Thursday, October 15, 2009

Cerita Tun Mahathir Dan Rakyat

1. Agak lama entri ni dalam status "draft". Cerita ini aku perolehi ketika aku ke Langkawi hari tu atas beberapa tugas rasmi. Aku ingin berkongsi cerita ni dengan anda semua. Sesuai untuk kita hayati dan fikir-fikirkan.

2. Cerita ini diceritakan oleh seorang pegawai Polis ketika kami berborak-borak tentang Langkawi. Bila bercakap mengenai Langkawi, nama Tun Mahathir mesti ada kaitan. Kejadian ni dah lama, sewaktu beliau bertugas sebagai pegawai pengiring kepada Tun suatu ketika dulu. Waktu itu Tun ingin menghabiskan waktu santainya bersendirian. Hanya Tun, pegawai tadi dan seorang pemandu sahaja. Tidak ada kenderaan pengawal yang lain yang mengekori. Sebenarnya ada tetapi di luar pengetahuan Tun. Biasalah tu kerja Polis.

3. Tun mengajak untuk pergi ke satu gerai makanan kerana ingin menikmati mee rebus. Kata Tun, dari atas kapal terbang tadi lagi beliau dah nampak gerai tersebut. Terkejut juga pegawai Polis tadi kerana gerai yang dimaksudkan Tun agak biasa-biasa saja. Pada fikirannya tentulah tidak sesuai seorang pemimpin besar negara ke situ. Dia mencadangkan gerai yang lain tetapi Tun menolak. Mee rebus dipesan dan makanlah Tun sambil berbual-bual dengan pengusaha gerai tersebut. Orang Melayu. Kemudian Tun terlihat tisu yang disediakan oleh tuan gerai tu ialah tisu bulat (macam tisu tandas). Tun berkata kepada pegawai Polis "tak boleh ni macam ni ni...". Setelah selesai semuanya, Tun pun bertanyakan bayaran sambil mengeluarkan duit untuk membayar. Pegawai Polis tadi cuba menghalang tapi tak terkuasa. Tuan gerai menyatakan jumlah bayaran sambil menyambut not RM10 daripada Tun. Kemudian datang semula membawa baki. Tun masuk ke dalam kereta. Sebelum berlalu, pegawai Polis tadi sempat berpesan kepada pak cik gerai tersebut supaya jangan menggunakan lagi tisu bulat dan juga "apa la hang ni, Perdana Menteri mai makan kat kedai hang yang macam ni pun hang nak berkira..b*d*h". Tuan gerai terkebil-kebil.

4. Kemudian kereta terus bergerak dan Tun teringin untuk singgah di pasar malam. Tun berjalan-jalan berlaga bahu bersama orang awam. Ramai juga yang perasan dan rata-rata mereka seperti terkejut. Tidak menyangka barangkali. Tun singgah di gerai menjual durian. "Durian dari mana ni? Tanya Tun. "Semua durian ni mai dari Siam ni" Jawab penjual. Tun terus berlalu dan singgah pula di gerai menjual langsat. "Berapa sekilo buah ni? Tanya Tun. "Sekilo RM5" Jawab penjual. "Bagi kat saya sekilo" Kata Tun lagi. Tun terus berjalan. Singgah di gerai menjual langsat yang lain pula apabila tertarik melihat harga yang dipaparkan RM4.50 sekilo. "Awat di sini jual RM4.50 dan di sana jual RM5 sekilo? Tanya Tun. "Saya jual murah sikit daripada depa" Kata penjual tersebut. "Beli la buah langsat saya sekilo" Tambah penjual tu lagi. "Takpalah, saya dah beli dah tang gerai sana, lain kali pula la" Jawab Tun dan berlalu.

5. Ketika Tun melalui sebuah kedai menjual barangan kulit untuk ke kereta, Tun disapa oleh tuan kedai tersebut. Seorang Cina. Dengan nada gembira dan terkejut, sambil bersalaman Tun dipimpin ke kedai beliau. Tun menolak mulanya namun setelah melihat gelagat tuan kedai yang bersungguh-sungguh, Tun ikut juga. "Kalau Dato' Seri masuk kedai saya nanti kedai saya banyak ong" Katanya. Kemudian dia memanggil semua anak-beranak dan sedara-maranya yang berada di kedai untuk bergambar dengan Tun. Suka hati mereka semua. Dia juga menyuruh Tun memilih apa saja barang kulit yang Tun suka. Dia akan menghadiahkan kepada Tun sebagai kenang-kenangan. Tun mulanya menolak tetapi akhirnya memilih juga seutas tali pinggang. Tali pinggang kulit itu dibungkus dan dihadiahkan kepada Tun. Mereka seperti mahu Tun berada lama di kedai mereka.

6. Sampai di hotel, Tun Siti Hasmah setia menunggu kepulangan Tun. Tun disambut penuh kasih sayang seorang isteri kepada suaminya.

7. Begitulah ceritanya. Anda dapat mesej dari cerita di atas? Begitulah orang kita (ya orang kita, orang Melayu-walaupun pedih menerimanya tapi itulah kenyataannya). Kita tak pandai menghargai seorang pemimpin besar negara yang banyak berjasa kepada kita (khususnya orang-orang Langkawi). Aku percaya Tun sendiri pun bukan mahu dilayan secara besar-besaran, jika tidak masakan beliau mahu meluangkan masa santai begitu. Cuma kita tidak ada kesedaran dalaman. Kesedaran yang tidak diajar di mana-mana sekolah atau institusi pengajian tinggi tetapi lahir dari hati.

8. Apa salahnya jika : "Saya sangat berbesar hati Dato' Seri mai makan di kedai saya yang tak seberapa ni, banyak lagi kedai yang lebih elok tapi Dato' Seri mai juga ke kedai saya. Tak perlu bayar Dato' Seri. Dato' Seri mai sini sudah suatu penghargaan besar buat saya". Atau "Dato' Seri, ini buah langsat saya bagi kat Dato' Seri sebagai kenang-kenangan kerana singgah ke gerai saya, tak payah beli. Buah yang lain pun kalau Dato' Seri terasa nak makan, pilihlah". Atau "Ini buah durian saya hadiahkan kat Dato' Seri. Rasalah durian ni, saya kopek untuk Dato' Seri". Tapi semua-semua tu kita tak pandai buat, kita lemah. Kelemahan yang harus kita akui dan perbaiki.

9. Tertinggal satu lagi cerita. Tetapi cerita di waktu yang lain. Cerita ketika Tun meninjau-ninjau kawasan di waktu musim pilihan raya. Waktu begini, Tun memang suka meninjau kawasan di waktu malam, melihat-lihat penyokong memasang bendera dan sebagainya. Sampai di suatu kawasan, terlihat oleh Tun budak-budak sedang memasang bendera parti. Tun ke situ. Cermin kereta dibuka. Tun menegur. Budak-budak terkejut dan terkesima. "Nah duit buat makan mee goreng dan air kopi lepas siap semua ni no" Ucap Tun dengan senyuman. Seorang budak mewakili kawan-kawannya mengambil not RM50 yang dihulurkan Tun.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.