Monday, June 25, 2012

Peribahasa Bulan Ini : Perumpamaan

Bulan Jun ni dalam ruangan Peribahasa kita akan melihat lagi beberapa peribahasa dari kategori perumpamaan. Apa itu perumpamaan?

Perumpamaan ialah perbandingan makna yang sangat jelas kerana ia didahului oleh perkataan seolah-olah, bak, seperti, umpama, laksana, bagai, ibarat dan macam. Istilah pinjaman Inggeris bagi perumpamaan ialah Simili. Antara perumpamaan bulan ini adalah seperti berikut;

Bagai anak dara sudah berlaki
Gadis tidak pemalu, pemalas lagi pengotor.

Bagai ikan lampam di air jamban
Anak yang sihat, lekas besar; makan hasil perbuatan maksiat.

Ibarat gasing; berpaku tetap berpusing, tak berpaku merayau
Lelaki yang sudah beristeri, ke mana pergi tentu pulang ke rumah.

Laksana asam dengan garam
Kalau jodoh bertemu juga, walaupun jauh.

Laksana janda baru bangun tidur
Perempuan yang mengghairahkan laki-laki.

Macam kapal tiga tiang
Rupawan dan anggun.

Macam datin-datin
Tidak bergelar datin tapi berlagak seperti isteri orang ternama.

Umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul jua
Orang yang baik, walau di mana dimuliakan juga.

Umpama pucuk dan umbut, tiada lauk baru dibaham
Apabila tiada pilihan yang lain, baru digunakan.

Moshuchi Kata : umpama batang pinang..sayalah tu hehehe.

Euro 2012 : Badi Penalti Terus Menghantui England

Igauan buruk penalti masih lagi menghantui pasukan bola sepak England dalam kejohanan-kejohanan besar seperti Piala Dunia dan juga Piala Eropah. Akibat kegagalan dalam sepakan penalti, pasukan England acap kali longlai di peringkat suku akhir. Kejohanan Euro 2012 kali ini mereka pulang awal lagi akibat gagal dalam penentuan sepakan penalti 2-4 kepada pasukan Itali setelah seri 0-0 dalam 120 minit permainan sebenar (termasuk masa tambahan). Akibatnya, mereka gagal melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan kali ini.



Akibat seringkali gagal dalam penentuan sepakan penalti oleh pasukan England, sepasukan pengkaji di England telah membuat kajian bahawa kedudukan punggung semasa melakukan sepakan adalah penentu ke arah mana bola akan ditendang. Ini tentu boleh menjadi bahan latihan tambahan bagi penjaga-penjaga gol. Tetapi kenapa penjaga gol England masih gagal mempelajarinya?

Nampaknya, pasukan pilihan aku iaitu Perancis dan England kedua-duanya telah 'bungkus' dari Euro 2012.

Moshuchi Kata : suka arah kiri penjaga gol ketika tendang penalti...

Thursday, June 21, 2012

Super GT International Series Malaysia 2012

Baru-baru ni aku berkesempatanlah merasai bagaimana hebatnya (katanya) perlumbaan kereta yang terkenal dari Jepun ni iaitu Super GT. Itu pun member baik Al-Hadi yang punya tiket lebih dan kami sama-sama (pertama kalinya) menyaksikan perlumbaan ni. Kalau F1 tu memang aku dah banyak kali pergi tengok, tapi untuk Super GT ini pertama kali.

Perlumbaan pada 10hb Jun lepas walaupun pada 8hb dan 9hb tu pun banyak juga acara sampingannya (macam F1 juga). Super GT ni hanya diadakan di Jepun sahaja dan Malaysia adalah satu-satunya negara di luar Jepun yang diberi penghormatan untuk turut menganjurkan Super GT. Ia sebenarnya bukan saja perlumbaan jentera/kereta tetapi adalah perlumbaan antara jenama pengeluar kereta (semuanya jenama terkenal dunia) untuk melihat siapa yang lebih hebat dalam memanipulasi enjin kereta keluaran mereka mengikut kepakaran teknologi permotoran dan sumber manusia (jurutera) masing-masing.

Dalam Super GT ni ada dua kategori perlumbaan iaitu GT500 melibatkan kereta Honda, Nissan dan Lexus manakala GT300 pula melibatkan kereta Audi, Ferrari, Lamborghini, Porsche, Subaru, BMW, Toyota dan banyak lagi. Bagi mereka-mereka yang suka make-up kereta, di Super GT adalah tempat untuk mencari idea bagaimana nak mencantikkan kereta seperti kereta lumba ini.

Di bawah ni banyak gambar semasa perlumbaan Super GT. Layan.




















Kami tak tunggu hingga perlumbaan selesai, tak tengok pun upacara penyampaian hadiah. Ini yang berbeza antara Super GT dengan F1. Kalau dalam F1, kita ada pasukan kesukaan masing-masing dan nak tengok pasukan kita menang. Super GT pula mungkin lebih kepada nak tengok cantiknya kereta-kereta yang telah diubahsuai dan betapa lajunya kereta tersebut di litar berbanding di jalan raya.

Moshuchi Kata : banyak yang cantik-cantik semasa Super GT ni...

Wednesday, June 20, 2012

Selamat Hari Bapa, Terima Kasih Ayah.

Ahad lepas 17 Jun 2012 adalah Hari Bapa. Jadi aku ingin dedikasikan satu entri sempena hari tersebut untuk bapa (aku panggil Ayah) aku.

Tahun ni umur ayah aku 68 tahun sudah. Semoga dia terus sihat dan kuat untuk terus bekerja, bukan untuk kami anak-anaknya tapi untuk dirinya sendiri. Terus 'bekerja' untuk memperbanyakkan amal ibadatnya. Pada aku, ayah telah menjalankan tanggungjawabnya dengan berjaya sekali dan aku sebagai anak sangat berbangga.

Secara ringkas tentang ayah. Ayah seorang lelaki biasa anak pesawah, anak sulung dari dua beradik, belajar sekolah setakat darjah 3 tu pun tak habis, berhenti sekolah sebab nak jaga emak (tok aku) yang sakit, bekerja 'kuli' sejak usia remaja dan bersawah di tanah tokwan yang sekangkang kera. Di usia mudanya ayah sangat kuat dan gagah, dia kerja 'menanggung padi' (orang Kedah yang senior mesti tau apa itu kerja menanggung padi), padanlah badan ayah pun macam Hulk Hogan, tinggi dan tegap walaupun hitam, hingga sekarang pun ayah masih nak bekerja, berkebun bertanam itu ini memang menjadi pokok hidup di tangan ayah, kalau tak keluar peluh tak boleh duduk katanya, sakit katanya, sekarang berniaga kecil-kecilan sekadar mengisi masa tuanya.

Ayah seorang yang tegas tapi penyayang, susah marah tapi jangan selalu buat dia naik marah, ayah sangat taat dan menghormati tok dan tokwan, begitulah juga diajar kepada kami tentang prinsip hormat-menghormati, walaupun pelajarannya tak tinggi dan terabai, tetapi untuk kami anak-anak dia akan bertetak bergolok bergadai demi pelajaran kami, biar dia tak berpelajaran asalkan anak-anak belajar tinggi, biar dia bodoh tapi anak-anak tidak, ayah pernah pesan katanya "ayah takdak harta nak tinggal, hanya pelajaran saja untuk hangpa kerana hangpalah harta aku". Aku masih ingat, ayah menghantar aku dan adik ke sekolah dengan basikal tua, membawa aku ke hutan, ke bendang, ke laut untuk belajar tentang kehidupan.

Kini ayah telah tua, tapi ayah telah berjaya, anak-anak sampai ke universiti pelajarannya, hebat-hebat kerjayanya, jerih pedih susah dahulu terbalas la jua, bila melihat anak-anak berjaya. Semoga Allah memberi kesihatan dan umur yang panjang kepada ayah, agar lebih dekat diri ayah kepadaNya. Aku (kami) sangat sayangkan ayah.


Ayah aku (kiri) bersama seorang Pak Menakan (bapa saudara).


Teringat lagu "Satu, Dua, Tiga" oleh Aris Ariwatan;

"....Tiga,
lapar dan dahaga,
rela berpayah,
setianya ayah".

"Ayah,
menghantar ke sekolah,
bergunalah ilmu,
bila dewasa".


Juga tidak dilupakan, kepada bapa mentua (abah) aku, dia juga hebat orangnya, berprofil tinggi dalam aspek pengalaman dan kemahiran hidupnya, semoga dia juga diberikan kesihatan dan umur yang panjang olehNya, untuk kami terus berkasih sayang dengannya, untuk dia juga perbanyakkan amal ibadatnya.

Terima kasih ayah. Terima kasih abah.

Moshuchi Kata : tak lama lagi, aku pula bergelar ayah...

Euro 2012 : Gergasi-Gergasi Eropah Di Suku Akhir

Kejohanan bola sepak EURO 2012 Poland-Ukraine sudah pun selesai di peringkat kumpulan dan pasukan-pasukan yang layak ke peringkat suku akhir pun sudah diketahui. Rata-ratanya yang layak adalah pasukan gergasi (mempunyai tradisi dan sejarah hebat samada dalam Euro ataupun Piala Dunia) dan terkuat di benua Eropah iaitu Jerman, Sepanyol, Itali, Perancis dan England diikuti pasukan Portugal, Greece dan Republik Czech.

Untuk peringkat suku akhir, kita sudah boleh mencongak pasukan mana yang akan layak pula ke peringkat separuh akhir apabila Jerman bertemu Greece, Republik Czech bertemu Portugal, Sepanyol bertemu Perancis dan England bertemu Itali. Walau bagaimanapun, mungkin ada congakan yang tepat dan mungkin ada yang tersasar. Setiap pasukan di peringkat ini ada kekuatan dan kelebihan masing-masing. Lagi pula, dalam bola sepak apa-apa kemungkinan pun boleh berlaku.

Setakat ini pasukan pilihan aku iaitu England dan Perancis masih berada dalam saingan Euro. Aku pun ingin membuat congakan. England akan layak ke separuh akhir kerana Itali dilihat tidak terlalu kuat dan konsisten dalam kejohanan ni berdasarkan perlawanan-perlawanan peringkat kumpulan. Manakala Perancis pula akan disekat oleh Sepanyol. Prestasi semasa pasukan Perancis rasanya belum cukup kuat untuk mengatasi Sepanyol. Untuk pasukan-pasukan lain, aku menjangkakan Jerman dan Portugal akan layak walaupun Greece adalah pasukan paling berjiwa kental dan Republik Czech perlu bekerja keras untuk membaham Portugal.

Apapun ini semua telahan dan congakan kita. Mungkin betul mungkin tidak. Kenyataannya telah pun berlaku dalam Euro kali ni. Pasukan yang dianggap terkuat, mempunyai ranking FIFA antara tertinggi, menjadi pasukan pilihan serta dibarisi ramai pemain hebat, namun apa yang berlaku mereka adalah pasukan paling gagal dalam kejohanan. Mereka pulang awal dengan tangan kosong tanpa sebarang mata setelah kalah kesemua perlawanan peringkat kumpulan. Itulah yang berlaku kepada pasukan Belanda atau 'The Orange'.

Moshuchi Kata : Siapa yang berjudi untuk Belanda, kalah teruk la.. Apapun jauhi amalan berjudi hehehe.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.