Thursday, May 28, 2009

Kenangan Lalu

Kelmarin ketika aku mengemas bilik, kelihatan sesuatu yang cukup menyentuh hati dan perasaan. Aku terduduk. Sambil memegangnya, ingatan aku kembali kepada kenangan-kenangan lepas. Ternyata dia menjadi teman paling setia aku (kita semua) selama 6 bulan; pagi, petang, ke gunung, ke hutan, ke laut, ke pulau.

Selama 6 bulan tersebut, kita mengenali dunia walaupun sudah berpuluh tahun kita hidup, kita mengetahui arah tuju dan ke mana hala hidup kita, apa tanggungjawab dan bebanan digalas, kita mengenali kelebihan dan kekurangan diri sendiri, kita mencabar diri sendiri, ada kalanya kita kecewa dengan diri sendiri, kita memberi dan menerima, kita berpakat bermuafakat, kita menyokong dan disokong, kita terkongkong hingga berbohong.

Kita mengenali manusia yang menjadi kawan dan taulan, yang menjadi rapat dan akrab, yang menjadi jujur dan setia, gelak dan tangis bersama, kita bergelak ketawa kita bermuram kecewa, kita bergembira kita dicerca mencerca, kita ingin di depan kita dipijak jatuh ke belakang, kita ingin menjadi baik kita ditaik-taik, kita membina semangat kita menguatkan kudrat, bermacam-macam kelakuan dan ragam, kita menghormati dan dihormati, kita melawan dan ditawan.

Sehingga kini kita masih bersama, namun ada yang hilang entah ke mana, setiap dilakukan ada kebaikan, setiap arahan ada tujuan, setiap detik dan kenangan menjadikan kita dewasa, menjadikan kita matang dan tenang, membolehkan kita menilai dan menimbang, setiap jawapan dan keputusan..segala-galanya.



Akhirnya..Tersungkur Jua

Awal pagi tadi, peminat bolasepak seluruh dunia menyaksikan kelab tersohor dunia telah tersungkur di tengah kota Rome. Ramai peminat setia yang kecewa. Aku? Sikit la. Walaupun aku datang awal sejam, tapi Old Trafford Alor Setar dah penuh sesak dengan manusia. Tapi tempat duduk untuk aku tetap ada walaupun bukan grandstand.

Barcelona menghadiahkan 2 gol kepada Manchester United untuk dibawa balik ke England. Perlawanan tampak seimbang walaupun MU bermula garang dan menguasai perlawanan. Namun selepas jaringan pertama E'to, penguasaan saling bertukar tangan dan MU kelihatan sering hilang punca.


Mutu permainan MU dilihat tidak sehebat ketika peringkat separuh akhir lalu ketika menewaskan Arsenal. Namun permainan tetap menghibur serta mendebarkan. Walaupun Barcelona menjuarai kejohanan, tetapi gaya dan corak permainan Sepanyol tidaklah menghiburkan seperti mana Liga Perdana Inggeris. Apakan daya, kalah dan menang adat permainan, apa boleh buat.

Di atas padang di Rome mahupun di kedai mamak ni, Cristiano Ronaldo sentiasa dicemuh oleh penyokong Barcelona. Kenapa entah? Mungkin dia hebat atau mungkin kerana dia sentiasa agresif sehingga dilayangkan kad kuning atau mungkin..apa-apalah. Dia berusaha keras namun tak ada rezeki menjaringkan gol.

Dia sentiasa dibandingkan dengan Lionel Messi. Setuju, kedua-duanya hebat namun dalam karektor yang berbeza. Dia dilihat sebagai budak baik sementara Ronaldo budak nakal. Ternyata perlawanan akhir ini menyebelahi Messi malah dia juga berjaya menjaringkan gol kedua untuk Barcelona melalui tandukan yang cantik.

Bravo kepada Barcelona. Namun hati tetap di Manchester, England dan bukan Barcelona, Sepanyol atau pun lain-lain tempat di pelusuk Eropah.

Wednesday, May 27, 2009

Beza Orang Baik dan Orang Jahat

Di dunia ini ada bermacam-macam, ada baik dan ada tidak baik. Manusia juga ada yang baik dan jahat malah ada yang sangat baik dan tentulah juga adanya yang sangat jahat.

Antara sifat orang jahat ialah pendendam dan rasa dia saja yang betul, dia saja perlu menang dan dia saja perlu berada di atas. Tidak ada dalam kamus orang jahat untuk perkataan seri, mengalah, beriringan atau bergandingan.

Kebiasaannya orang jahat yang akan mencetuskan keburukan. Apabila orang baik membalas, mereka tidak dapat terima dan mula berdendam yang akhirnya keburukan itu berpanjangan. Bagi orang baik, setelah menjadikan kedudukan seri, sesuatu perkara buruk itu dianggap selesai.

Dalam filem, banyak contoh kelakuan manusia-manusia jenis ini yang mana orang jahat sentiasa ingin menang sedangkan orang baik rela mengalah asalkan keburukan itu dihapuskan. Tetapi orang baik selalunya ditekan dan terpaksa berjuang sehinggalah orang-orang jahat dihapuskan. Hanya kematian adalah penamat kepada orang jahat, begitulah gambaran dalam filem dan kisah-kisah kelakuan manusia zaman-berzaman.

Kesimpulannya, orang jahat sentiasa berasa tidak puas hati, berdendam dan tidak mahu mengalah atau seri. Berbeza dengan orang baik, sanggup seri atau kalah demi kebaikkan bersama.

Monday, May 25, 2009

Berkhidmat Untuk Negara

Perkhidmatan Kerajaan merupakan sebahagian daripada kewajipan asasi rakyat terhadap negaranya. Ini bermakna sekurang-kurangnya satu golongan rakyat dikehendaki menceburkan diri dalam perkhidmatan kerajaan. Oleh itu, sesiapa yang diberi amanah untuk memikul tanggungjawab-tanggungjawab tertentu di dalam jawatan kerajaan mestilah memahami dengan jelas akan segala hasrat, dasar dan matlamat kerajaan. Di samping itu, setiap kakitangan kerajaan berkewajipan penuh untuk membantu dan menjayakan hasrat, dasar dan matlamat tersebut dengan segala daya tenaga yang ada padanya.

Setiap kesanggupan untuk berkhidmat dengan kerajaan hendaklah disertai pula dengan semangat keikhlasan, kerelaan dan kesetiaan kepada negara. Keikhlasan melambangkan kesucian hati, kerelaan melambangkan kebebasan diri sendiri untuk memilih perkhidmatan kerajaan tanpa dipaksa oleh sesiapa, dan kesetiaan pula melambangkan pembulatan tekad serta kemahuan yang tidak berbelah bagi untuk berbakti kepada negara.

Sifat-sifat ikhlas, rela dan setia dalam menjalankan tugas-tugas perkhidmatan yang ditetapkan itu akan menjadi tunjang bagi kemajuan dan pembangunan negara. Negara Malaysia hanya memerlukan kepada kakitangan-kakitangan yang ingin berbakti kepadanya. Sebarang perkhidmatan yang mendatangkan faedah bagi pihak lain yang bertentangan dengan dasar negara adalah satu penyelewengan. Ini sudah tentu akan menjejaskan keutuhan negara dan boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan.

Berkhidmat Untuk Negara adalah satu tugas murni yang harus dibanggakan.

Wednesday, May 20, 2009

Acara Baru Sukaneka

Bila bersukaneka mesti best sebab kita boleh main macam-macam sukan yang sememangnya menyeronokkan serta melucukan. Kalau nak senaraikan kat sini banyak sangat. Tapi acara yang paling aku seronok ialah berebut kerusi dengan lagu dimainkan, lari dalam guni, makan buah epal yang digantung tanpa memegangnya dan tiup tepung. Tapi ini ada satu acara yang aku baru jumpa, tapi tak pernah tengok dekat lagi la. Acara...ermmm nak bagi nama apa ye? Entah.. Rasa-rasanya orang kita boleh main ke? Gila. Kehkehkeh.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.