Friday, August 08, 2008

Minggu-Minggu Terakhir...

Hujung bulan ni (taklah hujung sangat) 22hb Ogos kursus di INTAN ni akan tamat. Macam-macam perasaan yang mengetuk pintu minda dan hati. Perasaan seronok sesungguhnya tetap ada, menari-nari di pentas hati. Tapi di sudut pentas yang sama juga ada perasaan-perasaan yang lain, sekelompok perasaan yang susah nak dimengertikan.

25hb Ogos pula akan lapor diri di HQ, MKN JPM (mungkin kena 'berenang-renang' lagi-seminggu mungkin). Masa tu boleh tahu ke mana hala tuju samada balik ke tempat lama atau berpindah ke HQ. Sesungguhnya aku rindukan Perlis yang kecil tu. Tapi tak kisahlah ke mana pun, apa saja arahan akan aku turuti.

Minggu-minggu terakhir di INTAN ni, berbagai program telah dirancang daripada hooha-hooha keseronokan dunia hinggalah kepada yang menundukkan kepala ingatkan diri kepada Dia. Minggu Sintesis diberi nama (minggu yang mana 'sen' pun dah tak berapa nak ada). Peserta sendiri yang merancang dan mengendalikannya. Mungkin inilah sumbangan terakhir kami semua.

Monday, June 16, 2008

Macam-Macam Rasa

Sekarang seminggu Modul Protokol & Pengurusan Majlis. Lepas tu akan bergerak keluar ke Pulada untuk Modul Tentera. Aku dah dapat bayangkan apa yang akan dihadapi selama seminggu kat sana. Semua tu aku dah lalui dulu, rasanya taklah 'terkejut' sangat kalau kena buat itu dan ini di sana nanti. Bahkan pada aku Navy lagi 'ganas' dari Army.

Sekarang ni macam-macam rasa yang hinggap di hati. Walaupun kadang-kadang aku sendiri tak faham apa yang aku rasa dan bagaimana nak mengurangkan rasa tersebut, rasa-rasa yang adakalanya membuatkan aku terasa.

Memang pelik hati kita. Sesuatu (seseorang) yang kita dambakan amat sukar untuk digapai sedangkan yang tidak diinginkan memberi jalan ke arahnya. Tapi hati juga yang mengawal segalanya yang selalu membuatkan kita makan hati. Dengan demikian juga ada masanya rasa yang manis itu (yang sentiasa ditatang) beransur-ansur tawar dan payau.

Friday, June 13, 2008

Agak Lama Tak Menulis

Memang agak lama tak menulis dalam blog aku ni. Sejak tidak berkhidmat lagi di MKN Perlis sebab berkursus di INTAN ni, memang banyak yang tertinggal. Kalau dulu komputer depan mata saja dan bila ada masa terluang, laju tangan menaip kata-kata.

Sekarang di sini (INTAN) memang susah nak buat macam tu. Sebab utama tidak banyak masa yang terluang dan juga kemudahan komputer terbatas. Senang cerita aku tak ada komputer riba lagi. Di INTAN pun ada kemudahan komputer disediakan, tapi macam kawan-kawan cakaplah "...pusat komputer tu macam rumah pelacuran, komputer adalah para pelacurnya yang sentiasa dicucuk yang di dalamnya penuh dengan segala macam virus..."

Buat masa sekarang memang susahlah sikit untuk aku berkata-kata dan menghiaskan ruangan blog ni. Tak apalah. InsyaAllah ada rezeki lebih lepas ni, nak juga 'tangkap' komputer riba satu. Banyak kegunaannya.

Friday, February 15, 2008

Hari Terakhir di Perlis

Hari ni adalah hari terakhir aku bekerja di MKN Perlis. 18hb pula akan melapor diri di INTAN Kiara untuk mengikuti Kursus Diploma Pentadbiran Awam (kursus asas PTD) selama 6 bulan. Rasa macam tak mahu tinggal tugas-tugas kat sini. Bukan apa, banyak perkara yang dah dirancang, tapi tak sempat nak selesaikan. Harapnya pengganti yang datang nanti lebih bersemangat.

Lepas ni pasti akan terkenang negeri kecil ni; Kuala Perlis yang meriah di hari minggu serta makanannya, berjoging/berjalan/naik kuda di Sungai Batu Pahat, bandar Kangar yang kecil tetapi ideal, datang dan balik kerja tanpa kesesakan jalanraya, makan tengahari di Pokok Sawa, menghabiskan duit di Padang Besar, memancing ikan puyu di tali air, daki Bukit Cenderawasih dengan MB (kadang-kadang je), main bola dengan DYTM Raja Muda, meronda jalan keselamatan di sempadan dengan ladang tebu terbentang luas, meronda di bukit sempadan dan banyak lagi. Semuanya pasti kekal dalam ingatan.

Seorang PTD semestinyalah bersedia untuk (ditugaskan) ke mana-mana, dalam atau luar negeri. Semakin jauh pergi semakin banyak pengalaman dan ilmu yang diperolehi. Walaupun tugas yang dipikul cukup berat tetapi pengalaman di tempat orang juga membantu.

Jika tidak, masakan masyarakat Melayu dahulukala menggalakkan anak muda (lelaki) keluar merantau. Kalau tak merantau umpama belum dewasa. Sekarang pun semua orang merantau. Tak percaya lihat suasana bila Hari Raya, semua pakat balik kampung halaman, kan? Selamat tinggal Perlis, orang-orang Perlis ehehehe..lain masa pasti aku kembali.

Thursday, February 14, 2008

Biar Jasa Jadi Kenangan

Ini bukan nak bercerita pasal pasukan bolasepak Kedah (pasukan terkuat Liga Super sekarang ni..jangan marah ahh). Tetapi tentang kehidupan kita.

Hidup ini sebenarnya tak berguna langsung kalau kita tidak berjasa. Hidup ni biarlah berjasa, kalau tidak sebesar-besar jasa cukuplah yang kecil-kecilan (macam berniaga kecil-kecilan pula). Sebenarnya setiap rakyat telah berjasa kepada negara jika mereka berjasa kepada diri sendiri terlebih dulu. Kalau tidak melibatkan diri dengan dadah, jenayah atau perkara-perkara negatif, bermakna kita telah berjasa kepada negara.
Banyak jasa kita boleh lakukan dan paling besar (bagi aku) ialah berjasa kepada kedua ibubapa. Kita bekerja setiap hari pun adalah jasa, berjasa kepada negara selagi kita berintegriti.


Jasa yang baik walau apapun, pasti akan dikenang. Hidup ini mestilah berjasa, berbudi dan berbahasa. Orang yang tidak berjasa ialah mereka-mereka yang tidak tahu mengenang jasa (budi), penjenayah dan penagih-penagih dadah tegar yang langsung tidak mempunyai kesedaran, keinsafan atau semangat untuk mengubah nasib diri. Bagaimana dengan Mat Rempit, apakah status anda?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.