Sunday, February 08, 2009

Rakyat Perak, Apa Sudah Jadi


Rakyat Perak (lebih tepat lagi orang Melayu, orang PAS, orang PKR), apa sudah jadi. Adakah ingin mencontohi apa yang orang Siam buat di Bangkok. Sungguh memalukan, mengadakan perhimpunan di jalanan tanpa sedar dan memikirkan sedalam-dalamnya kedaulatan bangsa, agama, adat dan Raja semata-mata mengikut hawa nafsu politik yang sempit dan cetek.

Adat orang baik kalah, menerima dengan hati yang baik juga. Adat orang jahat kalah, membuat kacau kerana tidak boleh menerima kekalahan. Walaupun aku tak sempat mengikuti siaran langsung perlantikan Menteri Besar baru di dalam istana dan kekecohan 'orang gila' di luar istana, tetapi gambaran yang dilihat dan maklumat yang diperolehi selepas itu amat memalukan.

Fikirkanlah, apakah nilainya kita ini. Perhimpunan itu majoritinya (boleh dikatakan semuanya) orang Melayu, orang Islam, berkopiah putih dan orang Indon yang 'sesat'. Tiada kelibat orang Cina dan India. Tidak malukah kita? Tidak sedarkah kita?

Peralihan pentadbiran dari orang bukan Melayu (walaupun bekas MB adalah Melayu-boneka kepada majoriti bukan Melayu) kepada Melayu, kita tentang. Kata putus yang bijaksana dari Sultan yang merupakan simbol kedaulatan negeri/negara kita tentang.

Sebaliknya kita menyokong (tidak menentang) orang bukan Melayu, bukan Islam yang boleh dilabelkan sebagai musuh negara (sering menimbulkan keadaan huru-hara dalam pentadbiran negara) mengugut untuk menyaman Sultan Perak dan Kerajaan. Apakah cukup besar ilmu perundangannya untuk menentang KDYMM Sultan Perak? Sedarkah dia siapa Sultan Perak?

Sedarlah wahai orang Melayu.

Kisah Di Hari Jumaat

Hari Jumaat adalah hari yang mulia, penghulu bagi segala hari. Hari di mana kita sentiasa mengharapkan sesuatu yang baik berlaku. Namun suatu hari itu tidak akan indah jika tiada rencana suka dan duka di dalamnya.

Jumaat 06.02.2009 - aku ke Kuala Lumpur/Putrajaya kerana ada perkara penting selain tugas rasmi yang perlu diselesaikan. Maaf kupinta kepada teman-teman yang sentiasa 'merindui' kehadiran aku di sana. Pemergianku ke sana tanpa diberitakan dan pulangku adalah secepat yang mungkin jika boleh. Sengaja aku berbuat begitu. Kedatangan kali ini tidak dijadualkan untuk bersembang panjang hoha hoha di meja Pelita.


Kisah 1 : Jumaat pagi - Terlerai Segalanya

Pagi Jumaat yang hening itu, dua insan yang menyulam kasih bertemu, dalam suasana sedih dan terharu. Kasih yang sebelumnya kepada seorang kekasih telah bertukar menjadi kepada seorang kawan. Kata putus telah dibulatkan dan jalan terbaik demi kebaikkan bersama telah dipilih. Setelah sekian lama, perpisahan tidak dapat dielakkan lagi apabila keserasian, kefahaman dan kesesuaian tiada di jiwa dan hati. Suasana sedih dan pedih, namun segalanya dalam aman dan damai, positif dan profesional.

Keputusan dibuat berlandaskan pemikiran dan pertimbangan wajar, tiada perasaan marah, benci dan dendam mengekori. Masing-masing berhak untuk memilih, berasa gembira, bahagia, tenang dan senang. Jalan terbaik adalah memilih jalan sendiri. Bersimpuh di rumah Allah untuk solat Jumaat sambil merenung jauh ke mata Tuhan, maka sedarlah bahawa kita hanya merancang tetapi Tuhan menentukan. Adakalanya hubungan persahabatan itu lebih baik dan membuahkan kegembiraan. Akhirnya terlerai sudah segalanya.


Kisah 2 : Jumaat petang - Celoteh Hans George Wolf

Tepat jam 3.00 petang, bermulalah sesi ceramah mengenai Information Warfare-IW, Electronic Warfare-EW dan ICT Security oleh Profesor Dr. Hans Geogre Wolf dari Jerman. Dewan persidangan yang gah dan di bangunan yang juga gah kian membeku. Barisan diketuai SUM, SUB, KPSU dan segerombolan PSU mula memberi perhatian. Adakalanya aku terfikir apa yang disampaikan oleh pakar Jerman ini seperti kami angkatan tentera Nazi yang bersiap sedia untuk menawan seluruh Eropah. Aspek tektikal dan teknikal yang dikongsi amat mengagumkan dan mempunyai tahap yang tinggi.

Lagaknya orang Jerman ini, jika diberi 5 jam pun dia masih boleh berbicara tanpa henti. Kadangkala butir bicaranya seperti bercakap dalam bahasa Jerman. Bagaimana kita berasa gelihati apabila perkataan Inggeris diTamilkan begitu juga apabila ia diJermankan. Seperti Inspektor Jacques Clouseau lakonan Steve Martin dalam filem Pink Panther(tapi ia bahasa Inggeris diPeranciskan). Namun apa yang disampaikan amat menarik dan berguna kepada jabatan kami. Walaupun Wolf pandai berceramah dan berjenaka, tetapi tumpuan aku ada masanya terbang keluar dewan, kembali kepada Kisah 1.
Kisah 3 : Jumaat malam - Berlari-Lari Kuala Lumpur

Aku kembali ke rumah sentimental value aku di Bangsar dengan kepala yang sarat mengandung - selama 2 jam setengah Profesor Wolf memberatkan kepala otak dengan teknik dan tektiknya, kembali kepada Kisah 1, percaturan yang kelam-kabut untuk segera kembali ke Alor Setar, perut berkeroncong yang sengaja ditahankan dan sedikit rasa kesal kerana tidak menghubungi teman-teman baik di sana (aku tahu pada malam itu kalian semua mempunyai agenda lain di tempat yang lain, sengaja aku tidak mahu mengganggu kerana ingin bersendirian).

Akhirnya, dengan perasaan yang bercampur-baur, kepala yang pening-pening, fikiran yang kusut-masai, aku berlari-lari menikmati neon-neon kota yang busuk bersama seorang teman. Ke sana ke sini membelah dingin malam sehinggakan berlari di tempat yang sama berulang-kali tanpa sedar. Begitu pun, aku sedikit tenang dan lapang. Jalan yang bersimpang siur di kepala otak cuba aku susuri sebaiknya. Begitulah juga cara lelaki, masih boleh kelihatan tersenyum, tertawa, tenang walaupun hati di dalam hanya Tuhan yang tahu. Begitulah kisahku di hari Jumaat.

Monday, February 02, 2009

Batang Joran



Aku sebenarnya seorang kaki pancing (dahulunya) tapi sekarang aktiviti ni jarang-jarang dilakukan apatah lagi selepas aku menjual secekak batang-batang joran kesayangan aku kira-kira 8 tahun yang lalu. Cuti (hari Jumaat) baru-baru ni aku melakukan kembali aktiviti berhantu tu walaupun tidak seghairah dulu, apatah lagi setelah bersama dengan kawan-kawan yang juga hantu memancing.
Dari awal pagi kami menuju Tasik Pedu namun tidak lama di sana kerana port tak best selain sukar mencari lubuk sesuai. Akhirnya kami beralih arah menjadikan jelawat dan lampam di sebatang anak sungai di Padang Terap sebagai mangsa. Beberapa ekor lampam berjaya diratah menjelang tengahari, isi lampam yang manis dan segar menjadikan kami berdosa (terlepas solat Jumaat minggu ini-ampunkan kami Tuhan). Tebing sungai tetap menjadi sejadah Zohor dan Asar kami. Manakala jelawat masih berlagak di dalam sungai, tidak mengapa kali ini.

Aku akui agak kekok memancing di sungai kerana dulu aku lebih terdedah kepada pertarungan di laut. Selain bertarung dengan ikan yang lebih garang, ombak laut juga perlu dihadapi. Namun hari itu aku cukup rileks dan hari cuti tidaklah sia-sia.

Perihal Guru vs PTD

Coretan ini bukan sengaja untuk menghangatkan kembali isu lama yang sememangnya hangat tidak berapa lama dahulu, tetapi sekadar berkongsi pendapat atau pandangan.
Baru-baru ini aku sempat bertemu beberapa kawan lama semasa di zaman universiti dahulu, rata-ratanya sekarang bergelar guru (sungguh mulia seorang pendidik). Perasaan seronok menguasai kami, maklumlah selepas tamat pengajian masing-masing melata di bumi Tuhan ini meneruskan agenda dan perjuangan cita-cita untuk kelangsungan hidup.
Pertemuan itu sememangnya dinantikan apatah lagi setelah mereka mengetahui aku seorang pegawai PTD. Masing-masing saling memuji, guru memuji PTD dan PTD memuji guru. Dalam kerancakan berbual, mengimbas kembali memori lama, bergurau-senda, timbul juga isu yg panas itu. Masing-masing memberi pendapat dan akhirnya isu tersebut hilang terbang melayang mengikut sepoi-sepoi angin pada petang itu. Perbualan kembali rancak selama beberapa jam.
Walaupun kami berbeza bidang tugas, cara pelaksanaan, aturan dan tindakan tetapi semua itu tidak membinasakan sebuah persahabatan. Sepatutnya kami, kita, engkau dan aku saling bekerjasama demi kedaulatan bangsa dan negara tercinta ini.
Rumusan dari pertemuan itu, kami saling mengakui bahawa masing-masing mempunyai tanggungjawab yang besar kepada bangsa dan negara; iaitu:-
guru berusaha melahirkan, membentuk, mendidik (segala perilaku baik dan terpuji) generasi muda negara sedari pendidikan awal, rendah, menengah, universiti agar menjadi warganegara yang baik, berilmu, cekap, kuat menghadapi cabaran dan berdaya saing untuk kelangsungan kegemilangan negara, seterusnya juga melahirkan generasi-generasi baru dalam PTD;
manakala PTD pula berusaha mentadbir urus negara dengan baik, cekap, mantap serta berintegriti dan tanggungjawab ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipikul, mencakupi berbagai jenis bidang; pentadbiran dan pengurusan, pembangunan, ekonomi, keselamatan, kewangan, hubungan luar dan sebagainya demi pembangunan negara bangsa dan kesejahteraan seluruh rakyat.
Selepas pertemuan itu, ada ketikanya aku menghubungi juga kawan-kawan lain yang juga kamcing semasa di sekolah menengah dan juga di universiti dulu; guru di Tawau, Sandakan, Kuala Berang, Nilai, Banting, Kampar dan Muar, jurutera di Klang dan Johor Bahru, peguam di Kuala Lumpur, pegawai bank di Kuala Lumpur, Kota Bahru, Damansara dan Kuantan mengenai isu tersebut, masing-masing bersetuju dan tiada masalah mengenainya.
Dengan kata lain, ruang lingkup PTD sangat luas merangkumi pelbagai aspek urus tadbir negara (dalam negara mahupun luar negara). Walau bagaimanapun, guru mahupun PTD mempunyai tanggungjawab yang besar kepada negara dan jika tanggungjawab itu dilaksanakan dengan penuh rasa rendah diri, tidak akan timbul siapa yang lebih siapa yang kurang sebaliknya saling bergantungan.
Jadi kepada pihak berkaitan di luar sana yang masih mempunyai sifat-sifat iri hati, dengki atau rasa tidak puas hati, eloklah berfikir dan berfikir dalam-dalam. Kepada kawan-kawan, guru-guru dan juga pegawai-pegawai PTD, semoga kita semua maju jaya.

Perihal Senang dan Susah

Apakah perkara paling senang untuk dilakukan?
Apakah perkara paling susah untuk dilakukan?

Tentunya bermacam-macam jawapan boleh diberikan. Makan, minum, tidur...senang? Tak juga kerana ada orang yang susah nak makan, minum atau tidur.

Perkara paling senang dilakukan ialah melanggar peraturan dan undang-undang.
Perkara paling susah dilakukan ialah mematuhi peraturan dan undang-undang.

Betul atau tidak, fikir-fikirkan. Tepuk dada tanya diri sendiri. Setiap daripada kita pernah melaluinya walaupun mungkin dalam situasi yang berbeza-beza. Jadilah warganegara yang baik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.