Monday, February 02, 2009

Perihal Guru vs PTD

Coretan ini bukan sengaja untuk menghangatkan kembali isu lama yang sememangnya hangat tidak berapa lama dahulu, tetapi sekadar berkongsi pendapat atau pandangan.
Baru-baru ini aku sempat bertemu beberapa kawan lama semasa di zaman universiti dahulu, rata-ratanya sekarang bergelar guru (sungguh mulia seorang pendidik). Perasaan seronok menguasai kami, maklumlah selepas tamat pengajian masing-masing melata di bumi Tuhan ini meneruskan agenda dan perjuangan cita-cita untuk kelangsungan hidup.
Pertemuan itu sememangnya dinantikan apatah lagi setelah mereka mengetahui aku seorang pegawai PTD. Masing-masing saling memuji, guru memuji PTD dan PTD memuji guru. Dalam kerancakan berbual, mengimbas kembali memori lama, bergurau-senda, timbul juga isu yg panas itu. Masing-masing memberi pendapat dan akhirnya isu tersebut hilang terbang melayang mengikut sepoi-sepoi angin pada petang itu. Perbualan kembali rancak selama beberapa jam.
Walaupun kami berbeza bidang tugas, cara pelaksanaan, aturan dan tindakan tetapi semua itu tidak membinasakan sebuah persahabatan. Sepatutnya kami, kita, engkau dan aku saling bekerjasama demi kedaulatan bangsa dan negara tercinta ini.
Rumusan dari pertemuan itu, kami saling mengakui bahawa masing-masing mempunyai tanggungjawab yang besar kepada bangsa dan negara; iaitu:-
guru berusaha melahirkan, membentuk, mendidik (segala perilaku baik dan terpuji) generasi muda negara sedari pendidikan awal, rendah, menengah, universiti agar menjadi warganegara yang baik, berilmu, cekap, kuat menghadapi cabaran dan berdaya saing untuk kelangsungan kegemilangan negara, seterusnya juga melahirkan generasi-generasi baru dalam PTD;
manakala PTD pula berusaha mentadbir urus negara dengan baik, cekap, mantap serta berintegriti dan tanggungjawab ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipikul, mencakupi berbagai jenis bidang; pentadbiran dan pengurusan, pembangunan, ekonomi, keselamatan, kewangan, hubungan luar dan sebagainya demi pembangunan negara bangsa dan kesejahteraan seluruh rakyat.
Selepas pertemuan itu, ada ketikanya aku menghubungi juga kawan-kawan lain yang juga kamcing semasa di sekolah menengah dan juga di universiti dulu; guru di Tawau, Sandakan, Kuala Berang, Nilai, Banting, Kampar dan Muar, jurutera di Klang dan Johor Bahru, peguam di Kuala Lumpur, pegawai bank di Kuala Lumpur, Kota Bahru, Damansara dan Kuantan mengenai isu tersebut, masing-masing bersetuju dan tiada masalah mengenainya.
Dengan kata lain, ruang lingkup PTD sangat luas merangkumi pelbagai aspek urus tadbir negara (dalam negara mahupun luar negara). Walau bagaimanapun, guru mahupun PTD mempunyai tanggungjawab yang besar kepada negara dan jika tanggungjawab itu dilaksanakan dengan penuh rasa rendah diri, tidak akan timbul siapa yang lebih siapa yang kurang sebaliknya saling bergantungan.
Jadi kepada pihak berkaitan di luar sana yang masih mempunyai sifat-sifat iri hati, dengki atau rasa tidak puas hati, eloklah berfikir dan berfikir dalam-dalam. Kepada kawan-kawan, guru-guru dan juga pegawai-pegawai PTD, semoga kita semua maju jaya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.