Wednesday, September 02, 2009

Aku Dan Sasterawan Negara

Sasterawan Negara (SN) Dato' A. Samad Said. Siapa yang tidak kenal beliau. Orangnya amat sederhana, mudah dikenali (dicam) dan senang didekati. Aku tidaklah terlalu mengenali tokoh ini secara dekat dan mendalam. Hanya mengenali beliau melalui karya-karya pena beliau saja. Aku masih ingat, ketika berusia 17 tahun aku sudah membaca habis Salina, novel agung karya beliau. Novel itu agak tebal dan jika isinya tidak menarik hati, mustahil bagi sesiapa pun untuk menghabiskannya.

Pertama kali bertemu beliau ialah semasa aku menuntut di universiti dahulu, semasa di tahun kedua. Waktu-waktu itu aku dan sekumpulan rakan lain agak aktif dalam aktiviti kebudayaan, penulisan, teater dan aktiviti seni lain. Saban minggu kami akan memenuhi ruang laman Rumah Pena untuk berpuisi. Kadangkala aktiviti ini dijalankan di suatu sudut kafe di Muzium Negara. Aktiviti membaca puisi ini sangat menarik kerana menampilkan nama-nama besar bidang penulisan dan disampaikan secara sangat santai. Di suatu waktu itulah aku buat pertama kalinya dapat melihat kelibat beliau secara langsung dan dekat.

Kemuncaknya, aku bersama Hayati duduk semeja dengan beliau sambil menghirup teh tarik di sebuah kafe di Stesen Sentral, Kuala Lumpur kerana membincangkan suatu projek/acara. Isteri beliau yang kami panggil auntie juga ada bersama. Waktu itu aku memanggilnya Bapak kerana dia membahasakan dirinya Bapak. Menurut Hayati, panggilan Bapak lebih sesuai sementara dia pula memanggil dengan panggilan Paman (Hayati mempunyai hubungan keluarga yang rapat dengan beliau. Menurut Hayati juga, dia rapat dengan Dato' A. Samad Said semasa di zaman kecilnya). Sebenarnya beliau tidak kisah panggilan untuknya; ada yang memanggil Dato', Pak Samad atau Bapak bagi sesetengah yang rapat.


Lanjutan dari pertemuan itu juga, kami bertemu lagi dan kali ini di sebuah majlis bagi meraikan bakat-bakat muda dalam bidang penulisan yang diadakan di sebuah hotel besar. Aku sangat teruja pada malam itu. Nama-nama besar lain seperti Senator Dato' Jins Shamsudin (sewaktu dalam perjalanan ke hotel tersebut, kereta kami bergerak bersebelahan dengan kereta Perdana beliau dalam kesesakan. Beliau memandu sendiri), Dato' Rahim Razali, Dato' Mustaffa Maaroff, S.M Zakir, Lim Swee Thin dan lain-lain. Aku sempat merakamkan gambar bersama nama-nama besar tersebut namun entah bagaimana, gambar-gambar tersebut terpadam (delete). Ermm lupakan. Selain memenuhi undangan, kehadiran kami pada malam itu juga adalah kelangsungan perbincangan mengenai projek/acara yang akan kami adakan di INTAN Bukit Kiara kelak.

"Tinta Nan Sembilan". Itulah projek kami, ahli-ahli Sidang C semasa menjadi penuntut Diploma Pengurusan Awam di INTAN dahulu. Ia adalah projek/acara yang mengetengahkan bidang sastera; penulisan puisi, deklamasi sajak, nyanyian puisi dan lakonan. Namun apa yang lebih penting, ia adalah projek bagi memberi penghormatan kepada tokoh-tokoh dunia sastera khususnya sembilan orang Sasterawan Negara. Kesudian Dato' A. Samad Said meluangkan masa untuk hadir pada malam acara itu sangat-sangat dihargai dan beliau juga sebagai mewakili seluruh 'sahabat'nya. Terima kasih juga kepada semua rakan Sidang C yang menjayakan acara tersebut.


Malam acara tersebut diserikan dengan gimik oleh hulubalang-hulubalang seperti di zaman kesultanan Melayu Melaka, ada persembahan deklamasi sajak, nyanyian puisi oleh penyair-penyair jemputan, bual bicara sastera dan persembahan pentas/drama Konserto Terakhir. Persembahan drama ini mengimbau aku kepada zaman semasa di universiti dahulu, ketika begitu leka dan asyik dengan drama pentas. Namun aksi ketika membawakan watak Hilmi sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada aku. Konserto Terakhir adalah karya SN Abdullah Hussain yang juga merupakan ayah Hayati.

Barisan pelakon Konserto Terakhir

Begitulah. Sasterawan Negara, suatu gelaran yang sangat tinggi kepada figura-figura yang juga cukup tinggi ilmu kesusasteraannya, bahasanya, jiwanya, jati dirinya, martabat maruahnya (bangsanya). Namun di mana mereka? Mereka tidak minta dilambung melangit, cukuplah menghargai, menghormati dan memartabatkan buah fikiran mereka samada melalui lisan atau mata pena. Jika dibandingkan, mereka jauh tidak dikenali/diendahkan berbanding artis-artis popular masakini. Namun mereka tidak pernah akan diterbangkan laksana kertas kosong oleh angin zaman seperti tenggelamnya artis popular bila sampai karamnya.

Kesempatan untuk bertemu dengannya semula terbuka luas pada 8 Ogos 2009 lalu di Majlis Penghargaan 'Menjelang 75 Tahun A. Samad Said', namun undangan Hayati itu tidak dapat dipenuhi kerana bergelut dengan beberapa urusan kerja yang lain. Bagaimanapun, kehampaan tersebut sedikit terubat apabila Hayati melayangkan senashkah coretan kecil 'Nota Dari Sasterawan Negara' tidak beberapa lama selepas itu. Terima kasih Hayati.

Aku tidak tahu bilakah lagi dapat bertemu secara langsung, berjabat tangan sambil berbual-bual dengan sasterawan negara yang seorang ini lagi, walaupun aku tahu cukup mudah untuk menjejakinya. Jika diteliti dalam keramaian manusia di Stesen Sentral itu, pasti akan menemui lelaki tua berjanggut dan berambut putih ini. Itu adalah laluannya. Pengangkutan awam terutama LRT adalah 'kakinya'. Atau mungkin dia sudah tidak mengingati aku lagi kerana dia adalah milik masyarakat berjuta. Teringat senyum tawa beliau sewaktu bergurau senda mengenai stail rambut aku yang tercacak-cacak. Mungkin dia sudah lupa.

Berharap kesempatan untuk berjumpa dengan SN Abdullah Hussain akan tiba nanti. InsyaAllah.

8 comments:

Al Hadi said...

hmm.. aku pun nak buat entri Tinta Nan 9 la...

Encik Moshuchi said...

hehe..juga merupakan kenangan terindah kita beb...teringin nak berlakon semula hehehe..

marmalade said...

terharu baca entri ini =) tapi kalau nampak gambar "bertiga" yang telah di"dua"kan tuh, memang nak tergelak. hahahahahaha.

oh suka benar dengan nukilan seni hayati bersama sajak usman awang yang cukup memberi kesan itu ye =)

tapi kapan abang mau ke rumah hayati bertemu dengan bapak? akram pun dah singgah dan bersalaman.

rindu juga berlakon, kali pertama menjadi "diri sendiri" =)

Al Hadi said...

aku ingat nak buat entri bergambar khas untuk Hilmi dan Hayati muahahahha

Encik Moshuchi said...

sis mar - hehe..sori fidah. ntah2 dia pun tak perasan dah pasal gambar tu.

ya mmg cantik hasil seni tersebut.

insyaAllah, harap mmg dapat berjumpa dia.

PM - mana satu ko nak buat entri nih..jangan buat hal lah..nanti buat joker lg.

Khairul Amri Ishak said...

erm

artikel terlalu panjang
hanya sempat cover smpai
segmen tinta nan 9 jer..

hehe..

good.good..:)

Anonymous said...

hang lupa ke yang hang pernah buat gimik perasmian yang dirasmikan oleh pak samad. guna pasu bunga jer

Encik Moshuchi said...

hehe..tentulah aku ingat. pasu bunga kepala orang kan...
haha..seronok bila hang komen..lama tak menulis kan..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.