Monday, February 02, 2009

Batang Joran



Aku sebenarnya seorang kaki pancing (dahulunya) tapi sekarang aktiviti ni jarang-jarang dilakukan apatah lagi selepas aku menjual secekak batang-batang joran kesayangan aku kira-kira 8 tahun yang lalu. Cuti (hari Jumaat) baru-baru ni aku melakukan kembali aktiviti berhantu tu walaupun tidak seghairah dulu, apatah lagi setelah bersama dengan kawan-kawan yang juga hantu memancing.
Dari awal pagi kami menuju Tasik Pedu namun tidak lama di sana kerana port tak best selain sukar mencari lubuk sesuai. Akhirnya kami beralih arah menjadikan jelawat dan lampam di sebatang anak sungai di Padang Terap sebagai mangsa. Beberapa ekor lampam berjaya diratah menjelang tengahari, isi lampam yang manis dan segar menjadikan kami berdosa (terlepas solat Jumaat minggu ini-ampunkan kami Tuhan). Tebing sungai tetap menjadi sejadah Zohor dan Asar kami. Manakala jelawat masih berlagak di dalam sungai, tidak mengapa kali ini.

Aku akui agak kekok memancing di sungai kerana dulu aku lebih terdedah kepada pertarungan di laut. Selain bertarung dengan ikan yang lebih garang, ombak laut juga perlu dihadapi. Namun hari itu aku cukup rileks dan hari cuti tidaklah sia-sia.

Perihal Guru vs PTD

Coretan ini bukan sengaja untuk menghangatkan kembali isu lama yang sememangnya hangat tidak berapa lama dahulu, tetapi sekadar berkongsi pendapat atau pandangan.
Baru-baru ini aku sempat bertemu beberapa kawan lama semasa di zaman universiti dahulu, rata-ratanya sekarang bergelar guru (sungguh mulia seorang pendidik). Perasaan seronok menguasai kami, maklumlah selepas tamat pengajian masing-masing melata di bumi Tuhan ini meneruskan agenda dan perjuangan cita-cita untuk kelangsungan hidup.
Pertemuan itu sememangnya dinantikan apatah lagi setelah mereka mengetahui aku seorang pegawai PTD. Masing-masing saling memuji, guru memuji PTD dan PTD memuji guru. Dalam kerancakan berbual, mengimbas kembali memori lama, bergurau-senda, timbul juga isu yg panas itu. Masing-masing memberi pendapat dan akhirnya isu tersebut hilang terbang melayang mengikut sepoi-sepoi angin pada petang itu. Perbualan kembali rancak selama beberapa jam.
Walaupun kami berbeza bidang tugas, cara pelaksanaan, aturan dan tindakan tetapi semua itu tidak membinasakan sebuah persahabatan. Sepatutnya kami, kita, engkau dan aku saling bekerjasama demi kedaulatan bangsa dan negara tercinta ini.
Rumusan dari pertemuan itu, kami saling mengakui bahawa masing-masing mempunyai tanggungjawab yang besar kepada bangsa dan negara; iaitu:-
guru berusaha melahirkan, membentuk, mendidik (segala perilaku baik dan terpuji) generasi muda negara sedari pendidikan awal, rendah, menengah, universiti agar menjadi warganegara yang baik, berilmu, cekap, kuat menghadapi cabaran dan berdaya saing untuk kelangsungan kegemilangan negara, seterusnya juga melahirkan generasi-generasi baru dalam PTD;
manakala PTD pula berusaha mentadbir urus negara dengan baik, cekap, mantap serta berintegriti dan tanggungjawab ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipikul, mencakupi berbagai jenis bidang; pentadbiran dan pengurusan, pembangunan, ekonomi, keselamatan, kewangan, hubungan luar dan sebagainya demi pembangunan negara bangsa dan kesejahteraan seluruh rakyat.
Selepas pertemuan itu, ada ketikanya aku menghubungi juga kawan-kawan lain yang juga kamcing semasa di sekolah menengah dan juga di universiti dulu; guru di Tawau, Sandakan, Kuala Berang, Nilai, Banting, Kampar dan Muar, jurutera di Klang dan Johor Bahru, peguam di Kuala Lumpur, pegawai bank di Kuala Lumpur, Kota Bahru, Damansara dan Kuantan mengenai isu tersebut, masing-masing bersetuju dan tiada masalah mengenainya.
Dengan kata lain, ruang lingkup PTD sangat luas merangkumi pelbagai aspek urus tadbir negara (dalam negara mahupun luar negara). Walau bagaimanapun, guru mahupun PTD mempunyai tanggungjawab yang besar kepada negara dan jika tanggungjawab itu dilaksanakan dengan penuh rasa rendah diri, tidak akan timbul siapa yang lebih siapa yang kurang sebaliknya saling bergantungan.
Jadi kepada pihak berkaitan di luar sana yang masih mempunyai sifat-sifat iri hati, dengki atau rasa tidak puas hati, eloklah berfikir dan berfikir dalam-dalam. Kepada kawan-kawan, guru-guru dan juga pegawai-pegawai PTD, semoga kita semua maju jaya.

Perihal Senang dan Susah

Apakah perkara paling senang untuk dilakukan?
Apakah perkara paling susah untuk dilakukan?

Tentunya bermacam-macam jawapan boleh diberikan. Makan, minum, tidur...senang? Tak juga kerana ada orang yang susah nak makan, minum atau tidur.

Perkara paling senang dilakukan ialah melanggar peraturan dan undang-undang.
Perkara paling susah dilakukan ialah mematuhi peraturan dan undang-undang.

Betul atau tidak, fikir-fikirkan. Tepuk dada tanya diri sendiri. Setiap daripada kita pernah melaluinya walaupun mungkin dalam situasi yang berbeza-beza. Jadilah warganegara yang baik.

Thursday, January 29, 2009

Hasil Kerja Yang Baik

Bersetujukah anda bahawa untuk mendapatkan hasil kerja yang baik, seseorang itu mesti beraksi dengan baik di dalam pekerjaannya?
Pasti ramai antara kita sangat sukakan dokumentari seperti National Geography atau Animal Planet, imej-imej yang ditonjolkan sangat mempersonakan kerana mereka memiliki krew/jurugambar yang terbaik di dunia.

Tentunya imej yang diambil oleh jurugambar di atas adalah hasil kerja yang sangat baik (dia pun beraksi dengan baik sekali..hmmm, aksi yang sangat digemari The Sickos).

Cara Lelaki


Otak lelaki terdiri dari ruang-ruang. Berupaya mengasing dan menyimpan maklumat. Lelaki melakukan satu tugas pada satu masa. Pada hari yang banyak masalah, mereka ‘menyimpan’ semua masalah.

Cara otak lelaki beroperasi sebegini menjadikan mereka penyimpan masalah yang terbaik. Lelaki selalu kelihatan macho (kononnya) walaupun banyak masalah kerana mereka mampu menyembunyikan masalah di dalam kepalanya tanpa menunjukkan ekspresi muka.

Mereka akan mendiamkan diri dan tidak bercakap atau menceritakannya. Perempuan yang tahu lelaki mempunyai masalah akan segera bercakap dengan harapan lelaki akan bercerita tentang masalahnya. Ini adalah satu kesilapan kerana cara otak lelaki berbeza dengan cara otak perempuan.

Sebenarnya lelaki tidak suka diganggu ketika bermasalah. Adalah lebih baik perempuan membiarkan lelaki selama 30 minit atau beberapa ketika agar beliau dapat membincangkan masalahnya dengan cara tersendiri. Lelaki akan bercakap dengan dirinya sendiri di dalam kepala otaknya hehe, bertanya pada dirinya, berteka-teki, menilai dan mengkaji dengan akalnya, berbicara dengan diri sendiri, bercakap-cakap di dalam hati dan minda sendiri.

Sewajarnya perempuan biarkan lelaki yang mempunyai masalah menyendiri seketika kerana mereka tidak akan mati atau lemas di dalam masalah sendiri. Sekiranya tidak, perempuan sendiri yang akan sakit hati bilamana lelaki tidak suka membicarakan masalahnya (padan muka). Jika lelaki menemui jawapan kepada masalahnya, dengan sendirinya mereka akan segera datang dan bercakap.

Aku bersetuju sangat. Korang macam mana..lelaki la, tapi kalau yang perempuan nak bagi komen okay juga.

Teks asal adalah dari blog Motivasi Dr. Zulkarnain. Terima kasih juga kepada Miss Pa’e yang menjelmakan info ni.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.