Sunday, June 12, 2011

Hijrah

hijrah.
hijrah itu perjuangan..hijrah itu pengorbanan..hijrah itu persaudaraan..hijrah membawa perpaduan. begitulah sedikit sebanyak yang aku masih ingat tentang lirik lagu hijrah (lagu sempena maal hijrah kalau tak silap, aku lupa).

apa maksud hijrah? pemahaman mudahnya, hijrah bermaksud berpindah ke suatu tempat yang lain. mengapa berpindah? tentulah ada sebab-musababnya, dan yang utamanya adalah kerana tempat baru yang ingin dituju itu adalah lebih baik daripada tempat yang ditinggalkan (tapi tidak semua tempat yang ditinggalkan itu ada cacat celanya).

hijrah juga membawa maksud berubah. bukan sahaja berubah dari suatu tempat ke tempat yang lain, tetapi berubah dari sesuatu perkara yang tidak baik yakni jahat kepada perkara yang baik atau lebih baik. perubahan sikap, perangai, cara hidup dan sebagainya ke arah yang lebih baik dan diredhai juga adalah suatu hijrah.

manusia berhijrah kerana ingin mencari sebuah kehidupan yang lebih baik, mencari kejayaan baru, mencari peluang-peluang hidup yang lebih luas, mencari pengalaman baru, mencari kenalan baru dan sebagainya yang menuntut serba baru untuk dihadapi. namun manusia sanggup berjuang..sanggup berkorban.

aku akan berhijrah sedikit masa lagi. beberapa hari lagi..insyaAllah.

ya, aku akan berhijrah. berhijrah kerana tuntutan kehidupan yang semakin luas dan kompleks, kerana untuk mencari pengalaman baru, kerana ingin mencari peluang-peluang yang lebih baik dalam kerjaya atau kehidupan dan tentunya kerana ingin berkorban. tanpa pengorbanan hijrah tak mungkin akan berlaku, biarpun pengorbanan itu kadangkala sekecil cuma namun tetap memberi kesan.

banyak contoh hijrah yang boleh dijadikan pedoman. hijrah yang paling agung tentulah berhijrahnya junjungan besar nabi muhammad s.a.w dan rombongan umat islam lain ke madinah al-munawwarah dari kota mekah al-mukarramah. inilah antara pengorbanan besar nabi muhammad yang mana baginda terpaksa meninggalkan kota tanah airnya, kota yang dicintainya semata-mata untuk mencari suatu keadaan/suasana yang lebih baik dan terjamin untuk meneruskan kehidupan serta meneruskan perjuangannya menyebarkan syiar islam.

malah dalam hidup aku sendiri juga, aku boleh mengambil beberapa contoh hijrah yang terbaik.

pertamanya, hijrahnya keluarga aku dari negeri kedah ke negeri pahang pada tahun 1990. waktu itu usia aku baru 10 tahun, tapi aku dapat merasai bagaimana peritnya kehidupan kami di bumi jelapang padi. ayah hanya memiliki tanah bendang sekangkang kera cuma, diusahakan pula secara bergilir-gilir dengan adiknya (pakcik aku). akhirnya dengan berat hati ayah berhijrah ke tanah darul makmur, pahang.

berkat di tanah yang makmur, ayah kini mempunyai tanah bendang yang luas, tanah kebun yang subur dan mudah untuk mencari makan samada di tanah mahupun di laut. tapi sebelum mengecap semua itu, bertahun jugalah ayah bertungkus-lumus bekerja keras merebahkan hutan menjadi ladang, meratakan tanah menjadi bendang. aku turut terlibat dan turut merasai bagaimana susahnya untuk mencari kehidupan yang lebih baik. dengan segala usaha pedih jerih itulah, hasilnya dapat aku bawa sehingga ke universiti. kini ayah mampu tersenyum menghabiskan sisa-sisa usianya. jika dia tidak berhijrah dahulu, aku tidak dapat bayangkan bagaimana kehidupan kami kini.

keduanya, contoh hijrah semasa aku di universiti malaya. aku diterima memasuki universiti dan ditempatkan di kolej tun ahmad zaidi, kolej 10. untuk tahun pertama di universiti, itulah rumah aku, itulah kolej yang terbaik buat aku. aku selesa, gembira dan berjaya di kolej tersebut. tapi apabila memasuki pasukan palapes, aku perlu/diwajibkan berpindah ke kolej 5 iaitu kolej bagi pelajar-pelajar palapes juga merupakan kolej sukan di universiti malaya. aku berbelah-bahagi, mahu atau tidak mahu. akhirnya dengan berat hati aku berpindah juga ke kolej 5 dan meninggalkan kolej 10.

rupanya di kolej 5, kehidupan aku sebagai pelajar lebih berjaya, lebih menyeronokkan. aku dapat mengikuti latihan palapes dengan baik dan cemerlang, dapat aktif dalam sukan dengan mudah sehingga bukan sahaja mewakili kolej 5 dalam sukan universiti malah mewakili universiti malaya dalam sukan antara universiti-universiti malaysia. bidang ko-kurikulum aku di kolej 5 selama 3 tahun sentiasa berada di kemuncaknya. berkat berhijrah ke kolej 5 akhirnya aku berjaya menamatkan pengajian sarjana muda dengan cemerlang, berjaya menamatkan latihan palapes dengan jayanya dan ditauliahkan pangkat leftenan muda oleh yang dipertuan agong dan mempunyai kehidupan kampus yang cukup manis.

itulah antara contoh hijrah yang mencorak kehidupan aku. untuk berhijrah memang sesuatu yang menyedihkan dan memerlukan suatu pengorbanan. tapi aku selalu percaya bahawa hijrah akan sentiasa membawa kebaikkan, membuka dimensi baru dalam kehidupan malah mematangkan diri kita dalam meneruskan kehidupan ini.

kita sebagai manusia sentiasa menginginkan sebuah kehidupan yang terbaik. untuk itu, kita tak mungkin akan terlepas daripada berkorban, berjuang, berusaha dan berhijrah.

moshuchi kata : kalau ada sumur di ladang, boleh kita menumpang mandi....

Saturday, June 11, 2011

Dah 31 Pun

alhamdulillah, 5 jun lepas genaplah usia aku 31 tahun.
dah tua kan? hehehe.
sedar tak sedar dah melepasi angka 30 pun. begitulah kehidupan.
dulu masa di usia 20-an, mana nak pikir sangat pasal kehidupan ni..kalau pikir pun taklah details macam sekarang ni.
apatah lagi di usia belasan tahun, langsung tak pikir jauh2 tentang kehidupan.

tapi aku sejak kecil lagi telah memikirkan tentang kehidupan masa depan.
tapi jangkauan masanya tidaklah terlalu jauh dan kompleks.
biasalah tu, dulu kita ada cita2, ada impian dan ada perkara2 yang kita nak buat..samada untuk diri sendiri atau untuk keluarga.
sebab itulah kita ada panduan dan pedoman. jika terbabas sekalipun kita tidak terpesong jauh dan terus hanyut.

di usia belasan tahun aku bekerja keras untuk berjaya dalam pelajaran walaupun keadaan keluarga waktu itu kesempitan. akhirnya berjaya.

di usia 20-an masih lagi bertungkus-lumus menempatkan diri di kalangan orang2 yang berjaya. alhamdulillah juga berjaya. seterusnya bekerja keras untuk mendapatkan pekerjaan yang terbaik agar penat lelah menuntut ilmu dulu tidak sia-sia. alhamdulillah juga berjaya. bersyukur sangat kepada Tuhan.

di penghujung usia 20-an itulah setelah segalanya dirasakan seimbang/stabil..barulah memikirkan untuk memiliki kehidupan dan keluarga sendiri. belajar menguruskan kehidupan dengan insan/orang lain yang terpilih untuk bersama-sama meneruskan kesinambungan hidup. ini juga akhirnya berjaya. bersyukur lagi kepada Tuhan.

dan sekarang di usia 30-an, segalanya telah ada..pekerjaan yang baik, sebuah keluarga kecil yang baru dan sebuah kehidupan baru bermula. semoga segalanya berjalan dengan baik dan dirahmati Tuhan. ianya belum berakhir dan tenang kerana rintangan dan dugaan tetap ada.
apa yang akan terjadi di usia 40-an..50-an..60-an atau 70-an jika umur panjang? segalanya di tangan kita sendiri bermula dari sekarang. walau apapun yang terjadi, hidup mesti terus.

kepada isteri tercinta, terima kasih di atas tanda ingatan sempena hari lahir yang ke-31..5 jun lepas. terima kasih..semoga kita dapat melayari bahtera ini dengan baiknya. jadilah pembantu nakhoda yang terbaik. I LOVE YOU.

moshuchi kata : 31 rasa macam 21 hehehe...

Mei

ahahahaa...
sepanjang bulan mei aku tak tulis langsung entri...
bukan takde cerita tapi tak dan nak ngadap skrin ni dan menulis...

bulan mei lepas agak sibuk...
banyak keja di luar pejabat..

apapun aku ingin mengingatkan supaya kita jangan lupa tentang peristiwa 13 mei..agar kita lebih mengutamakan perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.
kepada siapa yang belum mengetahui bagaimana tercetusnya peristiwa 13 mei, silalah membaca/rujuk sejarahnya. segalanya harus dijadikan pedoman dan iktibar kepada kita semua kerana 'penyebabnya/pemuncanya' semakin biadap dan tak terbendung sekarang ni..tak mustahil 13 mei kali kedua akan berlaku jika kita tidak sentiasa berjaga-jaga/beringat.

juga tidak dilupakan kepada semua guru..selamat hari guru pada 16 mei. sesungguhnya jasa guru2 semua tak ternilai harganya. terharu bila ada guru yang masih ingat kepada aku, karektor aku malah tulisan aku juga semasa menjadi pelajar beliau 12 tahun lalu. terima kasih kepada semua guru.

moshuchi kata : maaf kepada bulan mei.

Wednesday, April 06, 2011

Jurutol 'Sayang'

hari ni aku kena tulis juga di sini. kali pertama terjadi aku malas nak ambil pusing. kali kedua terjadi lagi masih boleh sabar. pagi ni, terjadi lagi perkara yang sama walaupun dari individu (gadis) yang berbeza.

tiga kali ni cuma di tol jitra saja. di tol-tol lain di kl aku pernah juga mengalami perkara yang sama (maknanya dah lebih dari tiga kali pun terjadi perkara macam ni).

cik adik oiii, kalau tak mahu jari-jemari saya atau kulit saya ni bersentuhan dengan jari-jemari atau tangan cik adik yang halus-mulus putih gebu (ada juga yang tak putih pun) tu, pakai la sarung tangan macam ada sesetengah jurutol wanita amalkan tu. mustahil la nak serah/ambil duit tol syiling tanpa bersentuhan walaupun sedikit cuma. kecuali serah satu-persatu kepingan syiling tu.

lagaknya nak ambil duit kita tu macam 'pepatung mandi/minum air' je. nak mengelak daripada bersentuhan sampai duit syiling ada yang terjatuh ke bawah. aku juga buka pintu kereta ambil balik duit tu. rasa macam nak campak je terus semua duit tu ke muka. pastu boleh buat muka tak bersalah, buat dono je..perasan ayu.

heyy cik adik, aku tak ingin sikit pun nak sentuh-sentuh/pegang-pegang/ambil kesempatan la. kita bukan kenal pun. tak ingin aku nak pegang tangan kau. aku ada ramai kawan-kawan pompuan yang lagi lawa dari kau pun..tak pernah aku nak sentuh-sentuh diorang pun.

lepas ni beli sarung tangan tebal-tebal, pakai pastu claim kat kompeni. dah taknak bersentuh dengan orang. bahagian latihan PLUS mungkin kena lakukan sesuatu. ini baru kes camni, blom kes lain lagi; muka masam, tak reti senyum, ambil duit macam peragut, tak ada budi bahasa dan macam-macam lagi.

Moshuchi Kata : mungkin jurutol dah muak tengok muka pemandu-pemandu....

Monday, April 04, 2011

Perihal 110 km/j

kita ada peraturan-peraturan di jalan raya juga di lebuh raya. peraturan yang selalu kita langgar dan payah nak ikut ialah berkaitan kelajuan. kenapa kita suka laju? aku sendiri tak pasti. banyak sebabnya kalau nak perhalusi. tapi lumrahnya, yang dilarang itulah yang kita suka nak buat.

kita di malaysia ada lebuh raya yang panjang iaitu lebuh raya utara-selatan PLUS yang panjangnya lebih kurang 800km. memang seronok kalau pandu laju di lebuh raya yang panjang dan lurus. tapi peraturan telah menetapkan kelajuan di lebuh raya (atau jalan raya seluruh negara) adalah pada kadar 110 km/j. dulu kecoh juga di parlimen pasal nak naikkan kadar laju ke 130 km/j tapi tak diluluskan.

berbalik pada soal laju ini, anda pernah memandu tidak lebih 110 km/j di lebuh raya? sentiasa mengikut peraturan kelajuan di lebuh raya? kalau ya, nah aku tabik 5 kali, syabas. tapi mesti ramai yang 'tidak' kan hehehe. termasuklah aku sendiri. yang pastinya ada masa kita mematuhi peraturan dan ada masanya kita langgar peraturan 110 km/j tu. (ini pasal kelajuan 110 km/j saja, aku taknak sentuh hal2/peraturan2 yang lain di lebuh raya).

bagi aku la (ni bagi aku, korang aku tak kisahlah macam mana kan), nak mematuhi kadar kelajuan 110 km/j tu di lebuh raya sepanjang masa pemanduan adalah mustahil. dan aku sendiri beri jaminan bahawa aku tak mampu nak mematuhinya. ada masa/tempat/situasi di lebuh raya aku ikut peraturan 110 km/j, tapi di waktu lain yang dirasakan sesuai akan mencanaklah jarum meter sehingga 160 km/j ke 170 km/j. tapi terus terang, bagi kereta aku yang berkeupayaan 1.7 (1700 cc) kelajuan 140 km/j adalah kelajuan yang paling selesa di lebuh raya.

apatah lagi bagi mereka-mereka yang punya kereta berkapasiti 2000 cc atau lebih, tentulah 150 km/j dan ke atas adalah kelajuan selesa mereka. dan peraturan had laju 110 km/j tidak punya apa-apa makna bagi mereka, langsung tak hirau atau pandang. salahkah mereka? kalau dah langgar peraturan memang salahlah kan.

bagi yang sentiasa tidak mempedulikan peraturan 110 km/j ni, saman polis bukanlah suatu bebanan bagi mereka. samanlah selalu, saman ekor pun, sampai masa mereka akan membayarnya. tapi nak ikut peraturan 110 km/j tu jangan haraplah. terutama yang berkereta besar/mewah/mahal/laju. kita sendiri pun boleh bayangkan, kalau naik/bawa kereta bmw siri 5 atau mercedes clk atau jenama mewah lain, takkan nak pandu dengan kelajuan maksimum 110 km/j?

jadi, kita (aku) kena fahamlah. kadar 110 km/j tu bukanlah untuk semua pengguna lebuh raya. bagi akulah, kalau kita (ada orang) rasa tak 'layak' untuk 110 km/j tu, pergilah berapa laju kau nak pergi sebab kereta kau besar/laju/mewah, kereta mewah kau tentu ada ciri2 keselamatan yang terbaik, kau tentu kerja besar duit banyak, kena saman rm300 satu saman apalah sangat kan, boleh bayar punya kalau dapat 10 saman sekalipun.

tapi kalau kita (ada orang) rasa cukuplah lajunya sekadar 110 km/j atau lebih sikit pun 120 km/j di lebuh raya, tak mengapa. selain kita mematuhi peraturan, kita juga sedar dan tahu kemampuan jentera kita, jangan seksa kereta kita dengan kelajuan yang di luar kekuatannya. lagipun tentu kita berfikir duit yang ada daripada bayar saman buta2 je baik buat benda lain yang lebih patut kan.

kepada yang laju2 di lebuh raya, kita jangan marahkan mereka. biarkan mereka. mereka tahu dan sedar apa yang mereka buat. terseksa jiwa raga mereka kalau memandu kereta besar/laju/mewah dengan kelajuan yang tak seberapa. kepada yang tak boleh nak laju2, takpe itulah had kita dan kita patut berbangga kerana sentiasa mematuhi peraturan 110 km/j. tapi kita juga kena pandai dan tahu di mana kedudukan kita yang sebetulnya, kena selalu peka tentang lorong kita.

ingat, di lebuh raya lorong paling kanan bukan untuk kelajuan 110 km/j tapi untuk yang lebih atas dari itu. mungkin 150 km/j ke atas dan silap2 hari bulan 200-240 km/j pun akan berada di lorong paling kanan itu. kita mungkin akan terasa panas hati kalau ada kereta di belakang yang dok bagi lampu/high bim kat kita supaya beri laluan kan? takpe, jangan salahkan mereka, itulah situasinya.

mungkin sebab itu kereta yang berkapasiti 1500cc dan ke bawah lebih banyak dihasilkan di negara kita supaya sesuai dengan kadar 110 km/j tu. tapi kita tetap langgar juga kan. ada juga kancil (maaf sape yang berkereta kancil) yang berada di lorong paling kanan di lebuh raya. tak salah, sekali lagi tak salah. kita juga (kancil) ada hak untuk berada di lorong paling kanan, tapi kita haruslah tahu bila waktu2 yang sesuai untuk berada di sebelah kanan dan bila waktu2nya pula beransur ke sebelah kiri.

itulah, memang sukar untuk mematuhi kadar 110 km/j tapi bukan bermakna kita langsung tidak mematuhinya. aku sendiri pun, sentiasa mematuhi kadar 110 km/j cuma kadang2 bila terasa nakal sikit pergi ke 140 km/j. lebih pada tu taknaklah sebab aku taknak seksa kereta aku tu.

laju bahaya, perlahan pun bahaya di lebuh raya. jadi kita faham2lah sendiri. kita harus tahu dan peka takat kemampuan kita/kereta, lorong yang sesuai, cuaca dan keadaan, aliran kenderaan padat atau kurang, faktor badan letih.ngantuk ke tidak dan sebagainyalah agar perjalanan kita selamat. supaya kita tak membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Moshuchi Kata : takde tempat/jalan di Malaysia yang boleh berlaju-laju...sabar jelah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.