Monday, August 10, 2009

20 Tahun Dahulu

1989 - Ketika loceng rehat berbunyi, aku bergegas lari balik ke rumah. Darjah 3 Bakawali atau 3B (terbaik di antara tiga buah kelas) aku tinggalkan tak toleh-toleh lagi. Seberang jalan sikit, lintas jambatan kayu sikit, sampailah rumah aku. Waktu itu tentunya makanan sudah tersedia walaupun kadang-kadang hanya ubi kayu rebus bersama kelapa parut bersama gula. Begitulah rutin harian aku ketika di bangku sekolah rendah. Setiap kali waktu rehat, aku akan balik ke rumah kerana jarak antara sekolah dengan rumah aku 'loceng sekolah berbunyi boleh sampai ke dapur rumah'. Setengah jam waktu rehat aku berada di rumah. Apabila loceng berbunyi, aku kembali semula ke sekolah. Sekolah Kebangsaan Dato' Shaari, Kubang Rotan, Alor Setar Kedah kelihatan sudah banyak berubah kini.

Sekolah waktu itu hanya berseluar pendek. Seluar yang kakinya agak besar seperti uniform polis zaman British dahulu. Jika ada yang berseluar panjang pun cuma seorang dua. Itu pun di pangkal namanya selalunya berbunyi 'Syed'. Aku tak peduli waktu itu siapa dan apa. Kadang-kadang 'Syed' itulah yang meniru kerja sekolah aku atau berbisik-bisik semasa menduduki ujian. Seluar sekolah itu masih elok dan terjaga walaupun ia adalah kesinambungan abang-abang aku. Seluar aku sendiri yang dibeli ayah di awal tahun aku tidak pakai kerana sengaja disimpan untuk acara-acara penting sekolah seperti Hari Guru dan Hari Penyampaian Hadiah. Pernah juga terfikir yang ia boleh dismpan untuk adik aku pula nanti.

Aku lebih suka memakai baju dan seluar sekolah abang-abang aku. Emak pernah cakap "biar buruk atau lama tetapi bersih dan kemas". Memang dari kecil emak dah tekankan nilai-nilai kekemasan dan kesempurnaan walaupun hidup waktu itu dalam serba kekurangan. Di sekolah, aku biasa-biasa saja. Tidak terlalu menonjol dan tidak pula terkojol. Walaupun begitu, aku merasakan sering mendapat perhatian guru-guru walaupun sedangkan aku bukanlah selalu mendapat tempat pertama, kedua atau ketiga dalam peperiksaan. Mungkin dari banyak segi dan sudut orang boleh menilai kita, bukan? Seingat aku, aku pernah mendapat sekali tempat kedua dan sekali tempat pertama dalam kelas. Selebihnya aku lebih suka dengan angka 5, 7 dan 9. Lebih daripada tu tidak pernah walaupun ada rakan sekelas dan sepermainan aku di kampung yang berada di tempat ke-28. Tapi kami tetap gembira. Apa ada pada nombor dan angka pada waktu dan ketika itu. Boleh menguasai 3P (membaca, menulis dan mengira) sudah dianggap berjaya di sekolah.

Selepas waktu sekolah pula, tengaharinya akan mengikuti kelas Al-Quran di rumah seorang guru yang kami semua panggil Tok Lang Yom (arwah). Balik dari mengaji, aku akan ke rumah jiran untuk menonton televisyen kalau ada cerita kegemaran waktu itu seperti Kesatria Baja Hitam, Gaban/Gavan, Kickers atau pun The Adventures of Tom Sawyer. Jika hari yang tiada rancangan-rancangan tersebut, waktu petang diisi sepenuhnya dengan bermain seperti kanak-kanak lain. Permainan waktu itu yang popular adalah seperti baling tin, baling kasut, guli pangkah, sorok-sorok, polis sentri, congkak tanah dan macam-macam lagi. Kadang-kadang juga aku dan kawan-kawan akan bermain perang menggunakan senapang peluru buah terung belanda di kawasan belukar, biasalah tu. Tapi walau seronok macam mana sekalipun bermain, jauh mana sekalipun pergi bermain, mesti balik ke rumah sebelum azan berkumandang. Itulah pesan emak.

Di waktu kecil, aku juga ada aktiviti lain yang aku sangat suka. Kadangkala kawan-kawan yang lain tidak sudi untuk mengikut aku. Tapi tak mengapa, aku suka walaupun hanya aku seorang yang 'bermain' iaitu menangkap ikan darat/ikan sawah dengan cara mengikut pembajak (traktor) dari belakang. Aktiviti ni aku akan buat ketika musim membajak sawah. Bersama serkap buluh yang dibuat ayah dan jaring untuk mengisi ikan, aku bermain dengan lumpur, ikan haruan, sepat benua, puyu dan keli. Ada masa jika ikan haruan terlalu banyak, aku akan menjualnya kepada jiran berbangsa Cina di kampung. Mereka sangat suka ikan haruan terutama yang besar-besar untuk dibuat sup. Ikan haruan memang banyak khasiatnya. Begitulah, anak Kedah dan anak kampung/bendang, jika tidak bermandi selut dan lumpur sawah tidaklah lengkap rasanya. Namun kini zaman telah berubah, banyak yang telah berubah.

Waktu malam pula, aku akan sekali lagi mengaji Al-Quran tetapi emak yang mengajar. Kemudian siapkan kerja sekolah atau mentelaah pelajaran beberapa ketika. Selepas itulah baru menjamu selera bersama. Biasanya sekitar jam 9 malam ayah akan balik dari menanggung padi. Kerjanya pada waktu ketika itu, ketika masih kuat dan berotot-otot sasa. Manakala hanya apabila ada rancangan-rancangan menarik di TV saja baru emak akan benarkan aku ke rumah jiran untuk menonton. Biasanya filem-filem lakonan Tan Seri P.Ramlee kerana emak aku juga akan pergi sama.

Begitulah aku ketika berumur 9 tahun dahulu, 20 tahun yang lalu. Hidup dalam serba kekurangan dan sederhana. Kehidupan waktu kecil banyak mencorak diri dan keperibadian, semangat dan matlamat aku. Tidak banyak yang aku ingat namun tidak banyak juga yang aku lupa. Sayangnya waktu ketika itu tidak ada langsung rakaman foto untuk dijadikan kenang-kenangan kini walaupun sekeping. Kamera, barangan mewah waktu itu tentulah bukan mudah untuk kami adakan. Tapi tak mengapa, jika ada foto tentunya sudah buruk dan lapuk. Tetapi kenangan di minda tetap segar selamanya.

Tidak semua manusia berasal daripada jalan yang sama atau melalui jalan yang satu tetapi ingin menuju destinasi yang serupa iaitu untuk mengecap kesejahteraan, kesempurnaan dan kesenangan hidup. Pengalaman pahit manis sepanjang perjalanan itulah yang banyak membantu.

2 comments:

rizal del tapairo said...

nice.

duk belah sawah sgt menarik.tangkap sepat, puyu.
sesekali bila sedara mara berkumpul, aktiviti menimba dan menyauk jadi mainan.

Encik Moshuchi said...

yeahh..menimba ikan memang best. best masa menggagau ikan bila air dah separas buku lali..masa tu mata je yg putih, lain semua penuh selut/lumpur hehehe..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.