Wednesday, June 20, 2012

Selamat Hari Bapa, Terima Kasih Ayah.

Ahad lepas 17 Jun 2012 adalah Hari Bapa. Jadi aku ingin dedikasikan satu entri sempena hari tersebut untuk bapa (aku panggil Ayah) aku.

Tahun ni umur ayah aku 68 tahun sudah. Semoga dia terus sihat dan kuat untuk terus bekerja, bukan untuk kami anak-anaknya tapi untuk dirinya sendiri. Terus 'bekerja' untuk memperbanyakkan amal ibadatnya. Pada aku, ayah telah menjalankan tanggungjawabnya dengan berjaya sekali dan aku sebagai anak sangat berbangga.

Secara ringkas tentang ayah. Ayah seorang lelaki biasa anak pesawah, anak sulung dari dua beradik, belajar sekolah setakat darjah 3 tu pun tak habis, berhenti sekolah sebab nak jaga emak (tok aku) yang sakit, bekerja 'kuli' sejak usia remaja dan bersawah di tanah tokwan yang sekangkang kera. Di usia mudanya ayah sangat kuat dan gagah, dia kerja 'menanggung padi' (orang Kedah yang senior mesti tau apa itu kerja menanggung padi), padanlah badan ayah pun macam Hulk Hogan, tinggi dan tegap walaupun hitam, hingga sekarang pun ayah masih nak bekerja, berkebun bertanam itu ini memang menjadi pokok hidup di tangan ayah, kalau tak keluar peluh tak boleh duduk katanya, sakit katanya, sekarang berniaga kecil-kecilan sekadar mengisi masa tuanya.

Ayah seorang yang tegas tapi penyayang, susah marah tapi jangan selalu buat dia naik marah, ayah sangat taat dan menghormati tok dan tokwan, begitulah juga diajar kepada kami tentang prinsip hormat-menghormati, walaupun pelajarannya tak tinggi dan terabai, tetapi untuk kami anak-anak dia akan bertetak bergolok bergadai demi pelajaran kami, biar dia tak berpelajaran asalkan anak-anak belajar tinggi, biar dia bodoh tapi anak-anak tidak, ayah pernah pesan katanya "ayah takdak harta nak tinggal, hanya pelajaran saja untuk hangpa kerana hangpalah harta aku". Aku masih ingat, ayah menghantar aku dan adik ke sekolah dengan basikal tua, membawa aku ke hutan, ke bendang, ke laut untuk belajar tentang kehidupan.

Kini ayah telah tua, tapi ayah telah berjaya, anak-anak sampai ke universiti pelajarannya, hebat-hebat kerjayanya, jerih pedih susah dahulu terbalas la jua, bila melihat anak-anak berjaya. Semoga Allah memberi kesihatan dan umur yang panjang kepada ayah, agar lebih dekat diri ayah kepadaNya. Aku (kami) sangat sayangkan ayah.


Ayah aku (kiri) bersama seorang Pak Menakan (bapa saudara).


Teringat lagu "Satu, Dua, Tiga" oleh Aris Ariwatan;

"....Tiga,
lapar dan dahaga,
rela berpayah,
setianya ayah".

"Ayah,
menghantar ke sekolah,
bergunalah ilmu,
bila dewasa".


Juga tidak dilupakan, kepada bapa mentua (abah) aku, dia juga hebat orangnya, berprofil tinggi dalam aspek pengalaman dan kemahiran hidupnya, semoga dia juga diberikan kesihatan dan umur yang panjang olehNya, untuk kami terus berkasih sayang dengannya, untuk dia juga perbanyakkan amal ibadatnya.

Terima kasih ayah. Terima kasih abah.

Moshuchi Kata : tak lama lagi, aku pula bergelar ayah...

Euro 2012 : Gergasi-Gergasi Eropah Di Suku Akhir

Kejohanan bola sepak EURO 2012 Poland-Ukraine sudah pun selesai di peringkat kumpulan dan pasukan-pasukan yang layak ke peringkat suku akhir pun sudah diketahui. Rata-ratanya yang layak adalah pasukan gergasi (mempunyai tradisi dan sejarah hebat samada dalam Euro ataupun Piala Dunia) dan terkuat di benua Eropah iaitu Jerman, Sepanyol, Itali, Perancis dan England diikuti pasukan Portugal, Greece dan Republik Czech.

Untuk peringkat suku akhir, kita sudah boleh mencongak pasukan mana yang akan layak pula ke peringkat separuh akhir apabila Jerman bertemu Greece, Republik Czech bertemu Portugal, Sepanyol bertemu Perancis dan England bertemu Itali. Walau bagaimanapun, mungkin ada congakan yang tepat dan mungkin ada yang tersasar. Setiap pasukan di peringkat ini ada kekuatan dan kelebihan masing-masing. Lagi pula, dalam bola sepak apa-apa kemungkinan pun boleh berlaku.

Setakat ini pasukan pilihan aku iaitu England dan Perancis masih berada dalam saingan Euro. Aku pun ingin membuat congakan. England akan layak ke separuh akhir kerana Itali dilihat tidak terlalu kuat dan konsisten dalam kejohanan ni berdasarkan perlawanan-perlawanan peringkat kumpulan. Manakala Perancis pula akan disekat oleh Sepanyol. Prestasi semasa pasukan Perancis rasanya belum cukup kuat untuk mengatasi Sepanyol. Untuk pasukan-pasukan lain, aku menjangkakan Jerman dan Portugal akan layak walaupun Greece adalah pasukan paling berjiwa kental dan Republik Czech perlu bekerja keras untuk membaham Portugal.

Apapun ini semua telahan dan congakan kita. Mungkin betul mungkin tidak. Kenyataannya telah pun berlaku dalam Euro kali ni. Pasukan yang dianggap terkuat, mempunyai ranking FIFA antara tertinggi, menjadi pasukan pilihan serta dibarisi ramai pemain hebat, namun apa yang berlaku mereka adalah pasukan paling gagal dalam kejohanan. Mereka pulang awal dengan tangan kosong tanpa sebarang mata setelah kalah kesemua perlawanan peringkat kumpulan. Itulah yang berlaku kepada pasukan Belanda atau 'The Orange'.

Moshuchi Kata : Siapa yang berjudi untuk Belanda, kalah teruk la.. Apapun jauhi amalan berjudi hehehe.

Friday, June 08, 2012

Euro 2012 - Tim Pilihan

Sehari dua lagi kejohanan bola sepak terbesar di Eropah akan bermula. Ini juga merupakan 'demam bola' bagi peminat-peminat sukan bola sepak selain 'demam tak kebah-kebah' Kejohanan Piala Dunia.

Setiap orang ada tim/pasukan pilihan masing-masing. Aku? Macam biasalah tim pilihan aku tentulah England. Ini tim popular walaupun prestasi mereka belum tentu mereka dapat pergi jauh dalam kejohanan. Memilih England adalah sekadar pasukan popular untuk ditonton, samada mereka menang atau kalah, itu tak penting. Entah kenapa.

Tapi tim yang aku pilih untuk merangkul kejuaraan di Poland-Ukraine ini adalah pasukan Ayam Jantan, Perancis. Tim ni memang hebat dalam perjalanan sejarah mereka sejak dahulu sehingga kini. Ramai pemain hebat dunia datangnya dari pasukan negara ini. Walaupun prestasi mereka sejak akhir-akhir ni tidaklah memberangsangkan seperti ketika era Blanc, Deshamps, Zidane, Desaily, Petit, Djourkaef, Thuram dan Bartiez sehingga muncul juara Piala Dunia 1998 dan juara kejohanan ini pada tahun 2000, tetapi tim ini dilihat mampu pergi jauh.

Jadi, pilihan menjadi jura kejohanan Euro kali ini aku memilih Perancis. Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Anda bagaimana?

Moshuchi Kata : suka dengar orang Perancis bercakap...

Thursday, June 07, 2012

WWW1 vs D7

Hai baru-baru ni kecoh pasal isu nombor pendaftaran kenderaan WWW1. Berani betul 'mamat' tu ye, sebelum ni ada kes dengan Sultan Perak, sekarang dengan Sultan Johor pulak. Okey lupakan pasal dia tu, tak nak campur.

Tapi apa yang aku nak cerita kat sini berkaitan dengan nombor pendaftaran kenderaan juga. Lagi hebat dari WWW1..iaitu D7. D ni merujuk kepada negeri Kelantan lah kan, manakala D7 pula adalah merujuk kepada Bahagian Kongsi Gelap/Perjudian/Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM. Jadi tentulah nombor ini juga hebat dan menjadi rebutan.

Kebanyakkan orang yang suka kumpul nombor pendaftaran unik akan masuk ke kampung-kampung, sebabnya orang kampung yang membeli kenderaan sekitar tahun 60-an atau 70-an dulu masih memiliki kenderaan tersebut. Lagipun orang kampung pakcik-pakcik ni mana tahu sangat pasal kelebihan di sebalik nombor-nombor unik ni kan.

Alkisahnya, ada la seorang pengumpul nombor pendaftaran unik ni pergi ke rumah sahabatnya yang berada di sebuah kampung pedalaman di Kelantan. Beberapa hari di sana, ternampaklah dia seorang pakcik dengan kapcai buruk Honda C70 berulang-alik ke kebun getah. Bila ternampak D7 kat motor buruk tu, wahh apa lagi berkobar-kobarlah hati dia. Gila..D7 siapa yang tak nak kan.

Suatu pagi, dia mengajaklah sahabatnya tu pergi ke rumah pakcik motor tu. Sahabatnya kenal orang tua tu, Pak Mail Kawe orang panggil dia. Maka pergilah mereka dengan tujuan untuk membeli nombor tersebut.

Lelaki : "Pakcik, saya ni pengumpul motor klasik, ada bengkel di KL. Saya suka cari motor-motor lama terutamanya Honda C70 ni, buat elok-elok balik dan jual semula. Tak sangka jumpa juga motor ni di kampung ni.."

Pak Mail Kawe : "Ohh..lagu tu ko. Pokcik pun suko motor ni jugok. Kuat ni mace gajoh, naik bukit turun bukit masuk hutan masuk kebun.."

Lelaki : "Pakcik juallah kat saya motor ni, beli yang baru. Lagi kuat takde rosak-rosak ke apa ke. Sekarang motor baru semua bagus-bagus..."

Pak Mail Kawe : "Kalu pokcik beli baru, nanti anok laki pokcik bawak gi rempit-rempit pulok..lagipun mano ado duit nak beli hok baru. Duit getah berapo yo..."

Lelaki : Takpe pakcik..pakcik jual kat sayalah. Saya beli cash RM5000. Esok pakcik boleh pergi beli motor baru. Macam mana?

Pok Mail Kawe : "Hehehehe...(kemudian menghirup kopi). Mace ni lah anok weii...pokcik tahu pasa apo mu ni nak beli motor pokcik, bukan nak ke motor tu sangat tapi mu nak ke nombo plate tu jo...guana, betoo? Ni pokcik nak ghoyak la ni yo..sebenarnya nombor tu pokcik saja-saja letak yo, pokcik pun suko jugok nombor D7 tu hehehe..."

Lelaki : "Hahh..."

Pak Mail Kawe : ..."motor tu guno bawaok gi kebun getah yo..lagipun ni dale kampung ni mano ado polis ko JPJ ko nak kacau...lo ni pokcik suko D7, esok-esok kalu pokcik rajin nak buat WWW1 pulok hehehe. Haa jemput minum air kopi tu..minum minum hehehehe".

Lelaki : (hampehhhh).

Selingan : TS Muhyiddin melawat penduduk kampung dengan membonceng motosikal.

Moshuchi Kata : no. plate kereta saya pernah berada di tempat pertama 4D hahaha...

Tuesday, June 05, 2012

Aku Sudah 32

Hari ini genap usia aku 32 tahun. Dah tua kan?

Alhamdulillah, syukur kerana masih dipanjangkan umur olehNya. Bila pula Dia nak ambil semula, aku tak tahu..tiada siapa pun yang tahu.

Setiap tahun, aku tidak mengharapkan apa-apa hadiah pun dari sesiapa pun, termasuklah dari isteri tercinta. Kalau ada yang ingat, adalah. Kalau tak ada, aku tak pernah kisah pun.

Tapi tahun ini, ada hadiah yang sangat bermakna akan aku dapat. InsyaAllah dalam sebulan lebih lagi aku akan menjadi seorang bapa. Seorang anak..itulah hadiah terbaik dan terbesar tahun ini, yang dianugerahkan olehNya.

Terima kasih juga kepada isteri. I love you.

Moshuchi Kata : ..saya sayang emak saya, dialah hadiah saya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.