?

Friday, February 19, 2010

Kami Miskin

Kami miskin
kami orang susah
kami bukan orang senang
Kami biasa berlapar dahaga
kami biasa mengikat perut dan keinginan
kami biasa tidak mendapat kemahuan

Sedari kecil
kami biasa berpayah-payah
kami biasa bersusah-susah
tanpa membuang cita-cita
tanpa membuang impian
untuk berjaya dalam hidup
untuk mengubah nasib keluarga

Kami tidak malu mengakuinya
kami tidak segan silu asal-usul
ingatlah itu andai ingin bersama kami
terimalah seadanya siapa kami
kami tidak memaksa
kami tidak mendesak

kami rela melepaskan apa saja
kerana air mata kami
telah lama biasa tumpah

Moshuchi Kata : Biar miskin harta, tidak budi bahasa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.