Wednesday, February 11, 2009

My Favourite Band

Inilah antara band kegemaran aku; Coldplay dan Keane. Kedua-duanya dari United Kingdom. Tahniah untuk Coldplay kerana memenangi tiga anugerah semasa anugerah Grammy ke-51 baru-baru ini menerusi Lagu Terbaik dan Persembahan Vokal Pop/Duo Berkumpulan Terbaik untuk lagu Viva La Vida dan Album Rock Terbaik - Viva La Vida Or Death And All His Friends.


Keane juga tidak kurang hebatnya. Lagu-lagunya sentiasa menenangkan dan santai walaupun muziknya hanya bergantung kepada dentuman dram dan merdu piano saja.

Tuesday, February 10, 2009

Kisah Burung


Kalau di kampung-kampung, ramai orang yang suka memenjarakan burung terutamanya dari spesis Terkukur, Merbok dan Punai. Spesis-spesis ini bukan dibiarkan terbang bebas seperti Merpati tetapi diikat kakinya di sangkar yang terbuka atau dikurung di dalam sangkar. Ini kerana spesis Terkukur dan Merbok ini lain dari yang lain; cantik, suara merdu, susah nak jumpa/tangkap dan semakin pupus. Sebab itu, ada sesetengah orang yang sanggup menyediakan sangkar seperti emas untuk memenjarakan burung-burung ini. Dalam kehidupan manusia pun, ada perempuan/isteri yang dikurung dalam sangkar emas hehehe..

Walau bagaimanapun, hobi membela atau lebih tepat lagi memenjarakan burung ini bukanlah suatu hobi yang baik dan mulia. Di Kedah ini, memang ramai orang lelaki (pertengahan umur dan veteran) yang hobinya begini. Sempat la aku berbual dengan seorang veteran ni, tapi dia bukanlah pemenjara burung sebaliknya membenci hobi tersebut. Sempatlah dia bercerita kisah-kisah berkenaan memenjarakan burung ni dengan aku. Ikuti kisahnya.


Kisah 1 : Bebas Dari Hukuman Gantung

Seorang lelaki dihukum penjara dan gantung kerana melakukan satu kesalahan besar. Pada suatu malam, dia bermimpi supaya melepaskan burung peliharaannya dan burung itu akan membebaskannya dari hukuman. Keesokkannya dia menyuruh isterinya melepaskan burung tersebut. Beberapa hari kemudian, burung tersebut terbang di sekitar penjara sambil berbunyi merdu sehinggalah didengari oleh Ketua Penjara. Setiap hari burung itu akan berbunyi dan menarik perhatian Ketua Penjara.

Lelaki : Tuan suka pada burung itu? Saya boleh menangkapnya untuk Tuan.

(kenallah dia bahawa itu burung peliharaannya dulu)

Ketua Penjara : Ahh kamu ni, mengarut saja. Tapi apa betul?

Lelaki : Betul Tuan. Tapi Tuan mesti berjanji akan membebaskan saya bila saya mendapatkannya untuk Tuan.

Ketua Penjara : Ohh, baiklah. Saya berjanji akan membebaskan kamu.

Dengan hanya segenggam beras, burung itu datang kepadanya dan ditangkap. Akhirnya bebaslah dia. (kata orang tua tu, cerita ni macam cerita mitos la zaman dulu-dulu kat Siam sana nun..tak tau la aku)


Kisah 2 : Sihat Dari Sakit

Ada seorang lelaki yang sakit. Bermacam-macam cara dan ubat telah diamalkan, dimakan namun masih tidak sembuh. Sehinggalah suatu hari seorang bomoh berkata "Bebaskanlah semua burung peliharaan kamu itu, InsyaAllah mereka akan berdoa untuk kamu kerana selama ini mereka menyumpah-nyumpah kamu". Selang beberapa hari selepas membebaskan burung-burung itu, sembuhlah dia seperti sediakala.


Kisah 3 : Burung Hang Dah Potong?

Hehehe...tergelak aku bila ingat kisah ni. Burung yang ni special dari burung-burung yang lain. Burung ni memang kena pelihara elok-elok, tak boleh terlepas langsung. "Kalau potong kampung (Tok Mudim) lawa sikit, tak macam potong hospital, tak berapa lawa". Orang tua tu bergurau dengan aku bila mengetahui burung aku potong kampung. Teringat kisah 19 tahun dulu. "Burung hang dah potong?".

Monday, February 09, 2009

Mencari Ketenangan

Manusia tidak terlepas daripada menerima cabaran, ujian, dugaan, ketakutan, perpisahan, kesedihan dan sebagainya. Apabila perkara-perkara ini menyapa hidup, manusia perlu bertenang samada untuk menyelesaikannya, menghadapinya atau pun melupakannya.


Ketenangan. Di mana hendak mencari ketenangan? Apakah dengan hanya melihat air sungai atau tasik yang tenang dan damai? Mungkin. Tapi mana tahu di bawahnya ikan-ikan sedang bersabung dan berkejaran.


Untuk mencari ketenangan, aku akan kembali kepada alam. Alam sangat jujur, tidak pernah menipu atau menyakiti manusia. Aku pernah bersandar di bawah sepohon Goncar di tengah-tengah sawah, biji-biji padi yang mula keemasan menunduk-nunduk malu, angin lewat petang laju berlari ke sana-sini tanpa hadangan, awan separa hitam membuak-buak di langit, matahari hampir tumbang, burung-burung yang tak ketahuan namanya bersenda-gurau di batas ban.


Bersama sebatang Kemuncut muda yang dicucuk di celah gigi, aku merenung jauh. Seekor burung besar mula menjunam di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas. Agak lama aku bersandar di tubuh kasar Goncar. Ketenangan aku perolehi pada lewat petang itu. Tapi seketika, tidak kekal.


Walaupun seketika, ketenangan di ada mana-mana dan dalam berbagai cara. Apabila dahi menyentuh baldu sejadah di sunyi malam, itulah ketenangan yang abadi. Bagaimana anda mencari ketenangan?

Sunday, February 08, 2009

Kapten Harry

Petang Khamis 05.02.2009, aku mendapat panggilan dari adikku, Harry di Port Dickson. Katanya dia baru sahaja selesai majlis penganugerahan serta pemakaian pangkat oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT). Wah, selepas ni kenalah aku panggil dia Kapten Harry (Muhammad Zulkhairy). Selepas ini dia dan pasukannya akan mengikuti latihan selama 8 bulan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA).

Hehe..nampaknya dia pun akan melalui 'saat-saat manis' di Pulada. Mungkin lebih 'manis' daripada apa yang aku dan pasukan (sidang) aku alami dahulu. Lagipun, apa yang aku terima di Pulada sehingga mendapatkan anugerah seperti di atas, rasanya sekelumit cuma daripada apa yang bakal adikku alami nanti. Tapi aku yakin dengan dia. Aku tahu dia lebih kuat (semangat) dariku. Selamat maju jaya adikku, Kapten Harry.

Puisi Buat Seorang Adik


HARI YANG KEDELIMA

Tatkala hari yang kedelima
subuh menyinsing penuh kekuningan
baki-baki kabus masih berterbangan
titis embun-embun akhir mula menjunam
menusuk tanah yang masih lembab
menanti suatu kelahiran

Tatkala hari yang kedelima
sayup-sayup suara bayi memecah hari
di sebuah taman di tengah kota di tengah negara
ketika kuning langit bertukar putih
ketika kabus dan embun lenyap bersembunyi
ketika tanah mula kering dimamah mentari

Hari yang kedelima itu
bayi perempuan yang masih merah
mata yang masih belum terbuka
tersenyum di balutan lembut kapas
disentuh dipandang sekalian kerabat
tanda sebuah kesyukuran

Hari yang kedelima itu juga
budak kecil yang hitam dan kurus
turut gembira dan tertawa di utara negara
berlari memusing laman sekampung
dua tahun empat bulan usianya
waktu gembira tanpa memikir apa-apa.

Hilmi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.