Friday, October 30, 2009

Akhirnya Ke MotoGP

1. Akhirnya. Tahun ini 2009 aku berjaya juga menyaksikan MotoGP secara langsung. Tidak seperti tahun-tahun lalu, perancangan untuk menyaksikan perlumbaan terhebat motosikal ini terpaksa diabaikan kerana desakan tugas-tugas penting. Tahun ini, akhirnya mata dapat melihat sendiri Rossi, Pedrosa, Stoner, Lorenzo, Melandri, De Puniet, Capirossi menonggek kiri dan kanan memecut jentera masing-masing. Telinga dapat mendengar sendiri bingitnya bunyi jentera Honda, Yamaha, Ducati, Kawasaki, Suzuki dan sebagainya. Paling seronok bila dapat menyaksikan MotoGP ni bersama si dia. Terima kasih ya.

Menonton dari sudut tepi. Ingin melihat pelumba-pelumba mengambil selekoh-selekoh tajam. K1 lah tempatnya.

Adehh, kena panjat bukit la plak. Pokok hujan dah mengandung. Habis je acara 125cc dan 250cc, hujan pun turun. Nasib baik bawa payung.


Hajat di hati nak tengok aksi pelumba yang terbabas mengambil selekoh. Tapi tak ada yang menyembah litar. Aku kempunan. Dapat seulas cubitan di badan. "Ni nak tengok orang berlumba ke orang jatuh motor?" Adehh..padan muka aku.


Jatuhlah..jatuhlah..jatuhlah. Tak jatuh juga. Sungguh profesional kamu.


Perlumbaan kelas 500cc selepas hujan. Walaupun litar dah basah takde juga yang terjatuh kat selekoh-selekoh ni. Selekoh yang lain ada juga yang terjatuh termasuk pelumba pasukan kegemaran aku Repsol Honda, Dovidiaso.


Wahh, khusyuk sungguh tengok. Puas juga la aku menerangkan itu ini pasal MotoGP. Nampak minat tu memberangsangkan. Bagus, tahun depan datang lagi ya. Hehehe...


Bergambar jangan lupa walaupun perlumbaan sedang rancak di litar. Jangan marah...


Perlumbaan dah selesai. Rossi sah juara dunia kali ketujuh. Mana Boy ni, lambat betul. Bergambar dulu sementara menunggu seorang rakan yang datang bersama.


Rossi si juara dan Lorenzo memerhati dari belakang.


Ada juga yang tegur "abang ni Adam yang berlakon Nur Kasih tu eh, nak bergambar". Ekk elehh adik ni..ke situ plak peginya ko ye. Ermmm lantaklah.

2. Semasa ramai-ramai kat tempat duduk tu, bercampur berbagai bangsa termasuk 'mat-mat salleh', kami pun buatlah 'ombak' beramai-ramai. Itu pun mat-mat salleh tu yang mulakan dulu. Dari mereka berlima, sehinggalah semua yang ada kat situ. Dari hujung sini sehinggalah ke hujung sana tempat duduk membuat ombak. Kata orang kat sebelah "ermm..nak tunggu mat salleh juga yang mulakan benda-benda camni, kita takleh pikir ke untuk meriahkan suasana?" Betul tu.

3. Dah lama pastu. Bila sorakan ombak entah hilang ke mana. Timbul pula sorakan baru. Setiap kali ada couple yang lalu akan disorak. Termasuk couple2 mat salleh. Sehinggakan sesiapa saja yang lalu di lorong tengah tempat duduk akan disorak. Tapi sorakan ini tidak dimulakan oleh mat salleh. Dimulakan oleh orang kita. Mat-mat Rempit barangkali. Ermmm. Orang sebelah berkata lagi "haa, inilah yang orang kita tahu dan pandai mulakan". Teringat sewaktu aku menonton perlawanan-perlawanan bolasepak di stadium, beginilah situasinya. Orang kita.

Meratah Ikan Di Bangsar

1. Sejak sekian lama, dapat juga lepak-lepak dengan Hayati dan Frankie. Maklumlah jarak memisahkan. Apabila ada kesempatan ke Kuala Lumpur, akan cari kesempatan lepak bersama. Lagipun dah lama ingin berjumpa Hayati, sebab ingin mengambil 'duit' negara-negara luar hehehe..dan hadiah yang dibeli dari kota Manila. Terima kasih untuk itu semua.

2. Malam tu lepak di Bangsar Village. Nak makan ikan pula hajat hati bersama. Kedai apa ntah namanya. Meratahlah ikan malam tu. Frankie pulun sakan. Aku pula habiskan separuh je, dah tak boleh masuk dah. Ikan "Solomon' tu aku rasa macam ikan talapia liar je sebabnya ada bau-bau paya hehehe. Tapi okay la sekali-sekala makan.

3. Banyak juga yang dibualkan. Rancak. Banyak topik yang disentuh. Seronok. Namun akan lebih rancak jika brother Hadi ada bersama. Tak mengapalah. Dia tak dapat datang. Mungkin sibuk buat persediaan ke Beijing. Terbang ke Beijing dengan hati yang kurang berbunga nampak gayanya. Sabarlah bro. Tapi sebelum tu aku dah lepak dengan dia bersama MyLovelyFingers.

Hayati, aku dan Frankie setelah selesai meratah ikan dalam kuali.

Perihal Bertemu Dan Berpisah

1. Kenapa nak bercakap perihal bertemu dan berpisah ni?

2. Apa salahnya. Aku pernah mengalaminya. Mungkin anda pun pernah mengalaminya. Semua orang pernah mengalaminya. Dan sebagai seorang Muslim pulak kita tentunya faham dan mengakui bahawa jodoh pertemuan itu ketentuan Tuhan, ajal dan maut juga ketentuan Tuhan Yang Maha Esa. Cuma persoalannya, bagaimana kita menerima sesuatu ketentuan itu?

3. Berbagai-bagai. Bertemu tentu semuanya bermula dengan baik, kan? Namun apabila berpisah, ada yang berpisah dengan cara baik dan sebaliknya. Ada pula yang boleh menerima perpisahan dengan cara baik dan sebaliknya. Perpisahan bukanlah suatu kesalahan kerana ia adalah pilihan. Pilihan pula haruslah bijak dan melalui pertimbangan yang sedalam-dalamnya. Namun, selain faktor diri manusia itu sendiri, perpisahan juga terjadi kerana takdir dan jodoh. Sebagai seorang Muslim kita kena akui dan terima ketentuanNya.

4. Aku tidak ingin menyentuh soal kenapa berpisah? atau faktor-faktor terjadinya perpisahan. Itu kenangan silam masing-masing. Cumanya aku ingin menyentuh penerimaan terhadap suatu perpisahan. Perpisahan bukanlah bermakna hidup ini telah hancur dan gelap. Perpisahan bukanlah 'mematikan' seseorang itu. Memang perpisahan suatu yang menyakitkan dan setiap orang/pasangan tidak mahukan perpisahan. Tetapi seandainya ia terjadi, haruslah menerimanya/menghadapinya dengan waras dan tidak merosakkan diri sendiri. Sedih, kesal, geram dan sebagainya adalah asam garam apabila berlakunya perpisahan. Tetapi sebagai seorang yang bijak, mereka akan menilai diri sendiri mengapa terjadinya perpisahan. Menyalahkan diri sendiri jika puncanya berpusat dalam diri sendiri. Menerima perpisahan itu dengan redha dan bangkit untuk memulakan episod baru kehidupan.

5. Tetapi ada pula yang tidak boleh menerima perpisahan apabila sentiasa mengganggu gugat kehidupan orang lain (bekas pasangan). Perkara ini mungkin terjadi jika perpisahan itu berlaku dalam suasana yang tidak baik. Namun jika perpisahan itu terjadi dalam suasana yang baik dan tenang, terimalah ia dengan hati yang tenang juga. Ada sesetengah orang berpisah dengan cara yang baik. Walaupun tidak ada lagi hubungan kasih sayang/istimewa tetapi masih ingin berkawan dan bersahabat. Ia sesuatu yang mulia. Tetapi ada sesetengah orang tidak boleh menerimanya. Jika tidak boleh terima dan melupakan terus, tidak mengapa kerana ia adalah pilihan. Namun jika ada yang tidak boleh terima tetapi masih mengganggu kehidupan orang lain, itu sesuatu yang sangat tidak baik. Tidak pandai menghormati orang lain.

6. Perpisahan bukanlah menandakan berakhirnya kehidupan. Orang yang bijak akan bangun dari kegagalan lalu untuk mencapai kehidupan yang lebih baik. Kita sebagai manusia biasa kadangkala tewas dalam sesuatu perkara seperti perpisahan. Kerana manusia itu tidak sempurna. Tetapi bagaimana cara kita menerima sesuatu perpisahan itu menandakan di mana aras nilai diri kita sebenarnya. Sesetengah orang bersyukur kerana perpisahan itu memberikan pula sesuatu kebaikkan kepada mereka. Dan orang yang baik, jika berlaku perpisahan dia sentiasa (akan) mengharapkan kehidupan yang baik juga kepada bekas pasangannya.

7. Baik lelaki atau perempuan, terutama yang belum mempunyai ikatan, perpisahan bukanlah bermakna hidup anda telah berakhir. Fikirkanlah bagaimana pasangan yang telah mempunyai ikatan, yang hidup bersama bertahun-tahun, namun ada juga yang terpisah. Sebab itu kita haruslah bijak menerima sesuatu perpisahan jika itu ketentuan Tuhan. Jika sentiasa bermuhasabah diri dan menjaga sesuatu ikatan dengan baik, perpisahan akan menjauhi kita. Mudah-mudahan.

8. Seperkara lagi. Jika berlaku suatu perpisahan, mulut-mulut dan mata-mata disekeliling akan banyak berbicara dan menjeling. Itu perkara biasa. Ada yang bersimpati dan ada juga yang mengeji. Itu juga adalah pilihan masing-masing. Pada pandangan kita, mereka adalah sangat sepadan dan serasi tetapi dalam hati mereka hanya Tuhan saja yang tahu. Jadi janganlah kita memandai-mandai membuat telahan itu dan ini. Jika berpasangan, jagalah pasangan (hubungan) itu elok-elok. Jangan menyibuk hal orang lain lebih dari sepatutnya.

Thursday, October 15, 2009

Cerita Tun Mahathir Dan Rakyat

1. Agak lama entri ni dalam status "draft". Cerita ini aku perolehi ketika aku ke Langkawi hari tu atas beberapa tugas rasmi. Aku ingin berkongsi cerita ni dengan anda semua. Sesuai untuk kita hayati dan fikir-fikirkan.

2. Cerita ini diceritakan oleh seorang pegawai Polis ketika kami berborak-borak tentang Langkawi. Bila bercakap mengenai Langkawi, nama Tun Mahathir mesti ada kaitan. Kejadian ni dah lama, sewaktu beliau bertugas sebagai pegawai pengiring kepada Tun suatu ketika dulu. Waktu itu Tun ingin menghabiskan waktu santainya bersendirian. Hanya Tun, pegawai tadi dan seorang pemandu sahaja. Tidak ada kenderaan pengawal yang lain yang mengekori. Sebenarnya ada tetapi di luar pengetahuan Tun. Biasalah tu kerja Polis.

3. Tun mengajak untuk pergi ke satu gerai makanan kerana ingin menikmati mee rebus. Kata Tun, dari atas kapal terbang tadi lagi beliau dah nampak gerai tersebut. Terkejut juga pegawai Polis tadi kerana gerai yang dimaksudkan Tun agak biasa-biasa saja. Pada fikirannya tentulah tidak sesuai seorang pemimpin besar negara ke situ. Dia mencadangkan gerai yang lain tetapi Tun menolak. Mee rebus dipesan dan makanlah Tun sambil berbual-bual dengan pengusaha gerai tersebut. Orang Melayu. Kemudian Tun terlihat tisu yang disediakan oleh tuan gerai tu ialah tisu bulat (macam tisu tandas). Tun berkata kepada pegawai Polis "tak boleh ni macam ni ni...". Setelah selesai semuanya, Tun pun bertanyakan bayaran sambil mengeluarkan duit untuk membayar. Pegawai Polis tadi cuba menghalang tapi tak terkuasa. Tuan gerai menyatakan jumlah bayaran sambil menyambut not RM10 daripada Tun. Kemudian datang semula membawa baki. Tun masuk ke dalam kereta. Sebelum berlalu, pegawai Polis tadi sempat berpesan kepada pak cik gerai tersebut supaya jangan menggunakan lagi tisu bulat dan juga "apa la hang ni, Perdana Menteri mai makan kat kedai hang yang macam ni pun hang nak berkira..b*d*h". Tuan gerai terkebil-kebil.

4. Kemudian kereta terus bergerak dan Tun teringin untuk singgah di pasar malam. Tun berjalan-jalan berlaga bahu bersama orang awam. Ramai juga yang perasan dan rata-rata mereka seperti terkejut. Tidak menyangka barangkali. Tun singgah di gerai menjual durian. "Durian dari mana ni? Tanya Tun. "Semua durian ni mai dari Siam ni" Jawab penjual. Tun terus berlalu dan singgah pula di gerai menjual langsat. "Berapa sekilo buah ni? Tanya Tun. "Sekilo RM5" Jawab penjual. "Bagi kat saya sekilo" Kata Tun lagi. Tun terus berjalan. Singgah di gerai menjual langsat yang lain pula apabila tertarik melihat harga yang dipaparkan RM4.50 sekilo. "Awat di sini jual RM4.50 dan di sana jual RM5 sekilo? Tanya Tun. "Saya jual murah sikit daripada depa" Kata penjual tersebut. "Beli la buah langsat saya sekilo" Tambah penjual tu lagi. "Takpalah, saya dah beli dah tang gerai sana, lain kali pula la" Jawab Tun dan berlalu.

5. Ketika Tun melalui sebuah kedai menjual barangan kulit untuk ke kereta, Tun disapa oleh tuan kedai tersebut. Seorang Cina. Dengan nada gembira dan terkejut, sambil bersalaman Tun dipimpin ke kedai beliau. Tun menolak mulanya namun setelah melihat gelagat tuan kedai yang bersungguh-sungguh, Tun ikut juga. "Kalau Dato' Seri masuk kedai saya nanti kedai saya banyak ong" Katanya. Kemudian dia memanggil semua anak-beranak dan sedara-maranya yang berada di kedai untuk bergambar dengan Tun. Suka hati mereka semua. Dia juga menyuruh Tun memilih apa saja barang kulit yang Tun suka. Dia akan menghadiahkan kepada Tun sebagai kenang-kenangan. Tun mulanya menolak tetapi akhirnya memilih juga seutas tali pinggang. Tali pinggang kulit itu dibungkus dan dihadiahkan kepada Tun. Mereka seperti mahu Tun berada lama di kedai mereka.

6. Sampai di hotel, Tun Siti Hasmah setia menunggu kepulangan Tun. Tun disambut penuh kasih sayang seorang isteri kepada suaminya.

7. Begitulah ceritanya. Anda dapat mesej dari cerita di atas? Begitulah orang kita (ya orang kita, orang Melayu-walaupun pedih menerimanya tapi itulah kenyataannya). Kita tak pandai menghargai seorang pemimpin besar negara yang banyak berjasa kepada kita (khususnya orang-orang Langkawi). Aku percaya Tun sendiri pun bukan mahu dilayan secara besar-besaran, jika tidak masakan beliau mahu meluangkan masa santai begitu. Cuma kita tidak ada kesedaran dalaman. Kesedaran yang tidak diajar di mana-mana sekolah atau institusi pengajian tinggi tetapi lahir dari hati.

8. Apa salahnya jika : "Saya sangat berbesar hati Dato' Seri mai makan di kedai saya yang tak seberapa ni, banyak lagi kedai yang lebih elok tapi Dato' Seri mai juga ke kedai saya. Tak perlu bayar Dato' Seri. Dato' Seri mai sini sudah suatu penghargaan besar buat saya". Atau "Dato' Seri, ini buah langsat saya bagi kat Dato' Seri sebagai kenang-kenangan kerana singgah ke gerai saya, tak payah beli. Buah yang lain pun kalau Dato' Seri terasa nak makan, pilihlah". Atau "Ini buah durian saya hadiahkan kat Dato' Seri. Rasalah durian ni, saya kopek untuk Dato' Seri". Tapi semua-semua tu kita tak pandai buat, kita lemah. Kelemahan yang harus kita akui dan perbaiki.

9. Tertinggal satu lagi cerita. Tetapi cerita di waktu yang lain. Cerita ketika Tun meninjau-ninjau kawasan di waktu musim pilihan raya. Waktu begini, Tun memang suka meninjau kawasan di waktu malam, melihat-lihat penyokong memasang bendera dan sebagainya. Sampai di suatu kawasan, terlihat oleh Tun budak-budak sedang memasang bendera parti. Tun ke situ. Cermin kereta dibuka. Tun menegur. Budak-budak terkejut dan terkesima. "Nah duit buat makan mee goreng dan air kopi lepas siap semua ni no" Ucap Tun dengan senyuman. Seorang budak mewakili kawan-kawannya mengambil not RM50 yang dihulurkan Tun.

Sunday, October 11, 2009

Cukuplah Sekali Potong

Walau apapun pertikaian atau perselisihan yang berlaku, janganlah sampai terjadi semacam ini ya. Hisshh ngilu rasanya hehe. Bukan tidak ada kes si isteri berlagak nak jadi Tok Mudim kali kedua untuk si suami. Janganlah sampai ke tahap tu.

Ada kes yang potong masa si suami tengah tidur..sedar-sedar dah hilang burung huhu..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.