Saturday, January 09, 2010

Tulip Hati

Sebuah taman bunga yang maha luas
berbagai bunga indah dan cantik berkembangan
menari mewangi menghiasi segenap taman
namun sekuntum tulip menjadi idaman
kelopak warnanya memikat
lembut daun hijaunya mempesona

Tulip idaman telah disunting
disemat di hati sesuci sanubari
dibina taman baru penuh bererti
dan mekar kembangnya mewangi hati
semoga indah kelopak warnanya berkekalan
semoga lembut daun hijaunya berpanjangan

Moshuchi Kata : Dia pilihanku..cintaku.

Sunday, January 03, 2010

Tahniah Kapten Harry - sambungan

1. Seperti dijanjikan, sambungan cerita gembira mengenai adik aku Kapten Harry diteruskan. Sambungan kali ini aku cuma ingin memasukkan gambar-gambar semasa hari perbarisan tamat latihan beliau saja. Cerita mengenai kami dalam entri sebelumnya Tahniah Kapten Harry. Terlalu banyak gambar yang diambil, tapi aku cuma siarkan beberapa saja yang sudah memadai untuk hiasan entri ini.

2. Dua hari sebelum hari perbarisan tamat latihan dijalankan, Harry dikejutkan apabila latihan untuk mengambil hadiah/Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan yang beliau lakukan sebelum-sebelum ini diambil alih oleh pelatih lain. Di saat-saat akhir. Ada yang tidak kena. Betul. Semuanya di peringkat atasan. Lumrah dunia. Di peringkat pertengahan dan bawahan tidak boleh berbuat apa-apa. Namun begitu, Anugerah Kemahiran Ketenteraan Terbaik berjaya digenggamnya. Tak mengapalah. Kata pegawai-pegawai (jurulatih) yang bertanggungjawab melatih mereka, "hanya jauhari mengenal manikam". Tahniah Kapten Harry.








Moshuchi Kata : Di suatu sudut, tanpa disedari air mata jantanku mengalir ke pipi..bangga seorang abang.

Selamat Tahun Baru 2010..Yang Pergi..Yang Datang..Yang Menanti..

1. Selamat Tahun Baru 2010. Belum terlambat rasanya untuk aku mengucapkannya. Agak lama juga aku tidak menulis. Lihatlah, bulan Disember 2009 cuma dua entri saja yang berkesempatan. Tak mengapalah. Banyak faktor. Tak perlulah aku perjelaskan satu-persatu. Lagi pula, MoshuchiKata ini bukanlah laman yang seronok dan mengasyikkan untuk ditatap atau dinanti-nantikan 'isi baru' nya. Ada lagi laman-laman yang lebih menyeronokkan.

2. Bulan Disember agak sibuk. Setiap minggu ada di luar kawasan; utara, tengah, selatan, timur. Urusan kerja. Menimbun pula di akhir tahun. Alhamdulilah sebahagian daripadanya banyak yang dah beres. Dalam kesibukan ini juga kadangkala tak berkesempatan untuk berjumpa dengan teman-teman. Tapi mencuri-curi masa juga untuk berjumpa seorang dua. Yang lain-lain tu, jangan pula terasa hati.

3. Tahun 2009 aku/kita tinggalkan. Banyak perkara indah mahupun sedih terpaksa aku/kita tinggalkan walaupun memorinya kadangkala mengekori dari belakang. Yang patut aku/kita lupakan, delete terus dari kotak fikiran kerana ia biasanya perkara yang menyedihkan aku/kita. Buat aku/kita tidak gembira. Dalam masa yang sama, aku/kita perlu ambil pengajaran serta pengalaman darinya sebagai pedoman untuk kehidupan aku/kita seterusnya.

4. Tahun 2009 juga, banyak perkara yang datang mendepani aku/kita. Juga dalam dua bentuk; indah/gembira dan sebaliknya. Itulah juga lumrah kehidupan. Ada hitam dan putihnya. Ini juga perlu aku/kita uruskan melalui pertimbangan yang bijak. Segalanya; urusan kerja, kehidupan seharian, hati dan perasaan, teman-teman, orang di sekeliling aku/kita, kewangan, kesihatan dan sebagainya. Selagi belum mati, aku/kita tak boleh melepaskan diri dari menguruskannya. Malah ada yang sudah berada di dalam kubur pun, manusia di atas masih bercakap-cakap.

5. Tahun 2010. Sudah tiga hari. Pasti banyak perkara sedang menanti di hadapan; esok, lusa, minggu depan, bulan depan sehinggalah aku/kita mengucapkan pula 'Selamat Tahun Baru 2011'. Rutin ini akan aku/kita lalui walaupun mungkin warnanya berbeza-beza sepanjang 365 hari nanti. Apapun yang menanti, aku/kita tabahlah menghadapinya, sabarlah mendepaninya semoga kehidupan aku/kita akan terus lancar seperti yang aku/kita harapkan.

6. Untuk sepanjang 2009, jika ada salah dan silap aku kepada korang semua, sengaja atau tidak disengajakan, maafkanlah. Tahun 2010 aku tak pasti. Kalau boleh taknak bersalah dengan sesiapapun. Selamat Tahun Baru..selamat maju jaya.

Monday, December 07, 2009

Petua Hari Ini

Sakit Hati

i) Bawang putih sepuluh ulas, garam jantan sebuku, sedikit jemuju dan sehelai daun sirih bertemu urat. Tumbuk lumat ramuan tersebut dan bubuhkan air panas sebelum diminum. Amalkan selama tiga pagi, dan ambil segengam garam serta goreng sangan (goreng tanpa minyak), bungkuskan ke dalam kain bersih serta tuamkan kebahagian hati di atas dada.

ii) Sentiasalah menjadi orang yang baik dan budiman, bersyukur dengan kelebihan atau kekurangan diri, jangan iri hati hasat dengki, jangan berdendam, tidak mencari kesalahan orang lain malah sedia memaafkan orang lain dan mengamalkan semua sikap serta sifat yang baik dan mulia. InsyaAllah hati tidak akan menjadi sakit.

Moshuchi Kata : Selamat mencuba...

Saturday, December 05, 2009

Perjalanan Ini...Sampai Bila?

Perjalanan hidup ini. Aku tidak tahu sampai bila. Sampai bila aku akan terus berjalan. Aku juga tidak pasti sebanyak mana bekalan yang telah aku bawa bersamaku kini. Terasa sangat ringan. Kerana itu juga perjalanan aku seperti memijak batu-batu panas dibakar terik mentari. Aku sedar aku tersangatlah kerdil dan ada kalanya hanyut. Tetapi syukur aku masih ingat di mana permulaan langkahku. Aku sentiasa ingin kembali pulang malah sentiasa berusaha ke arahnya. Tapi aku juga sedar aku sangat lemah.

Ketika waktu kecil, ibu selalu berpesan. Sebelum tidur memejam mata di malam hari, ingat kembali perkara-perkara yang telah dilakukan sepanjang hari, baik atau buruk. Dan bermohonlah doa kepada Tuhan. Kemudian tidurlah dengan aman. Pesanan itu sentiasa di hati. Tetapi kadangkala ia hilang begitu saja, dan tidurku seperti kosong dengan memuaskan nafsu mataku.

Aku dilahirkan dari keluarga yang baik-baik. Aku diterapkan dengan didikan agama yang baik dan lengkap sedari kecil. Aku didedahkan dengan perilaku yang berperi dan manis. Ibu dan ayah telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan sempurna. Tetapi aku...aku tetap manusia biasa. Kadangkala tertewas.

Moshuchi Kata : Sentiasa ingin menjadi seorang yang budiman..kepada diri sendiri, orang-orang yang tersayang, orang di sekeliling dan paling penting kepada Tuhan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.