Thursday, February 23, 2012

Catatan BALI : Hari Ketiga dan Keempat


Memulakan hari kedua aktiviti berjalan-jalan, pagi-pagi lagi selepas bersarapan kami bertolak ke Kintamani di utara Bali untuk menikmati pemandangan gunung berapi Kintamani serta Tasik Batur. Dalam perjalanan ke sana kami melalui daerah Ubud iaitu kawasan yang terkenal dengan hasil kraftangan daripada emas, perak dan juga lukisan. Di Ubud juga kami sempat singgah di Desa Tegalalang iaitu satu lagi kawasan padi teres yang begitu cantik. Bukit-bukit padi teres di sini lebih curam berbanding kawasan padi teres di Desa Jatiluwih.


Agak tengahari juga baru kami sampai di Kintamani. Wahh memang cantik bila tengok pemandangan gunung berapi ni secara live. Menurut pemandu pelancong kami, kali terakhir gunung ni meletus adalah pada tahun 1988. Kesan dari letusan/limpahan larva juga masih kelihatan sehingga kini. Batu/tanah/pasir hitam dari gunung ini juga telah dijadikan sebagai bahan binaan, ukiran dan sebagainya. Patut la ada sesetengah patung tu berwarna hitam..ermmm. Cuaca kat sini sejuk dan nyaman sungguh, menggigit kulit. Paling tak tahan terpaksa mengelak jurujual-jurujual yang ramai dan mendesak-desak untuk membeli barangan yang mereka jual. Haishhh tak boleh aku..rasa macam nak pelem*&%@ je sorang-sorang.

Tasik Batur, Kintamani

Selepas makan tengahari nasi ayam penyet kat sebuah restoren halal iaitu Restoren Padang di Ubud, kami bertolak balik semula ke selatan, paling selatan pulau Bali iaitu ke Uluwatu. Uluwatu ini adalah kawasan paling selatan di mana terdapatnya cenuram-cenuram tinggi mengadap laut Pentas Sunda dengan binaan-binaan kuil di puncaknya, pantai yang terkenal dengan aktiviti meluncur ombak dan juga merupakan kawasan pemandangan matahari terbenam terkenal. Di sini juga tempatnya diadakan Tarian Kecak dan Api. Tapi kami cut untuk tengok tarian (puja laut) tu dan juga tengok sunset.


Hari tu ombak tak ganas dan aktiviti meluncur tak dapat dilakukan. Mat Saleh berjemur-jemur je sambil orang tempatan dengan upacara ritual mereka.

Mengerikan, namun pemandangan cantik sangat. Pergilah ceruk mana pun, kuil ada di mana-mana. Tengoklah di hujung cenuram tu...
Taknak tunggu sampai sunset di Uluwatu sebab kami nak pergi tengok The Ground Zero of Bali sebelum gelap. Walaupun dah lewat petang, sempatlah juga kami pergi tengok tempat di mana berlakunya kejadian bom pada tahun 2002 yang mengorbankan ramai pelancong asing tu. Kawasan ini sekarang dikosongkan dengan dibina sebuah tugu besar dan tercatat senarai nama mangsa yang terkorban. Walaupun khabarnya sasaran utama pengganas dahulu adalah warga USA tapi yang banyak mati adalah Aussie dan negara-negara lain, US cuma 7 orang saja.

Inilah tapak atau lot bangunan (sebuah bar katanya) asal di mana bom meletup. Ia berhadapan dengan tugu. Sekarang dijadikan kawasan parkir berbayar (dan juga tempat untuk wanita membuang air kecil..hampehh betul hehehe).

Tugu Peringatan mangsa yang terkorban.
Kat sini ada la iras-iras Jalan Telawi, Bangsar atau Jalan Bukit Bintang di KL.
Selepas tu kami balik ke rumah penginapan. Dah cukup berehat, sebelum tengah malam kami keluar lagi jalan-jalan di kawasan sekitar sehingga ke Hard Rock Cafe, beli sedikit cenderamata dan menikmati malam di Kuta. Tak jauh bezanya dengan di Bangsar dan Bukit Bintang.
Selesailah perjalanan kami untuk hari kedua berjalan-jalan di Bali.
Moshuchi Kata : Cuma kat Bangsar dan B.Bintang tak banyak ukiran patung-patung batu je hehehe.

Thursday, February 16, 2012

Catatan BALI : Hari Pertama & Kedua

Bali. Cukup terkenal sebagai antara tempat/pulau pelancongan menarik di dunia. Rasanya tidak perlu promosi yang berlebihan, Bali sedia diketahui masyarakat seantario dunia menerusi bayu-bayu lautnya sahaja yang menghembusi ke seluruh arah benua.

Aku dan isteri juga tidak ketinggalan. Minggu lepas, kami berdua berpeluang bercuti ke sana selama 4 hari 3 malam. 2 hari dikhaskan sepenuhnya untuk berjalan-jalan makan angin/melancong. Sebetulnya kami pergi pada September 2011 lalu (ketika isteri masih lincah hehe) tetapi disebabkan masalah teknikal, tertangguh beberapa bulan. Apapun kami bersyukur kerana tercapai juga hasrat hati untuk bercuti ke sana, termasuk juga baby yang sudah 4 bulan dalam kandungan tu (dulu plan taknak bagi dia ikut hehehe..)

Di sana kami menggunakan khidmat pemandu pelancong iaitu saudara Esa dari Drivers with Distinction. Ternyata ianya berbaloi dan kami sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh lelaki 30-an tersebut. Beliau sangat baik, ramah, membantu dan mahir tentang selok-belok pulau tersebut. Tanyalah apa saja (dah itu pun kerjanya kan hehehe).

Dari KLIA kami terbang pada pukul 3.30 petang dan sampai sekitar pukul 6.15 petang di lapangan terbang Ngurah Rai, Denpasar. Dalam kapal terbang taklah bosan sangat sebab aku melayan filem hindustan lakonan Salman Khan bertajuk Bodyguard hehe melalui skrin kecil ala-ala iPad yang disediakan di setiap belakang tempat duduk. Hebat. Tapi masa balik takdak dah kemudahan tu sebab kapal terbang model/Boeng kelas lama yang tempat duduknya berwarna-warni tu.

Sampai saja aku ambil teksi terus ke rumah penginapan di Taman Sari II Cottage. Malamnya kami cuma berjalan-jalan santai menyusuri jalan di tengah kota Kuta yang suasana jalannya ada la sedikit ala-ala jalan di Jalan Telawi, Bangsar atau jalan di Pantai Chenang, Langkawi. Kemudian lepak kejap di Discovery Mall (mall yang terbesar di Kuta katanya) sambil menghirup bayu Lautan Hindi dari anjung mall. Pastu balik ke rumah penginapan yang hanya tak sampai 1000 langkah pun hehehe.
-------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari kedua (hari pertama program makan angin), seawal pagi kami memulakan perjalanan ke Tanah Lot iaitu tempat di mana terletaknya kuil-kuil yang dibina di cenuram batu laut atau batu tunggul di tepi laut. Agak ramai juga manusia di sana dan kebanyakannya adalah pelancong domestik. Kemudian kami bergerak pula ke Desa Jatiluwih (dalam bahasa Bali Jati + luwih bermaksud 'sangat mengagumkan') iaitu kawasan di mana terdapatnya tanaman padi teres yang paling besar/luas di Bali.




Di Jatiluwih, hujan turun renyai-renyai menambahkan lagi kesejukan yang sememangnya telah tersedia menggigit kulit kami. Dah puas menikmati panorama keindahan padi bukit yang berteres-teres, kami menuju pulak ke daerah Bedugul iaitu kawasan di mana terletaknya dua buah tasik iaitu Tasik Buyan dan Tasik Tamblingan atau dipanggil tasik berkembar. Sambil tu singgah di pasar Candikuning iaitu tempat penjualan buah-buahan terbesar. Aku beli la buah strawberi sepaket untuk isteri, manis rasanya tapi buahnya tidaklah se'tampan' strawberi di Cameron Highland, Pahang hehehe.








Di pinggir Tasik Buyan, terdapatnya kompleks kuil Ulandanu yang mana beberapa buah kuil termasuk yang dibina di atas pulau kecil dalam tasik menarik perhatian kami. Tasik agak tenang tapi paras air sedikit tinggi dan tak boleh untuk berjalan ke pulau kecil tersebut. Di sini cuaca sejuk semakin melahap-lahap menggigit kulit kami. Setelah aku buang air kecil di tandas awam dengan bayaran beribu-ribu rupiah, kami meneruskan perjalanan.








Destinasi selanjutnya adalah ke Desa Batubulan untuk menikmati hebatnya Tarian Barong dan Keris. Tarian barong menggambarkan pertarungan di antara kebaikan melawan kejahatan. Barong adalah makhluk mithologi kebaikan dan Rangda adalah makhluk jahat. Layanlah kami lebih kurang sejam setengah persembahan tersebut. Seronoknya bila tengok tarian oleh dua gadis cantik meliut-liut. Barongan ni macam tarian singa masa Tahun Baru Cina pun ada atau macam tarian opera Cina pun lebih kurang juga. Cuma dalam tarian ni ada juga tarian sekumpulan lelaki yang menikam-nikam badan mereka dengan keris, namun tak menembusi kulit atau mencederakan badan. Hebat ilmu hangpa na hehehe.








Selesailah program makan angin untuk hari pertama. Kami balik ke rumah penginapan dan sampai pun dah hampir senja. Malamnya ingat nak keluar jalan-jalan lagi tapi badan letih sangat. Layan sinetron (banyak gila siaran sinetron) kejap pastu dua-dua 'hanyut'.


bersambung...

Wednesday, January 04, 2012

Apa Ada Dengan 2012?

selamat datang 2012. sekejap saja rasanya dunia ini berputar bergerak, tahun silih berganti bersama juga perubahan umur. beberapa bulan dari sekarang umur aku akan menjangkau ke angka 32. teringat sedekad yang lalu ketika hidup meriah sebagai pelajar di universiti, melihat pengajar-pengajar junior yang rata-rata berumur 30-an, merasakan mereka sudah tua..tambahan pulak ada yang dah terbotak pun di kepala. nah sekarang aku pula berada dalam kategori tersebut, cuma rambut di kepala ni saja masih lebat. tapi sudah ada yang mula berwarna putih. dunia dunia...

tahun 2012 adalah tahun untuk melipat gandakan usaha bagi mencapai serta menghampiri apa2 jua perancangan, harapan, impian dan azam. ada bermacam-macam daripada yang kecil/ringkas, besar, jangka pendek/sederhana/panjang dan sebagainya. mana yang boleh dicapai perlu kuatkan usaha, mana yang lambat untuk dicapai teruskan juga langkah walaupun perlahan-lahan. tentulah mustahil untuk mencapai segala-galanya dalam masa 365 hari saja kan...

tahun 2012 aku tak bersasaran tinggi cuma ingin melipatgandakan usaha untuk menjadi pekerja yang lebih baik kepada majikan aku, kerana inilah sumber pendapatan utama aku, periuk nasi aku. aku mesti sentiasa menjadi pekerja yang terbaik dan pernuh berintegriti. tambahan pula skop dan suasana kerja di tahun-tahun mendatang pastinya lebih mencabar.

insyaAllah tahun ini juga atau lebih tepat lagi pada bulan julai nanti aku akan menjadi seorang ayah. alhamdulillah akan lengkaplah rumahtangga yang dibina bersama isteri. jadi tentulah persiapan untuk ahli baru dalam keluarga perlu dibuat. perkara penting juga tentulah aku memasuki fasa baru kehidupan sebagai seorang lelaki yang bergelar ayah. bukan mudah menjadi ayah yang baik, betul tak? jadi perlu menyesuaikan diri untuk menjadi ayah yang baik (di samping suami yang baik).

tahun ini juga aku berkira-kira sudah sampai masanya untuk aku membeli sebuah rumah. insyaAllah semoga hasrat ini tercapai dalam tahun ini juga. semakin ditunggu semakin galak pula harganya (rumah). jadi dalam soal ini perlulah kembali kepada pepatah Melayu lama "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian (sambung sendiri..tau?).

lain-lain daripada itu, aku teringin nak beli beskal sebiji hehehehe. kalau diimbas sedekad lalu, kalau tak berlari sepetang boleh demam kura-kura dibuatnya. badan mesti aktif. tapi sekarang berlari masih lagi boleh tapi taklah selaju dan sejauh dulu. jadi senaman berlari itu nak ditukar kepada berkayuh la pula sejajar dengan peningkatan umur hehehe. insyaAllah akan belilah nanti sebiji.

selebihnya tu, seperti tahun-tahun yang sudah tentulah aku berazam untuk menjadi hambaNya yang lebih bertaqwa, menjadi anak yang soleh, menjadi suami yang baik dan menjadi warga yang berintegriti.

moshuchi kata : pejam celik..pejam celik...

Monday, December 19, 2011

Perihal SBPA

pagi tadi ada taklimat tentang skim saraan baru perkhidmatan awam di jabatan aku. dah beberapa kali nak buat asyik tertunda saja, hari ni baru terlaksana.

aku malas nak ulas lanjut pasal skim baru ni. pada aku apa yang terkandung dalam skim baru ni ada kewajaran dan kelebihan-kelebihannya. memang tak dinafikan wujud beberapa isu atau klausa yang tidak memuaskan hati sesetengah pihak. kalau nak puaskan hati setiap 1.4 juta penjawat awam, tak ke mana lah perkhidmatan awam negara kita ni.

dalam hidup ni perlukan perubahan ke arah yang lebih baik. untuk kesenangan perlukan pengorbanan dan kadangkala persaingan. itu lumrah hidup. apa yang penting bersyukur dengan apa yang ada dan juga yang diberikan. juga terus berusaha, berintegriti dan sentiasa ingat matlamat asal memasuki perkhidmatan awam.

pada aku skim baru ini baik dan sebagai permulaan ke arah perubahan perkhidmatan awam yang lebih matang.

Moshuchi Kata : jangan pernah berhenti bersyukur...

Monday, December 05, 2011

Laksa Utara & Puding Koktail Licin

Alhamdulillah, laksa dan puding yang aku dan isteri buat semalam telah habis licin hari ni 'diselesaikan' oleh orang-orang pejabat aku. Paling seronok bilamana semua yang makan berkata "ermm sedaplah", "..boleh bagi resepi ni kat saya.." dan paling best bila Dato' (orang no. 2 kat jabatan) kata "..wahh ini boleh buka kedai ni kalau macam ni..". Hehehe..terima kasih semua.

Aku memang dah rancang nak masak laksa dan bawa ke pejabat lama dah, cuma baru hari ni dapat dilakukan. Bukan apa, nak buat laksa ni 'renyah' sikit tapi taklah menyusahkan sangat pun. Bermula semalam, keluar mencari bahan-bahan terutamanya ikan untuk buat kuah dan juga bahan-bahan ulam yang lain.

Ini bukan kali pertama aku buat laksa. Sebelum ni dah pernah buat sendiri laksa dalam tahun 2006 hehehe. Lepas tu tak pernah buat dah. Kalau nak makan pure laksa utara je memang balik kampung la, pekena sendiri 'air tangan' emak atau emak mertua. Tapi malam tadi, isteri banyak membantu (juga emak mertua secara dalam talian hehehe). Terima kasih.

Bukan laksa je, gatal tangan nak buat puding koktail juga. Maklumlah puding yang isteri buat ni memang sedap. Dulu dah pernah makan dia buat. Jadi buat juga puding koktail untuk dibawa ke pejabat. Tapi lepas ni kalau isteri segan nak buat, aku pun dah boleh buat sendiri..senang je hehehe.

Rasa seronok hari ni sebab semua makanan yang dibawa telah habis dimakan. Mulanya risau juga, yelah nak bagi orang makan kan. Kalau kita sendiri makan tak sedap pun takpe. Tapi alhamdulillah bolehlah..ada yang sampai menambah-nambah. Nanti ada rezeki kami buat lagi. Kalau macam ni barulah ada semangat nak buat lagi hehehe. Mungkin lepas ni boleh buat untuk kawan-kawan pula, makan ramai-ramai kan. InsyaAllah.

Moshuchi Kata : terima kasih kepada isteri..terbaeekk
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.