Saturday, July 04, 2009

Anda Tidak Keseorangan (You Are Not Alone)

Entri ni memang ada kaitan dengan lagu tema (waktu ini) blog aku. Tapi lagu tu bukan semata-mata nak mengenangkan MJ cuma terasa sesuai pulak dengan suasana dan keadaan sekarang ni. Kalau MJ tak mati sekalipun, lagu ini akan aku pilih untuk letak dalam blog. Itulah kebetulan. Apapun harap semoga MJ pergi dan disempurnakan sebagai seorang Muslim, diterima olehNya sebagai seorang Muslim.

Anda tidak keseorangan, aku tidak keseorangan dan kita tidak keseorangan. Ada masanya, setiap daripada kita akan berada dalam suatu keadaan yang seolah-olah hanya kita seorang sahaja yang ada. Kita sendirian, kita keseorangan, kita kesunyian, kita ketakutan, kita kerisauan dan seumpamanya (cikgu BM aku mesti dah ketuk kepala kalau tengok diulang banyak kali perkataan 'kita' tu..hehe cerita lama).

Kalau kita berasa keseorangan, sebenarnya kita masih ada orang di sekeliling kita. Kita ada ahli keluarga; ibu ayah serta adik-beradik, rakan-rakan dan yang paling penting adalah sahabat-rakan yang paling rapat; yang selalu bersama kita, mengambil tahu pasal kita dan bersama-sama kita suka atau duka. Cuma soalnya bagaimana hubungan kita serta tahap kemesraan atau keakraban kita dengan mereka. Ada sesetengah orang lebih akrab bersama teman-teman berbanding keluarga/adik-beradik dan begitu juga sebaliknya. Manakala bonus kepada mereka yang sangat rapat atau mesra dengan kedua-duanya.

Mesra dan akrab di sini ialah suatu keadaan di mana kita boleh berkongsi berbagai cerita bersama, keluh-resah, masalah, minta pandangan, pertolongan dan sebagainya. Kita tidak merasakan adanya suatu tembok yang boleh menghalang untuk kita berinteraksi bersama, rasa ketidakselesaan itu tidak wujud. Malah ada ketikanya kita boleh berkongsi sesuatu walaupun ia suatu kerahsiaan kepada kita. Kunci utamanya dalam apa jua bentuk hubungan adalah adanya rasa saling hormat-menghormati dan saling mempercayai (respect and trust).

Ada teman-teman yang akan berasa keseorangan oleh berbagai sebab; soal kerja (outstation/oversea, kesibukan yang terlampau), masalah peribadi, masalah keluarga, masalah ekonomi dan sebagainya. Sebenarnya kita tidak keseorangan. Masih ada orang lain, terutama sekelompok teman-teman rapat yang boleh memberi perhatian kepada kita. Dengan sebab itu, hubungan bersama teman-teman rapat perlu dijaga sebaik mungkin. Ada ketikanya, kuasa seorang kawan lebih besar daripada orang lain walaupun saudara sendiri. Cukup senang untuk mencari kawan, tetapi untuk mencari yang sanggup susah senang atau 'sanggup mati kerana kawan' bukanlah mudah.

Jangan bebankan emosi dan minda. Kita tidak keseorangan. Kita perlukan perhatian, kita perlukan teman dan kawan-kawan. Menurut ilmu Sosiologi Barat, manusia itu adalah haiwan (mamalia) yang perlu hidup secara berkelompok (bersosial), bermasyarakat, perlu saling bergantung antara satu sama lain, jika hidup bersendirian mereka akan mati. Tokoh Sosiologi Islam Ibn Khaldum pula menegaskan bahawa manusia itu adalah insan yang perlu mempunyai hubungan yang rapat sesama mereka dan juga hubungan yang rapat dengan Penciptanya.

Sebenarnya ramai orang yang memberi perhatian kepada kita walaupun di waktu itu kita merasakan keseorangan. Sayangilah keluarga dan rakan-rakan terutama teman-teman rapat, peliharalah hubungan itu sebaiknya, selamanya. You Are Not Alone.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENGHARGAAN

Terima kasih kerana singgah di MOSHUCHI KATA. Selagi nafas bersarang di dada, selagi itu kita akan berkata-kata. Yang baik dijadikan pedoman, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Komen-komen/kritikan membina yang ditinggalkan amat dihargai. Senyum-senyum selalu.